Friday, February 24, 2012

Nelayan tangkap udang karang gergasi

AIMEE HAYDEN-Rodriques memegang udang karang gergasi yang ditangkap oleh Robert Malone pada 17 Februari lalu.


ROCKLAND, Amerika Syarikat - Seekor udang karang gergasi telah ditangkap di luar perairan pantai Maine dekat sini tetapi ia tidak akan dimasak untuk dijadikan makanan.
Pengarah Akuarium Negeri Maine, Aimee Hayden-Rodriques menyatakan seorang nelayan yang menangkap udang, Robert Malone menangkap udang karang gergasi itu pada Jumaat lalu.
Dia kemudian memberikan udang itu kepada Jabatan Sumber Marin untuk dihantar ke Akuarium Negeri Maine.
Udang karang itu sepanjang hampir 101.6 sentimeter dan seberat 12.3 kilogram.
Haiwan itu diberi nama Rocky kerana ia ditangkap di kawasan berbatu.
Namun, menurut Hayden-Rodriques, udang karang tersebut perlu diberi nama petinju Rocky kerana penyepitnya yang besar mencukupi untuk memberikan pukulan.
Dia berkata, udang karang itu akan dilepaskan ke lautan kerana ia akan menjalani kehidupan yang lebih baik dalam habitat liar. - Agensi

Wednesday, February 22, 2012

Berbaris untuk lihat janggut Nabi Muhammad SAW

KANTA pembesar digunakan untuk melihat sehelai janggut Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah bekas di Masjid Nasional, Dhaka semalam.


DHAKA, Bangladesh - Sejumlah penganut Islam berbaris panjang untuk melihat sehelai janggut Nabi Muhammad SAW di Masjid Nasional di sini semalam.
Janggut itu diletakkan di dalam sebuah bekas berkaca semasa ia dipamerkan kepada orang ramai.
Pusat Kebudayaan Turki meminjamkan bekas yang mengandungi janggut Nabi Muhammad itu untuk dipamerkan kepada orang ramai.
Nabi Muhammad SAW wafat pada tahun 632 Masihi semasa berumur 63 tahun. - Agensi

Sunday, February 19, 2012

Masjid Unik di Kampung Seberang Jertih - 100 peratus kayu

Masjid unik diperbuat dari cengal, nyatoh dan bala, lambang keindahan kraf Melayu 
Oleh Azman Mahmood
pix_gal0


Masjid Kayu Seberang Jerteh

SESIAPA saja yang melalui jalan utama Kampung Seberang Jertih di bandar Jertih, Besut, Terengganu - sama ada dari arah Kota Bharu, Kelantan atau dari Kuala Terengganu, pasti menoleh kagum melihat sebuah bangunan kayu tersergam indah. Selepas diamati, hati pasti lebih teruja menyedari struktur itu adalah tempat umat Islam bertemu dan beribadah.


Keunikan masjid dibina dengan 100 peratus kayu cepat merebak dan menjadi tumpuan orang ramai dari segenap ceruk termasuk pelancong asing yang mahu melihat sendiri keindahan Masjid Kayu Seberang Jertih yang dibina dengan seni pertukangan Melayu. Corak ukiran awan larat dengan motif pelbagai jenis bunga pada struktur masjid ini misalnya, mengumpan mata terutama peminat seni khat Melayu.

Ini terbukti sepanjang penulis berada di masjid seluas kira-kira 300 meter persegi ini, rumah ibadat ini sentiasa dikunjungi ramai. Ada saja pelawat singgah dan meninjau perkarangan masjid serta menunaikan solat. Malah, penulis juga sempat melihat sekumpulan rombongan menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Kerandang, di sini, dari Tanah Merah, Kelantan yang singgah bersolat. Ketika mendekati kumpulan rombongan itu, ramai antara mereka mengakui kagum dengan keindahan masjid ini. 


Masjid Kayu Seberang Jertih bernilai kira-kira RM12 juta itu diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dengan pembinaannya dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri. 
Rumah ibadat ini adalah masjid pertama di Terengganu yang dibina mengikut konsep seni bina tradisi Melayu menggunakan sepenuhnya kayu iaitu 90 peratus kayu cengal serta selebihnya kayu nyatoh dan bala. Hanya tiang utama bangunan masjid dan lantai menggunakan konkrit. 



Bagaimanapun, permukaan lantai konkrit dilapisi kayu bala. 
Apa yang menarik, pembinaan masjid di tapak seluas 0.2 hektar pada Januari 2009 dan siap pada Ogos tahun lalu, mendapat sentuhan pengukir kayu terkenal yang juga anak Terengganu, Wan Mustafa Wan Su atau lebih dikenali Wanpo. 



Wanpo yang juga pemilik syarikat Khazanah Seni Warisan diberi tanggungjawab merealisasikan projek membina masjid tradisional Melayu lama menggunakan kayu sepenuhnya. 



Memasuki masjid ini, tingkat pertama atau tingkat bawah masjid dijadikan dewan serba guna untuk sebarang majlis keramaian. Manakala tingkat kedua adalah dewan solat serta tingkat ketiga berfungsi sebagai perpustakaan. 



Ruang utama solat mampu memuatkan sehingga 700 jemaah selain ruang selasar atau serambi (ruang terbuka) di kiri kanan dewan solat yang masing-masing mampu memuatkan 700 jemaah. Ini menjadikan keseluruhan tingkat dua masjid mampu memuatkan sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa. 



Menceritakan seni bina masjid itu, Wanpo berkata, beliau diberi tanggungjawab membina masjid itu mengikut konsep seni bina Melayu lama yang menekankan teknologi tulen seni pertukangan kayu Melayu tradisional. 



Selain aspek ukiran, elemen lain termasuk sistem pengudaraan dalam bangunan dan kemasukan cahaya dari luar turut diambilkira. 



Wanpo berkata, selain bangunan utama masjid, dua bangunan tempat mengambil wuduk dan kemudahan tandas yang juga keseluruhan dinding luar diperbuat daripada kayu serta tempat mengambil wuduk untuk wanita dibina berasingan di bawah masjid turut disediakan. 




Selit elemen laut, konsep tebuk-pasak 



KESELURUHAN dinding bangunan masjid serta dua bangunan tempat wuduk dan tandas dibina berkonsepkan dinding janda berhias. Manakala 12 pintu utama dewan solat pula diukir dengan corak awan larat menggunakan motif seperti bunga mas dan kenanga serta diadun dengan unsur motif bunga khayalan dan corak sisik tenggiling. 



Dinding ruang mimbar juga dibina corak dinding janda berhias dan pagar depan mimbar bercorak tenunan songket Terengganu. 



"Setiap atas pintu utama masjid juga diukir dengan ayat suci al-Quran iaitu doa keluar dan masuk masjid. Manakala di sekeliling bumbung masjid yang dikenali sebagai andam-andam dipasang dengan ukiran kaligrafi kayu diperbuat daripada kayu cengal dengan nama junjungan besar Nabi Muhammad dalam bentuk tulisan jawi dan huruf Lam Alif - bermaksud Maha Besar Allah yang tiada bandingan, menyerupai atau melebihi kekuasaan dan sifatNya,” kata Wanpo. 



Wanpo berkata, Masjid Kayu Seberang Jertih dibina dalam bentuk 'Perabung Lima' seperti bumbung rumah Melayu lama di Kelantan dan inspirasi seni binanya berasaskan Masjid Kampung Laut yang tertua di Asia Tenggara berusia lebih 300 tahun yang terletak di Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan. 



“Masjid Kayu Seberang Jertih dibina 100 peratus menggunakan kayu dengan teknik ‘tebuk-pasak' atau tidak menggunakan paku,” katanya sambil menambah idea pembinaan masjid kayu itu dicetuskan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh. 



Beliau berkata, apa yang membezakan masjid ini ialah ia dibina setinggi tiga tingkat dan mempunyai ruang selasar atau serambi iaitu ruang terbuka di tingkat dua tempat solat. 



Wanpo berkata, beliau cuba menerapkan unsur asbtrak pada ukiran kayu di enam kepala tangga masjid berkenaan yang menggambarkan ombak Pantai Timur dan penyu. Manakala pagar kayu di ruang selasar masjid juga dibina berkonsepkan corak tenunan songket Terengganu. 



"Ombak sebahagian gambaran kehidupan masyarakat Pantai Timur yang lebih dekat dengan kehidupan pantai manakala penyu adalah gambaran perjalanan hidup manusia yang jauh," katanya. 



Sementara itu, Imam Masjid Kayu Seberang Jertih, Ahmad Zaki Mohamad berkata, masjid itu dibina bagi menggantikan masjid lama yang terletak di kawasan tapak masjid berkenaan. 



Ahmad Zaki berkata, masjid lama yang dikenali sebagai Masjid Seberang Jertih hanya mampu menampung kira-kira 300 jemaah dan dibina pada era sebelum kemerdekaan negara. 



“Masjid lama pada awalnya diperbuat daripada kayu sebelum diubahsuai kepada konkrit dan kayu sehinggalah dirobohkan sebaik saja masjid baru digunakan, Ogos tahun lalu. 



"Dengan siapnya masjid baru ini, ia banyak memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk menunaikan solat di tempat yang lebih selesa dan mampu memuatkan lebih ramai jemaah. 



"Masjid ini juga menjadi tumpuan ramai umat Islam dari luar Terengganu dan pelancong yang datang untuk melihat keindahan seni binanya dengan semua pintu utama masjid diukir dengan ukiran awan larat dengan motif bunga selain ukiran ayat suci al-Quran," katanya. 



Ahmad Zaki berkata, jumlah umat Islam dari luar Seberang Jertih yang datang menunaikan solat di masjid itu boleh dilihat menerusi sumbangan derma yang kepada tabung masjid berkenaan yang semakin meningkat setiap minggu. 



"Sebelum ini, jumlah sumbangan derma hanya sekitar RM300 seminggu. Tetapi sekarang ia meningkat kepada RM700 dan RM800 seminggu. 



“Manakala pada musim cuti persekolahan ia mencapai sehingga RM1,000 seminggu. Ini kerana ramai pelawat umat Islam dari luar Terengganu singgah menunaikan solat di masjid ini untuk merakamkan gambar dan memberi sumbangan derma,” katanya. 



Ahmad Zaki berkata, kutipan derma digunakan untuk membiayai aktiviti masjid seperti memberi hadiah kecemerlangan kepada pelajar. 



“Kita juga merancang untuk meluaskan sumbangan kepada anak yatim dan saudara baru di kawasan sekitar Seberang Jertih," katanya yang berbangga masjid itu menjadi tumpuan ramai. 



Masjid Kayu Seberang Jertih dijangka dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Februari ini sempena lawatan baginda ke daerah Besut. 



INFO 


Masjid Kayu Seberang Jertih Kos pembinaan RM12 juta 
Mampu menempatkan 2,000 jemaah 
Menggunakan rekaan seni bina Melayu - Perabung Lima 
Konsep dinding - Janda Berhias 
Mula digunakan Ogos 2011 
Dijangka dirasmikan pembukaan 24 Februari oleh Sultan Mizan Zainal Abidin


BMDUA2012/02/19

Saturday, February 18, 2012

Ribut Petir di Festival Layang-Layang ke-17 di Pasir Gudang


PASIR GUDANG:  Festival layang-layang ke-17 dunia Pasir Gudang, Johor  dilanda ribut petir jam 4:50 petang tadi disini.

Kejadian ini menyebabkan pengunjung dan para peserta layang-layang   bertempiaran lari keluar dari khemah-khemah untuk mencari perlindungan di tempat  yang lebih selamat.

Roger Martin 68,salah  seorang peserta Australia yang telahselama 10 tahun menyertai acara ni,berkata beliauberjaya menyelamatkan semua barang kepunyaannya termasuk layang-layang berbentuk SpongeBob SquarePants. Pada awalnya beliau  berasa yakin mengenai cuaca pada majlis tersebut,namun semua cuaca telah bertukar tanpa dijangka dan baginya ini satu kejadian yang memalukan.

Dilaporkan banyak layang-layang yang gagal diselamatkan dalam kejadian tersebut.

Seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan, berkata  tiada siapa yang cedera dalam kejadian itu. - thestar

Saintis dedah kenapa struktur batu purba dibina

GAMBAR menunjukkan kawasan batu-batu Stonehenge di Salisbury, England yang dipenuhi salji pada 10 Februari lalu.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Seorang saintis AS, Steven Waller percaya ilusi audio mencetuskan inspirasi kepada masyarakat purba untuk membina struktur batu Stonehenge di England.
Diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, bulatan bongkah batu berusia 5,000 tahun di Britain itu menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung tujuan struktur berkenaan dibina.
Antara lain ia didakwa berfungsi sebagai sebuah balai cerap kuno, kuil matahari atau tempat penyembuhan.
Namun, kata Waller, sejenis kesan gelombang bunyi yang diketahui para saintis pada masa kini tetapi menjadi misteri kepada manusia kuno, menyebabkan mereka membina Stonehenge.
Kesan tersebut dikenali sebagai interferens akustik.
Ia berlaku apabila dua sumber bunyi seperti dua peniup alat muzik beg paip memainkan nota sama pada masa yang sama tetapi di lokasi berbeza di sebuah kawasan lapang.
Apabila seseorang melalui beberapa sudut di kawasan lapang tersebut, dia akan mendengar kesan bunyi yang amat perlahan dan hampir tidak kedengaran disebabkan gelombang bunyi kedua-dua beg paip tersebut berlanggar dan melantun.
“Seolah-olah terdapat bongkah misteri yang menghalang bunyi tersebut. Begitu juga dengan bunyi guruh, dua bunyi guruh serentak bukan menjadi lebih kuat. Fenomena ini sukar diterangkan pada zaman dahulu,” kata Waller.
Menurutnya, masyarakat dahulu kala yang merasai kesan itu bertindak membina struktur batu Stonehenge bagi menggambarkan fenomena tersebut.
Stonehenge terdiri daripada bulatan batu yang mengandungi 17 bongkah batu menegak seberat sehingga 45 tan. Bulatan batu itu ditutup dengan enam batu melintang yang didirikan menghala ke arah matahari terbit pada solsetis musim panas di daerah Wiltshire, England. – AFP

Saintis umum penemuan sumpah-sumpah terkecil

SEEKOR haiwan sumpah-sumpah Brookesia micra diletakkan pada hujung jari seorang penyelidik di Madagascar pada 16 Mac 2007.


BERLIN, Jerman - Sepasukan saintis mengumumkan pada minggu ini bahawa mereka telah menemui haiwan sumpah-sumpah yang sangat kecil sehingga ia boleh diletakkan pada batang mancis.
Tergolong dalam spesies cicak, sumpah-sumpah itu yang dikenali dengan nama saintifik, Brookesia micra, memiliki panjang maksimum cuma 29 milimeter.
Ia ditemui sepasukan penyelidik Jerman dan Amerika Syarikat (AS) di Pulau Nosy Hara, utara perairan Pulau Madagascar.
Spesies berkenaan merupakan antara empat haiwan sumpah-sumpah kecil yang hidup di Madagascar dan dipercayai antara reptilia terkecil di dunia.
Menurut seorang saintis di Zoo Koleksi Negara, Frank Glaw di Munich, satu-satunya cara untuk mencari haiwan sumpah-sumpah itu adalah dengan menggunakan lampu picit pada waktu malam kerana haiwan itu akan memanjat pokok-pokok kecil untuk tidur. - Reuters

Monday, February 13, 2012

Tupai ungu cetus sensasi


SEEKOR tupai berwarna ungu yang diperangkap Percy Emert dan isterinya Connie di taman milik mereka di negeri Pennsylvania.

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seekor tupai ungu yang dijerat sepasang suami isteri di AS mencetuskan sensasi di internet berhubung persoalan bagaimana haiwan tersebut mendapat warna pelik itu.
"Kami pun tidak tahu. Namun, ia benar-benar berwarna ungu. Ada orang mendakwa kami mencelup warna tersebut tetapi secara jujur, kami menemui tupai ini dan ia ungu," kata Percy Emert yang menemui mamalia berkenaan bersama isterinya, Connie.
Kata mereka, tupai itu memasuki perangkap pada Ahad lalu. Menurut laman web accuweather.com, pasangan berkenaan memasang perangkap di taman milik mereka di negeri Pennsylvania bagi melindungi burung peliharaan daripada haiwan pemangsa.
Mengulas tentang fenomena tersebut, seorang ahli meteorologi AS, Dan Kottlowski berkata: "Tupai jantan itu mungkin telah terjatuh ke dalam cat ungu."
Namun, pendapat tersebut disangkal oleh seorang komentator lain yang memberikan penjelasan lebih saintifik.
"Warna ungu itu merupakan sebatian bromida yang dilihat pada spesies moluska dan jarang didapati pada haiwan darat.
"Tupai tersebut memiliki terlalu banyak bromida dalam sistem badan, berkemungkinan besar kerana ia meminum air daripada sumber air dicemari bromida. Ini bermakna alam sekitar kita sudah tercemar dan ramai orang akan mendapat barah pundi kencing kelak," katanya.
- AFP

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails