Tuesday, November 30, 2010

Mengapa Saya Masuk Islam - Yusuf Islam

altSaya dilahirkan dalam sebuah rumah yang penghuninya beragama Kristian. Diajar bahawa tuhan itu wujud, tetapi kita tidak ada hubungan secara langsung dengan tuhan.

Lantas kita perlu mewujudkan satu cara untuk menghubunginya, iaitu melalui Jesus. Dan apabila mereka mengatakan yang tuhan itu tiga, saya menjadi lebih bingung tetapi saya tidak mampu membantah atau membahaskannya.

Namun, sedikit demi sedikit, saya mendapati diri semakin jauh daripada pendidikan yang berbentuk agama ini.

Saya mula mencipta muzik dan mahu menjadi seorang bintang terkenal. Akhirnya, saya berjaya menjadi seorang yang sangat terkenal.

Pada waktu itu, saya berusia belasan tahun tapi nama dan gambar terpampang di semua bentuk media.

Mereka membuat saya lebih besar dan kerana itu saya juga mahu hidup dengan cara yang lebih besar daripada hidup yang sebenarnya, dan satu-satunya cara untuk mendapatkannya ialah dengan menikmati arak dan dadah.

Selepas setahun berjaya menikmati kemewahan dan hidup secara high, saya sakit teruk dijangkiti penyakit TB dan perlu dirawat di hospital.

Kemudian, tiba satu ketika apabila saya rasa agama Buddha itu nampak baik dan mulia, tetapi saya masih belum bersedia menjadi seorang sami Buddha dan memisahkan diri daripada masyarakat sepenuhnya.

Saya mencuba pula Zen dan Ching, numerologi, kemudian kad-kad pakau dan astrologi. Saya cuba membuka semula kitab Bible tetapi tidak menjumpai apa-apa. Pada waktu itu, saya masih tidak tahu sesuatupun tentang Islam.

Titik Permulaan

Kemudian satu keajaiban berlaku. Abang saya melawat sebuah masjid di Jerusalem. Dia begitu kagum dengannya. Masjid itu dirasakan penuh dengan kehidupan (tidak seperti gereja-gereja dan rumah-rumah biara yang dirasakan kosong), aman dan tenang.

Dia memberikan saya senaskah terjemahan al-Quran yang dibawanya dari sana. Dia tidak pula menjadi seorang Muslim tetapi dia dapat merasakan yang ada sesuatu dalam agama itu, dan dia fikir mungkin saya akan menjumpai sesuatu juga.

Apabila saya terima kitab itu, saya mendapat petunjuk yang bakal menerangkan segala-galanya kepada saya - siapa diri saya, apakah tujuan hidup di dunia, apakah sebenarnya hakikat hidup dan apakah hakikat yang akan berlaku, dan di mana saya datang. Saya sedar bahawa inilah agama yang benar; agama yang bukan dalam erti kata yang difahami oleh Barat, bukan agama yang hanya berguna untuk masa tua anda.

Perkara pertama yang ingin saya lakukan pada waktu itu ialah menjadi seorang Muslim.

Pada tahap ini juga, saya mula menemui keyakinan. Saya merasakan sudah pun menjadi seorang Muslim. Apabila saya membaca kitab al-Quran itu, barulah saya sedar bahawa kesemua para nabi yang diutus Allah itu membawa ajaran yang sama.

Lantas, mengapakah penganut Kristian dan Yahudi saling tidak sefahaman? Sekarang saya tahu bagaimana orang Yahudi tidak mahu menerima Jesus sebagai utusan Tuhan dan mereka juga telah menukar ayat-ayat Tuhan.

Penganut Kristian salah faham akan ayat-ayat Tuhan dan menganggap Jesus anak Tuhan. Kesemuanya masuk akal dan begitu mudah difahami.

Inilah keindahan al-Quran. Ia membuat anda berfikir dan mencari jawapan, dan tidak menyembah matahari atau bulan tetapi Tuhan yang Esa yang telah menciptakan segala-galanya.

Apabila saya lebih banyak membaca kitab al-Quran, ia menceritakan pula tentang sembahyang, sifat pemurah dan sifat suka berbuat baik.

Saya masih belum menjadi seorang Islam lagi, tetapi saya sudah dapat merasakan bahawa satu-satunya jawapan untuk saya ialah al-Quran; bahawa Tuhan telah menghantarnya kepada saya, dan saya menyimpannya sebagai satu rahsia. Tetapi al-Quran itu juga berkata-kata pada beberapa peringkat yang berlainan. Saya mula memahaminya pada peringkat yang lain pula.

Al-Quran mengatakan, "Mereka yang beriman tidak menjadikan orang kafir sebagai temannya dan orang beriman itulah saudaranya."

Pada tahap itulah, timbul keinginan saya untuk bertemu dengan saudara-saudara selslam.

Melawat Jerusalem

Saya melawat Jerusalem (sepertimana yang dilakukan abang saya). Di Jerusalem, saya masuk ke dalam masjid dan duduk. Seorang lelaki datang menghampiri dan bertanya apa yang saya mahu. Saya beritahu dia yang saya seorang Muslim. Dia bertanya lagi, apakah nama saya. Saya jawab, "Stevens". Dia kelihatan keliru. Setelah itu, saya menyertai sembahyang berjemaah, walaupun tidak begitu menjadi.

Peristiwa ini berlaku pada tahun 1977, lebih kurang satu setengah tahun selepas saya menerima al-Quran daripada abang saya.

Lantas, pada satu hari Jumaat, iaitu selepas menunaikan sembahyang Jumaat, saya pergi bertemu imam Masjid New Regent dan melafazkan syahadah di tangannya.

Saya telah menjadi seorang yang memiliki kemasyhuran dan kemewahan. Tetapi saya begitu sukar mendapatkan petunjuk, walau bersungguh-sungguh saya cuba mendapatkannya, sehinggalah saya ditunjukkan dengan al-Quran.

Sekarang saya sedar bahawa saya boleh berhubung secara langsung dengan Tuhan, tidak perlu menggunakan perantara. Islam mengangkat semua halangan ini.

Saya tidak pernah berjumpa orang Islam sebelum saya memeluk agama suci ini. Saya lebih dahulu membaca al-Quran dan menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini.

Hanya Islam yang sempurna, dan sekiranya kita semua meniru akhlak Rasulullah s.a.w., kita akan berjaya.

Moga-moga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya untuk menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w.. Amin!

iluvislam.com

Sunday, November 28, 2010

Tinjau khazanah Tasik Kenyir

Tinjau khazanah Tasik Kenyir

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID

Selain bersuka ria di pekarangan resort, ada yang memilih untuk memancing, meredah keluasan tasik, meneroka gua ataupun bersendirian atas penginapan bot.

KALI ini persinggahan EKSTRA ialah Tasik Kenyir, Terengganu. Terpegun dalam pesona, nyata sekali kawasan takungan air seluas 260,000 hektar itu telah menyuburkan warisan alam semula jadi yang ada di sekelilingnya.

Tidak hairan jika sudah bertahun-tahun lokasi itu memukau hati ramai pengunjung hanya kerana pandangan kali pertama.

DI SEBALIK ketenangan air Tasik Kenyir, siapa sangka di dalamnya terdapat lebih 300 spesies ikan.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana kawasan yang luas dan berbukit-bukit akhirnya berubah menjadi beratus-ratus buah pulau gara-gara ditenggelami air.

Didorong prospek pelancongan yang menggalakkan, sebahagian daripada pulau itu kini telah dibangunkan dengan kemudahan penginapan dan juga tarikan pengembaraan lain.

KENALI proses formasi batu dan hubungan biologi kehidupan di dalamnya.

“Tasik Kenyir adalah untuk mereka yang gemar pada ketenangan alam. Begitu juga dengan yang gila memancing.

“Saya sendiri kalau tidak bertugas atau beristirehat di pulau peranginan di perairan laut, akan menghabiskan masa berkhemah di pinggir tasik ini,” ujar Pengarah Urusan Ayu Mayang Resort di Pulau Redang, Yap Chuan Bin.

KETENANGAN yang menanti di sudut terlindung jaringan sungai.

Begitu sekali tarikan kawasan akuatik di utara bumi Darul Iman ini. Dengan panggilan 340 buah pulau di tengah tasik, 14 air terjun, beberapa jeram serta sungai, Tasik Kenyir sememangnya menyimpan ribuan khazanah alam yang berharga.

“Orang sepatutnya menghargai simfoni semula jadi seperti bunyi unggas dan serangga, kesegaran udara dan juga kedamaian yang dipersembahkan kepada semua. Hormatilah alam yang indah ini,” tambah Yap.

GAYA hidup atas bot boleh dicuba bagi yang mahukan kelainan.


Sama seperti pejuang alam sekitar yang lain, lelaki yang ditemui ini kurang bersetuju dengan pengusaha pelancongan atau resort yang mengganggu aturan itu dengan operasi karaoke, pusat hiburan dan ekspedisi pacuan empat roda yang melampau.

Memang benar, hutan hujan yang menyumbangkan kesegaran oksigen di Tasik Kenyir turut menjadi habitat bagi pelbagai hidupan flora dan fauna.

Pasti seronok para pencinta alam jika menemui spesies pokok pakis yang jarang ditemui, anggerik eksotik, atau unggas dan haiwan seperti enggang, gajah, cempelai dan juga harimau kumbang.

Mengikut brosur promosi pelancongan yang dipetik daripada rekod Jabatan Perhilitan, Tasik Kenyir dan belantara di sekelilingnya menjadi rumah bagi lebih daripada 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies pokok dan tumbuhan termasuk 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.

Bagaimana agaknya aksi dan cabaran menaikkan baung, lampam, toman dan kelah di sini? Kajian terkini mendapati terdapat kira-kira 300 spesies ikan air tawar membiak di dalam Tasik Kenyir.

Kalau belum menandakan lokasi ini dalam rencana kunjungan akan datang, mungkin statistik itu membuatkan jantung si kaki pancing berdegup lebih kencang!

Bersiar dengan bot, berkayak, merentas hutan, ekspedisi pacuan empat roda dan panggilan padang golf adalah antara senarai riadah dan rekreasi yang popular di sekitar tasik yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara melalui Tanjung Mentong ini.

Jika kawasan perkhemahan dan trek merentas hutan mudah disertai di sepanjang Sungai Saok, Lasir, Cacing, Lawit, Petang, Terenggan, Tembat dan Pulau Poh, aktiviti rentas hutan yang ekstrem pula menanti di trek laluan ke puncak Gunung Gagau.

Tidak ketinggalan ialah aktiviti meneroka gua. Selain Gua Taat, Gua Bewah sangat diingati kerana kisah kehidupan manusia prasejarah banyak diceritakan sepanjang usia kewujudannya.

Kedua-dua gua itu antara yang masih boleh dikunjungi ‘isi perutnya’ kerana tidak ditenggelami air sejak pembinaan Empangan Kenyir.

Di Tasik Kenyir, pengunjung tidak perlu khuatir akan soal penginapan. Di sini terdapat pilihan penginapan bertaraf tiga bintang yang masing-masing bersaing menawarkan kemudahan bernilai tambah.

Paling popular dan mungkin menghampakan pengunjung yang terlewat menempah pada musim tertentu tentunya penginapan gaya calet tradisional.

Baik yang dibina di atas pulau, gaya terapung seperti rumah bot ataupun yang terperosok sedikit ke dalam redup rimba, semuanya sedia dihuni.

“Antara perkara yang menjadi faktor dalam membuat keputusan penginapan ialah kemudahan dalam bilik, panorama persekitaran, arah matahari terbit, lokasi memancing, aspek privasi dan juga jarak perjalanan dari Jeti Gawi,” kata Azmi Mohd., dari agensi pelancongan Ping Anchorage Travel & Tours Sdn. Bhd.

Memetik perancangan kerajaan negeri melalui kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tahun lalu, Tasik Kenyir dijangka muncul dengan tarikan baru iaitu aktiviti jelajah pulau.

Sebanyak 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara Tasik Kenyir akan dibangunkan mengikut tema tertentu.

Projek yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu akan menyaksikan pembinaan Taman Eko-Kenyir seluas 61 hektar di Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak.

Khabarnya taman orkid, taman tropika, taman rama-rama dan taman burung akan dibangunkan di beberapa lokasi berhampiran.

Biar apa pun tujuannya, jangan pula terjadi apa-apa yang boleh mengorbankan keindahan yang sudah sedia ada di Tasik Kenyir. Datanglah ke sini dan alamilah sendiri!

Kosmo

Zikir


ZIKIR mempunyai kedudukan sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, reda dan yakin kepada-Nya.

Mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti ketenangan jiwa.

Firman Allah yang bermaksud:


(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)

Dalam kehidupan, kita sering berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa. Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat terapi ajaib yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia. Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman.

Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Ahzaab, ayat 35)

Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir ialah disebabkan dosa yang dilakukan. Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir. Faktor lain, seseorang itu dibelenggu sifat maz mumah seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.

Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.

Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan: Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.

Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup,tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.

Ibnu Masud ada mengatakan, sesungguhnya aku bertasbih beberapa kali itu lebih aku sukai daripada aku menderma beberapa dinar dalam jumlah yang sama di jalan Allah. Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.

Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri: Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini? Lantas kata Hasan: Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.

Kedudukan tinggi amalan berzikir turut digambarkan dalam kisah seorang bertanya kepada Salman al-Farisi: Amal apakah yang paling utama? Kemudian dijawab Salman: Tidakkah engkau pernah membaca ayat, Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya) daripada ibadah yang lain. (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Abdullah bin Masud pernah berkata: Sesungguhnya sebuah gunung menyeru gunung yang lainnya dengan namanya dan bertanya, apakah hari ini ada orang yang lalui di atasmu dan menyebut Allah (berzikir)? Maka apabila gunung itu menjawab, ya, maka ia akan gembira.

Demikian juga riwayat yang mengatakan Abdullah bin Abbas pernah berkata: Tidak ada sebuah lembah yang di atasnya disebut nama Allah kecuali ia akan merasa bangga atas lembah yang berada di sekelilingnya, ia merasa gembira dengan zikir yang diucapkan itu. Kegembiraan itu juga turut dirasai oleh tujuh lapis di bawah lembah itu.

Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup.

Sumber : Berita Harian


Tupai pertahan bangkai rakan



LONDON - Seekor tupai sanggup berhadapan bahaya demi mempertahankan bangkai rakannya daripada menjadi hidangan sekumpulan burung gagak, lapor sebuah akhbar semalam.

Sekumpulan burung gagak itu terpaksa melupakan niat untuk menjadikan bangkai seekor tupai yang mati kerana terdapat seekor tupai yang tidak membenarkan haiwan itu memakannya.

Satu rakaman video menunjukkan kesetiaan tupai tersebut terhadap rakannya sehingga ia sanggup menghalang tiga ekor burung gagak memakan bangkai rakannya di sebatang jalan raya.

Klip video itu dapat dilihat di laman YouTube dan ia telah ditonton oleh lebih 500,000 penonton.

Dalam rakaman tersebut, tupai itu melompat sambil menggerakkan ekor bagi memberi isyarat supaya burung gagak itu beredar.

Namun, seekor demi seekor gagak mendekati bangkai itu.

Tupai itu kemudian berdiri dan dilihat berbaring di tepi bangkai rakannya seolah-olah ia bersedia untuk menerkam burung gagak menyebabkan haiwan berkenaan melupakan hasrat untuk memakannya. - Agensi

Kosmo


Thursday, November 25, 2010

Pokok mati akibat WiFi

Pokok ash

ALPHEN AAN DEN RIJN, Belanda - Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Wageningen, Belanda mendapati radiasi daripada rangkaian gelombang tanpa wayar (Wifi) mungkin boleh menyebabkan pokok yang terdapat berdekatan dengan peranti penghala Internet tanpa wayar mati, lapor sebuah akhbar semalam.

Para saintis itu memperoleh hasil kajian tersebut selepas melakukan kajian ke atas 20 batang pokok ash yang daunnya menjadi kuning.

Hasil kajian itu menimbulkan kebimbangan bahawa radiasi Wifi boleh memberi kesan terhadap tubuh manusia.

Ia turut menyebabkan ibu bapa dan guru-guru berkempen agar peranti Wifi tidak dipasang di sekolah.

Bandar Alphen aan den Rijn yang terletak di barat Belanda mengarahkan kajian itu dilakukan sejak lima tahun lalu selepas mendapati pokok-pokok di kawasan itu mengalami situasi yang tidak normal.

Kajian itu mendapati pokok yang diletakkan paling hampir dengan radio Wifi mempunyai daun berwarna kuning berikutan lapisan kulit luar pokok mulai mati.

Para penyelidik juga mendapati radiasi Wifi boleh menyebabkan pertumbuhan jagung menjadi perlahan. - Agensi

Kosmo

Wednesday, November 24, 2010

Sejadah Corak Babi

pix_middle

SEREMBAN: “Niat anak saudara untuk mengerjakan solat terhenti sejurus mendapati corak pada sejadah itu seolah-olah muka dan kepala babi,” kata seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 50-an.

Menurutnya, sejadah merah berkenaan dibelinya di sebuah kedai dekat sini yang dijual secara lelong kira-kira enam bulan lalu.

“Saya dan beberapa ahli keluarga membeli-belah di kawasan berkenaan sebelum ternampak jualan lelong di kedai menjual permaidani dan sejadah itu.

“Sejurus memasuki kedai berkenaan, saya teruja apabila mendapati ada sejadah yang dijual dengan harga amat murah iaitu hanya RM10 untuk tiga helai.

“Saya membelinya tanpa melihat lebih teliti setiap sejadah yang diambil,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, minggu lalu anak saudara perempuannya berusia 20-an bertandang ke rumah dan mahu menunaikan solat Asar.

“Saya menyerahkan sejadah itu kepadanya dan terkejut apabila dimaklumkan corak yang tertera menyerupai muka dan kepala babi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan setiap jualan murah yang kebiasaannya terdiri daripada barangan lama dan kurang berkualiti.

“Malah, lebih buruk apabila terjadi kes begini yang menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, isu sensitif seumpama itu sesuatu yang ‘panas’ dan ia perlu dielakkan sebaik mungkin demi kepentingan bersama.

“Ini kerana ia membabitkan kesucian dan maruah masyarakat Islam sama ada corak berkenaan sengaja dilakukan atau sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu Khairuddin, menggesa pihak terbabit menjalankan pemantauan di setiap kedai bagi mengelak perkara sama berulang.

Metro

Saturday, November 20, 2010

Banjir di Mina






Kosmo

@@@@@@@@@@@@


Foto

Foto

Foto

Air naik ganggu jemaah ke Kaabah selepas lontar jamrah di Mina

MINA: Hujan menyebabkan di beberapa tempat di kota Makkah dinaiki air semalam sekali gus mengganggu sebahagian jemaah dari Mina yang dalam perjalanan ke Kaabah bagi menunaikan ibadat terakhir Haji tahun ini selepas melontar jamrah.

Sumber : Berita Harian

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails