Ucapan atau perbuatan yang menunjukan kepada selamat sejahtera atau kemuliaan. Firman Allah swt:
وإذا حييتم بتحية فحيوا بأحسن منها أو ردوها
"Dan apabila seorang muslim memberi salam kepadamu dengan satu salam hendaklah kamu balas dengan yang lebih baik atau yang seumpama dengannya." (an-Nisa [4] : 86 :)
JENIS-JENIS TAHIYYAT (penghormatan)
1. Tahiyyat masjid dengan solat. Nabi saw bersabda:
إذا دخل أحدكم المسجد فلا يجلس حتى يصلي ركعتين
" Apabila seseorang masuk masjid, janganlah dia duduk melainkan setelah solat dua rakaat." (Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)
2. Tahiyyat Ka'bah dengan tawaf. Nabi saw bersabda:
يا بني عبد مناف لا تمنعوا أحدا طاف بهذا البيت وصلى أية ساعة من ليل أو نهار
" Wahai keturunan Abdu Manaf, janganlah kamu tegah sesiapa yang tawaf di ka'bah ini dan solat pada bila-bila masa pun , siang atau malam." (Hr Abu Daud dan Tirmizi)
3. Tahiyyat Tanah Haram dengan memakai Ihram.
4. Tahiyyat Mina dengan membaling Jamrah yang tiga.
5. Tahiyyat arafah dengan wuquf (berdiri) di situ.
Ketiga-tiga ini adalah berdasarkan kepada apa yang telah Nabi Muhammad saw lakukan ketika menunaikan Haji. Nabi saw bersabda:
لتأخذوا عني مناسككم "Hendaklah kamu mengambil cara pelaksanaan ibadah haji dariku." (HS Muslim)
6. Tahiyyat sesama Muslim dengan mengucapkan salam. Nabi saw bersabda:
أفشوا السلام وأطعموا الطعام وصلوا بالليل والناس نيام تدخلوا الجنة بسلام
" Sebarkanlah salam, berilah makan dan solatlah di waktu malam ketika manusia tidur pasti kamu akan masuk ke syurga dengan sejahtera." (Hr Tirmizi )
KESIMPULAN
Semua perkara ini dapat dilakukan oleh jemaah haji yang sedang menunaikan Haji di Makkah. Mudah2an haji mereka diterima. Rujukan: Ahakamu Tahiyyatul Masjid oleh Soleh Salim Abdullah as-Sahud.
Ramai daripada kalangan kita yang telah maklum kelebihan 10 Malam-malam Terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum akan kelebihan 10 Hari-hari Pertama dalam bulan Zulhijjah?
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.
Amalan yang dianjurkan padanya
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.
3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.
10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.
Islam telah menetapkan adab bagi umatnya dalam melakukan sesuatu kegiatan bagi mendapatkan kesejahteraan. Begitu juga Islam telah menetapkan adab-adab ketika minum. Permasalahan berkaitan minum berdiri ini telah menyebabkan ulama' berbeza pendapat mengenai hukum minum berdiri. Hadis di bawah menunjukkan tegahan minum berdiri diriwatkan oleh Muslim:
Terjemahan: Daripada Anas ra; Sesungguhnya nabi Muhammad saw melarang minum berdiri.
Hadis ini merupakan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab minuman, bab tegahan minum berdiri, hadis yang ke 3771. Hadis ini menjelaskan larangan yang berbentuk tegahan minum secara berdiri. Namun ulama' telah berselisih pendapat mengenai larangan minum berdiri ini. Ibn qayyim berpendapat hukum minum berdiri ini adalah haram dan hanya dibenarkan sekiranya terdapat halangan yang menghalangnya minum secara duduk.
Namun beberapa fuqaha seperti Imam Malik berpendapat larangan ini telah dimansukhkan dengan hadis Ibn Abbas iaitu:
Terjemahan: Dari Ibn Abbas berkata; Aku memberi air zam-zam kepada Rasulullah saw, lalu baginda meminumnya sambil berdiri (Riwayat Muslim).
Hadis ini merupakan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab minuman, bab minum air zam-zam berdiri, hadis ke 3776. Hadis ini menunjukkan Rasulullah saw minum air zam-zam dalam keadaan berdiri. Imam Malik telah memansukhkan hadis yang pertama tadi dengan hadis ini yang menunjukkan minum berdiri bukan haram. Perkataan nabi melarang minum berdiri itu, menurut zahirnya larangan minum sambil berdiri itu. Tetapi hadis ibnu abbas menunjukkan bolehnya minum berdiri. Al-Mazuri berkata, orang-orang yang berselisih pendapat dalam masalah ini ialah jumhur yang berpendapat boleh minum berdiri dan pendapat yang lain berpendapat makruh.
Hadis dari aAnas ra merupakan hadis sunnah qauliyah manakala hadis dari Ibn Abbas merupakan hadis sunnah fii’liyyah. Apabila kedua-dua hadis ini bertembung, maka yang menjadi dasar hukum ialah hadis sunnah qauliyah, manakala hadis sunnah fii’liyyah berperanan menafsirkan maksud sebenar yang terkandung dalam hadis sunnah qauliyah tersebut. Ini bererti tegahan pada hadis Anas tadi bukan membawa maksud haram, tetapi makruh.
Imam Nawawi berkata yang sebenarnya, larangan yang di maksudkan itu adalah untuk kebersihan dan perbuatan Nabi minum berdiri itu menjelaskan bolehnya minum berdiri dan tidak haram.
Berdasarkan hadis yang menegah minum berdiri itu, dapat dilihat mengapa Rasulullah saw menegah kita minum berdiri. Di antara sebab dilarang minum berdiri ialah, menurut pakar perubatan Dr Abdul Razzak Al-Kailani; “Sesungguhnya makan dan minum duduk lebih baik daripada segi kesihatan, lebih selamat, lebih puas; kerana makanan dan minuman lalu di dinding perut dgn tenang. Adapun minum berdiri menyebabkan cecair akan jatuh ke dasar perut dgn keras dan akan melanggar lapisan perut. Kalau perkara ini selalu berlaku dan lama masa berlalu akan menyebabkan perut akan longgar dan jatuh sehingga menyebabkan susah nak hadam. Begitu juga dgn makanan.
Menurut pandangan Dr Ibrahim Ar-Rawi, apabila seseorang itu berdiri ototnya menjadi tegang (strain) dan pada masa yang sama sisitem imbangan pada sistem saraf pusat (central nervous system) dalam keadaan terlampau aktif mengawal semua otot, untuk melakukan proses pengimbangan dan berdiri tegak. Ia adalah proses gabungan di antara sistem saraf dan sistem otot dlm satu masa yg menyebabkan manusia tidak mampu mendapat kerehatan anggota. Kerehatan otot adalah syarat yg terpenting ketika makan dan minum dan wujud ketika mana duduk. Apabila duduk maka sistem saraf dan sistem otot dlm keadaan tenang dan sensation (rasa) akan menjadi aktif serta sistem penghadaman akan bertambahnya kemampuan (ability) untuk menerima makanan dan minuman dan akan menyerap (assimilation) makanan dengan cara yang betul. Namun demikian diharuskan berdiri di tempat yg tak sesuai duduk seperti tempat yg terlampau sesak. Ini adalah kerana Nabi s.a.w pernah minum berdiri, ini berdasarkan kepada hadis Ibn Abbas yang menyatakan Rasulullah minum air zam-zam berdiri.
Persoalannya di sini, mengapa Rasulullah saw minum air zam-zam dalam keadaan berdiri. Menurut kajian pakar, air zam-zam mengandungi fluorida yang memiliki daya efektif membunuh kuman serta ia mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding air biasa, daripada segi saintifik air zam-zam bersifat alkali, jadi air zam-zam boleh meneutralkan asid hidroklorik yang terhasil di dalam perut dan mengurangkan pedih ulu hati. Jadi inilah sebab Rasulullah saw minum air zam-zam berdiri supaya air tersebut cepat dapat meneutralkan asid yang terhasil dalam perut.
Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat. Kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain, inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah haji yang meminumnya dan memberi ketahanan anbodi kepada orang yang meminumnya. Di sini saya tunjukkan perbandingan unsur-unsur yang terdapat di dalam air zam-zam dengan air mineral:
Jadual di atas kita dapat lihat perbezaan yang sangat ketara di antara unsur-unsur yang terdapat dalam air zam-zam dengan unsur yang terdapat dalam air mineral, air zam-zam mempunyai kualiti yang sangat tinggi dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana air.
Selain itu di antara kelebihan air zam-zam ialah apabila peminumnya berniat menjadikannya sebagai penawar nescaya Allah akan menyembuhkannya atau dengan niat untuk mendapatkan pertolongan nescaya Allah akan menolong. Oleh sebab inilah Rasulullah telah mengajarkan beberapa kaedah dan doa apabila hendak minum air zam-zam ini supaya mendapat keberkatan dari Allah swt.
Air zam-zam juga mempunyai kelebihan di mana mata airnya tidak pernah kering, walaupun berjuta-juta umat manusia meminumnya setiap hari terutamanya pada musim haji, bahkan pada masa kini dengan peralatan canggih orang yang berada di masjid nabawi yang jaraknya 450km dari mekah dapat meminum air zam-zam setiap saat dan ianya tidak pernah berkurang apatah lagi kering. Ini menunjukkan keistimewaan yang terdapat pada air zam-zam.
Selain itu menurut kajian yang telah dibuat oleh pakar air dari jepun iaitu Dr Emoto, air zam-zam mempunyai molekul-molekul yang berkilat seperti Kristal dan sangat menarik.
Di bawah ini saya tunjukkan bukti hasil kajian Dr Emoto.
Ini merupakan molekul yang di hasilkan oleh air zam-zam.
Cuba teliti gambar ini,jelas menunjukkan molekul air zam-zam ini berkilau sperti Kristal dan sangat menarik. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan yang terdapat pada air zam-zam ini. Molekul ini sangat menarik dan bercahaya.
Selain itu menurut Dr Emoto bahawa, kata-kata atau ucapan juga dapat mempengaruhi rupa bentuk molekul-molekul air. Molekul air berubah mengikut apa yang diucapkan oleh manusia. Profesor Jepun ini telah mengkaji struktur air yang diucapkan dengan beberapa perkataan seperti ‘arigato-khozaimas’, ‘Thank You’, ‘I am sorry’, ‘Go to the hell!’, lirik lagu Linkin Park, dan beberapa lagi termasuk alunan surah Yaasin. Selepas air didedahkan dengan perkataan yang dipilih, strukturnya dianalisa menggunakan mikroskop. Hasilnya air yang dianalisis menunjukkan struktur yang amat menarik. Perkataan yang sopan menghasilkan struktur air yang cantik, sejuk mata memandang dan lebih teratur. Sebaliknya imej air yang kotor dan menjijikkan terhasil apabila terdedah kepada perkataan biadab. Di sini saya akan menunjukkan beberapa hasil gambar molekul yang telah di kaji.
Ini diantara bukti kajian yang dilakukan oleh Dr Emoto:
Gambar diatas kita dapat melihat perbezaan yang ketara kedua-dua molekul air tersebut, air yang diucapkan dengan perkataan yang baik menghasilkan struktur yang cantik dan menarik tetapi sebaliknya berlaku kepada air yang diucapkan dengan perkatan biadap.
Jadi inilah hikmah kita di tuntut membaca bismillah dan doa ketika hendak makan atau minum, supaya kita mendapat keberkatan dari allah. Molekul-molekul air ini akan mempengaruhi apa yang kita ucapkan.
Jadi kesimpulan yang dapat dibuat di sini ialah hendaklah kita duduk kita hendak makan atau minum kerana ia membawa lebih banyak kebaikkan kepada manusia. Tetapi minum berdiri bukanlah membawa maksud haram Cuma makruh mengikut beberapa pendapat dan mengikut jumhur ianya di bolehkan. Selain itu, kita hendaklah membaca bismillah dan doa semasa hendak makan atau minum supaya mendapat keberkatan dari Allah. Dapat juga disimpulkan di sini bahawa air zam-zam itu mempunyai banyak keberkatan dan kelebihan padanya, dan ianya merupakan air yang paling mulia, padanya mempunyai banyak khasiat dan keberkatan dari Allah. Jadilah kita haruslah mengikut apa yang telah di anjurkan oleh Rasulullah saw ketika hendak minum air zam-zam supaya kita memperoleh barakah daripada Allah swt.
Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Salawat dan salam kepada Nabi Muhammad serta keluarga dan para sahabat yang mulia. Berita ini dipetik daripada mStar Online. Al-Fatihah buat Almarhum Sheikh Ahmad.
SHEIKH Ahmad bin Ibrahim Badr, tukang utama yang merekabentuk pintu emas Kaaba, meninggal dunia pada usia 89 tahun di Makkah Jumaat lepas, demikian harian Arab Saudi berbahasa Inggeris, The Arab News melaporkan pada Ahad.
Ahmad menghasilkan pintu Kaaba menggunakan emas tulen seberat 300 kg atas perintah Raja Khaled pada Oktober 1979.
Ahmad menghasilkan pintu Kaaba menggunakan emas tulen seberat 300 kg
atas perintah Raja Khaled pada Oktober 1979. -Foto BERNAMA
Kerja-kerja itu dijalankan di sebuah bengkel yang dibina khusus untuk projek berkenaan. Beliau juga memperkemas dan memperindahkan lagi meezab (saluran air di atas Kaaba) dan rangka perak Hajar Aswad.
Beliau mempelajari seni berkenaan daripada bapanya, pereka dan pembina asal pintu berkenaan atas perintah Raja Abdul Aziz pada 1942, lapor akhbar itu.
Ibrahim dan dua saudaranya, Mahmoud dan Ibrahim Badr, mengacu pintu berkenaan dengan emas tulen, mengambil masa setahun menyiapkannya.
Tiang dalam dan meezab, dibuat daripada emas 24karat seberat 25 kg juga disiapkan dalam tempoh berkenaan.
Ayat al-Quran "Ya Hayy Ya Qayyum" (Wahai yang Maha Hidup, Maha Mendengar) dan perkataan "Allah" dan "Muhammad" diukir pada pintu.
Ayat al-Quran "Ya Hayy Ya Qayyum" (Wahai yang Maha Hidup, Maha Mendengar) dan perkataan "Allah" dan "Muhammad" diukir pada pintu. Kerja-kerja mereka termasuk rangka perak Hajar Aswad, lapor akhbar itu.
Ahmad dilahirkan di kampung halaman datuk neneknya di permukiman Qashashiya di Makkah pada 1920. Selepas belajar di sekolah alFalah tempatan beliau menyertai bapanya di bengkel emas dan perak pada usia 15 tahun.
Ahmad telah bekerja di kedai bapanya "Sheikh Ibrahim Badr" di Goldsmiths' Street sepanjang hidupnya.
Beliau lahir dalam keluarga pertukangan seni yang terkenal dengan kehalusan kerjatangan emas yang ekskuisit, kata akhbar itu. BERNAMA
Hendaklah dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan besar selain memakai pakaian bersih serta tempat berdoa yang selesa.
Menghadap kiblat dan berdoalah dengan khusyuk selain merendah diri (tawadhuk) kepada Allah.
Doa dimulakan dengan membaca al-Fatihah atau memuji Allah sekurang-kurangnya, “Alhamdulillahirabbilalamin” diikuti dengan membaca selawat atas nabi.
Angkat tangan hingga kelihatan kedua-dua ketiak disamping perut anak jari menghadap ke atas.
Selepas selesai berdoa, sapukan kedua-dua tangan ke muka.
Berdoa perlulah dengan penuh keyakinan bahawa Allah akan memperkenankan doa kita itu. Jangan sekali-kali berdoa dalam keadaan hati lara dan lalai atau kurang yakin kemahuannya.
Rasulullah bersabda, maksudnya: Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan penuh yakin. Dia akan memperkenankan doa kamu. Dan, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak akan memperkenankan doa daripada hati yang lalai atau keluh kesah. (Riwayat At-Tarmizi).
Setiap orang Islam hendaklah banyak berdoa kepada Allah ketika dalam keadaan senang atau mudah supaya Allah akan memperkenankan doanya dalam keadaan susah.
Berdoa dengan suara yang perlahan dan merendah diri selain mengakui segala kesalahan serta dosa-dosa yang pernah dilakukan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Berdoalah kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan (Surah al-Araaf ayat 55).
Sebaik-baik doa ialah dengan kata-kata yang mudah dan ringkas serta mempunyai pengertian yang luas, contohnya:
“Ya, Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka”.
Untuk memohon sesuatu hajat, ulangi perkara itu sekurang-kurangnya tiga kali.
Jangan sekali-kali berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau kejahatan, perpecahan dalam masyarakat atau keluarga. Ingat, apabila berdoa jangan meminta sesuatu yang mustahil.
Jangan mudah merajuk apabila doanya tidak dikabulkan Allah. Sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa selain berserah diri kepada Allah.
Sebelum mengakhiri dengan ucapan Amin, setiap doa perlu ditutup dengan selawat ke atas Nabi s.a.w selain puji-pujian kepada Allah.
'Ya Allah, Tuhan kami. Engkau Tuhan, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Engkau. Kepada Engkau kami bertawakal dan Engkaulah Tuhan Arasy Yang Maha Besar.
Sesuatu yang dikehendaki Allah pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki Allah pasti tidak akan berlaku. Tiada daya upaya dan tiada sebarang kekuatan yang dapat menjaya dan menggagalkan sesuatu melainkan dengan keizinan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar. Kami mengetahui sesungguhnya Allah atas tiap-tiap sesuatu amat berkuasa. Dan, sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya pada tiap-tiap sesuatu.
Ya Allah. Tuhan kami. Sesungguhnya kami memohon berlindung dengan Engkau daripada kejahatan dan keburukan pada diri kami dan daripada kejahatan tiap-tiap makhluk yang melata (jin, syaitan, binatang dan manusia). Engkaulah yang mengawasi ubun-ubunnya (segala gerak geri). Sesungguhnya Tuhan kami di atas jalan yang benar.
Dan, cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad s.a.w dan atas keluarganya serta sahabat-sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.'
Amalkan membaca doa ini selalu, jika tiada kesempatan pun, seumur hidup. Insya-Allah akan terhindar dari penyakit yang berbahaya.
Menurut riwayat, doa ini adalah menjadi amalan Abi Darda, seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang diperoleh daripada baginda SAW.
* Di tengah malam atau sepertiga malam yang Akhir * Selepas solat fardu * Berdoa di tempat sunyi supaya khusyuk * Ketika dalam peperangan atau darurat * Ketika sujud * Ketika dizalimi orang * Ketika musafir * Bapa mendoakan kebaikan anak * Ketika wukuf di Padang Arafah * Selepas solat Subuh sebelum terbit matahari * Selepas solat Asar * Ketika mahu berbuka puasa * Ketika sakit * Doa pada malam Lailatulqadar * Doa pada malam Jumaat * Doa dalam Masjidil Haram * Berdoa dalam Masjid Nabawi (terutama di Raudhah) * Berdoa di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis * Apabila khatam membaca al-Quran * Doa raja yang adil * Doa anak yang taat kepada ibu bapa * Doa ketika tawaf mengelilingi Kaabah * Berdoa dekat Multazam (antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah) di Masjidil Haram * Berdoa di belakang makam Nabi Ibrahim di Masjidil Haram * Berdoa di Hijr Ismail * Berdoa di mana juga masjid kerana ia rumah Allah
Daripada Ubai bin Kaab r.a. katanya: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila sampai 1/3 malam baginda pun bangun lalu bersabda, “ Wahai sekalian manusia ingatlah kamu semua kepada Allah, telah datang goncangan yang pertama (gegaran/tiupan pertama) yang diikuti dengan peristiwa yang amat dahsyat (golombang/tiupan kedua) telah datang maut dengan bermacam-macam kesengsaraan, telah datang mati dengan bermacam-macam bentuk kesusahan (ketika datangnya sakaratul maut). Aku berkata:“ Ya Rasulullah, sesungguhnya aku akan memperbanyakkan selawat ke atasmu, maka sebanyak manakah yang aku perlu berselawat ke atasmu?” Baginda menjawab’ “Seberapa yang banyak kamu kehendaki”. Aku bertanya lagi, 1/4? Beliau menjawab, seberapa banyak yang kamu kehendaki maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan (selamat) kepada kamu. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika separuh?” beliau menjawab, “ Seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “Bagaimana jika 2/3?” Baginda menjawab seberapa banyak yang kamu kehendaki, maka jika kamu tambah ianya menjadi kebajikan kepada kamu”. Aku bertanya lagi, “bagaimana jika aku jadikan sepenuhnya untuk berselawat kepada mu?” Baginda menjawab, “Oleh yang demikian segala kehendakmu akan dipenuhi dan diampuni segala dosamu”. (Hassan)
Huraian
1. Rasulullah mengingatkan umatnya agar sentiasa mengingati Allah sepanjang masa dan mengingati mati kerana kematian adalah seumpama kiamat kecil bagi setiap manusia yang hidup. Bahkan kematian akan datang pada bila-bila masa dalam berbagai-bagai bentuk termasuk dengan berlakunya sesuatu bencana.
2. Mala petaka yang datang seperti gempa bumi, ombak besar (tsunami), tiupan angin yang kuat (puting beliung) dan sebagainya adalah ujian yang ditentukan oleh Allah S.W.T. bagi menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran setiap hamba-Nya.
3. Oleh itu umat manusia khususnya umat Islam hendaklah sentiasa beringat (jangan lalai dan alpa) dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya di samping berselawat ke atas baginda Rasulullah saw. sepanjang masa dan berdoa agar dijauhi dari segala mara bahaya dan bencana yang menimpa.
4. Orang yang banyak berselawat adalah orang yang paling rapat dengan baginda di akhirat kelak di mana segala permohonan dan kehendaknya akan diperkenankan oleh Allah S.W.T di samping itu segala dosanya akan diampunkan dan sentiasa mendapat perlindungan dari-Nya.
5. Sesungguhnya arahan Rasulullah saw. supaya umatnya memperbanyakkan selawat adalah juga disertai dengan suruhan agar kita tidak meninggalkan perintah agama serta menjauhi segala larangannya.