Thursday, August 18, 2011

Mentega DNA babi masih tidak diasing


MENTEGA yang mengandungi DNA babi (paling kanan) masih bercampur dengan mentega halal yang lain di salah sebuah pasar raya di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Walaupun pihak berkuasa meminta agar pengusaha pasar raya dan peruncit mengasingkan segera mentega mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke seksyen tidak halal, namun masih ada yang tidak peduli.

Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya mendapati mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan tidak halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Isnin lalu masih diletakkan bersama produk halal lain di pasar raya.


Hati-hati membeli!!! 

Tuesday, August 16, 2011

Jakim sahkan mentega haram

 MENTEGA Golden Churn  mengandungi DNA babi.
MENTEGA Pure Creamery Butter-Golden Churn ini dibalut dengan bungkusan mengandungi tanda halal.
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengesahkan mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha (gambar kecil) berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza dan untuk pasaran berlainan.

"Perkara ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand yang mengeluarkan produk itu.

"Sehubungan itu umat Islam seluruh negara diminta untuk tidak menggunakan produk tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, Othman meminta pemegang dan permohonan baharu Sijil Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang telah menggunakan produk tersebut agar menukarnya kepada bahan yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baharu.

Menurut beliau, mereka juga perlu melakukan proses samak dengan disaksikan jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan samak.

Othman berkata, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran.

Pada 19 Julai lalu, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi, menyebabkan industri makanan itu terjejas. - Bernama

Lelaki tertinggi di dunia tetamu Himpunan Remaja


KOTA BHARU, 14 Ogos: Lelaki tertinggi di dunia berasal dari Punjab Pakistan, Ijaz Ahmed, 28, menjadi tetamu Himpunan Remaja dan Majlis Makan Colek di Qaryah Ramadan, kelmarin.

Beliau berada di negeri ini selama dua hari sebagai tetamu dan juga untuk memohon sumbangan derma orang ramai bagi mendapatkan sumber kewangan untuk membiayai rawatan kakinya akibat kemalangan dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,  Kebudayaan dab Pelancongan negeri,  Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Ijaz yang mempunyai ketinggian 8 kaki 4 inci itu telah mengalami kemalangan jalan raya dua tahun lalu.

"Akibatnya, Ijaz mengalami masaalah kaki dan ianya perlu dirawat," ujarnya.

Menurutnya, sebagai seorang anak yang berada dalam lingkungan keluarga miskin, beliau tidak mampu menanggung kos yang tinggi untuk merawat kakinya itu.

Sementara itu, orang ramai turut diraikan dengan jamuan colek sempena majlis penyampaian hadiah pameran auto show, petang kelmarin.

Turut berucap pada majlis itu Penolong Pengarah Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Nasir Mat Soh.

Monday, August 15, 2011

Keinsafan Ramadhan Bersama Huffaz Palestin : Mohonlah Keampunan Allah


HALUAN Palestin  
 
Alhamdulillah, kita masih lagi berpeluang untuk menggapai rahmat dan keampunan Allah. Sudah tentu pada setiap bulan Ramadhan kita akan mencari peluang melipat-gandakan amal kebajikan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Ramadhan tahun ini memberi pengalaman baru bilamana kita berkesempatan menimba ilmu dan pengisian jiwa daripada para huffaz Palestin yang dihantar khusus oleh Rabitah Ulama Palestin ke Malaysia. Suasana kehidupan, perjuangan dan pengalaman mereka yang berbeza daripada kita dapat memberi persepsi baru terhadap kehidupan ini.

Sheikh Maher al Munajjed
Sheikh Maher al Munajjed

Dalam satu sesi tazkirahnya, Sheikh Maher al Munajjed yang mengetuai para huffaz tersebut, pernah memberi nasihat tentang perlunya kita menggandakan taubat kepada Allah, apatah lagi dalam bulan Ramadhan ini. 

Allah menyeru kepada setiap kita supaya bertaubat dan jangan berputus asa andainya terlanjur dengan maksiat, kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Menerima taubat (at-Thawwab.)

Kita manusia tidak asing daripada maksiat. Maksiat-maksiat itu tidak sedikitpun mengganggu kehebatan Allah swt, tetapi maksiat itu sebenarnya mengganggu kita sebagai manusia,” kata beliau menjelaskan sifat Allah swt yang sentiasa mengampunkan hamba-hambaNya yang berbuat maksiat.

Hati orang mukmin sebenarnya dapat membezakan di antara kebaikan dan kejahatan, di mana seseorang itu akan merasa lapang dan gembira apabila melakukan kebaikan dan sebaliknya merasa sempit dan sedih apabila melakukan maksiat. Walaupun Allah sentiasa membuka pintu keampunan, setiap orang mukmin harus merasa parah dengan kemaksiatan dan gembira dengan kebaikan.

Dalam tazkirah yang disampaikannya, Sheikh Maher menceritakan tentang sejarah perancangan Rom dan Parsi untuk menyerang Madinah. Apabila Rasulullah saw mendapat berita tentang perancangan tersebut, Baginda memutuskan untuk tidak berperang dalam Kota Madinah. Pada waktu itu, Madinah sedang berada dalam musim menuai kurma. Namun Rasulullah saw mengarahkan sahabat-sahabat Baginda pergi keluar berperang dan meninggalkan hasil kurma.

Salah seorang daripada sahabat yang sangat disayangi oleh Baginda iaitu Ka’ab ibn Malik tidak bersetuju dengan arahan tersebut dan mencadangkan supaya diberi masa menunggu sehinga kurma matang dan dapat dikutip hasilnya. Rasulullah saw dan para sahabat sudah berangkat ke medan, sedangkan Ka’ab masih berada di rumah walaupun dia merupakan seorang lelaki yang muda lagi gagah dan memiliki 2 ekor kuda dan semua kelengkapan perang.

Apabila angkatan yang dipimpin Rasulullah saw itu tiba di Tabuk (Jordan), Baginda saw bertanya di manakah Ka’ab. Ada dari kalangan para sahabat yang mengatakan bahawa Ka’ab sedang bersama orang-orang munafik. Ada dari kalangan para sahabat yang lain tidak percaya kepada hal tersebut kerana apa yang mereka tahu tentang Ka’ab ialah perkara-perkara yang baik-baik sahaja.

Apabila Rasulullah saw dan para sahabat pulang dari peperangan, mereka yang ditinggalkan di Madinah mula memberi alasan mengapa tidak menyertai Rasulullah saw. Antara lain, orang-orang Yahudi memberikan alasan bahawa mereka tidak tahan melihat kecantikan wanita-wanita Rom, jadi mereka harus menguzurkan diri.

Bagi Ka’ab, walaupun dia merupakan seorang yang sangat bijak mengada-adakan cerita, dia faham sekiranya dia berbohong akhirnya Allah akan membongkarkan juga cerita sebenar. Apabila Rasulullah saw bertanya kenapa dia tidak pergi berperang, Ka’ab menjawab, “sekiranya aku berbohong kepadamu, maka Allah akan mendedahkan perkara yang sebenar. Aku tidak ada apa-apa keuzuran.” Mendengar alasan Ka’ab itu, Rasulullah menjawab, “inilah jawapan yang sebenarnya.”

Berikutan kesalahannya itu, semua para sabahat telah memulau Ka’ab ibn Malik. Melihat musibah Ka’ab itu, satu kabilah Arab bernama Qasasil telah menghantar surat kepada beliau, menghasut dengan bertanya kenapa Ka’ab masih beserta dengan golongan yang sudah tidak suka kepadanya. Malahan kabilah itu juga memberi tawaran bahawa sekiranya Ka’ab menyertai mereka, beliau akan dimuliakan.

Ka’ab berasa sangat marah dan terus membakar surat itu. Beliau dipulaukan selama 50 hari, dan sepanjang tempoh itu dia menangis. Kehidupannya dirasakan sangat sempit, sehingga turunlah ayat terakhir dari surah at-Taubah yang mengatakan bahawa Allah telah mengampunkan dosanya. Allah juga telah mengampunkan dosa orang-orang Ansar dan Muhajirin beserta 3 orang yang tidak pergi berperang.

Selepas turun ayat tersebut, datanglah seorang sahabat kepada Ka’ab dan mengatakan, “bergembiralah wahai Ka’ab!” Apabila mendengar berita yang disampaikan itu, Ka’ab terus memberikan jubah yang dipakainya kepada sahabat tersebut dan bergegas ke masjid untuk berjumpa Rasulullah saw. Apabila beliau sampai, Rasulullah tersenyum dan membacakan ayat terakhir surah at-Taubah itu.

Daripada sejarah tersebut, Sheikh Maher menjelaskan bahawa apa yang berlaku kepada Ka’ab merupakan satu manifestasi seseorang yang melakukan dosa. Orang yang melakukan dosa perlu berusaha untuk memohon keampuan dari Allah. Tiada kegembiraan yang paling tinggi melainkan mendapat rahmat Allah. Untuk mendapat rahmat Allah, sesorang perlu bersungguh-sungguh dalam taubatnya.

Setiap anak Adam berbuat salah, sebaik-baik oran g yang berbuat salah ialah mereka yang bertaubat.

Topi keledar unik


BENTUK topi keledar yang kelihatan seperti otak manusia.


ASTANA - Sebuah firma di Kazakhstan menghasilkan topi keledar yang mempunyai imej hiasan seperti buah tembikai dan otak manusia, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Rekaan aneh itu juga mengandungi imej kepala botak dan bola tenis serta potongan rambut.

Kesemua rekaan tersebut diilhamkan oleh syarikat itu yang ingin menjadikan idea tersebut suatu realiti.

"Kami cuba melakukan sesuatu sekadar untuk hiburan. Namun, buat masa kini kami telah mempunyai cadangan untuk meminta hak pengeluaran di Amerika Syarikat dan Jepun," kata pereka topi keledar itu, 

Renat Abdrakhmanov. - Agensi

Rumah paling mahal di Britain


RUMAH yang pernah didiami anak George II, Frederick dijual pada harga RM684 juta.
OXFORD - Sebuah rumah lama di Britain dipercayai telah dijual kepada seorang hartawan dari Rusia dengan harga kira-kira £140 juta (RM684 juta), lapor sebuah akhbar semalam.

Rumah Park Place yang berusia 300 tahun itu terletak di kawasan luar bandar berkeluasan 80.93 hektar di Oxfordshire.

Harga itu mengatasi rumah paling mahal di Britain sebelum ini iaitu £136 juta (RM664 juta) yang dijual di One Hyde Park, Knightsbridge, tengah London, awal tahun ini.

Terdapat sejarah unik mengenai rumah itu kerana ia pernah didiami oleh anakanda lelaki sulung George II yang pernah memerintah England.

Anak lelaki George II itu, Frederick (gambar) memegang gelaran Putera Wales.

Namun, baginda mangkat semasa berusia 44 tahun sebelum sempat menjadi Raja England.

Rumah itu kemudian dijual oleh balu Frederick, Augusta kepada seorang pegawai tentera England yang dikenali sebagai Jeneral Conway. - Agensi

Dirempuh belon panas


SEBUAH belon panas merempuh deretan rumah di Bristol baru-baru ini.  


BRISTOL, Britain - Sebuah belon panas merempuh deretan rumah selepas melanggar wayar telefon, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian tersebut berlaku ketika belon panas yang mengambil bahagian dalam Pesta Belon Panas Antarabangsa Bristol itu tidak dapat terbang tinggi.

Keadaan itu berlaku kerana kru belon berkenaan telah menukar silinder gas belon tersebut.

Bakul belon panas yang membawa seorang bapa dan anaknya itu kemudian merempuh sebuah rumah dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Bapa itu yang merupakan jurupandu belon berpengalaman, Martin Read berjaya mendaratkan belon panas tersebut kira-kira 8.04 kilometer dari tempat kejadian.

Pihak berkuasa penerbangan melakukan siasatan manakala kerosakan dijangka ditanggung oleh syarikat insurans. - Agensi

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails