Showing posts with label Telur Tiruan. Show all posts
Showing posts with label Telur Tiruan. Show all posts

Sunday, April 17, 2011

Elak makan telur mentah






TELUR masih lagi merupakan makanan utama rakyat Malaysia.

Oleh ADLAN JAAFAR

MINGGU lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan Persatuan Pengguna Pulang Pinang (CAP) mengenai kewujudan telur tiruan di pasaran.

Menurut Presidennya, S.M. Mohamed Idris, telur tiruan tersebut mengandungi pelbagai bahan kimia seperti natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna lemon.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin kemudian mengesahkan ujian yang dilakukan terhadap sampel telur ayam tiruan yang dirampas dari sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang itu mendapati ia tulen.

Sihat

Telur itu memiliki saiz yang luar biasa di samping bentuknya tidak bulat dipercayai berlaku disebabkan penyakit.

Kekalutan yang timbul daripada isu telur tiruan itu membuktikan telur masih penting dalam diet harian rakyat Malaysia.

Sebelum ini, telur dianggap salah satu makanan paling mengelirukan dari segi kesihatan.

Mula-mula ia dikatakan sihat dan sumber protein. Kemudian, telur didapati mengandungi kolesterol dan semua orang beranggapan mengambil telur akan menyebabkan mereka diserang sakit jantung.

Tidak lama selepas itu, penemuan membuktikan kolesterol dalam telur adalah ‘neutral’ dan kita disarankan mengambil beberapa biji telur sehari.

Namun, penemuan pada tahun 2008 oleh penyelidik di Universiti Harvard, Amerika Syarikat mendapati pengambilan sebanyak tujuh biji atau lebih telur dalam seminggu meningkatkan risiko kematian.

Daripada 21,000 lelaki yang dikaji selama lebih 20 tahun mendapati 1,550 orang diserang sakit jantung, 1,342 mendapat strok dan 5,000 meninggal dunia.

Di Malaysia, sukar untuk menentukan secara tepat bilangan telur yang diambil oleh rakyat negara ini kerana mereka turut mengambilnya secara tidak langsung seperti dalam kuih-muih, roti dan makanan lain.

Bagaimanapun, perangkaan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan pada tahun lalu sebanyak 10 bilion biji telur ayam dan itik dihasilkan di negara ini.

PENGHIDAP penyakit kardiovaskular disarankan mengambil bahagian putih telur sahaja.

Tiga biji

Menurut pakar pemakanan dari Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Shariza Abd. Razak, apa sahaja makanan yang diambil secara tidak terkawal ditambah gaya hidup yang tidak sihat pasti mendatangkan risiko penyakit kepada individu terbabit.

Beliau menasihatkan pengguna supaya mengambil tidak lebih daripada tiga biji telur ayam seminggu.
“Bagi mereka yang tidak menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi dan hiperlipidemia atau penyakit kardiovaskular, mereka tidak perlu mengikut had yang disarankan, cukup dengan mengambil makanan seimbang.

“Malah kajian terbaru mengatakan pengambilan telur bagi individu normal membantu mengimbangkan kandungan kolesterol dalam badan,” ulasnya.

Telur juga mengandungi kesemua asid amino yang diperlukan oleh badan selain vitamin A, B12, D, asid folik, kolina dan kalsium.

Ia juga mengandungi asid lemak omega 3 yang membantu meningkatkan kandungan kolesterol baik dan mengurangkan risiko sakit jantung.

“Sungguhpun begitu, jika seseorang menghidap penyakit kardiovaskular tetapi sangat meminati telur, mereka disarankan mengambil bahagian putihnya sahaja.

“Pengambilan secara mentah pula tidak digalakkan kerana berkemungkinan mengandungi kuman Salmonella yang boleh menyebabkan keracunan makanan,” ujar Shariza lagi.

Shariza menambah, sebaik-baiknya telur direbus dan tidak digoreng kerana ia akan menambah kandungan lemak dan kalori.
DUA biji telur untuk sarapan pagi pasti mengenyangkan.
Sejak dahulu lagi, telur sering dikaitkan sebagai salah satu makanan afrodisiak dan mampu meningkatkan tenaga seksual kaum lelaki lebih-lebih lagi telur ayam kampung yang bebas kimia.

Bagaimanapun, Shariza berkata tiada bukti saintifik mengatakan telur dapat meningkat kesihatan seksual.
Tetapi secara logik, jika kita makan makanan yang berzat, tubuh akan berfungsi secara optimum.

Seksual

“Telur pula merupakan makanan lengkap yang diperlukan oleh badan, jadi pengambilannya boleh menyihatkan tubuh,” katanya.

Bagi atlet bina badan, telur merupakan makanan yang disyorkan kerana kandungan proteinnya.

Namun, ia juga perlu disertakan dengan corak pemakanan yang betul dan rutin senaman yang berkala bagi membina otot.

Shariza menambah, bagi mereka yang sentiasa mengalami kekangan waktu untuk mengambil sarapan, mereka disarankan mengambil sebiji telur sehari.
“Ia sudah cukup untuk membekalkan sebanyak 70 kalori dan mengenyangkan,” katanya.
Sebiji telur dianggarkan mengandungi lima gram protein serta merangkumi 12 peratus daripada keperluan protein harian.

Jika pengambilan protein terlalu tinggi, ia akan menyebabkan penghasilan keton.

“Keton merupakan bahan toksik kepada tubuh yang boleh mengakibatkan ginjal dan buah pinggang mengalami beban untuk mengeluarkannya daripada badan.

“Selain itu, ia akan memberi tekanan terhadap jantung dan berhadapan risiko penyahhidratan akibat proses tersebut,” kata Shariza lagi.

Namun, risiko pengambilan lebihan protein adalah rendah kecuali kepada atlet yang terlibat dengan sukan tertentu kerana mereka memerlukan protein dalam jumlah yang besar.

Di pasaran, banyak produk telur didakwa memiliki kandungan asid lemak omega 3 yang baik untuk kesihatan.

Menurut Shariza, telur tersebut biasanya mempunyai kandungan omega 3 tinggi sedikit daripada telur biasa.
Ulasnya, telur tersebut terhasil oleh cara penternakan ayam melalui pemberian makanan yang telah diformulasikan.

“Jika individu yang serius untuk meningkatkan pengambilan omega 3, lebih baik mereka mengambil hidangan ikan kerana ikan mengandungi asid lemak itu dalam kadar yang lebih tinggi,” ulasnya.

Monday, April 11, 2011

Tiada Telur Tiruan Dijual di Negara Kita

Jabatan Veterinar hari ini mengesahkan tidak terdapat telur tiruan dijual di pasaran negara ini berdasarkan ujian pensampelan yang dibuat setakat ini.

Ketua Pengarah Veterinar Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata sampel telur itu diambil dari pasar-pasar seluruh negara termasuk sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang yang didakwa menjual telur tiruan sepertimana laporan media minggu lalu.

"Keputusan awal yang diperolehi semua telur yang disampel ini adalah telur tulen. Bagaimanapun mana-mana pengguna atau persatuan pengguna yang mempunyai telur tiruan kita minta mereka serahkan kepada jabatan dan saya sanggup menyediakan ganjaran untuk maklumat ini," katanya kepada pemberita di sini.

Rabu lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan pihaknya telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus. Merujuk kepada kes itu, Abd Aziz berkata telur itu berkemungkinan adalah telur yang rosak atau bergred rendah yang tidak sepatutnya dijual kepada pengguna.

Beliau berkata bentuk yang agak berlainan tidak bermakna ia adalah telur tiruan, manakala jenis makanan atau antibiotik yang diberikan kepada ayam juga boleh menyebabkan telur itu sedikit berbeza. Bagaimanapun, Makmal Kesihatan Awam di Salak Tinggi, Selangor akan menjalankan kajian terhadap telur-telur itu bagi memastikan kandungannya selamat dimakan, katanya.

Abd Aziz berkata untuk menghasilkan telur tiruan yang rupanya hampir sama dengan telur asli memerlukan kos yang begitu tinggi termasuk untuk penyelidikan yang baik, sedangkan telur tulen dijual dengan harga yang  begitu rendah di negara ini iaitu sekitar 32 sen sebiji bagi gred terbaik (AA).

Beliau turut menolak kemungkinan telur tiruan itu dihasilkan di negara lain dan diimport ke negara ini kerana Malaysia tidak membenarkan pengimportan telur kecuali bagi tujuan pembiakan. "Ini kerana telur yang dihasilkan di negara ini lebih dari keperluan rakyatnya iaitu 23 juta biji sehari," katanya.

Sunday, April 10, 2011

Awas Telur Tiruan


Lanjutan daripada Telur Tiruanpun ada di bawah ini disalin artikel daripada Mingguan Malaysia 10 April 2011.

BERITA tentang telur tiruan bukan asing di negara China. Pelbagai laporan mengenainya tersebar sejak 2004, namun kegiatan menghasilkan telur tiruan menggunakan bahan kimia tertentu masih berleluasa di sana. 

Kebimbangan mengenai telur tiruan turut disuarakan penduduk Korea berikutan kemasukan bahan tersebut ke negara itu.

Di kalangan masyarakat Malaysia, pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini berhubung penjualan telur ayam tiruan di Pasar Pulau Tikus Pulau Pinang sememangnya mengejutkan. Tidak pernah kedengaran sebelum ini tentang telur tiruan biar pun mungkin bahan tersebut telah lama memasuki pasaran negara.

Pendedahan CAP itu semestinya mendorong orang ramai supaya lebih berhati-hati memilih telur ayam kerana kepintaran serta kreativiti manusia menghasilkan telur tiruan pastinya memudaratkan kesihatan.

Pelbagai laman web, blog malah akhbar dalam talian memperkatakan tentang telur tiruan termasuk bahan serta cara untuk menghasilkannya.

Zhengzhou Daily melaporkan pada 13 Ogos 2007 mengenai seorang penduduk di wilayah itu yang dikenali sebagai Wang. Dia yang menjual bahan pengawet mendapati telur ayam yang dibeli di pasar malam kelihatan pelik. Berpengalaman mengendalikan bahan pengawet Wang percaya telur tersebut adalah tiruan.

Dia kemudiannya bertanya kepada penjual tersebut yang akhirnya mendedahkan telur itu adalah tiruan selepas diugut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

Wang yang turut diberitahu tentang teknik menghasilkan telur tiruan telah membuat eksperimen di hadapan para pemberita.

Pencarian di Internettentang telur tiruan mendapati tujuh jenis bahan kimia digunakan iaitu kalsium karbonat, kanji, damar (resin), gelatin dan tawas (alum) dan beberapa bahan lain.

Kuning telur dibuat menggunakan kalsium klorida dan dimasukkan ke dalam acuan khas. Kuning telur mula terbentuk di dalam acuan khas berbentuk bulat. Tambahan pewarna kuning menghasilkan kuning telur.

Bahan yang sama digunakan untuk menghasilkan putih telur dan dituang di atas kuning telur. Untuk membuat kulit telur pula bahan seperti lilin paraffin dan kalsium karbonat digunakan. Kesemua bahan itu dibiarkan sejam sehingga kering.

Biar pun nampak seperti telur asli, ada beberapa perkara yang boleh membezakan kedua-duanya.
  • Kulit telur tiruan lembut dan mudah pecah.
  • Telur tiruan yang digoreng akan menghasilkan banyak buih kecil tetapi tidak ramai sedar perbezaan tersebut.
  • Telur tiruan tidak berbau seperti telur biasa.
  • Kuning dan putih telur akan segera bercampur apabila dipecahkan.
  • Kulit telur tiruan agak kasar dan berkilat.
  • Apabila diketuk bunyinya lebih rapuh.

Kegiatan menghasilkan telur tiruan secara berleluasa disebabkan kosnya yang sangat murah dan semestinya faktor keuntungan berlipat ganda. Selain itu telur tiruan mendapat sambutan kerana sumber protein yang murah di China iaitu 0.55 Yuan/kg sementara harga pasaran bagi telur asli adalah 5.6 Yuan/kg.

Kes keracunan makanan di China semakin meningkat dari tahun ke tahun disebabkan bahan makanan tiruan yang dijual secara berleluasa.

Kepada rakyat Malaysia jangan terlalu ghairah membeli bahan makanan yang murah, sebaliknya berhati-hati dan sering perhatikan jika terdapat sebarang perubahan pada barang yang dibeli.



Antara bahan kimia yang di gunakan untuk menghasilkan telur tiruan ialah karbonat,resin,alum dan pelbagai lagi.
Telur kuning yang menggunakan kalsium klorida di buat menggunakan acuan khas.
Dituang dan di biarkan kering sedikit sebelum melalui proses seterusnya.
Direndam dalam cecair parafin wax untuk membentuk selaput luar telur kuning.
Proses membuat kulit telur tiruan juga menggunakan bahan kimia tertentu.
Walau bagaimana pun telur tiruan agak mudah pecah berbanding yang telur asli.
Ermmm..nampak saling tak ubah seperti telur goreng asli.
Telur tiruan kelihatan agak cerah dan licin berbanding telur ayam yang asli.

Sumber Gambar:  http://www.zulkbo.com



Thursday, April 7, 2011

Telur ayam pun ada tiruan


Oleh NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Sekali pandang, ia tidak ubah seperti telur ayam gred A namun, ia sebenarnya telur tiruan yang dibuat sepenuhnya daripada ramuan bahan-bahan kimia berbahaya.

SEORANG pegawai CAP, N.V. Subbarow menunjukkan telur tiruan (kiri) yang lebih besar berbanding telur sebenar di George Town semalam

Itu pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa telur berkenaan rupa bentuknya tidak ubah seperti telur ayam sebenar dan tidak menolak kemungkinan ia terdapat di pasaran negara ini.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kulit telur tiruan itu diperbuat daripada lilin parafin dan kalsium karbonat.

“Kuning telur dan putih telur tiruan itu pula dihasilkan menggunakan natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna lemon,” katanya di sini semalam.

Menurut S.M. Mohamed, pada amnya bahan-bahan itu merupakan makanan tambahan tetapi dalam menghasilkan telur tiruan, ia menjadi komponen utama dalam bahan-bahan pemprosesannya.

Justeru, pemakanannya dipercayai mampu mengganggu kadar metabolisme dalam badan, hati dan otak jika dimakan pada kadar yang kerap.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails