Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Monday, August 15, 2011

Keinsafan Ramadhan Bersama Huffaz Palestin : Mohonlah Keampunan Allah


HALUAN Palestin  
 
Alhamdulillah, kita masih lagi berpeluang untuk menggapai rahmat dan keampunan Allah. Sudah tentu pada setiap bulan Ramadhan kita akan mencari peluang melipat-gandakan amal kebajikan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Ramadhan tahun ini memberi pengalaman baru bilamana kita berkesempatan menimba ilmu dan pengisian jiwa daripada para huffaz Palestin yang dihantar khusus oleh Rabitah Ulama Palestin ke Malaysia. Suasana kehidupan, perjuangan dan pengalaman mereka yang berbeza daripada kita dapat memberi persepsi baru terhadap kehidupan ini.

Sheikh Maher al Munajjed
Sheikh Maher al Munajjed

Dalam satu sesi tazkirahnya, Sheikh Maher al Munajjed yang mengetuai para huffaz tersebut, pernah memberi nasihat tentang perlunya kita menggandakan taubat kepada Allah, apatah lagi dalam bulan Ramadhan ini. 

Allah menyeru kepada setiap kita supaya bertaubat dan jangan berputus asa andainya terlanjur dengan maksiat, kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Menerima taubat (at-Thawwab.)

Kita manusia tidak asing daripada maksiat. Maksiat-maksiat itu tidak sedikitpun mengganggu kehebatan Allah swt, tetapi maksiat itu sebenarnya mengganggu kita sebagai manusia,” kata beliau menjelaskan sifat Allah swt yang sentiasa mengampunkan hamba-hambaNya yang berbuat maksiat.

Hati orang mukmin sebenarnya dapat membezakan di antara kebaikan dan kejahatan, di mana seseorang itu akan merasa lapang dan gembira apabila melakukan kebaikan dan sebaliknya merasa sempit dan sedih apabila melakukan maksiat. Walaupun Allah sentiasa membuka pintu keampunan, setiap orang mukmin harus merasa parah dengan kemaksiatan dan gembira dengan kebaikan.

Dalam tazkirah yang disampaikannya, Sheikh Maher menceritakan tentang sejarah perancangan Rom dan Parsi untuk menyerang Madinah. Apabila Rasulullah saw mendapat berita tentang perancangan tersebut, Baginda memutuskan untuk tidak berperang dalam Kota Madinah. Pada waktu itu, Madinah sedang berada dalam musim menuai kurma. Namun Rasulullah saw mengarahkan sahabat-sahabat Baginda pergi keluar berperang dan meninggalkan hasil kurma.

Salah seorang daripada sahabat yang sangat disayangi oleh Baginda iaitu Ka’ab ibn Malik tidak bersetuju dengan arahan tersebut dan mencadangkan supaya diberi masa menunggu sehinga kurma matang dan dapat dikutip hasilnya. Rasulullah saw dan para sahabat sudah berangkat ke medan, sedangkan Ka’ab masih berada di rumah walaupun dia merupakan seorang lelaki yang muda lagi gagah dan memiliki 2 ekor kuda dan semua kelengkapan perang.

Apabila angkatan yang dipimpin Rasulullah saw itu tiba di Tabuk (Jordan), Baginda saw bertanya di manakah Ka’ab. Ada dari kalangan para sahabat yang mengatakan bahawa Ka’ab sedang bersama orang-orang munafik. Ada dari kalangan para sahabat yang lain tidak percaya kepada hal tersebut kerana apa yang mereka tahu tentang Ka’ab ialah perkara-perkara yang baik-baik sahaja.

Apabila Rasulullah saw dan para sahabat pulang dari peperangan, mereka yang ditinggalkan di Madinah mula memberi alasan mengapa tidak menyertai Rasulullah saw. Antara lain, orang-orang Yahudi memberikan alasan bahawa mereka tidak tahan melihat kecantikan wanita-wanita Rom, jadi mereka harus menguzurkan diri.

Bagi Ka’ab, walaupun dia merupakan seorang yang sangat bijak mengada-adakan cerita, dia faham sekiranya dia berbohong akhirnya Allah akan membongkarkan juga cerita sebenar. Apabila Rasulullah saw bertanya kenapa dia tidak pergi berperang, Ka’ab menjawab, “sekiranya aku berbohong kepadamu, maka Allah akan mendedahkan perkara yang sebenar. Aku tidak ada apa-apa keuzuran.” Mendengar alasan Ka’ab itu, Rasulullah menjawab, “inilah jawapan yang sebenarnya.”

Berikutan kesalahannya itu, semua para sabahat telah memulau Ka’ab ibn Malik. Melihat musibah Ka’ab itu, satu kabilah Arab bernama Qasasil telah menghantar surat kepada beliau, menghasut dengan bertanya kenapa Ka’ab masih beserta dengan golongan yang sudah tidak suka kepadanya. Malahan kabilah itu juga memberi tawaran bahawa sekiranya Ka’ab menyertai mereka, beliau akan dimuliakan.

Ka’ab berasa sangat marah dan terus membakar surat itu. Beliau dipulaukan selama 50 hari, dan sepanjang tempoh itu dia menangis. Kehidupannya dirasakan sangat sempit, sehingga turunlah ayat terakhir dari surah at-Taubah yang mengatakan bahawa Allah telah mengampunkan dosanya. Allah juga telah mengampunkan dosa orang-orang Ansar dan Muhajirin beserta 3 orang yang tidak pergi berperang.

Selepas turun ayat tersebut, datanglah seorang sahabat kepada Ka’ab dan mengatakan, “bergembiralah wahai Ka’ab!” Apabila mendengar berita yang disampaikan itu, Ka’ab terus memberikan jubah yang dipakainya kepada sahabat tersebut dan bergegas ke masjid untuk berjumpa Rasulullah saw. Apabila beliau sampai, Rasulullah tersenyum dan membacakan ayat terakhir surah at-Taubah itu.

Daripada sejarah tersebut, Sheikh Maher menjelaskan bahawa apa yang berlaku kepada Ka’ab merupakan satu manifestasi seseorang yang melakukan dosa. Orang yang melakukan dosa perlu berusaha untuk memohon keampuan dari Allah. Tiada kegembiraan yang paling tinggi melainkan mendapat rahmat Allah. Untuk mendapat rahmat Allah, sesorang perlu bersungguh-sungguh dalam taubatnya.

Setiap anak Adam berbuat salah, sebaik-baik oran g yang berbuat salah ialah mereka yang bertaubat.

Sunday, April 17, 2011

Matlamat Sebenar Kehidupan


Adalah menjadi arahan Allah SWT kepada seluruh Muslimin untuk mengikuti syara'. Hanya mereka yang mematuhi syara' yang akan beruntung. Keuntungan tersebut bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Hal ini akan berlaku dalam semua suasana dan ketika sekiranya syara' dipatuhi.

Untuk mengikuti syara' perlulah kepada matlamat yang terang. Matlamat yang terang perlu berhubung dengan keimanan kepada Allah SWT. Hanya matlamat yang berhubung dengan Allah SWT yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sejati.

Seluruh tenaga, masa, fikiran dan wang ringgit yang kita gunakan  akan menjadi  sia-sia sekiranya kejelasan matlamat tidak tercapai. Matlamat hidup yang tidak jelas berlaku secara berleluasa dalam reliti masyarakat kita hari ini. Membiarkan hal ini berterusan bererti kita mendedahkan masyarakat kepada kerosakan demi kerosakan.

Apakah Matlamat Sebenar Kehidupan Ini?

Mengetahui matlamat sesuatu perkara, amat penting dalam melaksanakan tugas, kerja dan ibadah setiap hari. Seorang pelajar yang faham matlamat belajar akan belajar bersungguh-sungguh. Seorang pekerja yang faham matlamat kerja, akan berusaha dalam kerjayanya. Pendek kata, orang yang jelas matlamatnya akan berusaha untuk mencapainya, merasa mudah untuk mencapainya kerana sudah jelas matlamatnya.

Terfikirkah kita sebelum ini apakah matlamat kehidupan manusia itu dijadikan? Menjadi seorang lelaki mahu pun perempuan, kecil, besar, tua, muda, miskin, kaya, remaja, dewasa dan sebagainya. Apakah matlamat hidup mereka? 

Sebagai muslim Al-Quran secara jelas memberitahu. Manusia tidak dijadikan sia-sia, ada matlamatnya walau di mana sekali pun kedudukan, zaman dan masa. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' : ayat 16

"Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala dan yang ada di antaranya secara main-main."

Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT sudah jelas matlamatnya seperti yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud;

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat" Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi?" Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata) "Adakah Engkau ( Ya Tuhan kami) hendaklah menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dan memujiMu dan mensucikanMu. Tuhan berfirman "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."

Manusia wajib taat dan patuh kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dengan mengikut ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah. Mereka hendaklah berusaha untuk meneruskan kehidupan mengikut acuan al-Quran dan sunnah. Yang jelasnya muslim adalah orang yang jelas hala tujunya menjadi hamba Allah yang berjaya mengikut peraturan sebagai khalifah di muka bumi walaupun diuji dengan pelbagai ujian dan halangan yang kadang-kadang di luar dugaan. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah ali-Imran ayat 14 yang bermaksud;

"Dihiaskan (dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda dari emas dan perak, kuada peliharaan, dan binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan ingatlah pada sisi Allah SWT ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (Syurga)."

Memahami tuntutan Qada' dan Qadar serta lumrah kehidupan samaada susah dan senang, penyakit, adalah ujian dari Tuhan dalam mencapai kejayaan hidup sebagai seorang muslim.

Realitinya matlamat ini bermula dari rumah. Ibu bapa mahupun penjaga yang mendidik anak-anak sebenarnya orang yang menginginkan masa depan anak-anak menjadi orang yang berjaya di dunia ini dan di akhirat kelak. Oleh yang demikian, mereka sepatutnya mempunyai matlamat yanga jelas dalam mendidik generasi mereka.

Lukman al-Hakim telah berpesan kepada anaknya dengan pesanan yang disebutkan di dalam al-Quran dalam surah Lukman ayat 17-19 yang bermaksud;

"Wahai anakku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala' bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkar-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan jaganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong takbur lagi membangga diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."

Marilah sentiasa meningkatkan keimanan kita dengan memahami matlamat yang sebenar kehidupan. Agama bukan sekadar ikutan(taklid), atau hanya untuk digunakan bagi sesuatu perkara seperti semasa perkahwinan, kematian dan sebagainya, sedangkan Islam meliputi seluruh kehidupan manusia. Sebagai contohnya sambutan maulidur rasul yang disambut setiap tahun bukan sahaja sambutan yang perlu dibesarkan tetapi sunnah nabi itu yang diutamakan.

Munasabah diri dari semasa ke semasa, sejauh mana kita yang dibekalkan dengan al-Quran dan as-Sunnah ini benar-benar mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Usah jadikan watak-watak hiburan semata-mata dalam mengajar dunia yang sementara ini sedangkan ia tidak diajarkan oleh sunnah Rasulullah SAW. Telitikanlah ajaran Islam melalui al-Quran dan hadis segala keperluan kehidupan ada di dalamnya.

Matlamat Sebenar Kejadian Manusia

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"
 (Surah Az-Zariyat 51: Ayat ke 56)

Sumber : iluvislam

Saturday, April 2, 2011

Mengubat Jiwa Yang Resah


BETAPA mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, ramai yang salah cara. Lihat saja orang sanggup menghabiskan berjam-jam tenggelam di tempat hiburan meneguk minuman keras.

Ada yang menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan pil penenang, namun ketenangan yang dicari tidak kunjung tiba. Banyak perkara yang membuat seseorang berasa tertekan, kecewa dan kacau. 

Pada peringkat ini, mereka yang menderita kerap melakukan tindakan di luar akal fikiran manusia. Namun, Islam memberikan ubat dan penawar merawat ketenangan.

Berikut adalah langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:

■ Membaca dan mendengarkan al-Quran
 
 
Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh: “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat. 

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu.

Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali.

Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu.

■ Menyayangi orang miskin

Rasulullah memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin.

Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan: “Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kikir itu kebinasaan.”

Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan. Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain.

Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah.

■ Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atas

Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit.

Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran.

Betapa banyak di dunia ini orang yang kurang beruntung. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga ganjaran daripada Allah.

■ Menjaga silaturahim

Manusia adalah makhluk yang perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan manusia lain. Pelbagai keperluan hidup takkan mungkin boleh diraih tanpa adanya bantuan daripada orang lain.

Dalam hadis Rasulullah diperintahkan untuk tetap menjalin silaturahim sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan kepada kita. Rasulullah bersabda bahawa silaturahim dapat memanjang�kan umur dan mendatangkan rezeki.

Hubungan yang baik di dalam keluarga, mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya.

■ Banyak mengucapkan la hawla wa la quwwata illa billah

Sumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah.

Kuatnya hubungan kita dengan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi kuat, tidak mudah goyah. Apabila kita lalai mengingati Allah, maka ia membuka peluang bagi syaitan mempengaruhi fikiran kita.

■ Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahit

Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan.

Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran.

Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria.

■ Tidak ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana Allah

Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya.

Seorang akan memiliki pendirian kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah.

■ Tidak meminta kepada orang lain

‘Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah’ adalah hadis Rasulullah yang merangsang setiap mukmin untuk hidup berdikari.

Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan.

Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah.

■ Menjauhi hutang

Dalam sebuah hadis, Rasulullah dengan tegas mengatakan: “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!” Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu! Sabdanya: Kerana hutang.” Begitulah kenyataannya. Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya.

Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah juga mengatakan: “Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.”

■ Selalu berfikir positif

Mengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri.

Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif.

Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemas, ubahlah dengan ungkapan senang.

Bukankah di sebalik kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh jadi pengajaran?
Tajuk asal: Al-Quran ubat jiwa keresahan

Friday, April 1, 2011

Guna Pancaindera renung kebesaran Allah


MANUSIA makhluk menakjubkan yang Allah letakkan kepada mereka banyak rahsia kekuasaan Ilahiyah dan tempat melahirkan inayah ketuhanan-Nya. Mereka dipilih Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi seperti firman-Nya: 

“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-An’am ayat 165)

Kalau dikaji ayat al-Quran, terdapat banyak perintah Allah menyuruh manusia mengkaji diri mereka sendiri. Pada diri manusia itu terdapat tanda kebesaran, rahsia dan kekuasaan Allah yang perlu direnungi sebagai pedoman dan iktibar. Hanya mereka yang berakal memahami hakikat ini.

Firman Allah bermaksud: 

“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (az-Zaariyat ayat 21) 

Firman Allah SWT lagi bermaksud: 

“(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan dari apa ia diciptakan.” (at-Tariq Ayat 5) 

Sesungguhnya Allah mencipta setiap anggota manusia dengan sempurna, cantik dan tersusun. Cuba perhatikan anggota yang wujud di kepala manusia seperti lidah, telinga dan mulut. Lidah yang dicipta sentiasa digunakan manusia untuk bertutur di samping berperanan sebagai deria rasa untuk menikmati makan dan minuman. Di kanan dan kiri kepala manusia pula, Allah mencipta sepasang telinga untuk mendengar. Di kepala itu juga terdapat sepasang mata untuk melihat.

Tiga pancaindera yang terletak di kepala ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia membantu manusia menguruskan kehidupan harian mereka. Jika ditanya kepada manusia, adakah mereka mahu dibisukan lidah, dibutakan mata atau dipekakkan telinga, tentu sekali mereka akan mengatakan tidak kerana tanpa ketiga-tiga pancaindera ini kehidupan mereka amat sukar.

Persoalannya siapakah yang mencipta dan menganugerahkan pancaindera yang hebat ini secara percuma kepada manusia? Jika rosak, adakah pancaindera yang sangat berharga ini boleh dibeli atau ditempah sebagai gantinya? Seterusnya adakah wujud cerdik pandai di dunia ini yang boleh mencipta pancaindera itu yang sama dan setanding seperti asal?

Persoalan seperti ini tidak mampu dijawab oleh manusia melainkan ia perlu kembali kepada yang menciptanya. Siapakah yang mampu mencipta pancaindera yang sebegitu hebat? Tidak lain Dialah Tuhan yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih kepada seluruh makhluk-Nya.
Contoh lain, jika seseorang manusia yang mahu tidur, namun matanya tidak mahu lelap sedangkan sudah puas dia berusaha untuk memejamkan matanya, adakah dia yang mahu supaya matanya tidak lelap? Atau ada kuasa lain yang menahan matanya supaya lelap? Jika ya, adakah manusia boleh melawan kuasa itu? Sudah tentu jawapannya tidak. Ini menunjukkan betapa lemahnya manusia. Jika matanya sendiri tidak berupaya untuk dilelapkan apatah lagi jika mahu dibanding dengan kekuasaan Penciptanya.

Demikianlah beberapa contoh yang terdapat pada diri manusia yang perlu direnungi, moga-moga dengan cara itu manusia akan mengenali siapa dirinya, siapa Tuhannya dan ke mana akhirnya perjalanan hidup mereka.
Oleh Mohd Hishamuddin Mansor

Tuesday, November 3, 2009

Syukur

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Rasa syukur dan berterima kasih sama ada kepada Allah SWT mahupun sesama manusia boleh dinyatakan dalam pelbagai cara. Pada asasnya ada tiga cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan rasa syukur, dan gabungan ketiga-ketiga cara di bawah adalah syukur yang paling sempurna.

Imam Ibnu Rajab berkata; “Syukur itu dengan hati, lisan dan anggota badan”.

Syukur dengan hati ialah mengakui bahawa nikmat tersebut datang daripada Allah, berasal daripadaNya dan atas keutamaannya. Apabila hatinya bersyukur maka akan lahirlah bentuk syukur yang kedua dan yang ketiga iaitu syukur dengan lisan dan perbuatan.

Syukur dengan lisan iaitu selalu memuji Yang Memberi nikmat (Allah), menyebut nikmat itu, mengulang-ulangnya serta menampakkan nikmat tersebut;

Allah SWT berfirman,

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث

Maksudnya; “ Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya”. (ad-Dhuha[93] :11)

Syukur dengan anggota badan iaitu tidak menggunakan nikmat tersebut, kecuali dalam rangka ketaatan kepada Allah SWT, berwaspada daripada menggunakan nikmat untuk melakukan kemaksiatan kepadaNya.

Hakikat Syukur

Kesyukuran yang hakiki didirikan di atas lima asas utama. Siapa yang mengamalkannya serta menghayatinya maka dia adalah seorang yang benar-benar bersyukur iaitu;

Pertama: Merendahkan diri terhadap yang disyukuri iaitu Allah swt, kerana orang yang bersyukur tidak akan sombong, tidak akan takabbur samada kepada Allah swt atau sesama manusia.

Kedua: Rasa cinta terhadap Pemberi Nikmat iaitu Allah SWT, kerana dengan rasa bersyukur itu tidak akan timbul pada diri seseorang,tidak suka, benci terhadap orang lain, lebih-lebih lagi kepada Allah SWT.

Ketiga : Mengakui seluruh nikmat yang Dia berikan. Tanpa pengiktirafan terhadap jasa, kebaikan nikmat yang diberikan; bagaimana rasa syukur akan timbul dalam diri seseorang apabila merasakan apa yang dimilki adalah daripada dirinya sendiri, tanpa bantuan orang lain.

Keempat: Sentiasa memujiNya atas nikmat yang diberikan kerana gembiranya, penghargaannya, pengiktirafannya terhadap nikmat yang diberikan.

Kelima: Tidak menggunakan nikmat untuk sesuatu yang dibenci oleh Allah kerana ia akan mengundang kemarahan, kebencian orang yang memberi nikmat, dan tindakan tersebut menunjukkan sikap biadap, tidak mengharmati serta tidak mengenang jasa.

Sunday, November 1, 2009

Islam Agama Yang Mudah

Assalamu'alaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Sesungguhnya Allah Swt. tidak mengutusku untuk mempersulit atau memperberat, melainkan sebagai seorang pengajar yang memudahkan.” (HR. Muslim, daripada ‘Aisyah ra.)

Islam mempunyai karakter sebagai agama yang penuh kemudahan seperti telah ditegaskan langsung oleh Allah Swt. dalam firmanNya:

وماجعل عليكم في الدين من حرج

“…dan Dia tidak menjadikan kesukaran dalam agama atas diri kalian.”

Sementara dalam sebuah haditsnya, Nabi Saw. pun bersabda:

إن الله لم يبعثني معنتا ولامتعنتا ولكن بعثني معلما ميسرا

“Sesungguhnya Allah Swt. tidak mengutusku untuk mempersulit atau memperberat, melainkan sebagai seorang pengajar yang memudahkan.” (HR. Muslim, dari ‘Aisyah ra.)

Visi Islam sebagai agama yang mudah dalam setiap syari’atnya. Sampai-sampai, Imam Ibn Qayyim menyatakan, “Hakikat ajaran Islam semuanya mengandung rahmah dan hikmah. Kalau ada yang keluar daripada makna rahmah menjadi kekerasan, atau keluar daripada makna hikmah menjadi kesia-siaan, berarti itu bukan termasuk ajaran Islam. Kalaupun dimasukkan oleh sebagian orang, maka itu adalah kesalahan"

Ada beberapa prinsip yang secara kuat mencerminkan betapa Islam merupakan agama yang mudah antaranya:

Pertama, menjalankan syari’at Islam boleh secara bertahap. Dalam hal ini, seorang muslim tidak serta-merta diharuskan menjalankan kewajiban agama dan amalan-amalan sunnah secara serentak. Ada tahapan yang mesti dilalui: mulanya kita hanya diperintahkan untuk melaksanakan kewajiban-kewajiban pokok agama. Setelah yang pokok-pokok berhasil dilakukan dengan baik dan rapi, kalau punya kekuatan dan kesempatan, maka dianjurkan untuk menambah dengan amalan-amalan sunnah.

Izin untuk mengamalkan syari’at Islam secara bertahap ini telah dicontohkan oleh RasululLah Saw. sendiri. Suatu hari, seorang Arab Badui yang belum lama masuk Islam datang kepada RasululLah Saw. Ia dengan terus-terang meminta izin untuk sementara menjalankan kewajiban-kewajiban Islam yang pokok saja, tidak lebih dan tidak kurang. Beberapa Sahabat Nabi menunjukkan kekurang-senangannya kerana menilai si Badui enggan mengamalkan yang sunnah. Tapi dengan tersenyum, Nabi Saw. mengiyakan permintaan orang Badui tersebut. Bahkan beliau bersabda: “Dia akan masuk syurga kalau memang benar apa yang dikatakannya.”


Kedua, adanya anjuran untuk memanfaatkan aspek rukhshah (keringanan dalam praktik beragama). Aspek Rukhshah ini terdapat dalam semua praktik ibadah, khususnya bagi mereka yang lemah tubuhnya atau berada dalam situasi yang tidak leluasa. Bagi yang tidak kuat shalat berdiri, dianjurkan untuk shalat sambil duduk. Dan bagi yang tidak kuat sambil duduk, dianjurkan untuk shalat berbaring. Begitu pula, bagi yang tidak kuat berpuasa kerana berada dalam perjalanan, maka diajurkan untuk berbuka dan mengganti puasanya pada hari-hari yang lain.

Dalam sebuah hadits Qudsi Allah Swt. berfirman:

إن الله يحب أن تؤتي رخصه كما يكره أن تؤتي معصيته

“Sesungguhnya Allah suka kalau keringanan-keringananNya dimanfaatkan, sebagaimana Dia benci kalau kemaksiatan terhadap perintah-perintahNya dilakukan.” (HR. Ahmad, dari Ibn ‘Umar ra.)

Dalam sebuah perjalanan jauh, RasululLah Saw. pernah melihat seorang sahabatnya nampak lesu, lemah, dan kepenatan. Beliau langsung bertanya apa sebabnya. Para sahabat yang lain menjawab bahwa orang itu sedang berpuasa. Maka RasululLah Saw. langsung menegaskan: “Bukanlah termasuk kebajikan untuk berpuasa di dalam perjalanan (yang jauh).” (HR. Ibn Hibbân, dari Jâbir bin ‘AbdilLâh ra.)

Ketiga, Islam tidak mendukung praktik beragama yang menyulitkan. Disebutkan dalam sebuah riwayat, ketika sedang menjalankan ibadah haji, RasululLâh Saw. memperhatikan ada Sahabat beliau yang terlihat sangat penat, lemah dan menderita. Maka beliau pun bertanya apa sebabnya. Ternyata, menurut cerita para sahabat yang lain, orang tersebut bernazar akan naik haji dengan berjalan kaki dari Madinah ke Mekkah. Maka RasululLâh Saw. langsung memberitahukan, “Sesunguhnya Allah tidak memerlukan tindakan penyiksaan diri sendiri, seperti yang dilakukan oleh orang itu.” (HR. Bukhâri dan Muslim, dari Anas ra.)

Demikianlah, Islam sebagai agama yang rahmatan lil’ ‘alamin secara kuat mencerminkan aspek hikmah dan kemudahan dalam ajaran-ajarannya. Dan kita sebagai kaum muslimin, telah dipilih oleh Allah Swt. untuk menikmati kemudahan-kemudahan tersebut. Diceritakan oleh ‘Aisyah ra. bahwa RasululLâh Saw. sendiri dalam kesehariaannya, ketika harus menentukan antara dua hal, beliau selalu memilih salah satunya yang lebih mudah, selama tidak termasuk dalam dosa. (HR. Bukhâri dan Muslim)

Akan tetapi, kemudahan dalam Islam bukan berarti media untuk meremehkan dan melalaikan kewajiban-kewajiban yang telah ditetapkan. Rukhshah tidak untuk dijadikan apologi, keringanan-keringanan dari Allah bagi kita jangan sampai membuat kita justeru menjadi jauh dariNya. Islam sebagai agama yang mudah merupakan manifestasi nyata bahwa ajaran Islam bukanlah sekumpulan larangan yang menyusahkan, melainkan ajaran yang penuh kasih-sayang. Sehingga dengan demikian, ketika kita menjalankan ajaran-ajaran Islam, motivasinya bukan karena kita takut kepada Allah Swt., tapi lebih karena kita rindu dan ingin lebih dekat denganNya. Bukan karena kita ngeri akan nerakaNya, namun lebih karena kita ingin bersimpuh di haribaanNya di dalam surga yang abadi.


Ditulis oleh : Ustaz Abdullah Hakam Shah,
Rujukan : Sini

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails