Showing posts with label kiamat. Show all posts
Showing posts with label kiamat. Show all posts

Sunday, January 8, 2012

Ribut matahari bukan kiamat


BANYAK ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion).

Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini.

Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini terasa bagaikan semakin hampir.

ANDAIAN bumi akan musnah pada 2012 mitos semata-mata.

Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15 juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu.

"Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari.

"Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari," kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad.

Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi.

Kesan

"Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku.

"Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet," kata Shahrin.

Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun 1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah lumpuh sama sekali.

"Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.

"Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku," ujarnya.

Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau dan pelepasan gas beracun radioaktif.

"Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan fenomena ribut matahari," tegasnya.

NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun 2012 dan 2013.

Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak kerosakan akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding Taufan Katrina yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800 orang.

"Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit," kata ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.

RIBUT matahari berlaku disebabkan bintang itu menjadi lebih panas berbanding suhu biasa iaitu 15 juta darjah Celcius.

Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini ramai yang mengambil berat isu tersebut.

"Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan.

"Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak," katanya.

Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun 1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar menjadi warna merah.

Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa bandar utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan pada 2012 atau 2013.

Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat, fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun lagi.

"Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet terdekat, Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi," jelasnya.

TANAH tandus adalah akibat fenomena pemanasan global dan bukan kerana ribut matahari.

Hidrogen

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang astrofizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.

"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.

"Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.

RIBUT matahari tidak akan memusnahkan bumi sebaliknya merosakkan sistem radar dan satelit.


"Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia," katanya.

Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri Shah Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid.

"Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan atmosfera. Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid yang cuba menerjah atmosfera bumi akan termusnah terlebih dahulu.

"Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam bumi," katanya.

Thursday, December 30, 2010

Mitos Nibiru, kiamat 2012

Mitos Nibiru, kiamat 2012

Persoalan tentang bilakah berlakunya kiamat adalah antara perkara sam'iyat. Umat Islam wajib percaya kiamat akan berlaku cuma tarikhnya yang menjadi rahsia Allah SWT. Bagaimanapun, kebelakangan ini, masyarakat disogokkan dengan berita kononnya akan berlaku perlanggaran besar antara bumi dan planet Nibiru. Mitos perlanggaran planet Nibiru bukan perkara baru.

KiamatSejak beberapa tahun lalu sudah terbit beberapa buah buku berkaitan ramalan tentang 2012 ini. Buku-buku ini dikarang oleh penulis kontemporari, menjelaskan pendapat daripada banyak pakar dan bidang.

Apa yang menarik, buku-buku ini mendapat perhatian umum dan laris seperti pisang goreng panas.

Buktinya, ada judul yang berjaya menduduki tangga teratas buku paling laris di rumah-rumah penerbitan dan rangkaian kedai buku utama.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat Ulama Muda UMNO, Mohd. Riduan Khairi bagi mengupas isu ini.

MEGA: Siapakah yang bertanggungjawab mengutarakan kisah ini?

RIDUAN: Individu yang bertanggungjawab pertama kali mengutarakan kisah ini ialah Notramadus, seorang ahli falsafah Perancis pada tahun 1535.

Beliau terkenal kerana membuat ramalan mengenai masa depan. Asal perkataan Nibiru diambil daripada nama tuhan dalam bahasa Babylon.

Menurut ramalan asal Notramadus, perlanggaran itu sepatutnya berlaku pada tahun 2003. Kemudian ia ditukar kepada tahun 2012 berdasarkan kalendar kaum Mayan di Amerika Tengah.

Ini kerana ramalan Notramadus dibuat berdasarkan kalendar ini, dan tarikh kalendar ini berakhir ialah pada 21 Disember 2012. Setakat ini sahaja pun sudah menunjukkan betapa fatalnya dakwaan perlanggaran Planet Nibiru.

Oleh kerana tidak ada apa-apa berlaku pada tahun 2003, maka ia ditunda hingga tahun 2012. Alasannya mudah, kerana 2012 merupakan tarikh terakhir dalam kalendar.

Sebenarnya, ramalan-ramalan tidak berasas begini mendatangkan banyak kesan buruk kepada masyarakat umum dan umat Islam secara khasnya.

Apakah kesan ramalan begini kepada umat manusia?

RIDUAN: Mengadakan ramalan begini sudah semestinya menimbulkan keresahan di kalangan manusia. Persis seperti mana yang berlaku pada tahun 1999 menjelang tahun 2000. Ketika itu heboh dikatakan tentang virus Y2K.

Kononnya semua peralatan elektronik akan mengalami gangguan. Ini bukan perkara kecil, kerana ia akan melibatkan sistem kerajaan, perjalanan pesawat penerbangan, sistem lalu lintas dan banyak perkara lain lagi.
Kemudian alaf baru pun menjelma, sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku melainkan beberapa perkara kecil sahaja yang bersifat teknikal.

Ternyata propaganda ini disebar-luaskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan seperti syarikat pengeluar anti virus dan syarikat yang menjalankan penyelenggaraan sistem.

Namun kita masih belum dapat mengesan apakah agenda di sebalik tersebarnya berita perlanggaran Planet Nibiru ini.

Apakah produk yang akan dikeluarkan untuk menangani atau menghadapi peristiwa besar ini? Ataukah ada pihak yang akan menyediakan kem perlindungan berbayar atau pesawat untuk menyelamatkan diri seperti yang dilukiskan dalam filem-filem animasi?

Apa pula hujah ahli astronomi dalam hal ini?

RIDUAN: Dakwaan dan ramalan tentang ruang angkasa dan apa yang berlaku di luar ruangan atmosfera, mungkin dapat dipercayai ribuan tahun dahulu. Namun pada hari ini, sudah ada satelit dan alat pencerap untuk menyemak kebenaran dakwaan ini.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Fairos Asilan menjelaskan: “Jika benar Planet Nibiru ini akan melanggar bumi pada tahun 2012, sudah tentu ia sangat hampir dengan bumi dan kita sudah lama mengesannya.”

Tambah beliau: “Dunia mempunyai banyak program pemantauan angkasa dan sistem teleskop kita boleh mengesan benda yang jauh sehingga beribu-ribu tahun cahaya.”

Kenyataan beliau disokong oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili ketika berucap di Dewan Negara. Beliau memberitahu bahawa dakwaan Planet Biru akan melanggar bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada tahun 2012 adalah tidak benar. Kewujudan Planet Biru pun masih diragui.

Tuesday, September 28, 2010

Kiamat 2013???

Pada 20 September 2010, para saintis di United Kingdom (UK) memberi amaran bahawa satu letusan besar daripada matahari akan berlaku pada tahun 2013.

Letusan ini boleh menyebabkan satu bencana global yang akan menyebabkan krisis makanan, terputusnya bekalan elektik serta jaringan internet dan lain-lain lagi.

Menurut akhbar The Sun UK, malapetaka tersebut sangat dahsyat sehinggakan Setiusaha Pertahanan UK Dr. Liam Fox mengadakan persidangan tergempar di London untuk membincangkan strategi berhadapan dengan ancaman tersebut.

Amaran saintis ini mengingatkan kita akan filem Hollywood yang ditayangkan di pawagam pada tahun lalu - 2012. Adakah apa yang digambarkan dalam filem itu akan benar-benar menjadi realiti?


Pastinya, kebanyakan daripada kita akan merasa risau akan apa yang bakal berlaku dua atau tiga tahun lagi. Lalu, perbagai strategi dan persiapan dilakukan untuk menghadapinya.

Namun sedarkah kita bahawa kematian boleh berlaku bila-bila masa sahaja? Adakah kita risau akan detik pengakhiran kita di muka bumi? Adakah kita benar-benar menyusun strategi dan persiapan untuk mati?

Sumber : iluvislam.com

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails