Wednesday, January 4, 2012

Orang utan dirawat seperti manusia


BATU MBELIN, Indonesia - Seekor orang utan jantan berusia 40 tahun bernama Puyul terpaksa dibedah bagi mengubati kaki haiwan itu yang patah.

Puyul menjalani pembedahan tersebut di sebuah pusat Program Pemuliharaan Orang Utan Sumatera (SOCP) di sini, Sumatera Utara baru-baru ini.

Kaki mamalia itu patah semasa ia diselamatkan oleh beberapa sukarelawan selepas ditemui berkeliaran di sebuah ladang getah berhampiran perkampungan manusia.

Selain Puyul, seekor orang utan berusia empat tahun, Marvel turut menjalani pembedahan di pusat berkenaan.
Kaki Marvel terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman akibat dirantai semasa ia dijadikan sebagai haiwan peliharaan. - Agensi

Saintis temui ikan jerung hibrid

SYDNEY - Sekumpulan saintis semalam mendedahkan mereka telah menemui jerung hibrid pertama di dunia di perairan Australia.

Ketua penyelidik berkenaan, Jess Morgan berkata, jerung hibrid tersebut terhasil daripada proses mengawan antara jerung muncung hitam Australia dengan jerung muncung hitam biasa sekali gus merupakan satu penemuan mengejutkan di bidang sains.

"Ia amat mengejutkan kerana tiada siapa pernah melihat jerung hibrid sebelum ini, Inilah bukti proses evolusi," kata Morgan.

Menurutnya, penemuan jerung hibrid itu dibuat semasa kerja merekodkan spesies jerung di perairan timur Australia baru-baru ini.

Jerung muncung hitam Australia cuma hidup di kawasan beriklim tropikal tetapi jerung hibrid tersebut ditemui di perairan lebih sejuk pada jarak 2,000 kilometer dari pantai.

Saintis percaya proses mengawan antara dua baka berlainan itu berlaku kerana adaptasi bagi membolehkan jerung muncung hitam terus hidup walaupun suhu air laut kini berubah akibat pemanasan global. - AFP

Monday, January 2, 2012

500 cedera letupan mercun

MANILA, Filipina - Hampir 500 orang cedera akibat letupan mercun dan tembakan rambang di negara ini sempena sambutan tahun baru.


Menurut beberapa pegawai, kira-kira 12 buah penerbangan, termasuk dua dari Amerika Syarikat terpaksa dibatalkan dan dilencongkan semalam kerana letupan mercun mengehadkan penglihatan di Manila.
Sejumlah orang yang cedera akibat letupan mercun termasuk kanak-kanak memenuhi bilik-bilik kecemasan di hospital di sini selepas tengah malam.

Dua kumpulan bertempur di depan sebuah hospital di sini menyebabkan seorang mati akibat tembakan.
Setiausaha Kesihatan, Enrique Ona menyatakan bilangan mangsa yang cedera akibat letupan mercun ialah 454 orang dan 18 lagi terkena peluru sesat.

"Sekali lagi, rayuan supaya ibu-ibu menjauhkan anak-anak mereka dari mercun tidak berkesan," kata Ona pada satu sidang akhbar.

Menurutnya, dia bersedia untuk menimbangkan satu cadangan bagi mengharamkan mercun sepenuhnya tetapi ia perlu dikaji terlebih dahulu.

Setiausaha Dalam Negeri, Jesse Robredo berkata, seramai 65 orang ditangkap kerana menggunakan mercun haram.

Sebahagian besar rakyat Filipina terpengaruh dengan tradisi masyarakat China yang percaya bunyi bising mercun dan bunga api mampu mengusir kejahatan dan nasib malang pada sambutan tahun baru.
Bagaimanapun, mereka mengamalkan kepercayaan itu dengan keterlaluan sehingga menyebabkan banyak kecederaan berlaku pada setiap tahun sempena sambutan tahun baru. - Agensi

Dua juta berpesta di Copacabana

RIO DE JANEIRO, Brazil - Lebih dua juta orang berhimpun di pantai Copacabana di Rio de Janeiro bagi meraikan sambutan tahun baru semalam.

Pelbagai pertunjukan bunga api yang menarik di langit di atas laut dipersembahkan manakala irama muzik Latin diperdengarkan bagi memeriahkan sambutan tersebut.

Beribu-ribu bunga api naik ke udara dari 11 jeti terapung di pantai legenda itu selain dihangatkan dengan irama samba.

Walaupun hujan, sambutan itu tidak menjejaskan pengunjung yang hadir.

Sebahagian pengunjung wanita hanya memakai bikini semasa meraikan sambutan tahun baru itu.
Penduduk Brazil menyambut tahun baru sebanyak tiga kali kerana negara ini mempunyai tiga zon waktu yang berbeza.

Sementara itu di Casandrino, Itali, seorang lelaki berusia 39 tahun, Marco D'Apice mati selepas sebutir peluru sesat memasuki mulutnya semasa beberapa orang melepaskan tembakan bagi meraikan tahun baru.
Di Rom, beberapa anggota bomba berusaha untuk memadamkan kebakaran selepas seorang lelaki menyalakan mercun yang menyebabkan sejumlah bunga api terbakar sekali gus menyebabkan dia terbunuh dan beberapa orang lagi cedera termasuk kanak-kanak. - Agensi

Majlis tradisi elak ditanduk lembu menjelang Tahun Baru


TUBACO, Colombia - Beberapa orang ditanduk lembu jantan dalam satu majlis tradisi menjelang Tahun Baru di sini kelmarin.

Majlis itu diadakan di sebuah stadium dengan orang ramai berlari bagi mengelakkan diri daripada ditanduk lembu jantan.
Namun, terdapat beberapa orang yang tidak bernasib baik kerana mereka cedera ditanduk haiwan itu. - Agensi

Berhimpun untuk lihat matahari 2012



BANDAR NATORI - Sejumlah orang berhimpun untuk menyaksikan matahari terbit pada hari pertama 2012 di sini semalam.

Bandar Natori terletak di wilayah Yuriage yang turut terjejas akibat bencana tsunami ekoran gempa bumi dasar laut yang berlaku pada 11 Mac tahun lalu di timur laut Jepun.

Syarikat All Nippon Airways turut menyediakan satu penerbangan yang dinaiki seramai 137 orang untuk melihat matahari terbit pada 1 Januari 2012. - AFP

Robot diguna bagi bantu pesakit strok

SEORANGpesakit menggunakan robot untuk menggerakkan kaki dan tangannya di Pusat Pemulihan Lanjutan Terapeutik, Hospital Tan Tock Seng di Singapura pada 18 November lalu.


SINGAPURA - Pusat Pemulihan Lanjutan Terapeutik (CART) di Hospital Tan Tock Seng milik pemerintah di sini menggunakan gajet canggih termasuk robot untuk pesakit strok dan palsi serebrum yang menjejaskan pergerakan kaki dan tangan.
"Terapi ini tidak membosankan, tidak terlalu sakit sebagai terapi fizikal kerana mesin membantu saya untuk menggerakkan lengan saya ke atas dan ke bawah," kata seorang pesakit strok, Soon Eng Sam yang berusia 70 tahun.
Dia yang terlantar selama tiga bulan kerana menghidap strok berharap penggunaan gajet baharu akan menjadikan suasana yang menggembirakan semasa rawatan pemulihan. - AFP

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails