Friday, January 13, 2012

'Gear' Ketika Tahli?

Ribuan mangga kunci cinta diletakkan di pagar


COLOGNE, Jerman - Ribuan mangga kunci yang diletakkan pada pagar sebuah jambatan kereta api di Rhine, Cologne kelmarin.
Mangga itu diletakkan oleh pasangan kekasih di Jerman.
Menurut agensi berita AP, pasangan itu akan mengunci mangga tersebut manakala kuncinya dibuang ke dalam Sungai Rhine.
Mangga itu turut ditulis perkataan cinta dan dilukis dengan gambar hati. - Agensi

Tuesday, January 10, 2012

Hospital veterinar pertama di Malaysia

Kemudahan bilik bedah yang dilengkapi peralatan canggih bersama tenaga pakar merupakan gabungan yang ideal dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa haiwan peliharaan yang disayangi.

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD

Seorang pemilik kucing membelek-belek kucing kesayangannya yang telah kaku di atas sebuah meja rawatan.

Diusap-usap kepala serta badan kucing tersebut beberapa ketika. setelah puas menatap, perlahan-lahan dia menutup badan kucing tersebut dengan sehelai selimut dan berlalu pergi.

Namun selang beberapa langkah dia berhenti, menanggalkan cermin mata lalu mengesat air mata yang mengalir.

Senario tersebut dilihat sendiri oleh penulis ketika berkunjung ke bahagian Klinik Haiwan Kesayangan, 

Hospital Veterinar Universiti (UVH), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM, Prof. Dr. Abd. Wahid Haron, itu merupakan senario biasa yang boleh dilihat apabila terdapat pelanggan kehilangan haiwan kesayangan mereka di hospital berkenaan.

“Kita telah mencuba yang terbaik bersama kemahiran serta peralatan canggih yang ada namun kematian tetap tidak dapat dielakkan.

“Di sini kami cuba memberikan rawatan serta perhatian terhadap haiwan sama seperti manusia, kerana bagi kami setiap nyawa adalah bernilai,” ujarnya.

Dinobatkan sebagai hospita veterinar yang terbesar di Malaysia serta memiliki peralatan tercanggih di Asia Tenggara menjadikan UVH UPM tumpuan kepada pemilik haiwan kesayangan.

Pertama kali melangkahkan ke UVH pasti membuatkan anda teruja dengan binaan bangunan, susunan bilik bedah serta segala kelengkapannya seakan-akan ia dibina untuk merawat manusia.

Jelas Prof Dr. Wahid, perkhidmatan veterinar bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat negara ini terutamanya bagi mereka yang memiliki haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing.

Namun, penubuhan sebuah hospital yang lengkap bersama peralatan canggih serta tenaga mahir yang ramai persis sebuah hospital untuk manusia adalah merupakan sesuatu yang baru.

Bertempat di UPM, hospital baru UVH ini digerakkan sepenuhnya oleh tenaga mahir yang terdiri daripada staf Fakulti Perubatan Veterinar UPM sendiri.

Tambah Dr. Wahid, perkhidmatan yang ditawarkan dihospital ini bukanlah merupakan sesuatu yang baru.
“Sebelum ini kami memberikan rawatan di UVH di Fakulti Perubatan Veterinar iaitu di bangunan lama.

“Setelah bangunan baru dibangunkan dan pihak kami telah berpindah ke sini,” ujarnya yang ditemui di UVH ketika sesi lawatan yang diadakan baru-baru ini.

UVH telah ditubuhkan sejak tahun 1975 oleh Fakulti Perubatan Veterinar, UPM bermula dengan sebuah klinik haiwan kesayangan dan klinik bergerak.

Perkhidmatan tersebut disokong oleh perkhidmatan makmal yang sederhana, namun UVH hari ini telah menjadi sebuah hospital yang dilengkapi kemudahan terkini.

Sebagai sebuah hospital pengajaran, UVH dilengkapi pelbagai peralatan diagnosis, rawatan penyakit haiwan, kemudahan makmal serta bilik bedah khas.

Selain menawarkan perkhidmatan pesakit luar, UVH turut memiliki kepakaran dalam bidang perubatan, pembedahan veterinar, pengimejan dan diagnosis makmal.

UVH turut mempunyai kepakaran dan peralatan canggih dalam mengendalikan kes yang rumit dan haiwan yang memerlukan penjagaan insentif.

Semenjak pembukaannya, hampir setiap hari UVH menerima lawatan daripada segenap lapisan masyarakat.
“Kita menerima hampir setiap hari kes yang melibatkan haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing.

“Malah, waktu paling kerap dikunjungi oleh pelanggan ialah tengahari," katanya.

Bagi haiwan yang memerlukan rawatan lanjut ia boleh ditempatkan di wad khas pada kadar bayaran yang minimum.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah Amalan Haiwan Kesayangan di mana UVH menawarkan khidmat diagnosis, rawatan serta nasihat kepada pemilik haiwan di hospital yang berada di kampus utama atau klinik satelit di Petaling Jaya, Selangor.

Perkhidmatan yang disediakan termasuk rawatan, diagnosis, pembedahan, pencegahan serta kepakaran dalam rawatan haiwan kesayangan bagi kes yang dirujuk oleh klinik veterinar lain.

Antara haiwan peliharaan yang biasa di bawa ke UVH ialah kucing, anjing, arnab, burung, reptilia dan haiwan eksotik.

Manakala bagi Klinik Satelit yang terletak di Petaling Jaya, ia diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Tidak terhad kepada haiwan kesayangan sahaja, UVH turut menawarkan perkhidmatan Klinik Bergerak kepada pengusaha ladang ternakan, penternak dan pemilik haiwan rekreasi.

Tenaga mahir seperti doktor veterinar yang bertugas untuk Klinik Bergerak akan keluar menemui klien selepas temujanji.

Wad bagi haiwan besar juga turut disediakan di hospital ini, malah UVH turut memiliki Unit Rawatan Rapi yang dikenali sebagai ICU dan sebuah Unit Pharmaci.

UVH turut memiliki kepakaran dalam bidang perubatan ruminan, ekuin, khinzir dan juga bidang teriogenologi serta sitogenetik.

Perkhidmatan yang diberikan termasuk diagnosis, rawatan penyakit, kesihatan kelompok, kawalan penyakit, diagnosis kebuntingan dan khidmat nasihat.

Selain itu, UVH turut menawarkan perkhidmatan rawatan avian melalui Klinik Haiwan Kesayangan dan Klinik Bergerak.

Tidak terhad kepada haiwan darat, pemeriksaan kesihatan bagi spesies ikan dan udang melalui Unit Kesihatan Haiwan Akuatik turut disediakan.

Terdapat pelbagai lagi unit khas lain seperti Unit Surgeri, Anaestesiologi, Radiologi dan Ultrasonografi yang mampu menampung keperluan pembedahan dan diagnosis bagi haiwan kesayangan, haiwan besar dan hidupan liar.

Selain menawarkan pelbagai perkhidmatan di samping peralatan yang canggih, UVH turut di sokong oleh Unit Perkhidmatan Makmal Veterinar (VLSU).

VLSU menyediakan kemudahan makmal diagnosis seperti Bakteriologi, Biologik, Biologi Molekul, Fisiologi, Hematologi dan Biokimia Klinikal, Histopatologi, Kesihatan Umum, Nekropsi (bedah siasat), parasitologi, patologi dan virologi.

Kepakaran dalam setiap makmal ini dapat menghasilkan keputusan analisis, pentafsiran dan diagnosis berkualiti tinggi bagi membantu rawatan penyakit haiwan di UVH mahupun sampel yang dihantar oleh pihak luar.

Biarpun hospital ini dibuka kepada umum, kelaziman hospital yang ditubuhkan di dalam pusat pengajian tinggi adalah untuk tujuan proses pembelajaran.

Justeru, pelajar jurusan Kedoktoran Perubatan Veterinar turut disediakan kemudahan untuk tujuan praktikal dan amali di sini.

Di sini turut disediakan sebuah dewan bedah khas untuk tujuan pembelajaran dan ptaktikal bagi para pelajarnya.

Malah, setiap kes yang dirujuk ke UVH pada masa yang sama merupakan proses pembelajaran secara realiti atau ‘hands on’ kepada pelajar.

UVH beroperasi dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.00 untuk hari isnin hingga khamis dan pada hari jumaat ia dibuka pada pukul 8.30 pagi hingga 11.15 pagi dan bersambung pada 2.45 petang hingga 4.00 petang.

Untuk keterangan lanjut anda boleh mengubungi UVH di talian 03-86563528 bagi Klinik Haiwan Kesayangan, 03-89468319 bagi Klinik Bergerak dan 03-89468272 bagi Pejabat Am UVH manakala laman web hospital ini adalah www.vet.upm.edu.my.

Sunday, January 8, 2012

Ribut matahari bukan kiamat


BANYAK ramalan menyebut 2012 merupakan tahun berlakunya kiamat. Teori kemusnahan alam semesta kaum Maya telah dipopularkan menerusi filem 2012 hinggakan filem tahun 2009 itu meraih kutipan global sebanyak AS$769 juta (RM2.3 bilion).

Nostradamus, si peramal tersohor Perancis turut menamakan 2012 sebagai tahun kemusnahan planet-planet, manakala para ahli astrologi China dari Dinasti Chang mengatakan akan berlaku bencana besar tahun ini.

Oleh kerana itu, apabila saintis menjangkakan fenomena ribut matahari terjadi pada pertengahan 2012 hingga 2013, mitos kiamat yang dicanangkan sebelum ini terasa bagaikan semakin hampir.

ANDAIAN bumi akan musnah pada 2012 mitos semata-mata.

Dalam ilmu astrologi, matahari merupakan bintang yang terletak paling dekat dengan bumi iaitu sejauh 149 juta kilometer. Ia mempunyai suhu teras 15 juta darjah Celcius dan telah terbentuk lebih 5,000 juta tahun yang lalu.

"Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari.

"Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari," kata seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad.

Namun, beliau berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi.

Kesan

"Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku.

"Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet," kata Shahrin.

Beliau memberitahu, kesan ribut matahari pernah dirasai di bumi pada tahun 1859. Akibatnya, sistem telegraf di Amerika Syarikat dan negara Eropah lumpuh sama sekali.

"Peristiwa itu dinamakan Carrington Event. Begitupun, kejadian itu kini boleh dielakkan dengan dua satelit peninjau matahari bernama Stereo yang dilancarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) Amerika Syarikat.

"Kedua-dua satelit itu berperanan mengumpul data untuk memahami dan meramalkan ribut matahari sebagai persediaan awal jika ia berlaku," ujarnya.

Shahrin menambah, memang wujud kebimbangan bahawa ribut matahari kemungkinan menjejaskan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) manusia namun beliau berpendapat perubahan DNA itu lebih disebabkan oleh kesan rumah hijau dan pelepasan gas beracun radioaktif.

"Makanan, radioaktif dan bahan kimia yang meresapi tubuh boleh mengganggu sistem tubuh tetapi ia tiada kaitan secara langsung dengan fenomena ribut matahari," tegasnya.

NASA sebelum ini meramalkan ribut matahari akan kerap berlaku sepanjang tahun 2012 dan 2013.

Ini mengakibatkan saintis Amerika Syarikat (AS) mengandaikan impak kerosakan akibat ribut matahari pada tahun 2012 lebih dahsyat berbanding Taufan Katrina yang melanda AS pada tahun 2005 dan mengorbankan 1,800 orang.

"Puncak kerisauan sebenar ialah gangguan ke atas kehidupan sosial yang bergantung pada teknologi seperti GPS dan komunikasi satelit," kata ahli fizik NASA, Lika Guhathakurta.

RIBUT matahari berlaku disebabkan bintang itu menjadi lebih panas berbanding suhu biasa iaitu 15 juta darjah Celcius.

Seorang lagi pegawai NASA, Michael Kaiser menambah, matahari mencetuskan ribut solar sejak berbilion tahun dahulu tetapi hanya pada akhir-akhir ini ramai yang mengambil berat isu tersebut.

"Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan.

"Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak," katanya.

Ujarnya lagi, kali terakhir pancaran matahari meletus adalah pada tahun 1859 hingga menyebabkan dua pertiga daripada ruang angkasa bumi bertukar menjadi warna merah.

Dijangkakan, peristiwa itu dapat dilihat sekali lagi dengan beberapa bandar utama seperti London, Paris dan New York mengalami ribut awan pada 2012 atau 2013.

Pakar astronomi dari Indonesia, Hakim L Malasan pula berpendapat, fenomena ribut matahari tidak berhubung kait dengan kiamat. Seorang lagi pakar, Thomas Djamaluddin, mengatakan kiamat mungkin berlaku lima juta tahun lagi.

"Matahari akan menjadi bintang raksasa merah dan menelan planet terdekat, Utarid, Zuhrah dan mungkin bumi," jelasnya.

TANAH tandus adalah akibat fenomena pemanasan global dan bukan kerana ribut matahari.

Hidrogen

Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Profesor Datuk Dr. Mazlan Othman berpendapat, bidang astrofizik tidak dapat menentukan hari kiamat selagi tiada perubahan pada matahari.

"Ahli fizik memang percaya bahawa alam semesta akan berakhir tetapi sama ada pada 2012 atau 10 juta tahun dari sekarang mahupun 10 bilion tahun lagi, ia terpulang kepada teori yang kita ada.

"Dari segi fizik, jika matahari sudah kehabisan hidrogen, ia akan berkembang menjadi bintang lain. Ketika itu kehidupan di bumi akan mengalami perubahan dan kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai tanda kiamat.

RIBUT matahari tidak akan memusnahkan bumi sebaliknya merosakkan sistem radar dan satelit.


"Ini kerana apabila matahari tiada lagi tenaga, manusia tidak boleh hidup dan akan berlaku banyak kejadian alam yang boleh mencetuskan pengakhiran dunia," katanya.

Menurut Pegawai Sains, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Zamri Shah Mastor, bumi juga boleh hancur menerusi hentaman objek yang terapung di angkasa lepas seperti komet atau asteroid.

"Tetapi kita bernasib baik disebabkan bumi memiliki lapisan atmosfera. Lapisan itu menyebabkan komet dan asteroid yang cuba menerjah atmosfera bumi akan termusnah terlebih dahulu.

"Sebenarnya terdapat 1,077 asteroid yang dikenal pasti berpotensi menghentam bumi," katanya.

Wednesday, January 4, 2012

MyKad baharu berteknologi tinggi

WONG KYE SANG, 76, menunjukkan MyKad baru (kanan) dan MyKad lamanya di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam mengeluarkan MyKad baharu yang mempunyai reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan terkini.

Antara ciri terpenting MyKad itu, ia diperbuat daripada bahan polikarbonat dan menggunakan cip baharu yang lebih berdaya tahan, selain mempunyai 'bayang' yang menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad bagi mengelakkan pemalsuan.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd. Said yang meninjau operasi di JPN Putrajaya berkata, setakat pukul 10 pagi tadi, 370 permohonan telah diproses dan 700 nombor giliran dikeluarkan kepada orang ramai.

Jariah berkata, sebagai permulaan orang ramai boleh membuat MyKad baharu di JPN Putrajaya dan JPN Shah Alam manakala di negeri lain akan dimulakan secara berperingkat mulai 15 Februari depan pada harga RM10.
Katanya, pengeluaran MyKad baharu itu mengikut piawaian antarabangsa, tidak mudah rosak dan dapat mengatasi masalah berkaitan kualiti dan ketahanan MyKad termasuk kualiti cip yang sering dibangkitkan akhir-akhir ini.

Jambatan kayu unik di Afghanistan


KABUL - Sebuah jambatan kayu menjadi tumpuan pergerakan kereta dan van di wilayah Daykundi, Afghanistan.
Jambatan itu menghubungkan dua kawasan berbukit di wilayah berkenaan.
Ibu kota Daykundi ialah Nili yang terletak 310 kilometer dari Kabul. - AFP

Bertan-tan ikan mati di utara Norway



OSLO - Para saintis dan penduduk tempatan keliru tentang kejadian beberapa tan ikan herring terdampar di sebuah pantai di utara Norway, lapor media kelmarin.

Seorang penduduk setempat, Jan-Petter Jorgensen yang memeriksa pantai berkenaan di Kvaenes, Nordreisa bersama anjingnya pada hujung minggu lalu berkata, terdapat beberapa tan bangkai ikan tersebut.

Antara punca kematian besar-besaran itu termasuk ikan tersebut terperangkap di dalam air pasang selepas dikejar ikan-ikan pemangsa tepian pantai.

Teori yang lain menyatakan sekawanan ikan herring itu hanyut ke tepi pantai semasa ribut baru-baru ini. Terdapat teori lain yang menyatakan ikan-ikan berkenaan terperangkap di dalam air cetek dan mati kerana terperangkap dalam air tawar dari sebatang sungai yang mengalir ke pantai berkenaan. - Dpa

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails