Sunday, May 22, 2011

Penawar khusus dalam ayat suci


Oleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN
farhana.mydin@kosmo.com.my
“SERATUS peratus menggunakan ayat-ayat suci al-Quran. Perubatan ini tidak menggunakan sebarang perantara seperti jin, syaitan, makhluk halus atau khadam,” tegas lelaki berwajah serius di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu Gombak, Selangor itu.
Namun, dia tenang dan mesra menerangkan konsep rawatan di premis yang dipenuhi orang ramai tersebut. Dalam pemerhatian Kosmo!, orang yang datang ke tempat itu sedang sabar menunggu giliran bertemu ahli terapi di pusat itu bagi sesi rawatan dan perubatan masing-masing.
“Ramai yang bertanya berkenaan hal-hal di sebalik cara rawatan. Sesungguhnya saya memang tidak berminat atau berhajat untuk berdamping dengan ‘benda-benda’ halus. Banyak masalah kalau berdamping dengan benda-benda yang ghaib ini,” tegas Perunding Kesihatan dan Terapis yang juga Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid.
Menurutnya, dalam Islam, komponen yang paling penting untuk berubat cara Islam adalah dengan memanfaatkan ayat suci al-Quran yang disertai dengan doa.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Haji Lokman, 52, berkata rangkaian ayat al-Quran yang berbeza-beza boleh digunakan bagi mengubati jenis-jenis penyakit tertentu.
Sudah berpengalaman lebih 12 tahun dalam bidang rawatan Islam, Lokman mengakui tidak pernah berguru dan tidak ada orang yang mengajarnya. Katanya, ilmu perubatan itu dianugerahkan oleh Allah SWT kepada dirinya.
Di pusat rawatan itu, kehadiran ratusan pesakit dalam sehari adalah perkara biasa. Tanpa membuat temu janji lebih awal, mungkin seseorang pesakit perlu menunggu lama.
Lokman berkongsi cerita, ketika dia berusia 40 tahun, dirinya terdetik untuk mencari sesuatu untuk mendekatkan diri dengan Allah. Pada ketika itu, dia banyak melakukan ibadah-ibadah sunat seperti puasa sunat, solat tahajud, solat taubat, membaca al-Quran setiap hari dan sentiasa berzikir.
“Paling jelas, setiap kali saya balik dari menunaikan ibadah haji atau umrah, ada merasakan peningkatan di dalam diri saya dari segi keimanan dan ilmu perubatan ini,” ujarnya jujur.
JUMLAH pesakit yang berkunjung ke Al-Hidayah terlalu ramai pada hujung minggu hinggakan ada yang terpaksa pulang.
Jenis penyakit
Menurut Lokman, di Al-Hidayah, para pesakit yang datang berjumpanya terdiri daripada 40 peratus pesakit kanser, 30 peratus sakit jantung, darah tinggi, urat saraf, sakit tulang belakang hepatitis dan 30 peratus yang mengalami gangguan sihir, santau rasuk, susuk serta saka.
Berdasarkan pengalaman bapa kepada lima orang anak itu, sesetengah pesakit yang datang tidak mengetahui penyakit yang dihidapi walaupun sudah menjalani rawatan di hospital. Hal itu memerlukannya mengenal pasti simptom penyakit menggunakan ilmu yang dianugerahkan Allah kepadanya.
“Kalau di hospital, doktor akan kenal pasti dengan menggunakan mesin dan peralatan canggih yang lain. Saya tidak menafikan kebolehan alat itu. Tetapi kadangkala, ada sesetengah penyakit yang tidak boleh dikenal pasti menggunakan mesin,” ujarnya yang memberi contoh sakit gangguan seperti sihir, iblis, jin atau lain-lain.
Bagi sakit fizikal pula, pesakit akan diperiksa dengan prosedur khas. Sekiranya pesakit itu menghidap barah, Lokman akan menerangkan kepada pesakit itu mengenai organ yang terjejas atau dijangkiti virus.
Sekali lagi menafikan penggunaan sebarang mantera, jampi serapah, tangkal mahupun buah limau seperti yang digunakan oleh bomoh atau dukun tertentu, anugerah yang dimilikinya itu adalah untuk membantu masalah kesihatan saudara seIslam yang meminta pertolongannya.
“Pernah juga pesakit bukan Islam datang berjumpa saya. Bukan tidak boleh, tetapi rawatan menjadi lebih mudah bagi pesakit Islam kerana mereka sendiri perlu membaca ayat al-Quran, memahami maksudnya, berdoa dan yakin kepada Allah.
“Mereka juga dinasihatkan untuk berwuduk, menutup aurat (bertelekung bagi pesakit wanita) dan ditemani ahli keluarga atau rakan.
Tambahnya, jika pesakit Islam itu tidak lancar membaca al-Quran, mereka boleh mengikut bacaan ibu, bapa, suami atau isteri dan juga melalui bantuan audio bacaan al-Quran.
Begitupun, para pesakit yang diberikan surah-surah untuk dibaca perlu membacanya dalam bahasa Arab. Jika membaca terjemahan ayat tersebut, ia tidak akan memberi kesan. Itulah kehebatan ayat al-Quran.
Lulusan University of New Haven, Connecticut dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) itu juga merendah diri dengan mengakui dirinya sekadar manusia biasa yang tidak mempunyai latar pendidikan dalam aliran keagamaan.
Lokman yang telah meninggalkan kerjaya selama 15 tahun di Suruhanjaya Sekuriti itu memberitahu, keikhlasan membantu orang yang memerlukan adalah sangat penting. Sama seperti orang lain, dia juga mencari rahmat dan keberkatan daripada Allah.
“Biarlah amalan itu kecil dan sedikit. Paling mustahak adalah ia perlu dilakukan secara berterusan dan bukan hanya sesekali atau mengikut mood,” katanya yang sebelum ini hanya merawat pesakit pada waktu malam hingga menyebabkan dia perlu berjaga sehingga pukul 4 atau 5 pagi.
RUANG rawatan yang bersih, tersusun dan terbuka di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.
Transformasi diri
Dalam pada itu, tugas Lokman di pusat rawatan itu turut dibantu pelakon Mohd. Ashraf Muslim, 30, dan Zulhaidi Ahmad, 38, yang telah dilatih menjadi perunding kesihatan dan juga pakar terapi.
Mengimbas kembali transformasi diri daripada seorang pelakon kepada pengamal perubatan Islam, Ashraf mengakui proses itu bukanlah sesuatu yang mudah.
“Ia satu penghijrahan diri, semua orang kena lalui. Proses perubahan itu menjadikan saya lebih kuat dan lebih arif memikirkan antara perkara salah dan betul. Walaupun sebelum ini saya ada duit, kerja, kereta, rumah dan kawan-kawan tetapi hati saya terasa kosong.
“Sampailah saya berjumpa Lokman ketika menemani adik saya berubat di tempat ini. Dia yang menasihatkan saya mendekatkan diri dengan Tuhan dengan sembahyang sunat taubat, sunat hajat dan pergi menunaikan umrah.
Menurut Ashraf, sekembalinya dari menunaikan umrah, dia berasa gembira dan tenang. Sejak itu dia mula dilatih untuk menjadi ahli terapi di Al-Hidayah.
Sementara itu, Zulhaidi pula sebelum ini, dia pernah membawa ayahnya, Ahmad Omar, 62, untuk berubat secara Islam selepas rawatan di hospital tidak lagi memberikan khabar gembira.
“Sejak 20 tahun lalu, ayah saya menghidap penyakit kencing manis. Kemudian selepas menjalani diagnosis susulan, buah pinggangnya pula didapati rosak. Jadi ayah perlu melakukan dialisis, tetapi doktor memberitahu proses itu boleh menjadikan jantungnya lemah. Jika diabaikan pula, buah pinggang akan bertambah rosak,” ujarnya.
Bimbang berlaku rantaian komplikasi seterusnya, Zulhaidi membawa ayahnya bertemu Lokman.
“Selepas berjumpa dan mendapat rawatan menggunakan surah-surah khusus, keadaan ayah saya bertambah baik. Doktor di Institut Jantung Negara (IJN) juga terkejut apabila mendapati hasil ujian pemeriksaan kesihatan ayah menunjukkan dia semakin pulih,” katanya yang nekad berhenti kerja sebagai Pengurus Senior bahagian teknologi maklumat (ICT) di sebuah syarikat swasta untuk berkhidmat di klinik Lokman.
Lulusan Teknologi Maklumat dari Universiti of Rhode Island, Amerika Syarikat itu kemudiannya mendalami ilmu agama dan berkhidmat bersama Lokman demi membantu merawat saudara Islam yang lain.
“Asalnya saya pun tidak lancar membaca Al-Quran dan tidak mempunyai kefahaman yang tinggi mengenai kandungannya, tetapi Alhamdullillah selepas belajar dengan ayah saya dan Lokman, saya kini boleh membantu orang lain,” katanya yang mengakui kehidupannya kini lebih tenteram.
Tempat terbuka
AYAT-AYAT al-Quran mempunyai ‘khasiat’ istimewa dalam penyembuhan penyakit.
Dalam pada itu, menurut pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah, cara perubatan Islam yang sebenar seharusnya menggunakan ayat al-Quran sepenuhnya serta bahan-bahan yang tidak syirik seperti akar kayu dan buah-buahan daripada kayu seperti habatus sawda.
Tambah beliau, penggunaan bunga dan limau nipis juga tidak salah sekiranya ia diperlukan untuk sesetengah jenis penyakit.
Walau bagaimanapun beliau berkata, penggunaan bahan tersebut hanya sebagai sampingan kerana ayat al-Quran yang telah diturunkan Allah SWT dalam kitab suci adalah penawar terbaik.
Selain itu, rawatan yang dilakukan itu mestilah di tempat terbuka dan di hadapan orang ramai untuk mengelakkan timbulnya fitnah atau syak wasangka.
Mohd. Daud turut menerangkan bahawa ahli terapi cara Islam juga dibolehkan memegang pesakit bagi sesetengah penyakit yang memerlukan sentuhan seperti untuk mengenal pasti penyakit atau dirasuk jin. Dalam kes seperti itu, ahli terapi perlu memegang pesakit untuk menarik jin itu keluar tetapi dengan izin muhrim bagi pesakit perempuan.
Terang Mohd. Daud, firman Allah dalam surah al-Isra ayat 84 hingga 88 memberi maksud bahawa al-Quran bukanlah sekadar petunjuk dalam merencanakan kehidupan yang diredai malah turut menjadi penyembuh pelbagai penyakit manusia.

Sunday, May 8, 2011

Masjid bak sangkar burung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TINGKAT atas masjid dijadikan dewan solat yang boleh memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa.
BEGITU istimewa dan nostalgik. Itulah yang terpacul daripada bibir penduduk Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar setiap kali memperkatakan Masjid Ihsaniah Iskandariah. 
Frasa tersebut berkait dengan pelbagai faktor. Antaranya keunikan seni bina, sejarah, kenangan dan hubungan istimewa masjid itu dengan Istana Perak.
Abd. Moin Lamat, 67, yang dilahirkan selepas lapan tahun masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Lama Kuala Dal itu siap dibina memberikan perinciannya.
“Jika mahu lihat seni bina Melayu Perak, lihatlah masjid ini. Apatah lagi ia satu-satunya masjid di dunia yang mempunyai dinding tepas iaitu diperbuat daripada anyaman buluh.
“Ia bertambah unik kerana bangunannya berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah seperti masjid lain,” ujarnya kepada Jurnal.
Ketua Kampung Dal itu menambah, reka bentuk masjid dua tingkat itu juga menyerupai sangkar burung sementara tingkapnya dihiasi ukiran.
Bumbungnya kelihatan rata manakala dinding tepas masjid itu diperbuat daripada buluh minyak dengan motif geometri Arab.
Selain itu, masjid berkenaan mempunyai 20 tingkap berdaun yang bermotifkan pucuk kacang, bulan sabit dan bintang manakala bumbung zinknya berbentuk limas.
“Semua struktur bangunan termasuk kelarai dibina dan diukir oleh tukang kayu tempatan terkenal seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah,” jelasnya.
Dahan durian
Banyak kenangan dan sejarah disimpan Masjid Lama Kuala Dal yang kini meniti usia 75 tahun.
Dipendekkan cerita, ia merangkumi tiga fasa iaitu dari tahun 1930-an sehingga 1976, zaman kesuraman dari lewat 1970-an hingga 2009 dan kini zaman kebangkitan semula.
REKA bentuk binaan masjid dua tingkat ini juga menyerupai sangkar burung dan tingkapnya dihiasi ukiran.
Abd. Moin memberitahu, pada zaman kegemilangannya, masjid itu pernah menjadi nadi kerukunan dan simbol agama penduduk Kampung Kuala Dal.
Tingkat atas masjid itu menempatkan dewan solat yang boleh memuatkan 200 orang jemaah pada satu-satu masa. Tingkat bawah pula dijadikan dewan untuk perjumpaan dan melakukan aktiviti kemasyarakatan serta persidangan pembesar negeri Perak.
“Namun, kegemilangan Masjid Lama Kuala Dal pudar apabila sebahagian strukturnya rosak teruk akibat dihempap dahan durian sekitar tahun 1976.
“Kejadian itu menyebabkan masjid itu ditinggalkan dan diganti dengan sebuah masjid baru yang lebih besar yang dibina bersebelahannya,” kata Abd. Moin.
Masjid baru itu didirikan di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Pengerusi Masjid Lama Kuala Dal pada masa itu, Abdul Wahid Abdul Daud.
Bagaimanapun, setelah lebih tiga dekad terbiar uzur dan hampir menyembah bumi, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja konservasi untuk membaiki kerosakan struktur bangunan tersebut.
Masjid itu kemudian digazet sebagai bangunan warisan negara. Kerja-kerja konservasi siap sepenuhnya pada Julai 2009 sebelum diserahkan semula kepada Kariah Masjid Al-Wahidiah oleh Pesuruhjaya Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid dalam satu majlis khas pada 17 Disember tahun yang sama.
Kemuncak kebangkitan semula masjid itu ialah Jumaat lalu apabila ia dirasmikan kembali oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Warisan
“Perasmian semula Masjid Lama Kuala Dal oleh Tuanku begitu signifikan.
“Masjid itu sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan kerabat diraja Perak,” ujarnya.
Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah bukan sahaja menitahkan pembinaan masjid tersebut malah turut memberi ilham kepada reka bentuknya.
Bagindalah juga yang membiayai kos menyiapkan masjid itu sebanyak 8,000 pound sterling. Binaan masjid itu diinspirasikan daripada seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Sultan Iskandar juga merasmikan masjid yang mengabadikan nama baginda pada 11 Februari 1938, kira-kira lapan bulan sebelum kemangkatan baginda.
Tandas masjid turut bertemakan buluh tepas
Mengikut sejarahnya, Sultan Iskandar telah bernazar untuk membina sebuah masjid jika anakanda baginda sembuh daripada gering.
Kampung Kuala Dal dipilih selepas baginda melihat penduduk kampung berkenaan bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang daripada berkelah di Lata Bubu yang terletak tidak jauh dari situ.
Masjid itu dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan, Juragan Abdul Shukur Mohammmad Ali.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Wahidiah, Mohamad Anuar Abu Bakar, 61, berkata, sejak diserahkan oleh Jabatan Warisan Negara dua tahun lalu, pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan telah dijalankan di Masjid Lama Kuala Dal.
Antaranya, bacaan tahlil dan Yasin, pertandingan nasyid, ceramah agama dan mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan.
“Di samping itu, ahli jawatankuasa masjid dengan kerjasama naib kadi daerah bercadang untuk memperkenalkan pakej pernikahan di situ dalam masa terdekat.
“Idea itu timbul berikutan permintaan daripada ramai bakal pengantin terutamanya dari kariah ini untuk mengabadikan masa bahagia mereka di persekitaran masjid yang unik itu,” jelas beliau.

Mohamad Anuar menjelaskan, pakej tersebut turut meliputi penyediaan makanan untuk maksimum 100 tetamu.
Tambahnya, kesedaran orang ramai termasuk pelancong asing tentang kewujudan masjid warisan itu semakin bertambah selepas lawatan mengejut Sultan Azlan Shah ke masjid itu pada 1 Mac tahun lalu.
Sejak itu, semakin ramai pelancong yang singgah ke situ untuk mengambil gambar kenangan.

Monday, April 25, 2011

kamera tersembunyi mudah didapati di pasaran

Membaca artikel di mStar tentang Anda juga boleh jadi spy! Ada beberapa jenis kamera tersembunyi dalam pelbagai bentuk yang mudah didapati, mudah dimiliki kerana berada di pasaran terbuka. Harganya murah dan dijual di sekitar Jalan Pasar di  Kuala Lumpur. 

Khabarnya terdapat pelbagai bentuk pelbagai jenis dan saiz kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan kawalan keselamatan.

Menurut penulis artikel berkenaan; sebaik saja  melangkah masuk, terdapat beberapa rak kaca turut mempamerkan beberapa produk lain seperti paket gula-gula getah, tali leher dan pemetik api.

Jenis-jenis butang bagi lensa kamera intip.


Beg kecil dilengkapi dengan kamera intip..

Di sebalik alat yang digunakan untuk memadam kebakaran ini tersembunyi sebuah kamera intip.


Pasti ada kebaikan dan keburukan bila ingin memiliki kamera atau ingin menjadi spy..privacy sudah tidak menjadi privacy lagi. dan boleh jadi maruah dan hak peribadi seseorang akan terjejas disebabkan oleh niat jahat orang lain. dan kita perlu berhati-hati!!!

Sunday, April 24, 2011

Ashraf Pilih Dayana

BAKAL MEMPELAI... Ashraf dan  Noor Dayana bercadang di satukan di Makkah.
BAKAL MEMPELAI... Ashraf dan Noor Dayana bercadang di satukan di Makkah.
GOMBAK: Siapa sangka hubungan sebagai adik angkat kepada keluarga Lokman Abdul Hamid yang membimbingnya dalam rawatan perubatan Islam sejak dua tahun lalu, membawa jodoh buat artis Ashraf Muslim.
Hubungan akrab dengan keluarga itu membuahkan bibit cinta antara pelakon berusia 30 tahun itu dengan anak kedua Lokman, Noor Dayana, 24, yang juga pelajar Jurusan Perubatan di Universiti Mannipal, India.

Pelakon utama drama Ustaz Amirul itu selamat mengikat tali pertunangan dengan gadis berkenaan di rumah keluarga Noor Dayana di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, di sini, jam 9.30 pagi semalam.

Pasangan itu kelihatan segak dan anggun apabila mengenakan busana tradisional moden berwarna putih rekaan pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail, manakala pelamin disediakan Azmi Othman. Cincin pertunangan disarungkan ke jari Noor Dayana oleh ibu saudara Ashraf, Fatimah Azim.

Pertukaran hantaran menyaksikan pengacara Gadis Melayu TV9 musim ketiga itu memberi lima bentuk hantaran iaitu buah-buahan, sirih junjung, bekas cincin, kek dan coklat, manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang berisi alat perapian lelaki, sirih junjung, coklat, kek, pakaian, samping dan bekas cincin.

Majlis pertunangan yang dibuat secara tertutup untuk ahli keluarga, rakan terdekat dan pihak media, turut disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Ditanya lanjut mengenai bakal isterinya, Ashraf berkata, Dayana yang kini menjalani praktikal di sebuah hospital di Melaka memiliki ciri wanita idamannya, malah mereka juga berkongsi minat serupa iaitu dalam bidang perubatan.

“Ciri-ciri Dayana yang merendah diri, bertudung, solehah dan sedap mata memandang merebut hati saya. Keserasian yang ada membuatkan kami yakin untuk bersatu,’’ katanya.

Pasangan yang merahsiakan jumlah wang hantaran itu bercadang menaiki jinjang pelamin pada 1 Syawal (30 Ogos) di Masjidil Haram, Makkah.

“Kami ingin menurut sunnah nabi dan sahabat yang memilih tempat suci itu untuk berkahwin. Selepas diijab kabul saya akan buat tawaf, solat sunat dan selepas itu baru akan membatalkan air sembahyang,’’ katanya yang kurang mengambil tawaran berlakon kerana mahu menumpukan perhatian kepada pusat perubatannya.

Selepas pertunangan, Ashraf turut memperkenalkan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah yang dikongsi bersama bakal bapa mentuanya bersebelahan kediaman itu. Pusat Perubatan itu dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata, mukjizat al-Quran seharusnya diterapkan pada rawatan moden kerana ia dapat mengembalikan zaman kegemilangan Ibnu Sina. Doktor dan cendikiawan Islam itu menggunakan ayat al-Quran dalam kaedah rawatan moden.

Pusat perubatan berkenaan yang ditubuhkan pada 2000 memberi perkhidmatan perubatan melalui rangkaian ayat al-Quran untuk merawat pelbagai penyakit fizikal, rohani dan akhlak.

Kini ia mempunyai cawangan di sembilan lokasi iaitu Kuala Terengganu, Melaka, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Langkawi dan Singapura.


myMetro

Taufan hitam


Foto
Pengunjung merakamkan jutaan kelawar keluar berterbangan di Gua Rusa.

Foto
Keunikan stalatit dan stalagmit memukau setiap pengunjung.

 Foto

Kelawar antara tarikan Taman Negara Mulu

SARAWAK antara destinasi tumpuan dunia yang hebat dengan panorama alam sekitar, keunikan pribumi serta peninggalan sejarah kesan penaklukan peradaban silam. Di mana-mana saja sekitar negeri bergelar Bumi Kenyalang ini, pasti ada keistimewaan tersendiri yang sudah sekian lama menarik kunjungan jutaan pelancong dari dalam dan luar negara.

Jika bandar raya Kuching gah dengan saki baki bangunan lama peninggalan silam era pemerintahan James Brook, Taman Negara Mulu (TNM) pula menyimpan khazanah keajaiban alam yang tidak terjangkau dek fikiran manusia.

Berkeluasan 52,865 hektar, TNM terkenal dengan gua prasejarah yang menawarkan pengunjung satu pakej kembara dan pengalaman menarik yang pasti tidak mudah dilupakan. Sebelas tahun lalu, TNM mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Penulis berpeluang mendekati keajaiban alam itu bersama peserta program Sarawak Update & Travel Mart 2010, baru-baru ini. Program yang dianjurkan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) Sarawak bersama Tourism Malaysia Sarawak ini bertujuan menyemarakkan lagi pencapaian sektor ekonomi industri pelancongan di Bumi Kenyalang.

Sepanjang di sana, kami diiringi Timbalan Pengarah Pelancongan Sarawak, Rizal Mas dan empat pegawainya, David Ateng Dominick, Siti Zakiah Minggu, Nazasheera Shafiee dan Beatrice Nuing meneroka gedung arkeologi di TNM, antaranya Gua Rusa, Gua Lang, Gua Air Jernih dan Gua Angin.

Paling menonjol, Gua Rusa yang sejak sekian lama menjadi antara koleksi tumpuan eksplorasi terhebat yang mampu memukau setiap pengunjung. Sepanjang laluan hampir 30 minit menghala ke pintu masuk Gua Rusa, kemudahan pelantar kayu disediakan bagi menjamin keselesaan pejalan kaki, menjadikan perjalanan tidak terasa penatnya. 

Ikuti keistimewaan Gua Rusa serta tiga lagi rangkaian gua paling menarik di TNM.

Gua Rusa

Sebagai mukadimah, perjalanan ke Gua Rusa disajikan dengan suara gemersik unggas kecil dan burung penghuni setia hutan simpan kekal ini. Bagi penggemar kembara alam flora dan fauna, masa yang ada dirasakan terlalu singkat untuk menghayati kehijauan rimba. Percaya atau tidak jika dikatakan setiap langkah menyusuri laluan hutan ini, pasti ada saja objek yang mahu dirakamkan untuk koleksi fotografi.

Gua batu kapur ini dianggarkan seluas 174 meter lebar dengan ketinggian mencecah 122 meter dan berada dalam kelompok carta gua terbesar di dunia. Lebih menakjubkan apabila dikatakan gua ini mampu memuatkan lebih daripada lima bangunan besar!

Jurupandu pelancong, Richard Burong, berkata suatu masa dulu, Gua Rusa dikatakan sentiasa dipenuhi kawanan rusa yang berkumpul untuk mendapatkan air garam mineral. Secara berjenaka, beliau berkata, pemburu boleh memilih apa saja saiz rusa yang dikehendaki, pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.

“Sebab itu, pemburu dan penduduk setempat menamakan lokasi ini sempena hidupan liar berkenaan,” katanya.

Itulah kisah yang disampaikan turun-temurun mengenai asal usul Gua Rusa, namun paling menarik bukannya cerita mengenai rusa itu, sebaliknya keindahan persekitaran gua ini yang begitu mengasyikkan.

Sebaik memulakan perjalanan masuk ke dalam, lampu suluh dihidupkan tertumpu ke arah dinding batu. Tatkala menjengah masuk, kelihatan pembentukan batu kapur seakan ukiran indah yang tiada penghujungnya. Gua Rusa menampilkan sudut geologi mempesonakan, termasuk pembentukan tiga lapisan batu kapur.

Pada sebelah petang, satu lagi tarikan istimewa menanti pengunjung ketika berkumpul semula di depan pintu masuk. Jangan terkejut dengan bunyi bingit putaran ‘taufan hitam’ yang sebenarnya adalah kawanan kelawar spesies ‘Chaerephon plicata’ yang terbang keluar masuk berulang kali.

Acara ‘persembahan’ oleh kumpulan kelawar ini dianggap kemuncak kembara buat pelancong yang menjejakkan kaki di sini. Bayangkan keadaannya apabila lebih tiga juta kelawar terbang berulang alik hampir satu jam untuk mencari makanan di atas kepala anda.

Untuk menyaksikan pemandangan menakjubkan ini, pengunjung dinasihatkan berada di luar gua sekitar jam 6 hingga 7 malam. Suasana menakjubkan ini nyata memberi dimensi baru dalam penaklukan kembara anda sepanjang kunjungan di Bumi Kenyalang.

Gua Lang

Jika masih mempunyai stamina dan inginkan cabaran seterusnya, paling hampir dengan Gua Rusa adalah Gua Lang yang menjanjikan kelainan dari sudut perspektif gua batu kapur. Walaupun lebih kecil berbanding Gua Rusa, Gua Lang menyajikan kehebatan pembentukan stalaktit dan stalagmit yang luar biasa.

Setiap titisan air yang mengalir di celah dinding gua mengandungi molekul halus debu batu kapur yang mengambil masa ratusan tahun untuk bercantum.

Gua Angin

Masuk hari kedua, kembara kami diteruskan dengan menaiki bot merentas Sungai Melinau. Sepanjang 15 minit di atas bot, pengunjung dapat merasakan kesegaran udara di samping menghayati kehijauan ekosistem hutan simpan yang pantas menyuntik ketenangan.

Sebaik berdiri di depan pintu Gua Angin, pengunjung dapat merasa hembusan angin segar dari celah ruang sempit dinding gua. Rasa ingin tahu mendorong penulis menjelajah isi perut gua batu kapur ini, perlahan-lahan menuruni anak tangga sambil mengamati keindahan yang ada.

Gua Air Jernih

Gua ini mempunyai terowong sejauh 75 kilometer, iaitu yang terpanjang di Asia Tenggara. Laman sistem gua bawah tanah ini meliputi hutan hujan tropika yang luas. Paling menarik, sebuah jambatan dibina buat pengunjung menyaksikan aliran air sejuk mengalir keluar ke Sungai Melinau.

Kembara di Gua Air Jernih tidak lengkap rasanya jika tidak membasahkan diri. Sambil berenang dapat juga menyaksikan kehijauan alam serta merasai kedinginan air Sungai Melinau.

INFO: Produk pelancongan menarik di Sarawak

  Kuching

  Kuching Waterfront

  Muzium Kuching dan Muzium Cina

  Pusat Hidupan Liar Semenggoh

  Taman Negara Bako

  Taman Negara Gunung Gading

  Pusat Hidupan Liar Matang

  Taman Negara Pulau Satang dan Talang

  Kampung Budaya Sarawak

  Menyusur sungai

  Borneo Highland Resort

  Rumah panjang tradisional

  Bazar

  Pantai Damai dan Santubong

  Golf dan hidupan liar Santubong

Sibu

  Persiaran Rejang

  Taman Kabus

  Eng Ann Tua Pek Kong

  Pusat bandar Sungai Merah

  Pasar Besar

  Pasar Jubli Bukit Aup

Sri Aman

  Taman Negara Batang Ai

  Rumah Panjang Safari

Bintulu

  Taman Negara Similajau

  Taman Tumbina

Miri

  Bandar lama Miri

  Menara Grand Old Lady

  Lokasi menyelam Luconia Shoals

  Taman awam Miri City Fan

  Persiaran Luak Bay

  Taman Negara Loagan Bunut

  Taman Negara Mulu

  Taman Negara Niah

  Miri Reef

Baram

  Tanah tinggi Bario

  Ba’kelalan

Kelandar Pelancongan Sarawak 2011

  Pameran Kuching Antarabangsa; 16 April.

  Pesta Kaul Mukah di Pantai Kala Dana, Mukah; 27 April-1 Mei.

  Festival Jazz Antarabangsa Miri di Parkcity Everly Hotel, Miri; 13-14 Mei. Layari www.mirijazzfestival.com.

  Pesta Menuai Sedunia di Kampung Budaya, Kuching; 28-29 Mei. Layari www.whf.com.my.

  Pesta Irau Aco Lun Bawang di Bandar Lawas; 31 Mei-2 Jun.

  Festival Gawai Dayak; 1 Jun.

  Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia di Kampung Budaya, Kuching; 8-10 Julai. Layari www.rainforestmusic-borneo.com.

  Cabaran Kapal Layar Antarabangsa Borneo di Miri Marina, Miri; 24-30 Julai. Layari www.borneorace.com.

  Seminar Antarabangsa Borneo Beads di Miri; 8-9 Oktober. Layari www.crafthub.com.my. 

Oleh Nor Shahfizan Hasim
nshahfizan@bharian.com.my 
Berita Harian
2011/01/30

Tanda Jauh Daripada Allah

TAHUKAH ANDA? SESUNGGUHNYA MEREKA YANG BERBUAT DOSA..SENTIASA GEMBIRA.. TETAPI DALAM MASA YANG SAMA MEREKA SEDANG MENERIMA PEMBALASAN ALLAH SWT..TETAPI MEREKA TIDAK MENYEDARINYA...



bagaimana nak tahu?..

simptom2nya selalu sudah ditunjukkan tetapi manusia tak sedar kerana hatinya gelap , matanya dibutakan , akalnya dipendekkan , dan syaitan sentiasa ingin menemaninya 24 jam sehari..

nauzubillah..

Antara simptom2nya adalah..
1. fikiran serabut,
2. cepat marah..
3. selalu merasa bosan..
4. poket kering....
5. hutang keliling pinggang....
6. datang penyakit ...
7. hilang/pudar kecantikan dalaman dan luarannya...
8. dihina dan dipinggir orang....
9. wajahnya penuh kusut dan kusam...
10. dia senyum dan ketawa di hadapan orang tetapi dia menangis apabila dia sendirian...
11. masalah datang bertimpa2....
12. lambat jodoh...
13. tidak mendapat zuriat...
14. tidak merasa puas...
15. keliru dengan identiti /keinginan dalam hidup...
16. bahagia yang sementara...
18. sering ada penghalang dalam urusan kehidupan...
19. nikmat ALLAH yang sedia ada di hadapannya dilihat satu perkara yang biasa2 sahaja..dan tidak merasa bahagia dengannya...
20. menunaikan tanggungjawab dengan hati yang terpaksa dan tidak ikhlas....

ada banyak lagi..ttp semoga ini dpt membantu kita muhasabah diri dan nilaikan adakah ia berlingkar dlm kehidupan kita.....wallahualam

Jika anda sedar kebanyakannya ada dlm kehidupan, maka cepat2 cari dan usahakan untuk melihat ALLAH, untuk dekat dengan ALLAH, untuk merasai cinta ALLAH..insyallah ia akan membuat kamu sujud bertaubat kpd ILLAHI dan mengubah kehidupanmu buat selama2nya..ameen

:-  terima kasih pd penulis asal .... bg saya...ilmu yg baik elok d kongsi bersama...semoga kita semua mndapat hidayahNya......ameen.

Pengantin termahal


Foto
GAMBAR atas, Pengantin termahal Seemanto dan Sushanta Roy bernilai RM386 juta pada tahun 2004. Gambar bawah, Pasangan Sheikh Mohammed Rashid dan Sheika Hind bernilai RM300 juta pada 1981.

Foto
GAMBAR kiri, Hartawan Russia, Andrei dan isterinya. Gambar kanan, Putera Charles dan bekas isterinya, mendiang Puteri Diana.

Foto
Putera William dan Kate Middleton.


Hadiah siling emas, 10,000 tetamu termasuk pengemis pelengkap majlis kahwin RM386 juta

TANYALAH siapa saja mengenai impian perkahwinan, pasti jawapan yang diberi hampir sama. Semua impikan perkahwinan serba sempurna, mewah dan meriah. Tidak kurang yang mahu menobatkan majlis perkahwinan masing-masing sebagai 'Wedding of the Year.'

Malah, demam perkahwinan ‘Wedding of The Year’ itu kian terasa berikutan semakin hampirnya detik perkahwinan kerabat diraja Britain yang tidak kurang popularnya - Putera William dengan pasangannya, Kate Middleton, Jumaat depan.

Ketika pasangan diraja itu dilaporkan lebih mengamalkan sikap berjimat, tetapi sudah ada laporan menyatakan anggaran kos keseluruhan perkahwinan itu hampir RM160 juta biarpun jumlah sebenarnya tidak dapat dipastikan.

Namun, timbul pertanyaan, perkahwinan siapakah yang selayaknya dinobatkan paling hebat atau mahal di dunia setakat ini? Sempena ‘mood’ perkahwinan diraja yang diikuti rapat ramai, apa kata kita selami kehebatan perkahwinan yang dinobatkan majlis perkahwinan paling mahal di dunia, setakat ini.

Pasti ramai yang terkejut kerana status hebat itu dimiliki bukan seorang kerabat diraja dan bukannya rakyat negara maju sebaliknya dari dunia ketiga.

Baca selebihnya di Berita Harian 24/04/2011

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails