Showing posts with label Bicara Agama Utusan. Show all posts
Showing posts with label Bicara Agama Utusan. Show all posts

Thursday, April 21, 2011

Artikel Bicara Agama - Utusan Malaysia Online

 

Pendidikan: Misi utama Rasulullah :- Klik
Kewajipan mencintai keluarga Nabi s.a.w :- Klik
Ilmu menjadikan kita takut kepada Allah : Klik
Meneroka makna hijrah :- Klik
Tidak batal solat makmum tegur imam :- Klik

Bahaya taklid dalam tauhid :- Klik
Mengapa tauhid tiga serangkai? :- Klik
Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam? :- Klik
Dalil sanggah beza tauhid uluhiah dan rububiah :- Klik
Waspada 'tajdid' Wahhabi :- Klik
Kebesaran bulan Zulhijjah :- Klik
Penggunaan Kalimah Allah :- Klik
Takutlah Akibat Maksiat :- Klik
Musibah Matinya Hati :- Klik
Kedudukan Ayahanda, Bonda Nabi :- Klik

Mengapa Sambut Maulid Nabi :- Klik
Kenapa Pertikai Maulid Nabi :- Klik
Rasulullah Manusia Istimewa :- Klik
Jangan Abai Hak Rasulullah :- Klik
Rasulullah Di Mata Sahabat : - Klik

Kedudukan Nabi Di Sisi Islam :- Klik
Buang Amalan Khurafat :- Klik
Hukum Mewarna Rambut :- Klik
Jangan Sakiti Rasulullah :- Klik
Huraian Ibu Bapa Nabi Dalam Syurga :- Klik

Tasauf: Cabang Agama Yang Dizalimi :- Klik
Polemik Tajdid dan Pembaharuan :- Klik
Tajdid atau Meruntuh? :- Klik
Tajdid: Antara Hakikat dan Dakwaan :- Klik

Wednesday, April 20, 2011

Proses tashih al-Quran


al-Quran yang hendak dicetak di Malaysia mestilah mendapat kebenaran Kementerian Dalam Negeri. -Gambar hiasan
Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

PADA hari ini al-Quran dicetak dan boleh dikatakan setiap negara Islam mempunyai percetakan sendiri seperti Mesir, Libya, Lebanon, Malaysia dan lain-lain.

Negara yang paling banyak mengeluarkan Mushaf al-Quran ialah Arab Saudi melalui Percetakan Malik Fahd di Madinah al-Munawarah.

Menurut Dr. Muhammad al-Habsy, sejak ditubuhkan percetakan al-Malik Fahd telah mencetak al-Quran lebih daripada 100 juta naskhah.

Mushaf Madinah dicetak dengan penyeliaan yang amat teliti dan pengawasan di setiap proses percetakan oleh sekumpulan tenaga kerja yang mahir.

Ramai yang terkeliru dengan menganggap bahawa tulisan Mushaf Madinah dihasilkan daripada kecanggihan komputer kerana susun atur kalimahnya yang kemas dan bentuk hurufnya yang sama.

Tetapi sebenarnya ia adalah hasil tulisan seorang tokoh khat terkenal yang berasal dari Syria iaitu Sheikh Uthman Taha.

Mushaf Madinah mempunyai beberapa kelebihan, antaranya ialah tulisan khatnya mempunyai seni yang tinggi dengan mengambil kira keselesaan pembaca.

Selain itu, jawatakuasa penyemak dan pentashih adalah yang berwibawa dan pakar dalam bidang ilmu al-Quran.

Mengetuai lajnah penyemakan itu adalah Dr. Abdul Aziz Abdul Fattah Qari, bekas dekan fakulti al-Quran Universiti Islam Madinah dan Khatib Masjid Quba.

Dalam satu temuramah, beliau menyatakan sebelum Mushaf Madinah dicetak, lebih 100 kali semakan dilakukan oleh sekumpulan ulama dalam bidang al-Quran, tafsir dan bahasa Arab.

Nama-nama penyemak disenaraikan di helaan akhir mushaf dan tertera nama-nama seperti Sheikh Amir Ibn al-Sayyid Uthman, Dr. Abdul Azim Ibn Ali al-Syinawi, Sheikh Dr. Mahmud Sibawaih al-Badawi, Sheikh Mahmud Abdul Kaliq Jadu, Sheikh Abdul Fattah Ibn al-Sayyid Ajami al-Mirsafi dan lain-lain.

Semua mereka ini adalah ulama yang berasal dari Mesir, mempunyai penulisan yang banyak dalam bidang al-Quran dan berkhidmat sebagai pengajar di Fakulti al-Quran, Universiti Islam madinah.

Nama pertama dan teratas ialah Sheikh Amir Ibn al-Sayyid Uthman. Jawatan beliau ialah Syeikh Qurra di Negara Mesir.

Walaupun beliau memegang jawatan Syeikh Qurra Mesir selepas meninggalnya Sheikh Mahmud Khalil al-Husari tetapi Sheikh Khali Husari adalah salah seorang muridnya.

Antara muridnya juga adalah Sheikh Qurra Masjid Nabi sekarang ini iaitu Sheikh Ibrahim Akhdar al-Qayyim.
Walaupun kita tidak perlu mengingati nama-nama besar dalam bidang al-Quran ini, tetapi perlu diingat mereka telah memberi sumbangan yang amat besar kepada penyebaran al-Quran ke seluruh pelosok dunia pada hari ini.

Saban tahun, setiap kali jemaah haji pulang ke tanah air, selain dari membawa pulang haji yang mabrur dan air zamzam, mereka juga dihadiahkan senaskhah Mushaf Madinah.

Di Malaysia, al-Quran yang hendak dicetak mestilah mendapat kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri.

Melalui Unit Kawalan al-Quran, satu Jawatankuasa lajnah akan menyemak seluruh al-Quran dengan mengenal pasti kesalahan yang terdapat.

Jika kesalahan tersebut boleh diperbetulkan dan hanya bersifat teknikal semata-mata, naskhah al-Quran itu diizin untuk dicetak selepas diperbetulkan semua kesalahan.

Justeru al-Quran yang dicetak di Malaysia telah melalui satu proses semakan yang teliti dari pihak Lajnah Tashih al-Quran yang memastikan tiada kesalahan dan semua nas al-Quran adalah betul dan tepat.

Monday, April 4, 2011

Badai itu Menjadi Penyebab Mendapat Hidayah

Al-Baqarah 'jentik' Samuel
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SAYA dilahirkan sebagai Samuel Taliwongso dalam sebuah keluarga Kristian yang sangat fanatik dari Desa Teling, Manado Indonesia. Bapa saya merupakan pengasas penubuhan Gereja Seven Day Advent di desa kami," kata Samuel yang menerima pendidikan awalnya di Advent Zending School iaitu sebuah sekolah mubaligh.

"Setiap hari semasa kecil itu, saya harus menghafal dan mengingat sepenuhnya sekurang-kurangnya lima fasal atau surah daripada Kitab Injil sebagaimana yang diarahkan oleh mendiang bapa," katanya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke MULO yang sama seperti SPM namun bermula dari saat itu juga menyaksikan Samuel terlibat dalam perjuangan bersama-sama rakyat Indonesia lain untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan Belanda.

"Bagi pemerintah Belanda kelompok-kelompok seperti kami dikenali sebagai The Hogder for Soekarno (Anjing-anjing Soekarno) dan dilabelkan sebagai pemberontak," katanya.

Akibatnya Samuel menjadi sasaran dan sering diburu oleh pihak penjajah yang menyebabkan anak muda ini terpaksa lari dan menyembunyikan diri dan sehinggalah pada tahun 1947, Samuel akhirnya berjaya sampai ke Belanda.

Di Belanda, Samuel berkerja di sebuah syarikat minyak kepunyaan Syarikat Hindia Belanda dan diberi kepercayaan untuk mengetuai Jabatan Bahagian Perkapalan.

Selain menjalankan tugas sebagai ketua jabatan, Samuel masih tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin gereja.

"Saya mengajarkan Kitab Injil kepada para jemaah gereja. Selain berusaha memurtadkan penganut Islam. Inilah kewajipan sebagai seorang pendeta atau pembaptis," katanya.

Perkara ini tidak menghairankan kerana sebelum ini pun, Samuel sudah mempunyai pengalaman membangunkan sebuah gereja dan membaptiskan beberapa orang gadis Islam yang berasal dari Gorontalo untuk dijodohkan dengan pemuda-pemuda Kristian

Pada tahun 1962 berlakulah satu peristiwa yang dikenali sebagai Dwikora@Trikora apabila penjajah Belanda menganggap seluruh penduduk Indonesia sebagai musuh.

"Saya termasuk salah seorang daripadanya. Lantas bagi mengelak daripada diberkas, saya terpaksa berkerja sebagai buruh binaan."

Apabila keadaan menjadi aman, beliau bersama-sama rakan yang senasib; Leo Tembeleng, Herard G. Nori dan W Oro, memberanikan diri menemui Gabenor Belanda pada masa itu, iaitu Gabenor Van Baal meminta kebenaran pulang ke Indonesia dengan jaminan keselamatan.

Van Baal setuju dengan syarat Samuel dan rakan-rakannya dikehendaki menaiki sebuah kapal laut yang menggunakan bendera negara Belanda. Bagaimanapun mereka tidak bersetuju.

Akhirnya, mereka berjaya menumpang sebuah kapal yang mengibarkan bendera negara Panama untuk pulang ke Jakarta. Kapal tersebut adalah milik seorang ahli perniagaan berbangsa Tionghua dari Singapura.

Untuk tujuan keselamatan mereka dibekalkan dengan sepucuk surat jaminan keselamatan yang ditulis sendiri oleh Bahagian Sekretaris Urusan Irian Barat (SUIB) dan Samuel sendiri diberi kepercayaan untuk menjadi ketua rombongan itu.

Sehinggalah pada suatu malam, pelayaran mereka dilanda ribut kencang. Dalam keadaan yang sangat mencemaskan itu, ada seorang penumpang kapal yang beragama Islam yang dikenali sebagai Latoke berasal dari Makassar yang menimbulkan kehairanan kepada para penumpang lain. Apa tidaknya, dalam keadaan gawat itu, Latoke dilihat sedang mendirikan sembahyang.

Tambah menghairankan, seusai solat, Latoke seperti tidak menghiraukan kapal yang boleh pecah dan tenggelam bila-bila masa. Malah dengan tenang beliau mengambil sebuah buku (al-Quran), terus membacanya dengan begitu khusyuk.

"Tentu sahaja saya berasa jengkel melihatkan Latoke itu walaupun kami benar-benar hairan bagaimana Muslim ini tidak muntah, tidak mabuk laut, malah begitu stabil tidak seperti kami yang lain," katanya.

Keesokan harinya, ribut kembali membadai, kali ini lebih dahsyat. Dalam keadaan kapal yang teroleng-oleng dipukul ombak dan hujan ribut petir yang sangat ganas, Samuel akhirnya berjaya menghampiri Latoke untuk mengetahui buku apa yang dipegang erat Latoke.

Barulah Samuel menyedari 'buku' tersebut adalah sebuah kitab suci yang sangat hampir kepada umat Islam, iaitu terjemahan al-Quran karangan Muhammad Yunus terbitan Toko Buku Gunung Agung, JI Kwitang, Jakarta.

"Secara curi-curi saya pun terus menyelak kitab tersebut kebetulan pada lembaran yang ditanda oleh Latoke. Iaitu surah al-Baqarah ayat 136," kata Samuel. Samuel sangat terkejut apabila membaca tafsiran ayat tersebut!

"Sungguh saya terkejut kerana barulah saya tahu ternyata umat Islam itu tidak sahaja percaya kepada Muhammad (Nabi) sahaja. Sebelum ini saya menyangka orang Islam tidak percaya adanya Tuhan (Allah) dengan mempercayai Muhammad semata-mata, tidak percaya kepada Nabi Isa, Nabi Daud dan lain-lain Nabi yang turut dipercayai oleh kalangan yang bukan Islam, Kristian," kata Samuel.



Seketika itu juga badai mula kembali hilang, laut kembali tenang namun meninggalkan Samuel yang merenung lautan lepas dan mahu mencari jawapan apabila ayat itu benar-benar membuatkan beliau dihujani pelbagai persoalan mengenai agama, mana satukah yang benar?

Nota :  



A136


Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata". (Al-Baqarah 2:136)

Utusan MalaysiaARKIB : 23/12/2010

Friday, April 1, 2011

Surah al-Bayyinah


Firman Allah SWT yang bermaksud:Orang-orang kafir yakni ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahwa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata. (Iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (al-Quran). Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab yang lurus.

Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata. Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus. Sesungguhnya orang-orang yang kafir yakni ahli Kitab dan orang-orang yang musyrik (akan masuk) ke neraka jahannam, mereka kekal di dalamnya. mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga 'Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun reda kepadanya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya. (al-Bayyinah: 1-8)

Mukadimah
Surah al-Bayyinah termasuk dalam kategori surah Madaniyyah yang mengandungi lapan ayat dan ia diturunkan selepas surah al-Talaq.

Sedangkan pendapat Yahya bin Salam ia daripada surah Makiyyah. Ini juga pendapat Abu Soleh yang meriwayatkan daripada Ibn Abbas.

Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya adalah: Sesungguhnya ayat lam yakunillazina... dan seterusnya seolah-olah menjadi sebab al-Quran ini diturunkan.

Ia seolah-oleh diungkapkan begini: "Kami turunkan al-Quran ini kerana orang kafir itu tetap berada dalam kekafiran, sekalipun telah datang seorang Rasul yang membacakan lembaran-lembaran yang suci kepada mereka".

Tafsiran ayat
Firman Allah SWT: Orang-orang kafir iaitu ahli Kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahwa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata.

Ibn al-Jauzi berkata: Mereka adalah golongan Yahudi, Kristian dan penyembah berhala yang mengingkari kerasulan serta kenabian Muhammad SAW, sekali-kali tidak akan melepaskan kekafiran mereka. Mereka sanggup menggadaikan kebenaran hingga Rasulullah SAW diutuskan.

Firman Allah SWT: (Iaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (al-Quran). Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab yang lurus.

Al-Maraghi berkata: Al-Bayyinah itu adalah Nabi Muhammad SAW yang membacakan lembaran-lembaran al-Quran kepada mereka, yang bersih dari campur tangan manusia, bersih daripada kesesatan, bersih daripada pemalsuan dan memancarkan cahaya kebenaran.

Segala yang berlaku di muka bumi ini adalah bukti kekuasaan Allah yang tidak dapat dihalang oleh sesiapa atau kuasa selain-Nya. -Gambar hiasan
Selain itu, al-Quran juga mengandungi kebenaran sebagaimana yang terdapat dalam kitab para Nabi yang sebelumnya seperti kitab Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Ibrahim a.s.

Setelah Nabi SAW diutus, tingkah laku mereka semua berubah. Segolongan dari mereka mengaku beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan mempercayai bahawa agama yang mereka ikuti dahulu sesat dan batil.

Sebahagian yang lain beriman kepada Baginda, tetapi tetap meragukan kebenaran ajaran-ajaran yang dibawanya, atau percaya bahawa Rasulullah SAW sendiri juga tidak benar. Sehingga mereka terus menentang, bersikap sombong dan tetap memegang tradisi nenek moyang daripada mengikut Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata.

Berkenaan al-Bayyinah atau bukti yang nyata ada tiga pendapat:
i. Rasulullah SAW. Inilah pendapat kebanyakan ulama.
ii. Al-Quran. Inilah pendapat Abu al-'Aliyah.
iii. Apa yang terdapat dalam kitab mereka berkenaan kenabian. Inilah pendapat al-Mawardi.

Asal agama Allah itu satu sahaja, dan semua dasar-dasarnya mudah dan tidak membawa kepada berpecah-belah dan perselisihan mengenai dasar-dasar itu dan tabiatnya yang mudah.

Orang kafir setelah datang kepada mereka bukti yang jelas adalah sejahat-jahat makhluk. Golongan yang beriman dan mengerjakan amalan yang soleh adalah sebaik-baik makhluk.

Sebab itulah balasan yang diterima oleh kedua-dua golongan tersebut berbeza sama sekali.

Thursday, March 31, 2011

'Disedarkan' oleh kisah Nabi Ibrahim


Oleh ZUARIDA MOHYIN

KISAH kecerdikan dan keberanian Nabi Ibrahim menghancurkan satu persatu patung-patung berhala raja Namrud dan meninggalkan patung yang paling besar sambil memegang kapak memang luar biasa.

Muslihat yang direncanakan oleh Nabi Ibrahim itu menimbulkan kemarahan Namrud. Lalu dia bertanyakan kepada Nabi Ibrahim. Ibrahim dengan cerdiknya menjawab: "Tanyakan saja pada berhala yang paling besar itu, barangkali dia yang menghancurkan patung-patung yang kecil itu."

Mendengar jawapan Nabi Ibrahim, Namrud terdiam sambil memendam amarahnya. Bagaimana mungkin patung bisa berbicara. Jadi tidak mungkin dia akan menanyakan kepada patung itu.

Apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim itu adalah demi membuktikan kekuasaan Allah SWT berbanding patung-patung berhala yang tidak mampu melakukan apa-apa.

Bagi kalangan anak-anak Islam, kisah yang penuh pengajaran itu sering diceritakan dan diperdengarkan kepada mereka.

Tetapi, siapa sangka ia juga turut terpahat dalam kotak fikiran, sekali gus menyedar dan menyentuh hati kecil Muhammad Farhan Tee Abdullah yang ketika itu masih di sekolah rendah.

Malah, kisah tersebut yang diceritakan oleh seorang ustaz di sekolah, menguatkan keyakinannya bahawa patung-patung berhala tidak membawa manfaat kepada manusia.

Muhammad Farhan yang kini merupakan Pegawai Dakwah dan Penyelidikan di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata, minatnya kepada Islam bermula lebih awal. Ia semakin serius pada usia 10 tahun menerusi pergaulan dengan kawan-kawan sekampung.

Apatah lagi keluarga mereka adalah satu-satunya keluarga Cina yang tinggal di perkampungan Melayu yang majoritinya berketurunan Jawa.

"Pada masa itu, saya ada mengikuti kelas Bahasa Arab pada sebelah petang di sekolah bersama kawan-kawan beragama Islam yang lain. Sayangnya, ia hanya diikuti selama beberapa minggu sahaja, sebelum ayah melarang sebaik dia mengetahuinya.

"Walaupun begitu, saya masih mengikuti kelas pengajian agama secara sembunyi-sembunyi walaupun kelas tersebut tidak wajib diikuti bagi pelajar bukan Islam," kata anak kepada pemilik kedai runcit itu.

Boleh dikatakan keseluruhan hidup Muhammad Farhan, 26, dikelilingi oleh masyarakat Melayu, sehinggakan dia lebih petah dan selesa berbahasa Melayu, sama ada di sekolah mahupun di rumah. Dia pernah ditegur oleh ibu bapanya kerana enggan menggunakan bahasa ibunda mereka.

Kemesraan dan keakraban anak muda itu dengan Islam dan budaya masyarakat Melayu terbukti dengan kebolehan Muhammad Farhan menghafaz surah al-Fatihah.

Malah minat yang telah terpupuk semenjak di sekolah rendah itu semakin bersemarak ketika di sekolah menengah.

Lantas itu, semasa di tingkatan empat dan lima, Muhammad Farhan mengambil Tasauf Islam kerana diberitahu bahawa ia adalah mata pelajaran asas mengenai Islam dan tidak melibatkan wahyu Allah serta penulisan al-Quran.

Sehinggalah semakin menghampiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Farhan dipelawa menjadi anak angkat oleh seorang guru di sekolahnya.

Sejak sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, pergaulannya memang di kalangan pelajar Melayu dan kawan-kawan yang berlatarbelakang pendidikan agama yang baik.

"Alhamdulillah, mereka banyak membantu dan ini jugalah salah satu faktor yang membawa saya kepada Islam.

"Terlintas juga di hati bahawa ini mungkin satu bentuk hidayah Allah di mana saya tidak terjebak dengan kawan-kawan yang sentiasa lara atau leka dengan perkara-perkara negatif.

"Yang menjadikan saya seorang pemilih mungkin disebabkan selepas kematian ayah, kami adik-beradik yang seramai enam orang telah dijaga oleh bapa saudara.

"Memandangkan dia seorang yang agak berdisiplin, tegas dan dikenali ramai di kampung tersebut, secara tidak langsung membuatkan saya lebih berhati-hati dengan siapa saya bercampur dan berkawan," jelasnya.
Malah akui anak kelima itu, pelawaan untuk dia bergelar Muslim, memang terlalu banyak.

Namun, ketika itu dia merasakan belum bersedia atau belum sampai seru. Lagipun, dia masih di bawah penjagaan orang tua.

Jadi, Muhammad Farhan merasakan belum masanya untuk dia memeluk Islam. Sehinggalah selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Waktu itu saya kerja sementara di kilang. Daripada situ barulah saya melihat realiti kehidupan. Saya amat kecewa apabila melihat ramai orang Islam tidak solat, sedangkan menerusi pergaulan saya sebelum ini, saya dikelilingi mereka yang baik-baik.

"Melihat keadaan itu, wujud pemberontakan dalaman sehinggalah datang satu lintasan gambaran, wajah seorang imam yang pernah saya kenali cuma tidak pernah berbual dengannya.

"Daripada situ, saya macam tersedar dan berhasrat untuk mencari Imam Haji Ismaun. Apabila saya temui beliau, saya luahkan hasrat hati untuk belajar ilmu agama dengannya secara mendalam," tambah beliau.
Muhammad Farhan berkata, pada masa itu, beliau bertekad untuk memeluk Islam pada usia 21 tahun.
"Bagaimanapun, baru seminggu belajar, ustaz menyarankan telah sampai waktunya untuk saya memeluk Islam," katanya yang menjadi serba salah tatkala diminta membuat pengislaman.

Setelah tiga hari berfikir, pada 24 Mei 2005, Muhammad Farhan mengucap syahadah di Pejabat Agama Islam Kampung Gajah dengan Imam Ismaun sebagai saksi.

Kemudian mendaftar secara rasmi di Jabatan Agama Islam Perak di Ipoh. Umurnya ketika itu 20 tahun satu bulan sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.
Seperkara luar biasa yang dialami oleh Muhammad Farhan sebaik bergelar Muslim, dia seperti mendapat ketenangan dalaman dan keseronokan dalam kehidupan kerana ada arah tujuan dan hala tuju.

Kalau sebelum Islam, katanya, hidup terasa kosong walaupun pada ketika diri sudah mengetahui tentang Islam.

Di samping itu, konsep ketuhanan dalam Islam telah disedari dan diakui Muhammad Farhan menjadi tarikan kuat yang mengikatnya kepada agama Islam.

Hidayah itu ditemui sejak kecil. Lebih-lebih lagi dia tidak pernah teringin menyembah Tuhan nenek moyangnya.

"Selain konsep ketuhanan, Islam adalah agama yang cukup lengkap. Ia merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan berbanding dengan fahaman-fahaman atau ajaran agama yang lain.

"Islam ada sistem sosial, politik, ekonomi, perkahwinan, kekeluargaan, hal-hal selepas kematian, akhirat, syurga, neraka dan banyak lagi," katanya.

Muhammad Farhan berkata, sembahyang adalah tanda terima kasih manusia kepada Tuhan.

"Perbuatan sujud pula, menunjukkan kehebatan Islam sehingga umatnya boleh bersujud kepada Allah.
"Sehingga masuk ke tingkatan enam, gambaran dan pemerhatian saya tentang Islam bertambah luas, apatah lagi saya tinggal berjauhan daripada keluarga," jelasnya.

Friday, March 25, 2011

Di sebalik bencana


DUNIA kini berubah dengan begitu cepat sekali. 

Perubahan itu kadang-kadang mengejutkan kita dengan berbagai kejadian dan peristiwa yang menyangkut manusia sesama manusia dan manusia dengan alam semesta.

Umat manusia di era mutakhir ini dikejutkan dengan peristiwa dahsyat seperti bencana tsunami di Aceh, kemudian di New Zealand dan kini gempa bumi dan tsunami di Jepun yang mengorbankan banyak nyawa, harta benda dan alam sekitarnya. 

Selain gempa bumi dan tsunami, bentuk-bentuk bencana alam memang banyak terjadi seperti tanah jerlus, banjir, gunung meletus, kebakaran hutan dan lain sebagainya. 

Bencana ini datang silih berganti dari satu daerah, wilayah, negeri dan ke negeri lainnya.

Seolah-olah daerah atau negeri yang satu menunggu giliran yang lain pula. 

Apakah rangkaian bencana ini hanya merupakan fenomena alam semata? Tidakkah kita boleh mengambil pengajaran di sebalik kejadian bencana tersebut?

Sebagai Muslim yang yakin adanya 'kekuatan' yang mengatur dan mentadbir semua kejadian di alam semesta ini, hendaknya dapat mengambil banyak iktibar. Lebih-lebih lagi jika dikaitkan kejadian-kejadian itu dengan ayat-ayat al-Quran.

Fokusnya adalah apa sahaja yang menjadi 'pencetus datangnya bencana' dan bagaimana untuk menghindari bencana berkenaan.

Bumi dalam keadaan bahaya

V.M. Rabolu dalam karyanya menyatakan, Hercolubus atau Planet Merah berukuran lima atau enam kali ganda planet Jupiter sekarang sedang mendekati bumi.

Beliau menggambarkan suatu bencana yang akan dialami umat manusia termasuk gempa bumi dan tsunami. Planet ini merupakan raksaksa sangat besar dan tidak dapat mengalihkannya. 

Menurutnya, ada celah yang sangat besar di dasar laut, yang mana berhubungan dengan api di bumi. Oleh kerana celah pasang surut ombak laut, gempa bumi dan berbagai hal lain yang mengerikan akan terjadi di air dan di atas daratan. 

Tidak ada bandar pesisir yang tidak akan dihanyutkan dan daratan mulai karam ke dalam samudera kerana poros bumi mulai bergeser hasil semua eksperimen yang dilaksanakan.

Beliau menyatakan lagi: "Kalau Hercolubus datang semakin dekat dengan bumi dan sejajar dengan matahari, wabak-wabak yang membawa maut akan mulai berkembang dan menyebar di seluruh planet. Para doktor dan ilmuwan tidak mampu mengelak penyakit ini atau menemui penyembuhnya. Mereka tidak berdaya menghadapi wabak-wabak ini, menurut beliau.

Juga pendapat lain ada mengatakan, dunia sedang beralih ke akhir zaman. Walau bagaimanapun bermacam-macam kajian dan pendapat, apa pun yang terjadi, hal itu kita serahkan kepada kekuasaan Allah SWT yang menguruskan tadbir alam ini. Allah lebih berkuasa dan mengetahui atas segala sesuatu .

Tetapi kejadian-kejadian bencana itu, kita kaitkan dengan dalil-dalil dan keterangan yang dirakamkan oleh al-Quran. Bahawa "sesuatu kepastian itu, tidak akan terjadi bencana tanpa adanya dosa manusia".

Ertinya, jika kita tertimpa bencana, cara mudah untuk mengetahuinya disebabkan oleh dosa-dosa kita. 

Sementara, dosa tersebut boleh berupa dosa peribadi ataupun dosa kolektif (semua). Ketika bencana datang, ia tidak hanya menimpa orang yang berbuat dosa (zalim), namun menimpa semua orang atau negeri terlibat. Jadi ketika bencana datang, dipastikan di situ ada dosa yang dilakukan manusia. 

Daripada mana kesimpulan ini diperoleh, jawapannya adalah daripada al-Quran. 

Firman Allah bermaksud: 

Dan musibah apa sahaja yang menimpa kamu, maka disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan kamu). (Asy-Syura: 30).
 
Al-Quran mengungkapkan istilah bencana dengan pelbagai  kata dan disebut secara berulang kali, iaitu musibah, bala atau fitnah. 

Oleh IBRAHIM ABDULLAH
Utusan Malaysia

Wednesday, March 23, 2011

Bersyukur atas nikmat dan ujian


Bismillahirrahmanirrahim

Allah berfirman:

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? (Ar-Rahmaan 55:13)
Di bawah adalah artikel yang disalin daripada Bersyukur atas nikmat dan ujian - Bicara Agama Utusan ..

AYAT itu diulang sebanyak 31 kali dalam surah Ar-Rahmaan. Kerap membuat siapapun tertegun membacanya. Betapa kita, sebagai makhluk-Nya, terkadang terlalu sombong untuk sekadar mengucapkan 'terima kasih' kepada Yang Maha Pencipta, Allah SWT.

Sudah banyak sekali nikmat yang sudah Dia berikan. Namun, kita malah tidak bersyukur kepada-Nya.

Bukankah Allah SWT telah berfirman: 

Dan, Dia telah memberikanmu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu hajati. Dan, jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya, manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Ibrahim: 34)
Sudah banyak sekali nikmat yang Dia berikan. Antaranya adalah nikmat manisnya iman, nikmat menghirup udara segar dan sebagainya.

Allah telah memberi gambaran yang menggembirakan bagi hamba-hamba-Nya yang bersyukur, dan ancaman untuk hamba-hamba-Nya yang kufur, seperti yang termaktub dalam firman-Nya yang bermaksud: 

Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memberitahu; Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu. Dan, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih. (Ibrahim: 7)
Maka, syukurilah nikmat yang datang pada kita. Jangan kita terlena hingga kita lupa dan mendakwa kejayaan itu adalah hasil jerih payah kita sendiri, tanpa menganggap Allah sebagai Maha Pemberi.

Bila hal yang di atas berhubungan dengan pemberian yang sesuai dengan kehendak kita, bagaimana pula dengan pemberian yang tidak sesuai dengan keinginan kita?

Terkadang kita, sebagai manusia, mengeluh atau tidak mensyukuri pemberian Allah SWT yang tidak sesuai pada kita. Padahal, kita tidak tahu kalau itu sebenarnya baik untuk kita.

Kita hanya terus menyalahkan keputusan-Nya. Jarang kita melihat sisi positif dari pemberian itu. Padahal, Allah selalu memberikan yang terbaik untuk kita.

Oleh demikian, ketika ditimpa suatu musibah, janganlah cepat-cepat mengeluh. Lihatlah sisi positifnya.

Berfikirlah bahawa Allah sayang kepada kita, kerana Allah ingin segera menghapus dosa kita lewat ujian itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah seorang muslim ditimpa musibah berupa rasa lelahnya badan, rasa lapar yang terus menerus atau sakit, rasa sedih/benci yang berkaitan dengan masa sekarang, rasa sedih/benci yang berkaitan dengan masa lalu, gangguan orang lain pada dirinya, sesuatu yang membuat hati menjadi sesak sampai-sampai duri yang menusuknya melainkan akan Allah hapuskan dengan sebab hal tersebut kesalahan-kesalahannya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga ketika keputusan Allah tidak sesuai harapan kita. Mungkin itu adalah untuk kebaikan jangka panjang kita. Ingatlah, Allah memberikan apa yang kita perlukan, bukan yang kita harapkan.

Sebabnya, kita tidak tahu hikmah di sebalik kurniaan atau ujian Allah kepada kita. Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: 

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)

Perpisahan dengan mereka yang kita cintai, penyakit yang menimpa kita adalah beberapa ujian yang perlu kita ambil sisi positifnya. Jangan kita terus mengeluh dan mengeluh.

Sesekali, beranikan diri kita untuk mengambil sisi positif daripadanya. Sebabnya, di sebalik semua kejadian, pasti ada hikmahnya.

Wallahu a'lam.

Boleh sambung baca : 

Tuesday, March 22, 2011

Tawassul Umar dengan Al-Abbas


KISAH masyhur ini penting untuk kita renungi secara khusus kerana ada di sana mereka yang mendakwa bahawa ia hanya dalil membolehkan tawassul dengan seorang yang masih hidup. 

Manakala bertawassul dengan seorang yang telah mati dikatakan salah dan membawa kepada syirik.

Mohonlah kepada Allah, sesungguhnya segala sesuatu itu adalah hak mutlak-Nya. - Gambar hiasan
Diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sohihnya, daripada Anas RA berkata: Bahawa Umar ibnu al Khattab RA apabila mereka ditimpa kemarau, beliau meminta diturunkan hujan dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA, dengan doanya: Ya Allah! Sesungguhnya kami dahulu sering bertawassul dengan kemuliaan Nabi-Mu, maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Sekarang, kami bertawassul pula dengan bapa saudara nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.

Al-Zubair ibnu Bikar telah meriwayatkan kisah ini di dalam al-Ansab dari beberapa jalan dan jalan perawi yang lain; yang meriwayatkan kisah ini dengan lebih ringkas. Daripada Abdullah ibnu Umar RA berkata: Umar ibnu al Khattab telah meminta diturunkan hujan pada tahun al-Ramadah dengan kemuliaan Abbas ibnu Abdul Muttalib RA. Dinamakan Ramadah kerana banyaknya debu-debu yang berterbangan akibat terlalu lama tidak turun hujan. Lalu Umar RA berucap kepada orang ramai: 

"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Rasulullah SAW memandang (menghormati) Abbas RA sebagaimana seorang anak memandang (menghormati) bapanya. 

Maka ikutlah wahai sekalian manusia cara Rasulullah SAW menghormati bapa saudaranya, Abbas dan jadikanlah dia sebagai wasilah kepada Allah. Berdoalah, wahai Abbas!" 

Di antara doa Abbas RA ialah: "Ya Allah! Sesungguhnya bala tidak akan turun melainkan kerana dosa dan ia tidak akan lenyap melainkan dengan taubat. Sesungguhnya umat ini telah bertawajjuh denganku kepada-Mu kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW, dan ini adalah tangan-tangan kami yang melakukan dosa-dosa meminta kepada-Mu, sedang ubun-ubun kami tunduk kepada-Mu dengan taubat. Maka siramilah kami dengan hujan dan peliharalah, ya Allah! Nabi kami SAW pada bapa saudaranya."

Maka langit menjadi mendung seperti bukit dan menurunkan hujan hingga tanah menjadi subur dan manusia dapat meneruskan kehidupan mereka. Maka ramailah orang menemui Abbas RA menyapu jasadnya yang mulia (sebagai tanda terima kasih). Mereka berkata kepadanya, "Berbahagialah kamu, wahai penyiram al Haramain." Umar RA berkata berikutan hal tersebut, "Demi Allah! Dia (Abbas RA) adalah wasilah kami kepada Allah dan orang yang mempunyai kedudukan di sisi Nabi SAW.

Sebenarnya, Umar RA berhak mengimamkan orang ramai untuk memohon diturunkan hujan kepada mereka. Namun, Umar RA mendahulukan Abbas RA untuk meminta hujan kerana membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dan memuliakan keluarganya. 

Beliau mendahulukan bapa saudara Nabi SAW daripada dirinya sendiri untuk mencapai sebaik-baik tawassul dengan Rasulullah SAW mengikut apa yang termampu. Beliau juga menggalakkan orang ramai menjadikan Abbas RA sebagai wasilah mereka kepada Allah. 

Maka beliau meminta diturunkan hujan bagi mereka di tempat solat Nabi SAW untuk mencapai cara yang terbaik dalam mengagungkan Rasulullah SAW dan menguatkan kelebihan ahli baitnya.

Sikap Umar RA ini jelas dalam doanya yang bermaksud, dahulu kami bertawassul kepada-Mu dengan cara Rasulullah SAW keluar bersama orang ramai ke tempat solat, doa Baginda SAW untuk mereka dan solat yang Baginda SAW lakukan bersama mereka. 

Tetapi sekarang, oleh kerana cara itu tidak dapat dilakukan lagi disebabkan Baginda SAW telah wafat, maka saya mendahulukan insan yang terdiri daripada kalangan ahli baitnya (mengimamkan solat kami) agar doa kami lebih diharapkan mendapat penerimaan dan mustajab daripada Allah.

Abbas RA juga ketika berdoa, dia bertawassul dengan Rasulullah SAW sebagaimana doanya: "Umat ini telah mendekati-Mu dengan bertawassul denganku kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu SAW (sebagai bapa saudaranya). Maka peliharalah, ya Allah! Nabi-Mu pada bapa saudaranya." Maksudnya, terimalah doaku kerana Nabi-Mu SAW.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails