Saturday, November 28, 2009

Jeddah terputus elektrik

BANJIR memerangkap banyak kereta di Jeddah.

PENDUDUK terkandas bersama kenderaan dalam banjir di Jeddah.


Gangguan bekalan tenaga selepas banjir, korban naik 83

JEDDAH: Sebahagian besar kawasan di Jeddah semalam masih terputus bekalan elektrik berikutan hujan lebat Rabu lalu yang mengakibatkan banjir dan menyebabkan kerosakan rangkaian bekalan elektrik, stesen jana kuasa dan pemancarnya dengan angka korban bah mencapai 83, semalam.

Kesan kerosakan akibat banjir kilat di Jeddah dapat dilihat di seluruh bandar raya ini. Salah sebuah kawasan yang terjejas teruk adalah Daerah Sulaimaniyah, terutama di persimpangan Jalan Abdullah Sulaiman dan Lebuh Raya Ekspres Harmain, berhampiran Universiti King Abdulaziz.

Keadaannya seperti baru saja dilanda tsunami, lapor Arab News. Beratus-ratus kereta remuk kelihatan di merata tempat, bas terbalik dan kereta menimpa kenderaan lain. Satu laporan menyatakan lebih 2,000 kenderaan musnah.

Selanjutnya di sini

Jemaah selamat melontar

Jemaah haji berhimpun untuk menunaikan ibadah melontar Jamaratul Aqabah di Mina,
dekat Mekah, sementara umat Islam di seluruh dunia pula
menyambut Aidiladha dan ibadah korban, semalam. – AP

MEKAH 27 Nov. – Jemaah haji melontar jamratul Aqabah dalam suasana tenang dan teratur hari ini, sementara umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha dengan melakukan ibadah korban.

Beratus-ratus ribu jemaah melewati tembok jamrah di Mina sambil melontar tujuh anak batu, setelah mereka selamat menunaikan wukuf di Arafah, semalam.

Ibadat melontar batu itu berjalan secara teratur sepanjang malam dan awal pagi ini, menepati harapan pihak berkuasa Arab Saudi.

Pihak berkuasa berharap tiang-tiang jamrah yang diperbesarkan menjadi tembok itu dan sebuah jambatan lima tingkat yang baru dibina akan dapat membantu mencegah kejadian rempuhan yang telah meragut nyawa pada musim haji sebelum ini, berpunca daripada jemaah berasak-asak untuk memasuki kawasan berkenaan bagi melakukan ibadat melontar.

“Saya mulanya takut akan menghadapi masalah di jambatan jamrat tetapi segala-galanya sangat mudah, dan selepas melontar jamrah, jemaah berasa suci seperti bayi yang baru dilahirkan,” kata seorang jemaah dari Gaza, Faeq Jarada, 60 tahun.

Penolong ketua badan keselamatan haji, Khader al Zaharani memberitahu televisyen Arab Saudi bahawa setakat ini tidak timbul masalah besar.

“Seluruh dunia ingin mengetahui bagaimana kita melindungi keselamatan beberapa juta jemaah haji secara serentak,” katanya.

Kejadian rempuhan akibat jemaah yang panik di kawasan jamrah kerap berlaku pada masa lalu. Pada 2006, sebanyak 346 jemaah maut akibat dihempap di kawasan tersebut.

Reka bentuk jambatan baru itu bertujuan mencegah insiden sedemikian daripada berulang, dengan memaksa jemaah bergerak mengikut satu arah sahaja dan menyediakan banyak laluan keluar.

Selepas melontar jamrah, ramai jemaah mengambil khidmat tukang gunting di sekitar Mina untuk mencukur kepala, pada harga 10 riyal (RM9.08) seorang.

Amalan melontar itu disusuli dengan penyembelihan beratus ribu ternakan sebagai menunaikan ibadah korban.

Kira-kira tiga juta umat Islam dari seluruh dunia berada di kota suci Mekah minggu ini untuk menunaikan haji, tanpa menghiraukan ancaman wabak selesema babi yang telah membunuh empat jemaah setakat ini, serta hujan lebat dan banjir yang menyebabkan sekurang-kurangnya 83 orang maut di Jeddah.

Cuaca baik di Mekah dan Mina awal hari ini membolehkan jemaah melakukan ibadat haji dengan lebih selesa dan mereka yang melontar jamrah kelihatan tersenyum dan melambaikan tangan ke arah kamera televisyen yang membuat liputan upacara itu. – AFP

Orang Yang Kuat

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaiakum.

RASULULLAH SAW berjalan melalui sekumpulan penduduk yang sedang mengangkat batu dan ingin melihat siapakah yang kuat di antara mereka. Nabi bertanya, "Apakah batu itu?" Jawab mereka, "Ini batu keras". Maka sabda Nabi SAW, "Mahukah saya beritahukan kepadamu yang lebih keras dari itu (batu)"? Jawab mereka, "Ya, Rasulullah".

Maka sabda Nabi, "Orang yang bergaduh dengan kawannya sehingga berdendam, kemudian dapat mengalahkan syaitannya dan datang kepada kawannya itu lalu mengajak damai dan baik dengannya. Di dalam riwayat lain, Nabi SAW bertanya, "Apakah kamu mengukur kekuatan dengan mengangkat batu? Sukakah saya beritahukan kepadamu yang lebih kuat? Jawab mereka, "Baiklah Ya Rasulullah". Sabda Nabi, "Ya itu orang yang penuh marah lalu menahan marahnya dan sabar".

Yahya bin Mu'adz berkata, "Sesiapa yang mendoakan orang yang menganiayanya, maka ia sudah menyusahkan Nabi Muhammad SAW di tengah-tengah nabi yang lainnya dan menyenangkan iblis di tengah-tengah syaitan dan orang kafir. Dan siapa yang memaafkan orang yang zalim, maka ia menyedihkan kepada iblis di tengah-tengah orang kafir dan syaitan dan menyenangkan Nabi Muhammad SAW di tengah-tengah golongan nabi dan orang solihin.

Friday, November 27, 2009

2.5 juta umat Islam wuquf di Arafah

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

JEDDAH: Seramai 48 orang maut di Arab Saudi sejak kelmarin berikutan banjir kilat yang dibawa hujan paling lebat pernah dicatat sejak beberapa tahun lalu.

Seorang jurucakap kementerian dalam negeri Arab Saudi, Brig Jeneral Mansour al-Turki, berkata semalam tiada kematian berlaku di kalangan jutaan jemaah yang berada di Makkah untuk mengerjakan ibadat haji.

Ibadat empat hari yang bermula Rabu, menarik lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Hujan lebat reda semalam namun masih ada kebimbangan berlaku hujan lebat beberapa hari akan datang.

Agensi berita, Saudi Press berkata kematian itu direkodkan di bandar pelabuhan Jeddah, Rabigh dan Makkah. Kenyataan itu menyatakan kematian berpunca daripada banjir dan rumah yang runtuh.

Di ARAFAH, Jemaah haji Iran dilaporkan mengadakan tunjuk perasaan tetapi tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku ketika berjuta umat Islam berhimpun sebagai kemuncak kepada ibadat haji tahunan semalam.

Tanpa menghiraukan amaran kerajaan Arab Saudi untuk tidak melakukan sebarang aktiviti politik, jemaah Iran terbabit melaung-laungkan slogan penyatuan umat Islam dan menyelar 'musuh' ketika berada di khemah mereka di Arafah.

Tiada pasukan keselamatan Arab Saudi kelihatan ketika Ayatollah Muhammed Rajari, wakil pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengetuai bantahan Iran terbabit.

"Kita perlu menyucikan diri daripada sebarang salah laku dalam haji ini," katanya dalam satu kenyataan.

"Kita mahu semua umat Islam, Sunnah dan Syiah bersatu dan fokus kepada isu penting iaitu Al-Aqsa, pencerobohan Palestin, Iraq dan Afghanistan dan pertempuran di Yaman."

Sejumlah 65,000 jemaah Iran menunaikan haji tahun ini, kata Ali Ghazi Asgar, seorang pegawai kanan yang menguruskan jemaah Iran kepada AFP.

Jemaah haji semalam berjalan menuju ke Arafah dari Makkah dan Mina sebagai upacara penting di tempat yang pernah menyaksikan Nabi Muhammad menyampaikan khutbah terakhirnya kira-kira 1,377 tahun lalu.

Cuaca dilaporkan semakin baik semalam selepas hujan lebat kelmarin yang menyebabkan ramai yang lewat kerana terperangkap di jalan antara Jeddah dan Makkah dan menjejaskan laluan sepanjang lapan kilometer dari Makkah ke Mina, separuh antara Makkah dan Arafah. AFP

Sumber Berita Harian

Gambar2 di bawah ni diambil daripada



Gambar di atas: Sejumlah calon haji asal Afrika turun daripada kenderaan yang terlibat banjir di kawasan Bahrah, perbatasan Jeddah -Makkah, Rabu (25/11). Hujan yang turun di kawasan Jeddah, Makkah serta Mina , dan Arafah melambatkan perjalanan calon haji menuju Arafah terutama di kawasan Jeddah terjadi banjir yang cukup teruk sehingga menganggu kelancaran arus lalu-lintas. ANTARA

Video Banjir di Jeddah di sini

Kawasan gurun di Padang Arafah selalu dipenuhi tenda-tenda (khemah) wukuf yang memutih pada setiap musim haji. Di dalam tenda inilah jutaan jamaah berkumpul untuk melaksanakan wukuf pada setiap tanggal 9 Dzulhijjah. Sumber Gambar

Wukuf Semalam : Sumber gambar

Thursday, November 26, 2009

Erti Pengorbanan

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

PERISTIWA korban mengajar kita supaya taat kepada perintah Allah, beriman dan berserah kepada-Nya. PENGORBANAN membawa erti kesanggupan seseorang itu melepaskan dengan ikhlas sesuatu yang amat disayangi atau dihargai supaya dapat memberi manfaat kepada orang lain. Untuk mendapatkan cinta Ilahi adalah kesanggupan berkorban untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Pengorbanan perlu dilakukan oleh setiap hamba, malah pengorbanan menuntut desakan hati supaya berbuat apa yang diperintahkan oleh kekasihnya Yang Maha Esa.

Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata bahawa sesungguhnya suatu hari sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?” Jawab Rasulullah: “Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.”

Kerana kuasa ‘korban’ yang begitu besar, sering kali ada yang bertanya, apa ganjaran berkorban?

Mereka berkata: “Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)

Hadis di atas mengingatkan kita kepada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as yang sanggup bergadai nyawa demi reda Ilahi dan akur bahawa setiap khazanah bumi hanyalah milik Allah dan Dia berhak mengambil dan menganugerahkan apa saja.

Kitab Tafsir Ibn Kathir merakamkan pada awalnya, Nabi Ibrahim tidak dikurniakan zuriat walaupun ketika itu baginda sudah lanjut usia.

Namun baginda tidak pernah berputus asa untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat. Maka dengan kuasa Allah yang tidak dapat diduga baginda dikurniakan cahaya mata pertama bernama Ismail. Siapalah yang tidak gembira mendapat cahaya mata? Kisah ini dinyatakan dalam surah al-Soffat [37] ayat 101 yang bermaksud: “Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar”.

Ulama termasuk ahli kitab bersepakat bahawa Nabi Ismail dilahirkan terlebih dulu berbanding Nabi Ishak. Bahkan tercatat di dalam kitab ahli kitab bahawa Nabi Ismail dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 86 tahun dan Nabi Ishak dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berumur 99 tahun. Selepas Nabi Ismail meningkat remaja, satu ujian yang amat berat diturunkan oleh Allah SWT ke atas dua beranak itu, dengan tujuan menguji keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah.

Allah SWT memerintah Nabi Ibrahim supaya menyembelih putera kesayangannya. Walaupun terlalu berat hati Nabi Ibrahim untuk menyatakan perintah Allah itu kepada anaknya, Ismail, tetapi ia adalah perintah Allah SWT yang wajib dilaksanakan.

Dengan hati yang sedih, Nabi Ibrahim menyatakan mengenai perintah Allah itu kepada Nabi Ismail, namun tiada apa yang mengejutkan Nabi Ismail sebaliknya baginda berkata: “Wahai bapaku laksanakanlah apa yang diperintahkan oleh Allah, moga-moga kamu akan mendapati aku dalam golongan orang yang sabar”.(surah al-Soffat [37] ayat 102 )

Ada dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar, iaitu seorang ayah yang terpaksa mengorbankan perasaan cinta dan kasih kepada anak yang sudah lama ditunggu-tunggu dengan ‘mengorbankannya’, demi patuh dan redhanya terhadap perintah Allah SWT. Seterusnya, ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan kasihnya kepada ibu dan ayahnya dan zaman keseronokan remajanya, malah sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah dan perintah seorang ayah.

Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah SWT yang tidak berbelah bahagi. Sebab itulah, seandainya seorang Muslim itu mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah SWT iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’, lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian.” (Riwayat Muslim).

Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah adalah sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka kepada Allah tanpa ragu-ragu. Baginda mengetahui bahawa bukan mudah meletakkan cinta pada pemiliknya tetapi keyakinan terhadap Ilahi memungkinkan segala-galanya dan ia hanya akan dimiliki oleh sesiapa yang sudah cukup kenal Allah SWT.

Menurut Imam al-Ghazali, ma'rifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta kerana cinta tanpa ma'rifah tidak mungkin berlaku kerana manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya saja. Sebab itulah kita perlu rasional memilih cinta yang sementara, agar ia tidak mengatasi cinta yang kekal sampai bila-bila.

Takut mengorbankan dunia kerana akhirat pernah menjadi peringatan kepada setiap Muslimin. Sifat tamak terhadap cinta dunia lumayan menjerumuskan kita ke lembah yang sia-sia, tiada apa pun menjadi milik kita, walau pasir sebesar zarah pun. Di dalam al-Quran Allah SWT memberi amaran kepada manusia melalui firman-Nya dalam surah At-Taubah, ayat 24 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq”. (surah At-Taubah[9] : ayat 24)

Justeru, biarlah peristiwa 10 Zulhijjah yang mengimbau sebuah pengorbanan menjadi zikir untuk kita menetapkan hati agar sentiasa beringat bahawa segala khazanah dunia ini pemiliknya hanya satu saja dan kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban apa saja.

Idea asal Cinta dunia buat kita lupa pengorbanan kepada Allah
Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Penulis ialah Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Berita Harian

Wednesday, November 25, 2009

Parah

BERN (Switzerland) : Seorang lelaki cedrea parah selepas beliau memasuki kandang beruang di Zoo Taman Beruang Di Bern, Switzerland.



Lelaki 25 tahun itu yang didakwa kurang waras dilaporkan memanjat mengelilingi taman itu dan kemudian jatuh empat meter ke dalam kandang beruang itu.


Mangsa kemudian diserang seekor beruang berusia empat tahun, FINN dam beliau dilapor cedar parah di kepala dan kaki.. Berita selanjutnya di sini


Tuesday, November 24, 2009

Kebesaran bulan Zulhijjah

Assalamu'alaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Bulan Zulhijjah bukanlah bulan hanya bagi tetamu Allah tetapi bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang peka dengan waktu-waktu yang dimuliakan oleh Allah dan bijak mengambil peluang bagi meraih curahan rahmat, maghfirah (keampunan) dan keredaan-Nya.

Sesungguhnya pada kejadian Allah SWT terdapat benda-benda, masa-masa, tempat-tempat dan insan-insan yang dibesarkan dan dimuliakan oleh-Nya.

Di antaranya ialah kaabah, Hajar Aswad, zamzam, bulan Ramadan, hari Jumaat, 10 terawal bulan Zulhijjah, Mekah, Madinah, Baitul Maqdis, para Nabi, Rasul dan sebagainya.

Kesemua perkara itu merupakan syiar Allah yang diperintahkan supaya dibesarkan sebagaimana firman-Nya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati (orang Mukmin). (al-Hajj: 32)

Dalam bulan Zulhijjah, Allah menganugerahkan masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah. Iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, Aidil Adha dan Hari Tasyriq.

keadaan jemaah haji di Padang Arafah ketika wukuf setiap tahun.

Sesungguhnya, Allah SWT telah bersumpah dengan Fajar Aidil Adha dan 10 malam bulan Zulhijjah dalam surah al-Fajr ayat 1 dan 2: Demi waktu fajar Aidil Adha; dan malam 10 Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Kita maklumi, Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut. Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain.

Banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya.

Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat r.a bertanya, Wahai Rasulullah! Dan tidakkah juga berjihad fi sabilillah (lebih afdal daripada beramal pada hari-hari ini)? Rasulullah SAW bersabda, "Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid". (riwayat al Bukhari)

Ulama berdalilkan hadis ini sebagai galakan atau sunat berpuasa pada sembilan hari daripada 10 hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh.

Perkara ini disebut oleh al Hafiz Ibnu Hajar r.a, Rasulullah SAW juga bersabda: "Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang ke-9) menyamai puasa 1000 hari dan sehari puasa pada hari Arafah menyamai puasa 10,000 hari".

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepada-Nya daripada 10 hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar".

Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan korban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya. Iaitu, bermula dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban.

Hal ini berdasarkan hadis Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila masuk hari yang 10 Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun".

Di dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya".

Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu penerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia akan menerimanya.

Kesimpulannya, maksud yang paling utama dari hadis ini, kita digalakkan melakukan amal yang disukai dan diredai Allah pada hari-hari tersebut, sekalipun amalan yang mudah dan tidak sulit untuk dilakukan.

Sekiranya tidak mampu untuk berjihad, berpuasa atau bersedekah, janganlah pula berasa lemah untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat, tasbih dan tahlil. Kadang kala amal yang sedikit dan mudah itu besar nilainya di sisi Allah dan lebih dikasihi-Nya.

Hari Arafah

Hari Arafah ialah hari para jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Ia terkenal sebagai kemuncak bagi segala amalan atau rukun haji.

Allah yang bersifat Maha Pemurah memuliakan dan membesarkan hari tersebut dengan mencurahkan rahmat dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang berdoa dan meminta keampunan kepada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada hari yang lebih banyak pembebasan dari neraka daripada hari Arafah".

Justeru pada hari tersebut, kita amat digalakkan supaya memperbanyakkan doa dan istighfar. Daripada Abdullah ibn Amru r.a berkata: "Kebanyakan doa Nabi SAW pada hari Arafah ialah "Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah; Yang Maha Esa tanpa ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kekuasaan dan pujian. Di dalam kekuasaan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu".

Di antara doa bagi memohon keampunan dan pembebasan dari api neraka ialah:

"Ya Allah! Bebaskanlah tengkukku daripada api neraka, luaskanlah untukku dengan rezeki yang halal dan palingkanlah (hindarilah) daripadaku jin dan manusia yang fasiq".

Kita juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah kerana Rasulullah SAW bersabda: "Puasa pada hari Asyura akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya). Manakala puasa hari Arafah, akan mengkafarahkan dosa dua tahun; setahun sebelumnya dan setahun selepasnya yang akan datang".

Sebagaimana yang disebut di dalam hadis, bahawa Rasulullah SAW berdoa pada petang hari Arafah agar diampunkan dosa-dosa umatnya termasuk orang yang zalim. Apabila Allah memakbulkan doanya, Baginda SAW tersenyum kerana melihat iblis mengambil tanah lalu menaburnya di atas kepalanya sambil mengeluh panjang apabila mengetahui doa Baginda SAW dimakbulkan dan dosa-dosa umatnya diampunkan.

Aidil Adha

Solat hari raya merupakan khususiat/keistimewaan umat ini seperti solat istisqa' (minta hujan) dan kusuf (gerhana matahari).

Di antara dua solat hari raya, solat Aidil Adha lebih afdal daripada solat Aidilfitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT: Oleh itu, kerjakanlah solat (Aidil Adha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al Kauthar: 2)

Dalil ini juga menunjukkan bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad iaitu solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban.

Ibadah korban merupakan sunat muakkad bagi umat Islam dan makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan. Rasulullah SAW sendiri memberi amaran kepada orang yang enggan berkorban.

Ini sebagaimana sabdanya: "Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berkorban tetapi tidak berkorban, maka jangan hadir di tempat solat kami".

Sesiapa yang melakukan korban pada hari tersebut, akan diampunkan dosanya dan ahli rumahnya pada titik pertama darah sembelihan korbannya.

Sesiapa yang memberi makan dan bersedekah dengannya, akan dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang yang mendapat keamanan dan timbangannya lebih berat daripada Jabal Uhud.

Aidil Adha adalah Aidil Akbar (Raya Terbesar) bagi umat ini kerana banyaknya pembebasan dari neraka atau pengampunan dosa yang dianugerahkan oleh Allah pada hari sebelumnya iaitu hari Arafah.

Tidak dilihat pembebasan dari neraka yang lebih banyak daripada pembebasan pada hari Arafah seperti yang disebut dalam hadis. Sesiapa yang telah dibebaskan, maka keesokannya adalah hari raya baginya.

Sekiranya tidak, maka dia berada jauh dari rahmat Allah dan dijanjikan dengan seburuk-buruk balasan.

Justeru, sementara kita masih diberi ruang dan kemampuan, marilah bersama-sama kita merebut peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita semata-mata kerana kasih dan sayang-Nya terhadap kita.

Oleh: PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Sumber : SINI

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails