Thursday, November 3, 2011

ikan kerapu gergasi

SEORANG lelaki memegang ikan kerapu seberat 200 kilogram yang ditangkap di perairan Miri, Sarawak semalam.


IKAN GERGASI. Seorang nelayan tidak menyangka memperoleh wang sebanyak RM16,000 selepas kejayaan menangkap seekor kerapu gergasi semalam.

Ikan seberat 200 kilogram (kg) itu dipercayai ditangkap menggunakan pukat kira-kira tujuh batu nautika dari pantai Miri, Sarawak.

Kejayaan menangkap ikan itu menarik perhatian ramai termasuk seorang pemilik restoran yang membelinya pada harga RM16,000.

Spesies kerapu gergasi yang turut dipanggil sebagai kertang itu mampu membesar sehingga dua meter panjang dengan berat 400 kilogram dan mempunyai nilai pasaran mencecah RM70 sekilogram.

Wednesday, November 2, 2011

Mesin 3D Mamogram Tomosintesis pertama di negara ini

Oleh ADLAN JAAFAR

TUGAS harian Siti Aishah Abdullah Suhaimi akan mengimbas setiap payudara individu yang datang ke Pusat Sehenti Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Cara kerja gadis berumur 27 tahun yang bertugas sebagai jururadiograf itu masih lagi sama sebelum pusat tersebut menggunakan mesin Mamogram 3 Dimensi (3D) Tomosintesis pada bulan Oktober lalu.

“Cuma, bezanya hari ini dengan sekali imbasan, pakar radiologi dan doktor sudah boleh mengesahkan kehadiran kanser atau tidak. Jarang berlaku pemeriksaan susulan. Individu yang datang adalah mereka yang membuat pemeriksaan berkala.

“Seting pada mesin ini pula boleh saya katakan sebagai mesra pengguna dan tidak rumit untuk dikendalikan. Malah, apa yang lebih penting gambar yang terhasil lebih baik dan jelas berbanding dahulu,” ujar Aishah kepada Kosmo!.


Mesin 3D Mamogram Tomosintesis ialah yang pertama digunakan di Malaysia dan kelima di dunia. Ia mampu menghasilkan imej 3D payudara daripada pelbagai sudut dan yang paling penting mampu memberi imej tisu payudara dengan lebih jelas.

Pengerusi Hologic Inc., Jack Cumming berkata, mesin 3D Mamogram Tomosintesis menggunakan teknologi Digital Breast Tomosynthesis (DBT) yang membolehkan imej 2D dilihat daripada pelbagai sudut.

Dengan DBT, imej payudara dipotong dengan ketebalan senipis satu milimeter. Ia membolehkan pakar radiologi meneliti setiap lapisan imej yang diingini.

Imej juga boleh diimbas daripada pelbagai sudut berbanding dengan mesin 2D lama yang hanya boleh mengimbas secara atas ke bawah atau kiri ke kanan.

“Dengan sekali tekanan, sebanyak 15 imej boleh dihasilkan berbanding mesin konvensional mamogram iaitu terhad kepada dua imej untuk setiap dua tekanan yang diberikan,” ujarnya lagi.
Sukar

Kesukaran membuat diagnosis kehadiran ketulan kanser pada bahagian payudara disifatkan seperti mencari sebatang jarum dalam timbunan jerami padi.

Sering kali, pesakit memerlukan pemeriksaan susulan seperti melakukan mamogram pada arah yang lain atau pemeriksaan ultrabunyi bagi memastikan kehadiran kanser payudara adalah positif.

Kelambatan pengesahan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada mereka bahkan, menyebabkan masa dan wang terbuang. Malah, yang paling ditakuti apabila pengesahan dilakukan ketika kanser sudah berada pada peringkat akhir.

HANYA dengan sekali imbasan pakar radiologi atau doktor boleh mengesan kehadiran kanser payudara ke atas seseorang wanita.

SULTAN PERAK, Sultan Azlan Shah berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran mesin 3D Mamogram Tomosintesis pertama di negara ini.Teknologi terkini
Menurut Pakar Perunding Radiologi NCSM, Dr. Sulaiman Tamanang, ia berlaku kerana imej imbasan yang diterima dengan menggunakan mesin mamogram 2D adalah leper, manakala imej terhasil sering menimbulkan kekeliruan dengan imej mimik kanser dan kelenjar susu.

Dengan sekali imbasan oleh mesin, 3D Mamogram Tomosintesis, tiada lagi pemeriksaan susulan bagi mengesahkan kehadiran sel kanser sekaligus meningkatkan pengesanan awal kanser.

Tambah Sulaiman, kajian menunjukkan penggunaan kombinasi imej 2D dan 3D pula boleh meningkatkan tahap ketepatan oleh pakar radiologi dan mengurangkan sebanyak 30 peratus pesakit dipanggil semula.

Bagaimanapun, Sulaiman menegaskan bahawa mesin yang hanya dikhaskan kepada kaum wanita itu tidak boleh menyembuhkan atau mencegah kanser tetapi ia membantu mengesan kehadirannya.

Bagi mereka yang sering timbul perasaan bahawa menjalani pemeriksaan mamogram adalah menyakitkan dan bahaya, Sulaiman memberi jaminan mesin terbaharu itu lebih selesa berbanding yang lama.

Kadar pendedahan radioaktif pula tidak merbahaya iaitu umpama pendedahan pada setengah batang asap rokok.


“Untuk mesin 3D Mamogram Tomosistesis, bayaran yang dikenakan amat murah iaitu antara RM250 hingga RM300 untuk membuat pemeriksaan kanser payudara,” katanya lagi.

Untuk maklumat selanjutnya baca di kosmo


Tuesday, November 1, 2011

Penduduk ketujuh bilion dirai

Reuters
MARINA NIKOLAEVA mendukung anaknya,
Pytor yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di sebuah pusat perubatan di Kaliningrad, Rusia semalam.


MANILA -Empat bayi yang dilahirkan di India, Filipina dan Rusia semalam dipilih sebagai simbolik penduduk dunia yang ketujuh bilion.

Pemilihan itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan jumlah penduduk dunia akan menjadi tujuh bilion semalam.

Di negeri Uttar Pradesh, seorang bayi, Nargis dipilih secara simbolik oleh Lembaga Perancangan India sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.

Pemilihan itu dibuat bagi mengetengahkan masalah pengguguran bayi perempuan di India.

AP
SETIAUSAHA Lembaga Perancangan India, Arti Kirloskar menyampaikan sijil kelahiran kepada ibu bayi Nargis yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di Mall, India semalam.

Sebanyak tujuh juta janin perempuan dianggarkan telah digugurkan kerana dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding janin lelaki.

Di Filipina, bayi seberat 2.5 kilogram yang dinamakan Danica May Camacho dililih secara simbolik sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.

Bayi itu dilahirkan dua minit selepas tengah malam kelmarin.

Kelahirannya di bilik bersalin Hospital Memorial Jose Fabella di sini mendapat liputan meluas pihak media.

"Bayi ini kelihatan sangat comel," kata ibunya, Camille Dalura sambil meriba bayi perempuannya.

"Saya tidak percaya bahawa dia ialah bayi ketujuh bilion di dunia," katanya.

Bayi berkenaan merupakan anak kedua Dalura bersama pasangannya, Florante Camacho.

AP
BAYI DANICA CAMACHO didukung oleh ibunya, Camille semasa bapa bayi itu, Florante Galura membawa kek selepas anaknya dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion dunia di Hospital Fabella, Manila semalam.

Pasangan itu bersama bayi berkenaan turut diraikan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pasangan itu turut menerima hadiah daripada penderma tempatan termasuk biasiswa pendidikan bagi bayi tersebut dan satu pakej bagi membolehkan pasangan itu memulakan perniagaan runcit.

Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah budak perempuan berusia 12 tahun, Lorrize Mae Guevarra yang diisytiharkan bayi keenam bilion di dunia pada 1999.

Seorang bayi bernama Pyotr yang dilahirkan pada pukul 0002 semalam di pelabuhan Kaliningrad, Rusia turut dipilih secara simbolik sebagai penduduk yang ketujuh bilion.

Pemilihan itu turut disahkan oleh perwakilan PBB dalam satu majlis memberikan sijil kepada bayi berkenaan yang dilahirkan oleh ibunya, Marina Nikolaeva.

Namun, di bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, seorang bayi lelaki bernama Aleksandr didakwa sebagai penduduk ketujuh bilion kerana dia dilahirkan pada pukul 0019 pagi semalam, menurut agensi berita Interfax.
Semua majlis itu hanyalah simbolik sahaja kerana tiada kaedah statistik untuk mengesahkan bayi yang manakah di dunia yang sebenarnya penduduk ketujuh bilion dunia. - Agensi

Monday, October 31, 2011

Perkhidmatan monorel Arafah-Mina siap


2011/10/31
 
MAKKAH: Sistem monorel Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (Makkah Metro) kini siap sepenuhnya bagi membawa jemaah haji antara Arafah dan Mina.

Penolong Pengurus Stesen Arafah 1, Yuszaini Mohd Yusop, berkata pada musim haji tahun lalu, perkhidmatan itu beroperasi hanya 35 peratus.

"Perkhidmatan tren ini adalah bagi mengatasi kesesakan jalan raya yang sering berlaku pada setiap musim haji terutama ketika jemaah bergerak menuju ke Padang Arafah untuk melakukan wukuf," katanya di sini.

Wukuf iaitu satu daripada rukun haji yang mesti dipenuhi oleh setiap anggota jemaah, pada tahun ini ialah pada 5 November bersamaan 9 Zulhijjah.

Jemaah dengan berpakaian ihram akan bergerak dari Makkah menuju ke Padang Arafah pada 4 November dan bermalam di sana.

Yuszaini adalah seorang daripada 146 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang dipinjamkan bertugas dengan Makkah Metro.

Sistem monorel itu mempunyai sembilan stesen melibatkan tiga lokasi utama iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina (setiap tempat mempunyai tiga stesen), dengan jarak 20 kilometer. 

Yuszaini berkata, monorel sepanjang 300 meter mempunyai 12 gerabak dengan 60 pintu, mampu membawa antara 3,500 dan 4,000 penumpang setiap perjalanan.

Monorel dengan kelajuan 80 kilometer sejam dilengkapi pendingin hawa, peralatan keselamatan dan kecemasan serta pemantauan kamera litar tertutup.

Beliau berkata, kepakaran yang dimiliki kakitangan KTMB dalam mengendalikan sistem pengangkutan serupa di Malaysia mendapat kepercayaan pihak berkuasa Arab Saudi untuk mengendalikan perkhidmatan Makkah Metro. 


Kumpulan wartawan dari negara Islam turut dibawa meninjau persiapan untuk menerima jemaah haji dari seluruh dunia di Padang Arafah.

Khemah sudah didirikan untuk menempatkan jemaah mengikut benua dan negara. - BERNAMA 

Sunday, October 30, 2011

Ular sawa telan rusa dibunuh

ULAR SAWA betina yang ditangkap di Taman Negara Everglades, negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.


TAMAN NEGARA EVERGLADES, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa pekerja di Taman Negara Everglades, negeri Florida, menangkap dan membunuh seekor ular sawa Burma sepanjang 4.87 meter.

Reptilia itu ditangkap semasa ia kekenyangan selepas menelan seekor rusa seberat 34.5 kilogram.

Penyelaras spesies eksotik Suruhanjaya Perikanan dan Hidupan Liar Florida, Scott Hardin berkata, pekerja-pekerja berkenaan menemui ular sawa betina itu pada Khamis lalu.

Menurutnya, ular itu ialah antara reptilia terbesar pernah ditemui di Florida Selatan. - Agensi

Friday, October 28, 2011

Ibu kota Thailand 'dikepung' air bah

SEBUAH jeti yang rosak dilihat terapung di Sungai Chao Phraya. Banjir besar yang melanda memaksa pihak berkuasa Thailand mengarahkan penduduk supaya keluar dari Bangkok.-Reuters


BANGKOK - Puluhan ribu orang membanjiri stesen bas dan lebuh raya dalam usaha meninggalkan ibu kota Thailand, Bangkok ketika situasi banjir di sini semakin meruncing dengan arahan perpindahan pertama telah dikeluarkan.

Kota metropolis yang dihuni sembilan juta orang itu kini dikelilingi air banjir.

Setakat ini, banjir yang melanda Thailand sejak Julai lalu telah mengorbankan 373 orang di seluruh negara dengan kerugian mencecah berbilion-bilion dolar. Lapangan Terbang Don Muang iaitu lapangan terbang kedua terbesar di sini turut ditutup akibat banjir.

Setakat semalam, kebanyakan kawasan di Bangkok masih belum ditenggelami air. Namun, warga kota dilihat giat melakukan persediaan ekoran banjir kali ini yang tidak dapat dielakkan.

Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra berkata, penduduk di dua daripada 50 daerah di sini iaitu Don Muang and Bang Phlat sudah diarah berpindah.

Kedua-dua daerah tersebut kini ditenggelami air banjir.

SEORANG lelaki mengayuh sebuah sampan ketika mengharung banjir di tengah-tengah kota Bangkok.-AFP

"Ini kali pertama saya menggunakan perkataan berpindah. Ini juga kali pertama saya meminta anda semua supaya beredar ke tempat lebih selamat," kata Sukhumbhand.

Di tempat-tempat lain di Bangkok, ribuan penduduk membanjiri terminal bas Mo Chit untuk meninggalkan bandar raya tersebut.

Kebanyakan mereka mengambil kesempatan cuti umum lima hari yang diisytiharkan oleh kerajaan bagi mengelakkan orang ramai terperangkap dalam banjir.

Cuti umum berkenaan yang bermula semalam hingga Isnin depan melibatkan kawasan-kawasan terjejas teruk akibat banjir termasuk Bangkok.

Sementara itu, peta satelit menunjukkan bandar raya itu kini 'dikepung' oleh air banjir.

Banjir yang melanda utara Thailand sejak Julai lalu sedang mengalir ke bandar raya ini dan menuju ke Teluk Thailand di selatan negara itu.

"Jumlah airnya amat besar," kata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

"Sebahagian air banjir akan melanda Bangkok tetapi kita akan berusaha supaya banjir mengalir keluar dengan seberapa segera," tambahnya.

Menurut Yingluck, beberapa kawasan di sini mungkin ditenggelami air sedalam 10 sentimeter hingga 1.5 meter.

SEKUMPULAN penduduk menaiki sebuah trak untuk keluar dari Bangkok.

"Jika tiga tembok penghadang banjir di sini kekal utuh, situasi di Bangkok akan bertambah baik. Namun, jika benteng tersebut gagal, seluruh Bangkok akan dilanda banjir," ujarnya.

Sementara itu, pengeluar kenderaan dari Jepun, Toyota memberhentikan pengeluarannya pada Sabtu ini di empat buah kilang di Amerika Utara termasuklah Indiana, Kentucky, Ontario Kanada dan Virginia berikutan impak banjir di Thailand.

"Banjir di Thailand telah menyebabkan gangguan dalam pengeluaran beberapa pembekal di rantau itu. Kami masih belum pasti sama ada boleh memulakan pengeluaran pada Isnin (31 Oktober) atau sebaliknya. Kami akan memantau keadaan di sana," kata jurucakap Toyota, Amiko Tomita.- Agensi

Beberapa pelancong berjalan di sebuah kawasan yang dilanda banjir di tepi Sungai Chao Phraya, Bangkok kelmarin

kosmo

Wednesday, October 26, 2011

Jenazah Gaddafi dikebumikan

SEORANG jurugambar semalam merakamkan tempat mayat Muammar Gaddafi diletakkan di dalam sebuah bilik sejuk beku di Misrata sebelum ia dipindahkan untuk dikebumikan di gurun Sahara.


MISRATA - Jenazah bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah dikebumikan di sebuah lokasi rahsia di gurun Sahara semalam bersama dengan seorang anak lelakinya, Motassim, kata seorang pegawai kerajaan sementara.

"Jenazah itu telah dibawa pada awal pagi dan baru dikebumikan di gurun bersama dengan anaknya," kata pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) itu, Abdel Majid Mlegta.

Menurutnya, hanya dua orang yang amanah diberikan kepercayaan untuk melakukan misi rahsia itu.

"Mereka itu bukannya pengawal tetapi orang amat dipercayai NTC," katanya.

"Apa yang boleh saya katakan adalah proses pengebumian itu memakan masa dan dilakukan jauh daripada pihak media," tambahnya.

Solat jenazah dua beranak itu dilakukan oleh guru agama peribadi Gaddafi, Khaled Tantoush.
SEORANG wanita melihat jenazah Muammar Gaddafi di sebuah bilik sejuk beku di Misrata kelmarin.
Khaled ditangkap bersama dengan Gaddafi sebelum mereka berpindah dari Misrata.

Dua sepupu Gaddafi, Mansour Dhao Ibrahim dan Ahmed Ibrahim yang ditangkap bersama Gaddafi selepas konvoi dinaiki mereka diserang jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dekat Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, turut menghadiri penghormatan terakhir untuknya.

Jenazah itu dikebumikan pada waktu subuh.

Gaddafi, 69, mati akibat kecederaan ditembak di bandar kelahirannya selepas dia ditemui dalam saluran pembetungan di bawah sebuah lebuh raya pada Khamis lalu.

Anaknya, Motassim turut mati ditembak dekat leher selepas ditangkap oleh para pejuang NTC.

Mayatnya itu kemudian dipamerkan kepada orang ramai di dalam sebuah bilik sejuk di sebuah pasar di Misrata.

Sebelum dikebumikan, pemerintah sementara Libya telah bertindak melarang orang ramai daripada melihat jenazah Gaddafi, anak lelakinya, Mutassim dan seorang ketua tenteranya, Abu Bakr Younis.
JENAZAH Motassim Gaddafi yang dipamerkan kepada orang ramai di sebuah bilik sejuk beku di Misrata kelmarin.
Keputusan itu dibuat selepas ribuan penduduk Libya melihat sendiri jenazah bekas pemimpin Libya itu.

Beberapa pengawal mengunci pintu pagar yang menempatkan bilik sejuk beku tempat jenazah Gaddafi bersama dua yang lain disimpan di Misrata.

Pintu peti sejuk beku itu yang kerap dibuka bagi membolehkan orang ramai masuk menyebabkan ketiga-tiga jenazah tersebut cepat mereput dan berbau busuk.

Pengawal-pengawal memberikan topeng bedah kepada pelawat untuk melindungi mereka daripada bau busuk. Mereka juga menyembur bahan pembasmi kuman pada jenazah tersebut.

Menurut beberapa pengawal di pintu pasar tersebut, satu konvoi empat hingga lima buah kenderaan terlibat dalam proses membawa jenazah berkenaan pada lewat malam kelmarin ke sebuah lokasi rahsia. Kerajaan sementara Libya akan menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Gaddafi.

Menurut seorang pengawal di pasar itu, dia melihat permit pengebumian tersebut yang menyatakan terdapat dua tembakan, satu di kepala dan satu lagi di dada Gaddafi. - Agensi

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails