Showing posts with label Info. Show all posts
Showing posts with label Info. Show all posts

Friday, March 30, 2012

Kebakaran di Suria KLCC


Kira-kira 5,000 pekerja dan pengunjung dikeluarkan dari pusat membeli-belah Suria KLCC apabila saluran asap dapur sebuah restoran terbakar petang ini.

NONE

Panggilan kecemasan mengenai kebakaran tersebut diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan pada jam 5.28 petang, kata Timbalan Pengarah Operasinya, Azizan Ismail.

Bagaimanapun, apabila empat jentera bomba dengan 30 anggota tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian, api di restoran Chinoz on the Park di sebelah Taman telahpun dipadamkan.

Azizan memberitahu pemberita bahawa kebakaran itu dipadamkan oleh unit tindakan kecemasan KLCC.

"Kira-kira 5,000 orang dipindahkan dalam masa 10 minit," katanya, sambil menambah bahawa tidak ada sebarang laporan kecederaan.

NONEBagaimanapun, Malaysiakini ternampak seorang wanita, yang kelihatan dalam keadaan sedar, dibawa ke dalam sebuah ambulans.

Orang ramai yang dikeluarkan ke kawasan sekitar pancutan air di taman sebelah Suria KLCC, bersorak apabila pusat membeli-belah itu dibuka semula pada jam 6.38 petang. Pekerja di pejabat di Menara Berkembar KLCC tidak dipindahkan.
Restoran Chinoz ditutup oleh jabatan bomba untuk siasatan lanjut. Pusat membeli-belah Isetan masih ditutup pada jam 7.30, manakala kedai-kedai lain telah dibuka semula.

NONE
Penerbit buku Amir Muhammad, yang berada di tempat kejadian, memberitahu Malaysiakinisebelumnya bahawa beliau terbau asap semasa berada di tingkat atas pusat membeli-belah itu.

Gambar-gambar yang dihantar para saksi mata di Twitter menunjukkan asap putih keluar dari bumbung pusat membeli-belah itu.



Sumber : Malaysiakini

Sunday, December 25, 2011

Makhluk berkepala dua


ANAK kucing bernama Tuah ini mati beberapa hari selepas dilahirkan di Alor Setar, Kedah.


RUZIANAH Mohd. Ibrahim, 41, tidak pernah menyangka dia akan memiliki anak kucing istimewa yang mempunyai dua muka tetapi berkongsi satu kepala.

Anak kucing tempatan itu lahir pada tahun 2008 dan diberi nama Tuah.

Ruzianah, penjawat awam yang menetap di Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah memberitahu, dia terpaksa membawa ibu Tuah ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan berdekatan memandangkan ibu kucing itu sukar untuk melahirkan Tuah.

“Mungkin saiz kepala Tuah besar daripada biasa, jadi dia sukar dilahirkan. Selepas ibunya diberikan suntikan, barulah Tuah dapat dikeluarkan.

“Tuah lemah sikit dan tidak dapat menyusu dengan ibunya, jadi saya beli susu dan memberinya minum menggunakan picagari,” ujar Ruzianah.

Malangnya, Tuah mati beberapa hari selepas itu.

ULAR albino milik rakyat Switzerland ini bernilai lebih RM200,000.


Seekor anak ular susu berkepala dua menetas di sebuah pusat penetasan haiwan di Ridge Minor, Miami, AS baru-baru ini.

Pakar biologi Universiti Florida, Daniel Parker berkata, ular berkepala dua mampu hidup selama 20 tahun jika ditempatkan di dalam kurungan.

“Tetapi dengan dua otak yang mengawal badannya, haiwan itu sukar untuk hidup di hutan,” katanya.
Ular susu dikategorikan sebagai ular albino. Menurut mitos Yunani, ular susu dikatakan menghisap susu daripada kantung susu lembu.

Ia juga gemar hidup di dalam bangsal selain menyukai persekitaran yang gelap dan sejuk.
Seekor ular susu berkepala dua mampu dijual pada harga yang tinggi.

Seorang pengumpul haiwan pelik di Switzerland, Tom Beser, berjaya menjual ular seperti itu semahal RM200,000, Februari lalu.

EMANOEL dan Jesus yang lahir di Brazil minggu lalu berkongsi satu tubuh.


Kejadian pelik makhluk berkepala dua turut berlaku kepada manusia.

Di Brazil minggu lalu, seorang ibu melahirkan bayi lelaki yang mempunyai dua kepala.
Maria Nazare, 25, melahirkan anaknya itu di sebuah hospital di Anajas, Brazil dengan berat 4.49 kilogram.
Anak itu dinamakan Emanoel dan Jesus. Doktor memberitahu Maria bahawa bayi itu mempunyai dua otak tetapi berkongsi jantung, limpa, buah pinggang dan kaki.

Menurut pengarah hospital itu, Claudionor Assis de Vasconcelos, kelahiran bayi itu amat mengejutkan
Setakat ini, keadaan bayi itu adalah baik dan akan diuji sama ada ia boleh dipisahkan atau sekurang-kurangnya dapat hidup lebih lama. Apa yang menarik ini merupakan kali kedua kelahiran bayi berkepala dua di Brazil tahun ini.

Sebelum ini, seorang ibu, Sueli Ferreira, 27, melahirkan bayi yang mempunyai dua kepala di daerah Paraiba tetapi bayi itu meninggal dunia beberapa jam kemudian disebabkan kekurangan oksigen.


Thursday, December 22, 2011

Bank Negara perkenal mata wang baharu

KAKITANGAN BNM, menunjukkan siri mata wang baharu di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan siri mata wang baharu dengan rekaan wang kertas dan syiling yang menerapkan keunikan Malaysia daripada segi warisan, budaya dan khazanah alam di samping peningkatan ciri-ciri keselamatan berteknologi terkini.

Edaran wang kertas denominasi RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 akan disediakan pada separuh kedua 2012 manakala denominasi RM50 baharu sudah berada di pasaran.

Wang syiling denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen yang dilancarkan pada 25 Julai lalu akan diedarkan Januari depan.

"Bagi siri baharu ini, substrat polimer digunakan untuk pembuatan wang kertas denominasi RM1 dan RM5 manakala selebihnya menggunakan kertas.

"Siri wang kertas baharu ini menggabungkan ciri-ciri keselamatan yang seiring dengan teknologi terkini termasuk imej bayang-bayang, tetingkap jernih, potret tera air berpiksel dengan nombor yang jelas, benang keselamatan yang berubah warna dan benang kanta mikro," menurut BNM dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu menyebut, ciri-ciri lain adalah permukaan wang membolehkan individu yang bermasalah penglihatan mengenal pasti dan membezakan denominasi.





New Money Malaysia 1 DUIT BARU MALAYSIA AKAN DIKELUARKAN PADA JULAI 2012

Monday, November 7, 2011

Manusia awal berasal dari Afrika

Penghijrahan kelompok pertama manusia dari Afrika


LONDON 6 Nov. - Satu kajian menunjukkan kelompok manusia terawal berasal dari Afrika tersebar ke seluruh dunia melalui Arab, dan bukannya Mesir.

Pengarah Projek Genografik, Dr Spencer Wells berkata, kajian selama enam tahun melibatkan proses corak pemetaan, mendapati manusia tiba di Eropah, Asia dan Ocenia dengan menyeberangi laut ke rantau Arab kira-kira 7,000 tahun dahulu.

Katanya, saintis sebelum ini berpendapat manusia berhijrah ke benua lain menggunakan laluan di wilayah Senai, Mesir, namun kajian terbaru menunjukkan kumpulan tersebut mengembara jauh ke selatan, berkemungkinan melalui Yemen.

"Bukti terbaru itu menunjukkan paras air laut mungkin rendah semasa kelompok pertama manusia dari Tanduk Afrika menyeberang ke rantau Arab melalui semenanjung Bab-el-Mandeb di Laut Merah.

"Kemudian, negara-negara di selatan Asia seperti India mungkin menjadi perhentian utama sebelum manusia tersebar ke seluruh dunia," katanya.

Jelasnya, mereka kemudiannya mengikut laluan pantai untuk turun ke timur Asia dan Oceania, manakala yang lain berpecah menujuk ke utara ke Iran, Rusia, Eropah dan China.

Penyelidik juga mendapati penduduk India mempunyai kepelbagaian genetik, sekali gus menunjukkan mereka mempunyai umur yang lebih lama berbanding manusia di Eropah atau timur Asia timur.

Saintis juga menggunakan kaedah kajian baru yang rumit untuk menyelidik laluan manusia terdahulu.

Teknik tersebut dikenali sebagai penggabungan semula (recombination), yang mana saintis memecahkan molekul asid deoksiribonukleik (DNA) dan menggabungkannya semula untuk membentuk sel baru.

Melalui kaedah tersebut, saintis dapat mengetahui kaitan manusia hari ini dan 7,000 tahun dulu. - AGENSI

7 bilion bukan sekadar angka

Oleh SYALMIZI HAMID dan KUMARA SABAPATTY
DI MANA-MANA bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi.
Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?
Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza daripada enam bilion.

Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.

DUNIA menyaksikan penduduk bumi sudah mencecah angka tujuh bilion pada minggu ini.

Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk diselesaikan. Ya, tiga dekad.

Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau memiliki tujuh bilion benda?

Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes.

“Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert.

“Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau.
Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu.
Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.

Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.
Makanan

KRISIS air di India, negara kedua penduduk paling ramai di dunia, boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan.

Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.

“Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion,” kata Volpert.

Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar angkasa.

“Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan,” ujarnya.

Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930.

Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion.

PERTAMBAHAN sisa pepejal seiring dengan peningkatan bilangan penduduk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.

Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.

Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi.

Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar.

Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.

PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050.

Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.

Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah.

Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.

Tuesday, October 4, 2011

Rawatan gigitan ikan kecil di spa jejas kesihatan


2011/10/04
ABU DHABI: Pakar perubatan memberi amaran rawatan kaki menggunakan gigitan ikan kecil sambil merendamkan kaki di dalam air yang kian popular termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak tahun lalu boleh memberi kesan negatif ke atas kesihatan.

Rawatan yang menggunakan ikan dikenali sebagai Garra Rufa atau juga dikenali dengan nama seperti ikan doktor, ikan digunakan untuk memakan sel kulit mati kaki dan buku lali pelanggan. Ikan berkenaan biasanya ditemui dari sungai terutama di Turki, Syria, Iraq dan Iran yang tidak mempunyai gigi tetapi menggigit kulit mati pada kaki.
Sebelum digunakan untuk rawatan beratus-ratus ekor ikan akan dibiarkan tanpa makan bagi membolehkan mereka memakan sel kulit apabila diperlukan.
Rawatan itu biasanya mengambil masa 20 minit diikuti dengan rawatan kaki tradisional kerana bukan semua sel kulit mati dikeluarkan ikan itu. Rawatan ini membabitkan kos kira-kira 95 Dirham (RM82).

Bagaimanapun pakar kesihatan dan doktor meminta pengguna menjauhkan spa ikan ini kerana air tangki terbabit mungkin menjadi tempat paling subur untuk pembiakan pelbagai jenis jangkitan bakteria dan kulat.

“Prosedur ini diharamkan di UAE kerana air yang tidak bersih boleh memindahkan penyakit seperti HIV,” kata Khalifa Mohammad Al Rumaithi, pengarah kesihatan awam di Perbandaran Abu Dhabi.

Seorang pakar dermatologi, Dr P Moham Kumar dari Lifeline Hospital berkata tiada manfaat saintifik daripada prosedur terbabit. – Agensi 

Monday, April 25, 2011

kamera tersembunyi mudah didapati di pasaran

Membaca artikel di mStar tentang Anda juga boleh jadi spy! Ada beberapa jenis kamera tersembunyi dalam pelbagai bentuk yang mudah didapati, mudah dimiliki kerana berada di pasaran terbuka. Harganya murah dan dijual di sekitar Jalan Pasar di  Kuala Lumpur. 

Khabarnya terdapat pelbagai bentuk pelbagai jenis dan saiz kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan kawalan keselamatan.

Menurut penulis artikel berkenaan; sebaik saja  melangkah masuk, terdapat beberapa rak kaca turut mempamerkan beberapa produk lain seperti paket gula-gula getah, tali leher dan pemetik api.

Jenis-jenis butang bagi lensa kamera intip.


Beg kecil dilengkapi dengan kamera intip..

Di sebalik alat yang digunakan untuk memadam kebakaran ini tersembunyi sebuah kamera intip.


Pasti ada kebaikan dan keburukan bila ingin memiliki kamera atau ingin menjadi spy..privacy sudah tidak menjadi privacy lagi. dan boleh jadi maruah dan hak peribadi seseorang akan terjejas disebabkan oleh niat jahat orang lain. dan kita perlu berhati-hati!!!

Sunday, April 24, 2011

Elak Jadi Keldai Dadah


PUTRAJAYA - Rakyat Malaysia terutama wanita dinasihatkan supaya menolak permintaan daripada mana-mana lelaki Afrika yang mahu berkenalan menerusi laman sosial Facebook bagi mengelak diperdaya menjadi 'keldai dadah'.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, daripada 1,880 rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara setakat 31 Mac lepas, seramai 833 orang adalah bersabit kes dadah.

"Mereka terdiri daripada 675 lelaki dan 158 wanita yang ada antaranya terpedaya menjadi keldai dadah selepas berkenalan dengan lelaki warga asing khususnya warga Afrika menerusi laman sosial itu.

"Facebook itu tidak ada masalah. Tetapi jika disalahgunakan boleh jadi musuh ketat. Saya minta kalau ada lelaki Afrika ingin berkenalan dalam Facebook, block (halang) sahaja," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Keluarga Wisma Putra di sini semalam.
Sumber : Kosmo

enam produk kosmetik disahkan beracun


Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada membeli dan mengguna enam produk kosmetik jenama terkenal berikutan pengesanan Racun Berjadual seperti dexamethasone, hydroquinone dan tretinoin yang boleh memberi pelbagai kesan sampingan kepada pengguna. Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Eisah A.Rahman berkata enam produk tersebut ialah BML HB Lotion, Krim Malam Shana, Natasya Gold Krim Herba, Biotox Whitening Hydro Cream, Yoko Whitening Cream dan Sue Beauty Night Treatment Cream.

"Penggunaan dexamethasone, hydroquinone dan tretinoin dalam produk kosmetik adalah tidak dibenarkan dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu. 

Beliau berkata tretinoin boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, kulit mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari manakala hydroquinone pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif di samping menghalang proses pigmentasi (depigmentasi).

"Proses depigmentasi mengurangkan perlindungan ke atas kulit daripada pancaran ultra ungu dan sinaran matahari berlebihan yang boleh memberi risiko kanser kulit. "Depigmentasi berlebihan berbahaya kepada penduduk yang tinggal di kawasan iklim tropika," katanya.

Eisah berkata dexamethasone pula adalah sejenis steroid, apabila digunakan secara topikal boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan antaranya iritasi kulit, kulit kering, jerawat, kulit menjadi nipis dan meningkatkan risiko jangkitan kuman.

Sehubungan itu, katanya sesiapa yang mempunyai stok produk terbabit dinasihatkan menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaan produk berkenaan dengan serta-merta./Bernama

Sumber : idhamlim

Tuesday, March 29, 2011

Pusat Latihan Kemahiran Septronic (SSTC)


SEBAIK mendengar taklimat ringkas daripada guru kursus automotif berkaitan ujian yang bakal dijalankan, beberapa pelajar pantas mencapai peralatan masing-masing lalu menuju ke empat buah kereta yang telah disediakan.

BERI perhatian. Chef Mohd. Ghazni (dua dari kiri) menunjukkan cara yang betul untuk membuat kek kepada para pelajar.

Salah seorang daripadanya bernama Gogulakrishnan Balakrishnan yang berasal dari Ipoh, Perak. Remaja berusia 20 tahun itu kelihatan bersemangat untuk melaksanakan ujian berkaitan memperbaiki sistem penyerap hentakan (absorber) kereta.

Hari itu, Gogulakrishnan diberi peluang membaiki kerosakan absorber bahagian depan kereta Proton Waja 1.6 berwarna perak.

Meskipun tidak mempunyai keputusan akademik yang cemerlang, namun anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berjaya menunjukkan kemampuan dalam kerja-kerja berkaitan bidang automotif. Kini, dia merupakan pelajar Sijil Kemahiran Automotif Tahap II di Pusat Latihan Kemahiran Septronic (SSTC).

"Saya seronok mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan di sini. Walaupun saya pernah gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi, peluang belajar di SSTC boleh menjadikan saya individu yang berdikari.

"Tambahan pula, sejak di sekolah saya memang meminati bidang automotif. Justeru, apabila melihat terdapat kursus kemahiran automotif turut ditawarkan di pusat ini, saya tidak teragak-agak untuk mengikutinya," kata Gogulakrishnan kepada Kosmo! ketika ditemui di kampus utama SSTC yang terletak di Bukit Beruntung, Selangor.

Menurut Pengarah Urusan SSTC, Abdul Rashid Nopiah, antara objektif utama pusat tersebut diwujudkan adalah untuk membantu dan mendorong pelajar yang lemah dalam akademik agar dapat menguasai kemahiran tertentu sekali gus mampu bersaing di pasaran kerja.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 2003, SSTC telah melahirkan 1,200 pelatih yang berkualiti dan berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang kemahiran masing-masing sama ada dalam sektor awam mahu pun swasta," jelas beliau sambil memberitahu pusat tersebut mendapat akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia sejak 2 Januari 2003.

Apa yang pasti, SSTC mempunyai visi untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan latihan dalam kejuruteraan dan hospitaliti. Institusi itu juga berazam melahirkan pelatih yang berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

Terdapat enam kursus kemahiran yang ditawarkan SSTC iaitu automotif, pengetuk panel kenderaan rendah, penyembur cat, elektrikal, pastri dan penyelia makanan atau minuman (pramusaji).

Setiap kursus mempunyai tiga tahap dengan bagi Sijil Kemahiran Tahap I dan II, tempoh pembelajaran mengambil masa selama enam bulan manakala Sijil Kemahiran Tahap III dalam tempoh setahun.

Pengetua SSTC, Sugunadevi Arjunan, 48, berkata, pengambilan pelajar bagi mengikuti kursus yang ada dilakukan sebanyak empat kali setahun.

Uniknya, mereka bukan sekadar menyasarkan pelajar dalam kalangan remaja lepasan sekolah untuk mengikuti kursus tersebut, bahkan golongan ibu tunggal atau individu menganggur yang mahu mempelajari kemahiran yang diminati juga amat dialu-alukan.

"Dalam aspek ini kami bersikap terbuka kerana mahu memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu mengembangkan bakat dan potensi diri untuk masa depan yang gemilang.

"Malah, SSTC boleh dianggap sebagai alternatif utama bagi mereka yang lemah atau tidak berminat menyambung pelajaran dalam bidang akademik," ujar Sugunadevi yang memainkan peranan penting dalam mengasaskan penubuhan SSTC sebagai respons terhadap kekurangan profesional teknikal terlatih dalam industri vokasional.
PUSAT ini mengalu-alukan ibu tunggal atau individu menganggur untuk mempelajari kemahiran yang diminati di sini.

Sejarah penubuhan
Pada mulanya Septronic hanya menawarkan kursus Mekanik Kenderaan Motor pada tahun 2003 di Selayang, Selangor dengan 13 pelajar perintis.

Dua tahun kemudian, lokasi pusat tersebut berpindah ke Jalan Ipoh di Kuala Lumpur apabila satu lagi kursus tambahan iaitu elektrikal diwujudkan.

Di samping itu, apabila menyedari industri pelancongan Malaysia semakin berkembang dan permintaan terhadap kakitangan dalam penyediaan makanan dan minuman (F&B) dan kursus pastri meningkat, Sugunadevi terus mengambil langkah proaktif memulakan kursus-kursus berkaitan.

Keadaan itu mendorong beliau untuk mencari lokasi yang lebih sesuai di Sentul Raya bagi menyediakan pembelajaran yang kondusif buat pelajar yang mengikuti kursus kemahiran di bawah kelolaan SSTC.

"Tahun lalu, SSTC berpeluang menjalin kerjasama dengan syarikat dari Amerika Syarikat, ICAR International untuk menjalan kursus pengetuk panel dan penyembur cat yang secara tidak langsung meluaskan lagi skop pembelajaran kemahiran di sini," katanya yang berhasrat menjadikan SSTC sebagai pusat sehenti bagi kursus-kursus kemahiran.

Kampus utama SSTC di Bukit Beruntung ini baru sahaja beroperasi sejak dua bulan lalu. Ia mempunyai pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gelanggang badminton, futsal, sepak takraw, perpustakaan, surau dan kafe.

Mereka yang berminat mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan di SSTC turut diberi kemudahan penginapan di apartmen yang terdapat di kampus tersebut.

Tenaga pengajar pula terdiri daripada golongan profesional yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Antaranya seperti guru dari Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pusat Latihan Pengajar & Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan mereka yang terlibat dalam industri berkaitan.

Untuk maklumat lanjut mengenai SSTC layari laman web www.septronic.edu.my atau hubungi talian 03-4045 2468.

Sunday, February 13, 2011

Rama-rama disangka ular

PELIK... gambar rama-rama bercorak kepala ular pada sayap yang sempat dirakam Siti Asian.

PELIK... gambar rama-rama bercorak kepala ular pada sayap yang sempat dirakam Siti Asian.KOTA 

KINABALU: Seorang wanita yang nyenyak tidur terjaga selepas mendengar bunyi pelik di ruang tamu rumahnya di Kampung Suasa Beaufort, di sini, sebelum dikejutkan dengan kehadiran ‘ular berkepala dua’ berlingkar di lantai, menyebabkan dia menjerit ketakutan dan hampir pengsan.

Bagaimanapun, ketakutan dialami wanita terbabit hanya seketika selepas haiwan dikatakan ‘ular berkepala dua’ adalah rama-rama bersaiz gergasi yang memiliki corak sayap seperti kepala ular.

Detik mencemaskan dialami Siti Asian Ibrahim, 42, kira-kira 5.30 pagi kelmarin menyebabkan dia terjaga apabila terdengar bunyi dengusan seperti ular dalam rumahnya.


“Saya lena tidur bersama tiga anak terjaga sebaik mendengar bunyi bising di ruang tamu dan menyangka rumah kami dimasuki pencuri,” katanya.

“Saya terdengar bunyi dengusan namun tidak mengesyaki sesuatu kerana ketika membuat tinjauan, saya tidak menemui sesuatu yang pelik,” katanya.


Katanya, ketika melangkah semula ke bilik, dia terkejut apabila terpandang ‘ular’ terbabit dan menjerit ketakutan hingga anak lelakinya berusia 14 tahun terjaga.

Sunday, January 23, 2011

Menara Di Langkawi

GAMBAR model menara setinggi 135 meter yang dianggarkan menelan belanja lebih RM10 juta akan dibina di Kuah, Langkawi.

LANGKAWI: Sebuah menara setinggi 135 meter dengan dua ciri istimewa, iaitu menara peninjau dan sebuah restoran, yang dianggar menelan kos lebih RM10 juta akan dibina sebagai mercu tanda baru pulau peranginan ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin pembinaan menara yang dirancang sejak lebih 20 tahun itu bakal menjadi tarikan baru pelancongan.

"Saya diberi penghormatan menamakan menara itu, tapi belum dapat nama yang sesuai sehingga kini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan menara itu di Pantai Kuah semalam.

Beliau berkata, menara itu akan membolehkan lebih 50 pengunjung berada di tingkat atas pada satu-satu masa, dan pelancong dapat melihat pemandangan indah di sekelilingnya, termasuk ketika matahari terbenam.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Blackrock, Datuk Abu Hassan Mohamed sebagai pemaju projek itu berkata, tanah seluas 11.33 hektar di pesisir pantai berhampiran Kuah akan ditebus guna pada bulan depan.

Beliau berkata projek pembinaan menara itu akan bermula Mac ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Friday, January 21, 2011

Kenderaan amfibia

Duck Tours di melalui perairan selat Melaka.( 

Duck Tours di melalui perairan selat Melaka.
Kenderaan amfibia bolehkan pelancong selami keunikan Melaka

ANDA mahu bersiar-siar di sekitar bandar raya Melaka dan pada masa sama, berhasrat menghayati keindahan kotanya dari lautan iaitu Selat Melaka. Lalu apakah pilihan yang anda ada?

Apa kata, pengalaman di darat dan di lautan itu anda simpulkan menerusi pengalaman menarik menaiki kenderaan dua alam atau amfibia iaitu Melaka Duck Tours. Produk pelancongan yang mula beroperasi sejak November tahun lalu itu itu membolehkan pengunjung menaiki sebuah kenderaan yang direka khas untuk merasai pengembaraan melalui jalan darat dan laut dalam tempoh masa antara 45 hingga 60 minit bagi setiap perjalanan.

Lebih menarik, tarikan ini bukan saja yang pertama di Melaka, tetapi juga yang pertama di Malaysia dan kelapan di dunia.

Duck Ventures Sendirian Berhad (DVSB) menerajui produk yang beroperasi setiap hari dan membuka kaunter tiket bersebelahan Menara Taming Sari.

Pengembaraan kenderaan amfibia itu membawa pengunjung merentasi laluan di sekitar Jalan Taman Melaka Raya dan terus ke Pulau Melaka sebelum turun ke laut. Ia kemudian melalui sepanjang pesisiran Selat Melaka sehingga naik semula ke darat berhampiran muara Sungai Melaka.
Sepanjang pengembaraan itu, pengunjung juga diberi penerangan oleh pemandu pelancong selain dua pemandu yang bertugas iaitu Muthu Arasan bagi pemandu di darat manakala Abd Wahab Ibrahim yang bertindak sebagai pemandu di laut.

Abd Wahab misalnya, memiliki lesen yang dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia sekali gus menjamin keselamatan pelancong yang menaiki kenderaan itu.

Pengerusi DVSB, Akramuddin Abd Aziz, berkata harga tiket yang dikenakan amat berpatutan iaitu RM38 bagi dewasa manakala RM22 bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Katanya, pada hari biasa, pihaknya juga menawarkan pakej untuk keluarga iaitu RM100 bagi dua dewasa dan dua kanak-kanak.

Beliau berkata, syarikat itu mensasarkan seramai 2,000 orang pengunjung menaiki kenderaan berkenaan setiap bulan.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, menyokong sepenuhnya produk pelancongan terbaru ini. Kita berasa bangga kerana produk ini adalah yang pertama di Malaysia dan ke lapan di dunia.

“Pihak kami juga merancang untuk menambah dua lagi kenderaan sama bagi menampung keperluan yang dijangka meningkat,” katanya, ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, kenderaan berharga RM2 juta setiap satu itu, diimport khas dari Singapura.

Beberapa pengunjung, termasuk pelancong asing, begitu teruja merasai pengalaman baru menaiki kenderaan berkenaan.

Pelancong dari Beijing, China, Yu Tong, 37, berkata beliau sangat seronok merasai pengalaman pertama menaiki ken deraan dua alam itu bersama ahli rombongan syarikatnya.

“Saya belum pernah menaiki kenderaan unik ini. Siapa sangka, anda boleh menikmati keindahan bandar dan tidak lama kemudian, boleh berada di atas lautan,” katanya.

Pasangannya, Yang Di, 37, berkata melalui pengembaraan Melaka Duck Tours, beliau dapat mengetahui pelbagai tempat menarik di sekitar Banda Hilir seperti pusat membeli-belah, tempat bersejarah dan produk pelancongan lain di Melaka.

“Saya begitu teruja menaikinya buat kali pertama dan pengembaraan ini dapat merehatkan minda dengan menikmati pelbagai panorama indah di sepanjang perjalanan selama 45 minit,” katanya.

Pengunjung dari Johor Bahru, Murni Mohamad, 41, turut memuji usaha mewujudkan tarikan itu.

“Sesiapa pun pasti berasa teruja apabila kenderaan ini mula turun ke laut untuk mengharungi gelora laut Selat Melaka,” katanya. 

Terowong mercu tanda

FotoFotoFotoFoto 

Binaan Terowong Berkembar Berapit, Perak terpanjang di Asia Tenggara dan setaraf negara maju

SEJARAH penciptaan terowong bermula sejak permulaan peradaban apabila manusia menyediakannya sebagai akses atau laluan ke makam, kuari bawah tanah atau lencongan aliran air di permukaan berbatu. 

Terowong adalah laluan yang dibina menembusi bukit, gunung dan terusan. Sesebuah terowong boleh menjadi laluan pejalan kaki, laluan kenderaan, jalan raya atau lebuh raya, kereta api mahupun laluan air. 

Terowong boleh dikorek menembusi pelbagai jenis tanah atau batuan dan cara pembinaan terowong bergantung kepada struktur tanah serta batuan di sesuatu kawasan.

ROM

Satu ketika dulu dikatakan mahir dalam mencipta terowong sehingga mampu membina sebuah terowong sepanjang kira-kira 5.6 kilometer bagi tujuan menyalur keluar air dari Tasik Fucino yang terletak di Timur Rom, bagi mengelak masalah banjir.

Ketika itu, kira-kira 30,000 pekerja dikerah bagi membina terowong itu yang memakan tempoh masa sehingga 10 tahun untuk disiapkan.

Kini, berbekalkan kepakaran manusia dibantu kecanggihan teknologi terbukti banyak membantu dalam pembinaan lebih banyak terowong moden.
 
Malaysia 

Malaysia mula melakar sejarah apabila membina terowong lebuh raya pertama iaitu Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang menghubungkan kawasan Gombak di Selangor dengan Genting Sempah di Pahang, yang dibuka secara rasmi pada 1979.

Malaysia turut membina terowong jalan raya terpanjang di negara ini iaitu Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) sepanjang empat kilometer (km) yang mula beroperasi pada 2007.

Terbaru, Malaysia mencipta nama dengan pembinaan terowong lebih canggih iaitu Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak, sepanjang 3.3 km yang diiktiraf sebagai sebagai terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.

Terowong itu sebahagian komponen projek infrastruktur terbesar negara setakat ini bernilai RM12.5 bilion iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar. Terowong berkenaan kini siap 70 peratus sejak dimulakan pada awal 2008.

Tanggal 1 November lalu menjadi detik awal sejarah terowong itu apabila bahagian terakhir terowong itu dipecahkan dan majlis itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Apa yang menarik, terowong berkenaan berkonsepkan berkembar dengan satu landasan yang setiap satu mempunyai sembilan laluan silang antara terowong kiri dan kanan bagi tujuan keselamatan dan penyelenggaraan. Ia dibina dalam bentuk seperti ladam kuda berukuran tinggi 9 meter x 9 meter lebar.

Lebih membanggakan, ilham reka bentuk dan binaan struktur itu dibuat sepenuhnya hasil kerjasama pakar, jurutera dan pekerja mahir anak tempatan di bawah syarikat penerajunya, MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV).

Pembinaan terowong itu menggunakan kaedah pembinaan seperti gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.

Pengarah MMC-GAMUDA JV, Datuk Azmi Mat Nor, berkata pembinaan Terowong Berkembar Berapit berhadapan banyak cabaran seperti pengorekan dibuat di bawah PLUS dan Jalan Persekutuan 1 (Taiping ke Kuala Kangsar) ketika kedua-dua laluan itu tidak ditutup kepada lalu lintas.

“Keadaan geoteknikal dengan beberapa faktor seperti struktur tanah, aliran air dan kecerunan bukit diambil kira bagi kaedah pengorekan-mikro di bawah lebuh raya. Selain itu, pengurusan trafik dan lencongan sejauh 1.5 km juga dilakukan bagi memastikan faktor keselamatan serta kesempurnaan binaan.

“Faktor penyumbang kepada kelancaran kemajuan projek dan pembinaan terowong dibantu dengan semangat dedikasi pasukan pengorekan terowong di kalangan rakyat Malaysia terlatih. Mereka mengaplikasikan pengalaman sebelum ini iaitu ketika terbabit dalam beberapa projek pengorekan terowong lain terutama Terowong SMART," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek PLBE, Yeoh Hin Kok, berkata kerja pembangunan Terowong Berkembar Berapit kini siap sekitar 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2011.

“Baki 30 peratus kerja pembinaan terowong itu masing-masing hanya membabitkan 15 peratus pembinaan infrustruktur dan 15 peratus pemasangan sistem dalam terowong.

"Pembinaan terowong itu juga memenuhi segala aspek keselamatan antarabangsa termasuk infrustruktur bertaraf dunia. Malah, sehingga kini kita mampu mencapai '19 Juta Jam Tenaga Manusia Tanpa Kehilangan Masa Akibat Kemalangan' untuk rekod keselamatan dan kesihatan PLBE," katanya.

Hin Kok berkata, dengan terbinanya terowong berkenaan, Malaysia kini mampu dilihat setanding dengan kemajuan sistem pengangkutan di negara maju lain kerana ia membolehkan kereta api elektrik memecut pada kelajuan 140 km/sejam, walaupun melalui terowong.

"Selain Terowong Berkembar Berapit, beberapa lagi mercu tanda PLBE Ipoh-Padang Besar yang bakal menjadi antara struktur menarik di negara ini ialah Jambatan Marin Bukit Merah di Bukit Merah, Taiping sepanjang 3.5 km yang kini 95 peratus siap, Terowong Larut yang berukuran 342 meter (m) bersaiz 13 m lebar dan 10 m tinggi (85 peratus siap) dan Jambatan Berbuai Prai di Pulau Pinang iaitu sepanjang 282 m," katanya.

INFO: Terowong di Malaysia

Terowong lebuh raya pertama negara
- Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang dibuka secara rasmi pada 1979.

Terowong jalan raya terpanjang di negara ini
- Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) yang beroperasi pada 2007

Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak

Diiktiraf terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.

Sebahagian komponen projek infrastruktur negara iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar.

Projek di bawah syarikat peneraju MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV), kini 70 peratus siap sejak dimulakan awal 2008.

Setaraf negara maju kerana membolehkan kereta api pecut pada kelajuan 140 km/sejam.

Dibina dalam bentuk ladam kuda, berukuran 9 m (tinggi) x 9 m (lebar).

Pembinaan menggunakan kaedah gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan. 


Sunday, October 3, 2010

Budak Marikh

BORISCHA, kanak-kanak Rusia yang menggemparkan saintis dengan pengetahuannya yang terperinci tentang bumi dan Marikh.



LAPORAN akhbar minggu ini tentang pakar astrofizik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman dicadangkan sebagai individu pertama untuk berkomunikasi dengan makhluk asing sememangnya mencuri perhatian.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, tugasan yang didakwa diberikan kepadanya itu sebenarnya tidak wujud.

"Memang menarik menjadi orang pertama berkomunikasi dengan entiti luar, namun saya perlu menafikan kesahihannya," katanya melalui e-mel kepada akhbar The Guardian di London.

Sebelum itu, laman web berita media Australia, www.news.com.au melaporkan Mazlan dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berinteraksi dengan makhluk asing jika kewujudan entiti itu disahkan secara saintifik.

Walaupun berita itu turut disangkal oleh Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB (UNOOSA): hal ini sekilas menerbitkan kembali tanda soal di minda kita. Wujudkah makhluk asing? Hakikatnya saintis-saintis juga masih menyelongkar jawapannya.

Malapetaka

Apabila berbicara tentang makhluk asing atau hidupan di angkasa lepas, kisah seorang kanak-kanak lelaki Rusia, Boriska Kipriyanovich atau Borischa sangat menarik untuk dikongsi. Kanak-kanak itu mendakwa dirinya berasal dari Marikh, planet yang terletak sekurang-kurangnya 55 juta kilometer dari bumi.

Bukan setakat itu, Borischa juga bertegas masih ada hidupan di Marikh dan mereka terpaksa tinggal di bawah tanah serta bernafas dengan gas berasaskan karbon.

Dilahirkan pada 11 Januari 1996, Borischa membuat dakwaan itu ketika usianya tujuh tahun. Berita tentang Borischa mula berlegar di Rusia pada tahun 2004 apabila media Truth Report Russia melaporkannya.

Dunia semakin mengenali kanak-kanak aneh itu apabila sebuah badan mengkaji misteri, Camelot Project dari Amerika Syarikat menemu bualnya pada tahun 2007 dan videonya dimuat naik di laman Youtube pada awal tahun 2008.

Kini, jika dihitung, kanak-kanak itu sudah berusia 14 tahun.


Borischa bukan tiba-tiba muncul ke bumi dari Marikh sebaliknya dia dilahirkan seperti anak yang lain, daripada rahim ibunya, Nadezhda Kipriyanovich di Zhirinovsk, Volgograd, Rusia.

Borischa mendakwa dia merupakan seorang penduduk Marikh yang berketinggian tujuh meter dalam kehidupan masa lalu.

Bunyinya seperti lucu tetapi teruskan membaca.

Kanak-kanak berwajah menarik itu mula mendedahkan 'pengetahuannya' tentang Marikh ketika menyertai satu ekspedisi di zon anomali, Medvedetskaya Gryada dekat Volgograd.

Di hadapan para peserta ekspedisi yang rata-ratanya orang yang berpengetahuan tinggi dan berfikiran terbuka, dia yang ketika itu berusia tujuh tahun memukau dengan bicaranya tentang tamadun Marikh, bandar-bandar megalitik, kapal angkasa mereka, penerbangan ke planet-planet lain dan tamadun purba Lemuria di bumi seperti dia benar-benar menyaksikannya.

"Boleh anda bayangkan, apabila semua orang duduk mengelilingi kem api, tiba-tiba seorang budak berusia sekitar tujuh tahun meminta semua orang memberi perhatian kepadanya. Ramai orang terkejut tentang dua perkara.

"Pertama, kanak-kanak itu benar-benar berpengetahuan. Daya intelektualnya sangat jauh jika dibandingkan dengan kanak-kanak tipikal.

"Profesor di universiti pun belum tentu mampu bercerita tentang sejarah Lemuria dengan begitu terperinci. Anda takkan menemuinya dalam buku teks sekolah.

"Kedua, kami semua tertawan dengan ucapan budak itu. Bahasa yang digunakan tidak seperti kanak-kanak biasa.

"Pengetahuannya tentang terminologi yang spesifik serta terperinci berkenaan Marikh dan bumi mengagumkan semua orang," kata seorang profesor universiti, Gennady Belimov, antara saintis yang mula-mula melaporkan keluarbiasaan Borischa.

Tamadun Lemuria merujuk kepada tamadun purba yang dipercayai wujud di bumi 800,000 tahun yang lalu.

Kisah Borischa menarik perhatian para saintis Rusia tahun 2004.

Profesor Vladislav Lugovenko lantas menyifatkan kanak-kanak itu sebagai kanak-kanak indigo iaitu yang mempunyai keupayaan mental yang luar biasa.

"Borischa salah satu daripadanya. Kanak-kanak indigo juga seperti mempunyai misi khas untuk mengubah masyarakat bumi," katanya.

Ibu Borischa yang merupakan seorang dermatologis di klinik awam serta bapanya, seorang pegawai bersara juga berasa aneh tentang anak mereka itu.

Nadezhda atau Nadya berkata, dia tidak berasa sakit semasa melahirkan Borischa dan bayi itu merenungnya seperti pandangan seorang dewasa kala ditunjukkan kepadanya.Permainan Huruf

Pada usia satu tahun, Borischa memberinya permainan huruf-huruf dan pada usia setahun setengah dia sudah boleh membaca surat khabar bercetakan besar. Pada usia dua tahun pula dia boleh melukis dan mewarna.

Belum pun umurnya mencecah tiga tahun, Borischa sudah bercerita kepada ibu bapanya tentang alam semesta

"Dia boleh menamakan semua planet dalam sistem suria termasuk satelit-satelitnya. Dia menyimbah saya dengan nama-nama dan bilangan galaksi.

"Pada mulanya, saya berasa takut dan fikir anak saya mungkin hilang akal, tetapi apabila saya periksa apa yang dikatakannya memang benar wujud.

"Saya cari buku-buku berkenaan astronomi dan terkejut apabila mendapati anak saya tahu banyak mengenainya. Tidak ada sesiapa yang mengajarnya.

""Apabila saya bawa anak saya kepada banyak saintis termasuk ufologis, ahli astronomi dan sejarahwan, mereka setuju bahawa adalah mustahil untuk menyatukan semua ini menjadi satu cerita.

"Terma-terma asing dan saintifik yang digunakannya hanya diguna pakai oleh mereka yang pakar dalam bidang sains itu sahaja," tambahnya.

Kebijaksanaan Borischa turut menyulitkannya untuk belajar di sekolah. Selepas interbiu pertama, dia dipindahkan ke gred kedua, tetapi pihak sekolah seperti cuba untuk menyingkirkannya.

Dia dikatakan terus menerus mengganggu pengajaran cikgu dan sering menyatakan yang mereka salah. Kemudian, dia berguru dengan tutor persendirian.

Semasa ditemu bual pada Oktober 2007 oleh Camelot Project, Borischa berusia hampir 12 tahun. Dia ketika itu dikatakan sedang belajar di sebuah sekolah berdekatan Moscow yang dikhaskan untuk kanak-kanak genius.

Sebagai seorang yang meniti usia remaja, penemu bual daripada Camelot Project menyifatkannya sebagai seorang yang mempesona, ceria, malu-malu, peka dan sensitif.

KAPAL angkasa manusia sering gagal mendarat di Marikh kerana, menurut Borischa, terdapat signal khas yang dikeluarkan oleh planet itu.

Jurnal cuba untuk menjejaki perkembangan terbaru Borischa di laman Internet, namun gagal mendapatkan sebarang maklumat.

Maklumat terakhir yang diperoleh adalah pada September 2008 apabila Kerry Cassidy daripada Camelot Project yang pernah menemu bualnya meninggalkan mesej di sebuah forum di Internet:

"Borischa berada dalam keadaan yang amat baik dan membesar dengan baik. Dia akan memulakan persekolahan di Moscow dalam masa terdekat dan akan menetap di tempat baru.

"Kami akan lihat sama ada dia mempunyai akses Internet di rumahnya.

"Amat sukar untuk mereka mempunyai Internet di dalam apartmen mereka tetapi ia boleh berubah jika mereka mendapat tempat tinggal yang lebih baik.

"Kami ada menghubunginya beberapa bulan lalu. Dia dan ibunya ketika itu sedang kembali ke kampung halaman mereka untuk mengemas barang bagi perpindahan ke Moscow."

Kanak-kanak ini juga nampaknya bukan seorang yang pandai bercakap tentang sains astronomi tapi juga mempunyai perspektif yang murni tentang kehidupan.

"Anda perlu menjadi seorang yang berbelas kasihan kepada orang lain. Kalau seseorang menyakiti anda, peluklah dia, minta maaf kepadanya dan berlutut kepadanya.

"Jika seseorang itu membenci kamu, sayangi dia dengan sepenuh hatimu dan minta keampunan," ujar Borischa.

Sumber : Keanehan budak dari Marikh

Apabila terumbu karang mati

Kosmo

KEUNIKAN dan keindahan dasar laut dengan warna-warni terumbu karang meletakkan beberapa buah pulau di negara ini sebagai antara yang tercantik di dunia.

Malangnya, terumbu karang yang dianggap aset paling berharga itu sedang berdepan dengan kemusnahan termasuk di beberapa taman laut dan lokasi menyelam polular.

Buktinya dapat dilihat pada warna terumbu karang yang semakin pudar dan suram.

Fenomena itu memaksa Jabatan Taman Laut Malaysia (JLTM) menutup sebanyak 12 lokasi menyelam selama 122 hari iaitu sehingga 31 Oktober ini.

Lokasi yang dimaksudkan itu ialah Teluk Wangi, Pantai Damai dan Coral Garden di Pulau Payar, Langkawi, Kedah.

Di Terengganu, kawasan yang terjejas meliputi sembilan lokasi di Pulau Redang, dua di Pulau Perhentian Besar serta masing-masing satu di perairan Pulau Lima dan Pulau Tenggol.

Sementara di Pahang, lokasi yang dikenal pasti terletak di Pulau Tioman, iaitu Pulau Chebeh dan Pulau Tulai, Pulau Rengis, Pulau Tumok dan Pulau Soyak.


TERUMBU karang yang mati bersepah di pantai Pulau Redang.

AKTIVITI menyelam di kawasan terumbu karang yang terjejas wajar dihentikan bagi membolehkan khazanah laut itu hidup semula.

MASA selama sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk karang yang mati hidup semula.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails