Sunday, December 4, 2011

Muzium Kapal Selam

Muzium kapal selam ini menambah lagi koleksi artifak sejarah negeri ini yang sudah mempunyai 23 muzium, terletak di Dataran 1Malaysia, Klebang.

Muzium Kapal selam SMD Ouessant jenis Agosta 70 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini mula dibuka pada 22 November lalu. 

Selepas menempuh pelayaran selama 31 hari dari pelabuhan Brest, Perancis, kapal selam seberat 1,200 tan tersebut akhirnya tiba di perairan Selat Melaka pada 12 November lalu. Kapal yang beratnya lebih 1,000 tan itu dipindah dan diangkut tanpa dileraikan sekali gus mencipta sejarah dan dipuji pasukan marin Perancis.


Proses itu melibatkan dua buah kren khas yang masing-masing berkeupayaan mengangkat beban 900 tan. Operasi mengalihkan kapal selam dari kapal ‘Jumboship’ ke kapal ponton mengambil masa selama tiga jam.
Ia berukuran 67.57 meter panjang dan tinggi 11.75 meter manakala 6.5 meter lebar. Sesiapa sahaja akan teruja melihat kapal itu kerana ketinggiannya menyamai sebuah bangunan kedai tiga tingkat!

Menyingkap sejarah kapal itu, Agosta 70 digunakan untuk melatih kru pertama kapal selam Malaysia dari 2005 hingga 2009 dan latihan itu dijalankan berikutan kontrak yang ditandatangani Malaysia untuk pemilikan kapal selam Scorpene Perancis pada 2002. Baca seterusnya di KOSMO!

KAPAL selam Agosta 70 selamat ditempatkan di Klebang, Melaka.
PELAN pembangunan Muzium Kapal Selam atau Kompleks Pelancongan Klebang, Melaka.
KAPAL selam diangkut dan dipindahkan dari jumboship milik Belanda ke atas tongkang yang berlabuh di sebelah jumboship itu di Melaka.

Saturday, December 3, 2011

Banjir Besar di Kajang



HULU LANGAT 2 Dis. – Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah ini sejak pukul 2 petang mengakibatkan banjir kilat melanda pusat bandar Kajang dan beberapa kawasan di sekitar daerah ini, petang ini.
Selain pusat bandar Kajang yang dilanda banjir kilat apabila paras air naik setinggi 0.3 meter, banyak kenderaan terperangkap dan ditenggelami air sejak banjir melanda kira-kira pukul 3 petang.
Beberapa premis perniagaan antaranya Plaza Metro Kajang dan Bank Hong Leong cawangan Kajang, turut dinaiki air setinggi 0.2, manakala kawasan lain yang terlibat adalah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, pasar Besar Kajang dan Jalan Jelok.
Selain itu, Sungai Kantan dan Jalan Semenyih, Kajang berhampiran Klinik Kajang dan Jalan Kelapa.
Di Sungai Kantan, banjir turut melanda beberapa kawasan perumahan di situ sehingga menyebabkan seramai sembilan penduduk termasuk tiga warga emas terpaksa dipindahkan setelah terperangkap di rumah masing-masing.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian banjir itu kira-kira pukul 3.51 petang.
Beberapa klip video sekitar banjir itu turut berlegar dan dikongsi oleh pengguna laman sosial Youtube dan Facebook, termasuk video yang menunjukkan seorang wanita yang terperangkap diselamat oleh orang ramai.

Tuesday, November 29, 2011

Baka anak rusa guna kaedah tabung uji

ANAK rusa Eld yang dibiak menerusi kaedah tabung uji di Zoo Terbuka Khao Kheow, Thailand semalam.-Reuters



BANGKOK - Sekumpulan pakar veterinar daripada Pertubuhan Taman Zoologi Thailand mengumumkan kejayaan membiakkan anak rusa spesies Eld menerusi kaedah tabung uji.

Menurut mereka, ia merupakan anak rusa Eld pertama yang lahir ke dunia menggunakan kaedah berkenaan.

Spesies rusa Eld diisytiharkan pupus di rimba seluruh dunia dengan cuma 38 ekor mamalia itu berada di pusat-pusat pemuliharaan di seluruh dunia.

Anak rusa tabung uji itu dilahirkan di Zoo Terbuka Khao Kheow, wilayah Chonburi pada 17 Oktober lalu. - Reuters

Sunday, November 27, 2011

NASA hantar kenderaan penjelajah ke Marikh

ROKET Atlas V yang membawa kenderaan penjelajah Makmal Sains Marikh di pusat pelancaran di Cape Canaveral, Florida kelmarin. - Reuters

CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat (AS) - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) bersedia untuk melancarkan kenderaan robotik paling canggih dan berkuasa pernah dibina ke planet Marikh semalam.

Pelancaran tersebut adalah untuk meneroka sekali gus mencari tanda-tanda wujudnya kehidupan di planet merah itu.

Kenderaan enam roda berkenaan yang dinamakan Makmal Sains Marikh (MSL), dijana bahan api nuklear. Ia dijadual dilancarkan pukul 10.02 pagi waktu AS dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di negeri Florida dengan menggunakan roket Atlas V.

"Inilah mesin idaman saintis-saintis yang mengkaji Planet Marikh," kata timbalan projek MSL, Ashwin Vasavada.

"Ini ialah kenderaan penjelajah yang paling berkeupayaan pernah dihantar, kami amat teruja," tambahnya.

Berharga AS$2.5 bilion (RM7.9 bilion), kenderaan itu mampu menghantar maklumat terperinci mengenai batu-batan di permukaan Marikh dan petanda sama ada kehidupan pernah wujud di planet berkenaan. - AFP

Nilai sentimental Istana Negara lama

TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN (kanan) berkenan menerima menghadap penerima-penerima anugerah selepas majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Persekutuan di Istana Negara lama pada Oktober lalu.


KEPADA mereka yang kerap melalui Jalan Istana, pemandangan deretan bas yang membawa pelancong mengambil gambar pengawal berkuda di luar pekarangan Istana Negara, sudah tidak kelihatan lagi.

Bangunan yang menjadi lambang kedaulatan negara itu telah ditutup secara rasminya pada Majlis Mengunci Pagar Istana pada pukul 9.30 pagi Selasa lalu.

Selepas ini, Istana Negara baharu bernilai RM800 juta yang terletak di Jalan Duta pula akan menjadi kediaman rasmi baharu Yang di-Pertuan Agong yang seterusnya.

Upacara penutupan yang diadakan baru-baru ini berlangsung dengan penuh bersejarah apabila perarakan masuk anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi pasukan pancaragam pusat RAMD dimulakan.

Kumpulan penurun bendera terdiri daripada 10 anggota RAMD kemudian menurunkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong sambil memperdengarkan tiupan paluan akhir yang memaklumkan bahawa Istana Negara akan berpindah ke Istana Negara di Jalan Duta.

Istiadat diteruskan dengan perarakan kumpulan penurun bendera bersama pasukan istiadat berkuda ke pintu masuk utama istana bagi menyerahkan bendera berkenaan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil.

Sebagai simbol penutupan bangunan, Tengku Farok Husin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri, mengunci pintu masuk utama istana menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara, Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda berkekuatan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.

Banglo

TENGKU FAROK HUSIN ABDUL JALIL (dua dari kiri) menerima Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Penurunan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Jalan Istana.
Istana Negara lama yang terletak di lereng bukit Jalan Istana dan berhadapan Jalan Syed Putra dan Sungai Klang sudah 83 tahun bertapak.

Menyorot historiografi istana yang berwarna putih yang ditandai dengan dua kubah emas itu, pada asalnya adalah sebuah banglo milik jutawan dari China, Chan Wing. Ia dibina pada tahun 1928 dengan kos RM150,000 di kawasan seluas 11.34 hektar. Bangunan itu mendapat sentuhan daripada firma Swan & Mclaren.

Pada zaman pendudukan Jepun, banglo itu dijadikan pusat pemerintahan tentera dan sebagai mes pegawainya selama empat tahun iaitu dari tahun 1942 hingga 1945.

Sebaik tentera Jepun berundur dari Malaya, bangunan itu dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah yang kembali bertakhta.

Bangunan kemegahan itu bertukar tangan sekali lagi. Kerajaan Persekutuan pada tahun 1957 telah membelinya dengan nilai RM1.4 juta.

Bagi menyerlahkan prestij bangunan itu sebagai lokasi bersemayam pemerintah tertinggi negara, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM328,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian yang selari dengan sebuah negara yang baru merdeka ketika itu.

Selain menyaksikan dapur besar yang boleh memuatkan 100 orang, dewan mengadap, empat bilik tetamu yang luas, dua dewan masuk, sebuah dewan santapan, bilik istana juga ditambah dari 13 buah kepada 20 bilik.
Menariknya, E.K Dinsdale iaitu arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa kontraktor tempatan hanya mengambil masa empat bulan sahaja untuk menyiapkannya tanpa menyentuh struktur utamanya.

Menjelang tahun 1980-an, Istana Negara mengalami pengubahsuaian berskala besar iaitu penambahan Balairong Seri Utama yang menempatkan singgahsana.

Ia adalah singgahsana pertama dibina dalam Istana Negara untuk majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Sebelum itu, acara pertabalan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang.

Arkitek kanan JKR, Kapten David Wee yang membina singgahsana baharu itu telah menggabungkan elemen lambang kebesaran raja-raja di negara ini.

Pertabalan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1980, merupakan pertabalan pertama diadakan di Balairung Seri itu.

Peranan Istana Negara tidak hanya terbatas kepada tempat bersemayam pemerintah nombor satu negara sahaja. Malah turut diperuntukkan beberapa bilik bagi upacara tertentu seperti bilik Singgahsana Kecil, Dewan Mengadap, Bilik Duta, Bilik Permaisuri dan Balairong Seri.

SEJARAH negara. Bangunan kemegahan negara ini pernah menjadi pusat pemerintahan tentera Jepun.
Bagi bilik Singgahsana Kecil, ia digunakan apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri, Istiadat Mengadap dan Menerima Watikah Pelantikan TYT Duta Besar atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Luar Negara.

Bilik itu juga digunakan semasa Istiadat Menerima Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia oleh Ketua Hakim Negara.

Selain itu, ia menjadi tempat Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh menteri dan timbalan menteri.

Warisan Kebangsaan

Dewan Mengadap yang berada tingkat bawah dijadikan tempat bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima menghadap tetamu kehormat seperti ketua-ketua negara dan tetamu kenamaan.

Fungsinya juga merangkumi ruang rehat untuk sultan-sultan, raja-raja dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Yang di-Pertua Negeri semasa persidangan Majlis Raja-raja diadakan di Istana Negara.

Bilik Permaisuri merupakan tempat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menerima tetamu-tetamu kehormat.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Bintang-bintang dan Pingat-pingat Persekutuan, Hari Keputeraan dan acara berkaitan dengannya dijalankan di Balairong Seri.

Di bilik yang sama, ia turut dijadikan sebagai Dewan Santapan semasa Majlis Santapan Negara meraikan Ketua Asing yang membuat lawatan negara, Majlis Santapan Memuliakan Mesyuarat Raja-Raja dan sebagainya.

Meskipun Istana Negara sudah memiliki bangunan baharu, nilai sentimental dan nostalgianya tidak akan pudar. Adalah sesuatu yang wajar sekiranya istana yang terletak di Jalan Istana ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan. – MAZLINA ABD. MAJID

Manusia penghuni Antartika


BERDIRI seketika di atas gurun ais Antartika yang memutih sambil menikmati saujana langit yang membiru sudah cukup untuk menzahirkan rasa takjub dengan kebesaran Ilahi.

Apa tidaknya, suhu pada musim sejuk di situ mampu mencecah -89 darjah Celcius.

Dengan kelembapan udara yang sangat rendah dan kelajuan angin yang tinggi sepanjang tahun iaitu mencecah sehingga 321 kilometer sejam, bukan calang-calang manusia boleh bertahan dengan keadaan cuaca ekstrem sebegitu.

Malah, pernah timbul persoalan, mengapa manusia mahu ke Antartika sedangkan ia tempat yang paling sejuk di muka bumi, kurang produktif, tidak diusahakan, tiada tamadun dan kesejukannya boleh membawa maut.

Sungguhpun begitu, keadaan Antartika yang belum dicemari muntahan sisa buangan pepejal dan toksik, landskap konkrit yang dipenuhi lampu serta isyarat elektromagnet yang tidak terkawal, menjadikan benua putih ini bagaikan syurga kepada golongan penyelidik dan saintis.

Malah, kebanyakannya berpendapat, mengkaji Antartika yang memiliki persekitaran unik ibarat mengkaji planet Marikh.

Walaupun berdepan dengan cabaran terutamanya cuaca dan terpaksa berjauhan daripada keluarga, ia bukan halangan besar untuk kumpulan penyelidik bertapak di situ.

Bumi Antartika yang belum terjamah seluas 8.7 juta kilometer persegi itu cukup menawarkan pelbagai khazanah saintifik yang menanti untuk dirungkai.
ANTARTIKA belum sesuai didiami manusia buat masa ini.


Fosil

Menurut penyelidik dari Pusat Penyelidikan McMurdo, Paul Doherty, keterujaan melihat dataran yang kosong menimbulkan pelbagai persoalan untuk dikaji.

"Apabila mendongak ke langit yang cerah tanpa pencemaran cahaya, ia suatu perasaan yang sangat mengasyikkan.

"Di sini juga kami dapat melihat bukti penciptaan zarah-zarah subatom.

"Selain itu, kami mengkaji mengenai mikrob eksotik yang boleh hidup dalam kesejukan," katanya yang teruja untuk memeriksa lapisan fosil ais yang berusia belasan ribu tahun.

Mengimbas kenangan semasa mula-mula menyertai program persediaan ke Antartika, Doherty yang berasal di Amerika Syarikat (AS) datang bersama tiga lagi rakannya, iaitu Mary Miller, Julie Konop dan Noel Wanner. Mereka membuat persediaan bertahun-tahun sebelum boleh mennyertai pasukan penyelidik di situ.
"Kami berempat adalah antara 600 penyelidik yang dihantar ke Stesen McMurdo setiap tahun.

"Untuk ke sini, pelbagai ujian dan latihan yang dilakukan.

"Selain mahir dalam bidang kajian, kesihatan dan kecergasan adalah perkara penting yang perlu diambil berat, termasuklah kesihatan gigi dan gusi," kata Doherty.

Stesen penyelidikan saintifk McMurdo milik AS itu adalah yang terbesar di Antartika. Ia boleh menempatkan 1,000 pegawai penyelidik pada musim panas.

"Pada musim sejuk pula hanya 250 pegawai yang tinggal di sini.

"Selain itu, stesen ini juga mempunyai 2,000 kakitangan sokongan seperti tukang masak, pemandu, jurutera, pengurus projek, pekerja penyelenggaraan dan binaan," ujar Merry Miller.

Stesen McMurdo yang terletak di selatan Pulau Ross mula beroperasi pada tahun 1956.

Kini ia mempunyai lebih 100 struktur bangunan didirikan termasuk tiga landasan ais, dermaga terapung, makmal sains, bangunan pentadbiran, bengkel, garaj, bangunan perubatan, dormitori, dapur, kantin dan kemudahan rekreasi.

Pusat penyelidikan ini merupakan pusat bagi semua program dan uji kaji saintifik.

Ia juga berjiran dengan Stesen Pangkalan Scoot, sebuah fasiliti penyelidikan kendalian New Zealand di Antartika yang dilawati oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin awal minggu ini.

Siri lawatan selama empat hari tersebut adalah gambaran kesungguhan dan komitmen negara susulan daripada penyertaan dalam Triti Antartik 1959 baru-baru ini.
Benua Antartika juga sebenarnya mempunyai gunung berapi, tetapi tidak ada satu pun yang aktif.

Terlepas kapal

Saintis dan penyelidik Malaysia mula aktif dengan misi penyelidikan di Kutub Selatan pada tahun 1997.

Sejak itu, sebanyak 62 ekspedisi dilaporkan telah dijalankan sehingga tahun lepas melibatkan 60 penyelidik dan saintis dari tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara.

Selain McMurdo dan Pangkalan Scott, terdapat 74 stesen penyelidikan lain yang dibuka di Antartika. 42 daripadanya dibuka sepanjang tahun dan 32 stesen lagi dibuka hanya pada musim panas.

Sehingga kini belum ada lagi rekod menunjukkan ada manusia yang tinggal secara tetap di Antartika.

Siapa yang tinggal di sana hanyalah pasukan penyelidikan dari 30 negara yang menjalankan tugas di stesen masing-masing.

Dianggarkan seramai 4,000 orang akan tinggal di benua itu pada musim panas iaitu daripada bulan Oktober hingga April.

Jumlah tersebut akan berkurangan sehingga 1,000 orang sahaja pada musim sejuk yang tiba pada bulan Mei.
"Untuk keluar dari Antartika pada musim sejuk adalah perkara yang mustahil kerana kapal tidak boleh memasuki dataran ais.

"Sesiapa yang terlepas kapal terakhir pada musim panas, mereka perlu tinggal di sini sehinggalah musim sejuk berakhir," jelas Mark William, Ketua Stesen Mawson milik Australia yang terletak di Dataran Tinggi Antartika.

Dia yang pakar dalam bidang pertanian hidroponik cuba menghasilkan tomato terbesar di Antartika.
"Memandangkan tanah tidak dibenarkan dibawa masuk ke sini, kami menggunakan kaedah hidroponik untuk menanam sayura.

"Ia sangat penting untuk bekalan pada musim sejuk nanti," katanya yang dibekalkan dengan makanan untuk tempoh beberapa minggu setiap kali kapal logistik datang ke stesennya.

SULTAN Mizan melawat artifak yang dijaga rapi di dalam Kabin Scott ketika di Cape Evans.

Untuk memastikan keselamatan dan keselesaan kumpulan penyelidik, hampir semua stesen dilengkapi fasiliti komunikasi dan rekreasi.

Kemudahan Internet, telefon, menonton filem, radio, gimnasium dan meja snuker ada disediakan.

Jika inginkan aktiviti lasak, masih banyak perkara menarik yang boleh dilakukan seperti menjelajahi kawasan baharu, berkhemah di luar, bermain ski, serta menikmati dan merakam keindahan landskap alam dan hidupan liar.

Pulau lahir dari dasar laut


KEBIRUAN air di permukaan laut berhampiran Pulau El Hierro iaitu salah sebuah pulau di Kepulauan Canary tiba-tiba 'dihiasi' dengan kewujudan gelembung buih-buih yang muncul dari dasar laut awal bulan ini. Turut kelihatan gumpalan magma berwarna kehitaman melatari permukaan laut.

Semua itu berpunca daripada aktiviti gunung berapi dasar laut di kawasan tersebut yang dilaporkan semakin aktif selepas satu gempa bumi berukuran 4.3 pada Skala Ricther melanda pulau tersebut pada 5 November lalu.

Gempa bumi berkenaan menyebabkan gunung berapi dasar laut di luar Pulau El Hierro itu memuntahkan material berupa gas dan asap hitam setinggi 18 meter ke udara yang dipenuhi bau sulfur selain menyebabkan ia kelihatan terapung di permukaan laut.

Kepulauan Canary yang terdiri daripada tujuh buah pulau serta beberapa buah pulau kecil walaupun berlokasi sekitar 100 kilometer dari pesisir pantai Maghribi di utara Afrika bagaimanapun sebenarnya merupakan wilayah di bawah autonomi Sepanyol.

Selain Pulau El Heirro, enam pulau lain di Kepulauan Canary ialah Tenerife, Gran Canaria, Fuerteventura, Lanzarote, La Palma dan La Gomera. Pada pertengahan Oktober lalu, pihak berkuasa Sepanyol telah mengeluarkan arahan untuk menutup akses ke bandar pelabuhan La Restinga di selatan Pulau El Heirro rentetan aktiviti gunung berapi dasar laut itu.

Ini termasuklah meminta kapal-kapal yang berada di sekitar pelabuhan beredar meninggalkan kawasan perairan tersebut dan pesawat udara turut dilarang melakukan penerbangan di lokasi berkenaan.

Selama lebih sebulan, penduduk di kepulauan tersebut terpaksa hidup dengan gunung berapi dasar laut aktif yang bukan sahaja memberi ancaman keselamatan, bahkan turut menakutkan pelancong dan membahayakan kehidupan penduduk serta habitat sekitarnya.

LAHAR gunung berapi yang meletus di Kepulauan Canary mengeras dan dijangka membentuk sebuah pulau baharu.

Magma di permukaan laut

Para saintis tempatan memberitahu, aktiviti di gunung berapi dasar laut itu telah bermula sejak 17 Julai lalu dengan lebih 10,000 gegaran direkodkan.

"Letusan gunung berapi itu berlaku selama seminggu dan ia menyebabkan kerajaan bertindak memindahkan kira-kira 600 penduduk ke kawasan selamat," kata wakil perlindungan sains sivil, Carmen Lopez bulan lalu.

Berdasarkan kronologi, dasar laut Pulau El Hierro mula menggegar sejak 19 Julai lalu dengan memberi petanda melalui kemunculan gumpalan magma yang kelihatan di permukaan laut pulau terkecil di Kepulauan Canary itu.

"Letusan itu juga menyebabkan gumpalan besar magma berwarna kehijauan terbentuk di permukaan laut," kata seorang penduduk.

Sementara itu, pakar gunung berapi, Juan Carlos Carrecedo berkata, terdapat gumpalan magma di permukaan laut yang menghasilkan siri pecahan sekali gus menjana aktiviti seismik.

"Kita tidak tahu jika gumpalan magma tersebut akan memecahkan kerak dan mencetuskan letusan lebih besar. Letusan kemungkinan akan berlaku dalam tempoh sehari, seminggu mahupun sebulan," jelasnya memberi amaran yang letusan itu dijangka akan berterusan.

Beberapa letusan besar juga menyebabkan ia dapat dilihat dari jarak paling hampir iaitu 1.5 kilometer dari pesisir pantai di selatan El Hierro.

"Senario terburuk yang kami bimbang jika berlaku adalah letusan di daratan," ujar Ketua Keselamatan Kepulauan Canary, Juan Manuel Santana kepada akhbar harian El Pais.
KEPULAUAN Canary terkenal sebagai pulau pelancongan yang indah.
Sebuah pulau baharu

Apa yang pasti, pakar geologi turut berpendapat bahawa terdapat kebarangkalian letusan dari dasar laut itu mampu 'melahirkan' sebuah pulau baharu di Kepulauan Canary.

Khabar itu juga menyebabkan beberapa nama untuk 'bayi' Kepulauan Canary itu telah dicadangkan menerusi Internet, antaranya seperti Atlantis, Discovery atau The Beast.

Menguatkan lagi kemungkinan daratan baharu akan muncul menerusi pembentukan magma yang meletus itu apabila Institut Geografi Kebangsaan Sepanyol (IGN) menyatakan letusan tersebut hanya terletak kira-kira 69 meter atau 225 kaki dari permukaan laut.

Apa yang pasti, kemungkinan mengenai munculnya pulau baru itu menyebabkan keghairahan dalam kalangan orang ramai. Walaupun kerajaan telah mengarahkan supaya penduduk berpindah ke tempat yang selamat, keterujaan untuk melihat muncul daratan baharu hasil daripada letusan dan magma yang dimuntahkan menyebabkan ramai warga El Heirro berada di kawasan tinggi berdekatan pantai.

Salah sebuah akhbar tempatan, La Provoncia melaporkan, 'Raksasa akan muncul dari lautan' merujuk kepada daratan yang dikatakan bakal muncul. Bahkan, beberapa akhbar pula berdebat mengenai siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas wilayah baharu itu.
ORANG ramai memerhatikan dari Pulau El Hierro letusan demi letusan di pemukaan laut.

Bagaimanapun, menurut IGN, nama serta pentadbiran baharu kemungkinan tidak diperlukan memandangkan sekiranya kekuatan letusan itu memunculkan daratan di permukaan laut, ia tidak mustahil akan bergabung dengan pesisir pantai Pulau El Hierro memandangkan jaraknya yang tidak jauh sekitar tiga kilometer sahaja.

Menariknya, menyorot kembali tentang asal usul Kepulauan Canary itu sebenarnya hampir kesemua pulau di situ ialah pulau volkanik atau pulau gunung berapi. Pulau tersebut dikatakan muncul sejak jutaan tahun dahulu menerusi letusan gunung berapi selain sewaktu peristiwa zaman Jurassic semasa pembukaan kerak lautan Atlantik.

Bergantung kepada kekuatan

PESONA pantai di Kepulauan Canary menggamit ribuan pelancong setiap tahun.

Sementara itu, pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan pula tidak menolak kemungkinan letusan gunung berapi dasar laut di Pulau Hierro boleh menyebabkan sebuah pulau baharu boleh terbentuk.

"Namun semuanya bergantung kepada kekuatan letusan gunung berapi dan jarak kawasan letusan sama ada berlaku hampir atau jauh dengan permukaan laut.

"Malah amaun letusan yang dikeluarkan pada permukaan baru juga diambil kira. Jika letusannya banyak jadi ia berupaya membentuk sebuah pulau baharu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails