Showing posts with label Bicara Agama Berita Harian. Show all posts
Showing posts with label Bicara Agama Berita Harian. Show all posts

Wednesday, January 18, 2012

Limpahan kurnia Allah amat besar jika sentiasa memohon


2012/01/16

DARIPADA Anas bin Malik, katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memohon syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, syurga berkata: Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga. Dan sesiapa yang meminta perlindungan daripada neraka sebanyak tiga kali, neraka berkata: Ya Allah, selamatkanlah dia daripada neraka.” 


Hadis ini sungguh besar kedudukan dan tahapnya, ia menunjukkan limpah kurnia Allah yang besar dan rahmat-Nya yang begitu luas.


Orang yang memohon syurga dan meminta perlindungan daripada neraka ditetapkan syarat iaitu Islam serta benar dalam menghadapkan diri kepada Allah (at-tawajjuh).

Demikianlah, bahawa kejayaan dengan syurga dan keselamatan daripada neraka adalah tujuan yang hendak dicapai orang yang mengerjakan solat, berzakat, berpuasa, menunaikan haji, berzikir mengingati Allah dan berjihad. 

Untuk mencapai ke tahap itu mereka terpaksa memejam pandangan, memelihara kemaluan dan perutnya, menjaga lidah serta menahan tangannya daripada melakukan perkara terlarang. Perkara ini berterusan menjadi adat kebiasaan sehingga Allah mengampuni mereka. 

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang sentiasa berkeliaran di jalan mencari ahli zikir, apabila mereka mendapati satu kaum yang berzikir mengingati Allah mereka memanggil temannya lalu mereka pun datang mengelilingi orang yang berzikir dengan membentangkan sayapnya ke langit dunia. Lalu mereka ditanya oleh Tuhannya, sedangkan Tuhan lebih mengetahui dari mereka: Apa yang diucapkan hamba-Ku? Mereka menjawab: Hamba-Mu menyucikan, membesarkan, memuji dan mengagungkan-Mu. 

Allah bertanya: Adakah mereka melihat Ku? Malaikat menjawab: Tidak, Demi Allah wahai Tuhan, mereka tidak melihat Mu. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihat Ku? Malaikat menjawab: Jika mereka melihat Mu nescaya mereka lebih banyak beribadah kepada Mu, mengagungkan Mu, dan bertasbih memuji Mu. 
Allah bertanya: Apakah yang mereka minta kepada-Ku? Malaikat menjawab: Mereka meminta syurga kepada Mu. Allah bertanya: Adakah mereka telah melihat syurga itu? Malaikat menjawab: Tidak, Demi Allah wahai Tuhanku, mereka tidak pernah melihatnya. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihat syurga itu? Malaikat menjawab: Sekiranya mereka melihatnya nescaya mereka lebih tamak lagi terhadapnya, lebih kuat memintanya, dan keinginannya lebih besar padanya. 

Allah bertanya: Dari apakah mereka berlindung? Malaikat menjawab: Mereka berlindung dari neraka. Allah bertanya: Adakah mereka telah melihat neraka itu? Malaikat menjawab: Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihatnya. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihatnya? Malaikat menjawab: Sekiranya mereka melihatnya nescaya mereka pasti lebih menjauhkan diri daripadanya, dan pasti lebih takut dengannya. 

Allah bertanya: Aku menyaksikan kepada Kamu bahawa Aku telah mengampuni mereka. Ada malaikat berkata: Di kalangan mereka ada si fulan yang bukan dari golongan mereka, namun kedatangannya untuk sesuatu hajat keperluan. Allah berfirman: Mereka adalah kaum yang tidak celaka sesiapa yang duduk dalam majlisnya.” 

Mengapa kita tidak memohon syurga kepada Allah, sedangkan Ibnu Abbas meriwayatkan daripada Nabi SAW sabdanya: “Allah menciptakan syurga dan menjuntaikan padanya buah-buahannya, dan mengalirkan padanya sungai-sungainya, kemudian memandang kepadanya lalu berfirman: Bercakaplah, lalu diapun berkata: Sungguh berjaya orang yang beriman. Lalu Allah berfirman: Demi keagungan Ku, engkau tidak akan dimasuki orang yang bakhil kedekut.” 

Mengapa kita tidak meminta kepada Allah supaya dimasukkan ke dalam syurga, sedangkan Rasulullah SAW pernah ditanya mengenainya, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang masuk syurga akan hidup di dalamnya tidak akan mati, dikurniakan nikmat padanya tidak pernah terputus, tidak lusuh pakaiannya dan tidak hilang keremajaannya.” 

Petikan buku 101 Nasihat Rasulullah SAW Untuk Menjadi Muslimah Paling Bahagia 


Monday, January 16, 2012

Bank susu ibu haram



2012/01/16
Majlis Fatwa memutuskan penubuhan membawa kemudaratan keturunan

PUTRAJAYA: Persoalan mengenai cadangan penubuhan bank susu ibu selesai apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan penubuhannya adalah haram kerana boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram.

Keputusan yang diambil pada persidangan muzakarah kali ke-97 pada hujung tahun lalu, melihat kepada keperluan penubuhannya yang tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam keselamatan umat.

Sebelum ini, Berita Harian pernah menyiarkan perdebatan mengenai kewujudan komuniti, Human Milk For Human Baby (HM4HB) iaitu rangkaian perkongsian susu ibu global yang mempunyai puluhan ribu penyokong di laman sosial Facebook dari lebih 54 negara dan kira-kira 900 daripadanya rakyat Malaysia.

Walaupun HM4HB bertujuan mencari ibu susuan bagi membantu bayi pra-matang dan ibu bermasalah untuk menyusui bayi mereka kerana menghidap pelbagai penyakit termasuk HIV, namun timbul kebimbangan umat Islam terutama hukum hakam berkaitan ibu susuan.

Berikutan itu, ada pihak mencadangkan ditubuhkan bank susu bagi membolehkan keluarga yang memerlukan susu badan memperoleh bantuan secara lebih mudah.

Dalam kenyataan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang disiarkan menerusi portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu semalam, perkara itu diputuskan selepas ahli panel muzakarah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan.

“Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan, termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.
“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, manakala ibu mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, muzakarah memutuskan adalah harus bagi ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu saling mengenali.

Sementara itu, muzakarah berkenaan juga memutuskan amalan eutanasia atau mercy killing, iaitu menghentikan hayat hidup seseorang sebelum disahkan meninggal adalah haram dan dilarang Islam.

Menurut muzakarah itu, tugas seorang doktor ialah menolong pesakit dalam perkara kebaikan dan perbuatan membantu mempercepatkan kematian tidak termasuk dalam perkara kebaikan tetapi perkara yang dilarang dan berdosa.

“Bagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan mengesahkan jantung dan/atau otak pesakit berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, muzakarah memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan.

“Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan mengesahkan pesakit tiada harapan sembuh dan pesakit dibenar pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan diteruskan adalah dibenar Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia atau mercy killing,” katanya.

Muzakarah juga memutuskan dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian apabila disahkan pakar dan adalah harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris terdekat.

Monday, July 11, 2011

Manusia perlu tangkis 10 perangkap syaitan

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

2011/07/11

ALLAH berfirman bermaksud: “Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.” (An-Nisa: 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing sebenarnya ada kaitan dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itu sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya sudah menyediakan ruang kepada syaitan menapak dalam diri.

Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri. Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap menguasai tunjang dalam badan manusia.

Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan itu. Mengikut ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu:

Pertama – melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat ini amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan.

Kedua – melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu orang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah. 

Ketiga – melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri manusia yang berasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik Allah pada bila-bila masa saja. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.” (an-Nahl:23)

Keempat – sifat khianat. Khianat dimaksudkan bukan saja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

Kelima – sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Rasulullah selalu menasihati sahabat Baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan keempat daripada kalangan manusia dibenci Allah iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

Keenam – melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam berpanjangan. Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu kering “ (Riwayat Bukhori dan Muslim).

Ketujuh – melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu berasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang berilmu dan imam yang adil.” (Riwayat Muslim).

Kelapan – melalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang saja.” (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

Kesembilan – melalui sifat suka berangan-angan. Islam adalah antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian tinggi tetapi amat malas berusaha memperolehnya.

Kesepuluh dan terakhir – melalui sifat buruk sangka. Seseorang suka menuduh orang lain melakukan kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itu sebenarnya sudah rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)

Monday, March 28, 2011

Jangan Jadi Si Tanggang


Balaslah jasa ibu bapa yang tiada tandingannya membesar, mendidik kita sehingga berjaya

TANGAN yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Itulah pepatah yang menggambarkan peranan ibu sehingga boleh mempengaruhi kehidupan di dunia. Didikan ibu mampu menghasilkan anak yang gah di mata masyarakat dan boleh mencorakkan dunia.

Walaupun mempunyai peranan besar, ibu sering dipinggirkan. Bukan saja peranannya dilupakan, malah ibu itu sendiri ada kalanya langsung tidak dihiraukan anak.

Segala jasa dan pengorbanan begitu mudah dinafikan sehingga ada ibu yang berendam air mata mengenangkan anak di perantauan. Benarlah kata orang tua, seorang ibu boleh melahir dan membesarkan 10 anak, tetapi 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Atas alasan sibuk bekerja ada anak tidak mampu menjaga ibu yang sudah tua. Pelbagai alasan diberi bagi mengelak tanggungjawab ini. Walau setinggi manapun jawatan, kita tetap anak seorang ibu. Lazimnya, kesibukan bekerja menggoyahkan institusi keluarga serta ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Mempertahankan institusi keluarga penting kerana ia mempunyai impak besar kepada pembangunan negara. Jika punah institusi keluarga, hancurlah masa depan negara.

Untuk itu, Islam menggariskan tanggungjawab anak secara menyeluruh. Sejak awal anak ditegah mengeluarkan kata kesat terhadap ibu bapa. Mengherdik apatah lagi mendera orang tua adalah dosa besar.

Firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan jika seorang atau kedua-duanya sudah tua, maka janganlah kamu berkata kepada mereka ‘Oh!’ dan jangan kamu menengking, mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan mulia dan hendaklah kamu merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayang dan doakanlah: Wahai Tuhanku cucuri rahmat kepada mereka seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya, memelihara dan mendidikku ketika kecil.” Surah al-Isra’, ayat 23-24 

Ibu bapa sebenarnya mempunyai hak terhadap anak apabila mereka tidak berupaya menyara kehidupan. Begitu juga ibu atau bapa yang sakit memerlukan perhatian anak. Inilah peluang diberi Allah kepada anak bagi membalas jasa orang tua iaitu melayan dan membantu mereka pada saat getir.

Budaya menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua bukan norma dalam masyarakat Melayu Islam. Biar apapun alasannya, tempat ibu bapa khususnya yang uzur adalah di sisi anak. Tiada apa yang dapat menandingi jasa ibu bapa membesar dan mendidik anak sehingga berjaya. Kejayaan di dunia harus dijadikan jambatan kepada kejayaan di akhirat kelak. Hakikatnya merekalah teras di sebalik setiap kejayaan anak. Ingatlah wahai anak, sementara ibu bapa masih lagi, berilah khidmat terbaik supaya kamu tidak menyesal kerana tidak berbuat demikian.

Sebelum terlambat, gunakanlah ruang dan peluang yang ada bagi menebus segala kesilapan. Tiada ibu bapa yang tidak memaafkan anak mereka. Kisah Si Tanggang yang disumpah ibunya menjadi batu kerana menderhaka cukup menjadi sempadan buat kita semua.

Namun sebenarnya, masih ramai si Tanggang moden pada masa ini. Hanya kerana mengejar kekayaan, ibu bapa langsung tidak di jenguk. Makan minum dan sakitnya tidak diambil perhatian. Setiap Muslim wajib berbakti kepada orang tuanya. Rasulullah bersabda: “Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.” (Riwayat Khatib dan Annas)

Dalam riwayat lain, Rasulullah bersabda: “Ketahuilah olehmu bahawa baik harta, badan, mahupun jiwa ragamu adalah hak atau milik orang tuamu.” Jelaslah Islam begitu menghargai peranan ibu. Marilah sedekahkan fatihah kepada ibu yang sudah mendahului kita.

Berita Harian

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails