Wednesday, October 6, 2010

Banjir di Teluk Wondama, di Papua Barat

BEBERAPA orang melihat kesan kemusnahan akibat banjir kilat di Wasior, wilayah Papua semalam.

JAKARTA - Sekurang-kurangnya 56 orang maut dan 24 lagi dipercayai hilang selepas banjir kilat melanda sebuah kawasan terpencil di wilayah Papua, Indonesia, kata seorang pegawai pengurusan bencana, Dani Kismianti semalam.

Banjir teruk itu melanda kawasan terbabit kelmarin selepas hujan tidak berhenti-henti melanda kawasan tersebut lewat Ahad lalu di Teluk Wondama, di Papua Barat.

"Kami menerima maklumat daripada beberapa pegawai tempatan di sana bahawa 56 orang terkorban dan 24 mangsa lagi masih hilang," kata Dani.

Katanya, seramai 81 orang didapati cedera teruk dan kebanyakan mereka terpaksa dikejarkan ke hospital di daerah berdekatan di Nabire dan Manokwari.

Menurut beberapa pegawai, talian komunikasi telah terputus dan beberapa jalan ke kawasan terlibat dihalang beberapa batang pokok yang tumbang. - AFP

Kosmo

-

-


PENDUDUK meninjau rumah yang dimusnahkan banjir kilat di Wasior, wilayah Papua Barat, semalam. (BERITA HARIAN)



Penduduk Kampung Wasior melihat keadaan rumah mereka yang ranap akibat tanah runtuh berikutan banjir di wilayah Papua, Indonesia, semalam. – AP (UTUSAN)

Monday, October 4, 2010

Laut terbelah di Korea


Ratusan ribu pelancong banjiri Jindo setiap tahun untuk merasa sendiri kejadian laut terbelah.

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/07/04

Keajaiban di Pulau Jindo bentuk laluan sementara 2.8 kilometer selama sejam

APA saja yang disebut sebagai keajaiban memang tidak pernah gagal menarik perhatian orang ramai. Lebih-lebih lagi apabila kisah di sebaliknya sukar dijelaskan. Malah, banyak sebenarnya fenomena menakjubkan berlaku di dunia ini yang kurang diketahui ramai biarpun berlaku hampir saban tahun.

Salah satu fenomena yang tidak kurang menariknya adalah kejadian laut terbelah yang berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ini adalah yang ketiga terbesar di negara itu dan terletak berhampiran pulau Jejudo dan Geojodo.
Bayangkan dalam tempoh sejam, anda dapat menyaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.
Kejadian itu pasti mengingatkan kita terhadap kisah Nabi Musa yang ‘membelah laut’ bagi membawa pengikutnya yang taat kepada Allah SWT melarikan diri daripada kekejaman Firaun.

Namun, kejadian moden belahan laut di Jindo itu lain ceritanya yang berkait rapat dengan faktor semula jadi iaitu berlakunya pertembungan arus surut secara serentak yang menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter.

Ini menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia juga lazimnya berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo.
Malah Pesta Laut Terbelah Jindo ini selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai. Bagaimanapun, sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing yang mencecah 400,000 orang membanjiri pesta itu menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April.

Acara itu juga membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo. Pesta itu diserikan dengan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae, turut dipersembahkan. Tarikan lain sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.

Bagi mendapatkan pemandangan paling menarik laut terbelah dan membentuk laluan, orang ramai boleh menikmatinya sama ada dengan memanjat bukit atau berjalan-jalan sendiri di laluan itu.

Malah, siapa yang mahu melepaskan peluang melihat detik-detik keajaiban dan tidak hairanlah sebaik lautan itu terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain.

“Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul,” kata pelancong tempatan, Cho Eun-Jun yang dipetik media tempatan, baru-baru ini.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.

Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kisah atau kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduk berlari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dalam keadaan serba tersedak dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantu wanita malang itu lari daripada haiwan liar berkenaan.

Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.”

Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.

Selain di Korea, kejadian itu turut dipopularkan di Jepun, selepas penyanyi wanitanya, Dendo Yomishi, menghasilkan lagu fenomena Jindo itu pada 1996.

Kisah Nabi Musa belah samudera

Fenomena laut terbelah dua bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada zaman Nabi Musa yang ketika membawa pengikutnya yang taat kepada Allah melarikan diri daripada kekejaman Firaun, pemerintah Mesir.

Namun begitu, besar perbezaan dengan apa yang berlaku di Korea Selatan kerana perkataan terbelah dan membelah itu sendiri membawa makna berlainan. Kejadian laut terbelah di Korea Selatan berpunca daripada faktor saintifik sedangkan keupayaan Nabi Musa membelah Laut Merah pada tanggal 10 Muharam dengan tongkatnya adalah disebabkan mukjizat yang dikurniakan Allah kepada baginda.


Kekejaman Firaun yang mengaku dirinya Tuhan sudah sampai di kemuncak, menyebabkan Nabi Musa membawa pengikutnya lari untuk mengelak daripada diseksa.
Pelarian membawa mereka ke tepi Laut Merah. Sekali pandang, Nabi Musa dan pengikut baginda bakal menjadi habuan kebuasan Firaun kerana terperangkap - di depan laut dan di belakang pula tentera Firaun semakin mendekati.

Namun Allah SWT mempunyai perancangan tersendiri untuk menyelamatkan Rasul serta makhluk-Nya yang beriman. Allah mengarahkan Nabi Musa mengetuk tongkat baginda, yang sebelum itu berjaya membuatkan ahli sihir Firaun ketakutan selepas menjelma menjadi ular besar menelan semua ular yang dijelmakan ahli sihir berkenaan, ke laut.

Dengan izin-Nya, Laut Merah itu terbelah dua, menyediakan laluan untuk Nabi Musa dan pengikut baginda menyeberang dengan selamat.

Firaun dan bala tenteranya yang ghairah mahu membunuh Nabi Musa dan pengikut baginda akhirnya masuk ke dalam perangkap maut apabila laut kembali bersatu sebaik mereka berada di tengah-tengah dan selepas Nabi Musa dan pengikut baginda sudah selamat tiba di tebing.

Bukti kejadian itu diungkap oleh seorang pakar arkeologi, Ron Wyatt, yang mendakwa menemui beberapa roda kenderaan perang purba di dasar Laut Merah. Katanya, ia mungkin sebahagian sisa kenderaan perang tentera Firaun yang tenggelam ketika mengejar Nabi Musa.

Katanya, selain roda kenderaan perang berkuda, Wyatt bersama pasukannya turut menemui tulang manusia dan tulang kuda di tempat yang sama. Penemuan itu mengukuhkan dakwaan ia adalah sisa tulang tentera Firaun apatah lagi hasil kajian yang dilakukan di Universiti Stockholm ke atas tulang berkenaan mengesahkan ia berusia sekitar 3,500 tahun, sama waktu kejadian Nabi Musa membelah Laut Merah berlaku.

Apapun, kedua-dua kejadian itu berlaku atas kehendak Allah SWT yang cuma mengarahkan laut terbelah mengikut jadual, dan itulah yang akan terjadi.

INFO: Laut terbelah Jindo
  • Berlaku dua kali setahun iaitu sama ada Mac atau Mei serta Julai.
  • Secara saintifik, kejadian itu disebabkan penurunan mendadak paras air laut akibat pertembungan air pasang dan surut secara serentak.
  • Ia juga disebabkan tarikan graviti antara bulan dan matahari.
  • Fenomena itu berlaku selama sejam dan mendedahkan sebahagian dasar lautannya yang membentuk laluan menghubungkan daratan Jindo dan pulau sekitarnya.
  • Menjadi antara acara tarikan utama pelancong ke Korea Selatan, setiap tahun.
  • Sunday, October 3, 2010

    Budak Marikh

    BORISCHA, kanak-kanak Rusia yang menggemparkan saintis dengan pengetahuannya yang terperinci tentang bumi dan Marikh.



    LAPORAN akhbar minggu ini tentang pakar astrofizik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman dicadangkan sebagai individu pertama untuk berkomunikasi dengan makhluk asing sememangnya mencuri perhatian.

    Bagaimanapun, Mazlan berkata, tugasan yang didakwa diberikan kepadanya itu sebenarnya tidak wujud.

    "Memang menarik menjadi orang pertama berkomunikasi dengan entiti luar, namun saya perlu menafikan kesahihannya," katanya melalui e-mel kepada akhbar The Guardian di London.

    Sebelum itu, laman web berita media Australia, www.news.com.au melaporkan Mazlan dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berinteraksi dengan makhluk asing jika kewujudan entiti itu disahkan secara saintifik.

    Walaupun berita itu turut disangkal oleh Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB (UNOOSA): hal ini sekilas menerbitkan kembali tanda soal di minda kita. Wujudkah makhluk asing? Hakikatnya saintis-saintis juga masih menyelongkar jawapannya.

    Malapetaka

    Apabila berbicara tentang makhluk asing atau hidupan di angkasa lepas, kisah seorang kanak-kanak lelaki Rusia, Boriska Kipriyanovich atau Borischa sangat menarik untuk dikongsi. Kanak-kanak itu mendakwa dirinya berasal dari Marikh, planet yang terletak sekurang-kurangnya 55 juta kilometer dari bumi.

    Bukan setakat itu, Borischa juga bertegas masih ada hidupan di Marikh dan mereka terpaksa tinggal di bawah tanah serta bernafas dengan gas berasaskan karbon.

    Dilahirkan pada 11 Januari 1996, Borischa membuat dakwaan itu ketika usianya tujuh tahun. Berita tentang Borischa mula berlegar di Rusia pada tahun 2004 apabila media Truth Report Russia melaporkannya.

    Dunia semakin mengenali kanak-kanak aneh itu apabila sebuah badan mengkaji misteri, Camelot Project dari Amerika Syarikat menemu bualnya pada tahun 2007 dan videonya dimuat naik di laman Youtube pada awal tahun 2008.

    Kini, jika dihitung, kanak-kanak itu sudah berusia 14 tahun.


    Borischa bukan tiba-tiba muncul ke bumi dari Marikh sebaliknya dia dilahirkan seperti anak yang lain, daripada rahim ibunya, Nadezhda Kipriyanovich di Zhirinovsk, Volgograd, Rusia.

    Borischa mendakwa dia merupakan seorang penduduk Marikh yang berketinggian tujuh meter dalam kehidupan masa lalu.

    Bunyinya seperti lucu tetapi teruskan membaca.

    Kanak-kanak berwajah menarik itu mula mendedahkan 'pengetahuannya' tentang Marikh ketika menyertai satu ekspedisi di zon anomali, Medvedetskaya Gryada dekat Volgograd.

    Di hadapan para peserta ekspedisi yang rata-ratanya orang yang berpengetahuan tinggi dan berfikiran terbuka, dia yang ketika itu berusia tujuh tahun memukau dengan bicaranya tentang tamadun Marikh, bandar-bandar megalitik, kapal angkasa mereka, penerbangan ke planet-planet lain dan tamadun purba Lemuria di bumi seperti dia benar-benar menyaksikannya.

    "Boleh anda bayangkan, apabila semua orang duduk mengelilingi kem api, tiba-tiba seorang budak berusia sekitar tujuh tahun meminta semua orang memberi perhatian kepadanya. Ramai orang terkejut tentang dua perkara.

    "Pertama, kanak-kanak itu benar-benar berpengetahuan. Daya intelektualnya sangat jauh jika dibandingkan dengan kanak-kanak tipikal.

    "Profesor di universiti pun belum tentu mampu bercerita tentang sejarah Lemuria dengan begitu terperinci. Anda takkan menemuinya dalam buku teks sekolah.

    "Kedua, kami semua tertawan dengan ucapan budak itu. Bahasa yang digunakan tidak seperti kanak-kanak biasa.

    "Pengetahuannya tentang terminologi yang spesifik serta terperinci berkenaan Marikh dan bumi mengagumkan semua orang," kata seorang profesor universiti, Gennady Belimov, antara saintis yang mula-mula melaporkan keluarbiasaan Borischa.

    Tamadun Lemuria merujuk kepada tamadun purba yang dipercayai wujud di bumi 800,000 tahun yang lalu.

    Kisah Borischa menarik perhatian para saintis Rusia tahun 2004.

    Profesor Vladislav Lugovenko lantas menyifatkan kanak-kanak itu sebagai kanak-kanak indigo iaitu yang mempunyai keupayaan mental yang luar biasa.

    "Borischa salah satu daripadanya. Kanak-kanak indigo juga seperti mempunyai misi khas untuk mengubah masyarakat bumi," katanya.

    Ibu Borischa yang merupakan seorang dermatologis di klinik awam serta bapanya, seorang pegawai bersara juga berasa aneh tentang anak mereka itu.

    Nadezhda atau Nadya berkata, dia tidak berasa sakit semasa melahirkan Borischa dan bayi itu merenungnya seperti pandangan seorang dewasa kala ditunjukkan kepadanya.Permainan Huruf

    Pada usia satu tahun, Borischa memberinya permainan huruf-huruf dan pada usia setahun setengah dia sudah boleh membaca surat khabar bercetakan besar. Pada usia dua tahun pula dia boleh melukis dan mewarna.

    Belum pun umurnya mencecah tiga tahun, Borischa sudah bercerita kepada ibu bapanya tentang alam semesta

    "Dia boleh menamakan semua planet dalam sistem suria termasuk satelit-satelitnya. Dia menyimbah saya dengan nama-nama dan bilangan galaksi.

    "Pada mulanya, saya berasa takut dan fikir anak saya mungkin hilang akal, tetapi apabila saya periksa apa yang dikatakannya memang benar wujud.

    "Saya cari buku-buku berkenaan astronomi dan terkejut apabila mendapati anak saya tahu banyak mengenainya. Tidak ada sesiapa yang mengajarnya.

    ""Apabila saya bawa anak saya kepada banyak saintis termasuk ufologis, ahli astronomi dan sejarahwan, mereka setuju bahawa adalah mustahil untuk menyatukan semua ini menjadi satu cerita.

    "Terma-terma asing dan saintifik yang digunakannya hanya diguna pakai oleh mereka yang pakar dalam bidang sains itu sahaja," tambahnya.

    Kebijaksanaan Borischa turut menyulitkannya untuk belajar di sekolah. Selepas interbiu pertama, dia dipindahkan ke gred kedua, tetapi pihak sekolah seperti cuba untuk menyingkirkannya.

    Dia dikatakan terus menerus mengganggu pengajaran cikgu dan sering menyatakan yang mereka salah. Kemudian, dia berguru dengan tutor persendirian.

    Semasa ditemu bual pada Oktober 2007 oleh Camelot Project, Borischa berusia hampir 12 tahun. Dia ketika itu dikatakan sedang belajar di sebuah sekolah berdekatan Moscow yang dikhaskan untuk kanak-kanak genius.

    Sebagai seorang yang meniti usia remaja, penemu bual daripada Camelot Project menyifatkannya sebagai seorang yang mempesona, ceria, malu-malu, peka dan sensitif.

    KAPAL angkasa manusia sering gagal mendarat di Marikh kerana, menurut Borischa, terdapat signal khas yang dikeluarkan oleh planet itu.

    Jurnal cuba untuk menjejaki perkembangan terbaru Borischa di laman Internet, namun gagal mendapatkan sebarang maklumat.

    Maklumat terakhir yang diperoleh adalah pada September 2008 apabila Kerry Cassidy daripada Camelot Project yang pernah menemu bualnya meninggalkan mesej di sebuah forum di Internet:

    "Borischa berada dalam keadaan yang amat baik dan membesar dengan baik. Dia akan memulakan persekolahan di Moscow dalam masa terdekat dan akan menetap di tempat baru.

    "Kami akan lihat sama ada dia mempunyai akses Internet di rumahnya.

    "Amat sukar untuk mereka mempunyai Internet di dalam apartmen mereka tetapi ia boleh berubah jika mereka mendapat tempat tinggal yang lebih baik.

    "Kami ada menghubunginya beberapa bulan lalu. Dia dan ibunya ketika itu sedang kembali ke kampung halaman mereka untuk mengemas barang bagi perpindahan ke Moscow."

    Kanak-kanak ini juga nampaknya bukan seorang yang pandai bercakap tentang sains astronomi tapi juga mempunyai perspektif yang murni tentang kehidupan.

    "Anda perlu menjadi seorang yang berbelas kasihan kepada orang lain. Kalau seseorang menyakiti anda, peluklah dia, minta maaf kepadanya dan berlutut kepadanya.

    "Jika seseorang itu membenci kamu, sayangi dia dengan sepenuh hatimu dan minta keampunan," ujar Borischa.

    Sumber : Keanehan budak dari Marikh

    Apabila terumbu karang mati

    Kosmo

    KEUNIKAN dan keindahan dasar laut dengan warna-warni terumbu karang meletakkan beberapa buah pulau di negara ini sebagai antara yang tercantik di dunia.

    Malangnya, terumbu karang yang dianggap aset paling berharga itu sedang berdepan dengan kemusnahan termasuk di beberapa taman laut dan lokasi menyelam polular.

    Buktinya dapat dilihat pada warna terumbu karang yang semakin pudar dan suram.

    Fenomena itu memaksa Jabatan Taman Laut Malaysia (JLTM) menutup sebanyak 12 lokasi menyelam selama 122 hari iaitu sehingga 31 Oktober ini.

    Lokasi yang dimaksudkan itu ialah Teluk Wangi, Pantai Damai dan Coral Garden di Pulau Payar, Langkawi, Kedah.

    Di Terengganu, kawasan yang terjejas meliputi sembilan lokasi di Pulau Redang, dua di Pulau Perhentian Besar serta masing-masing satu di perairan Pulau Lima dan Pulau Tenggol.

    Sementara di Pahang, lokasi yang dikenal pasti terletak di Pulau Tioman, iaitu Pulau Chebeh dan Pulau Tulai, Pulau Rengis, Pulau Tumok dan Pulau Soyak.


    TERUMBU karang yang mati bersepah di pantai Pulau Redang.

    AKTIVITI menyelam di kawasan terumbu karang yang terjejas wajar dihentikan bagi membolehkan khazanah laut itu hidup semula.

    MASA selama sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan untuk karang yang mati hidup semula.

    Pulau tenggelam setiap kali bulan mengambang

    Pulau tenggelam setiap kali bulan mengambang

    JAKARTA - Dua buah pulau di Sumenap, Madura, Indonesia akan tenggelam setiap kali bulan mengambang, lapor sebuah akhbar semalam.

    Kepulauan Kangean dan Pulau Saobi akan ditenggelami air laut setinggi 20 sentimeter menyebabkan penduduk berasa tidak selesa ekoran situasi itu.

    Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD), Badrul Aini menyatakan semua tanah di kedua-dua pulau itu akan ditenggelami air laut apabila bulan mengambang.

    "Yang paling buruk terjadi (ditenggelami air laut) pada bulan September sampai November," kata Badrul kepada wartawan di pejabat DPRD Sumenep, Jalan Trunojoyo.

    Menurut ahli politik itu yang berasal dari Pulau Kangean, tiada projek untuk menahan kemasukan air laut di kedua-dua pulau tersebut.

    Penggalian atau pengambilan pasir secara haram turut berlaku di pulau itu selain tiada projek untuk menanam semula pohon bakau bagi mengelak hakisan. - Agensi

    Kosmo

    Tuesday, September 28, 2010

    Kiamat 2013???

    Pada 20 September 2010, para saintis di United Kingdom (UK) memberi amaran bahawa satu letusan besar daripada matahari akan berlaku pada tahun 2013.

    Letusan ini boleh menyebabkan satu bencana global yang akan menyebabkan krisis makanan, terputusnya bekalan elektik serta jaringan internet dan lain-lain lagi.

    Menurut akhbar The Sun UK, malapetaka tersebut sangat dahsyat sehinggakan Setiusaha Pertahanan UK Dr. Liam Fox mengadakan persidangan tergempar di London untuk membincangkan strategi berhadapan dengan ancaman tersebut.

    Amaran saintis ini mengingatkan kita akan filem Hollywood yang ditayangkan di pawagam pada tahun lalu - 2012. Adakah apa yang digambarkan dalam filem itu akan benar-benar menjadi realiti?


    Pastinya, kebanyakan daripada kita akan merasa risau akan apa yang bakal berlaku dua atau tiga tahun lagi. Lalu, perbagai strategi dan persiapan dilakukan untuk menghadapinya.

    Namun sedarkah kita bahawa kematian boleh berlaku bila-bila masa sahaja? Adakah kita risau akan detik pengakhiran kita di muka bumi? Adakah kita benar-benar menyusun strategi dan persiapan untuk mati?

    Sumber : iluvislam.com

    Monday, September 27, 2010

    Bukan Sengaja Malas

    DEPRESI atau stres juga boleh menyebabkan individu menjadi malas.

    ANDA seorang pemalas? Atau anda seorang bos yang kecewa dengan sikap pekerja-pekerja anda yang malas dan lembap dalam melaksanakan tindakan?

    Jangan marah-marah. Mungkin anda perlu melihat malas dalam horizon yang lebih luas. Selain melihat malas lebih kepada masalah psikologi atau sikap individu, malas juga boleh dilihat dari sudut kesihatan.

    Seseorang itu mungkin malas kerana mempunyai penyakit yang bersimptom kemalasan atau melibatkan hormon.

    Menurut pakar kesihatan pekerjaan, Hospital Pakar An-Nur, Dr. Azrul Rozaiman Datuk Abdullah, malas bukan sekadar keengganan untuk melakukan sesuatu aktiviti tetapi ia adalah koleksi sifat-sifat buruk merangkumi sikap gemar bertangguh, tidak menepati waktu, tidak pandai mengurus masa dan lemah untuk mengenal pasti apa yang perlu diutamakan.

    Dalam konteks kesihatan pekerjaan, Azrul yang mempunyai kepakaran dalam bidang penyakit pekerja atau risiko penyakit yang boleh didapati pekerja daripada penggunaan bahan kimia serta psikologi, menyifatkan malas diistilahkan sebagai kurang produktiviti.

    SESEORANG itu mungkin malas kerana kurang pengetahuan tentang apa yang sepatutnya dilakukan. Tapi, ujarnya, malas juga bersifat subjektif kerana ia bergantung kepada perspektif individu.

    Misalnya, jika seorang itu boleh menghasilkan 10 bahan dalam seminggu sedangkan rakannya boleh menghasilkan 100 bahan dalam tempoh yang sama, dia mungkin dianggap malas. T

    etapi dia mungkin tidak dianggap malas oleh bosnya sekiranya bosnya sendiri hanya mampu menghasilkan lima kerja dalam seminggu. Begitulah penjelasan Azrul bagaimana kayu ukur malas boleh berubah.

    Jelasnya, daripada konteks kesihatan, malas boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu malas yang merupakan simptom kepada sesuatu penyakit atau malas kerana kesan sampingan ubat-ubatan.Azrul memberitahu, memang terdapat beberapa penyakit yang boleh menjurus kepada sifat malas seperti penyakit hipotiroid yang disebabkan oleh kekurangan hormon tiroid.

    “Apabila hormon tiroid kurang dalam diri seseorang individu, maka ia biasanya akan memperlihatkan simptom malas seperti mentalnya lambat memproses maklumat, lesu, pergerakan turut menjadi lambat dan aktiviti metabolisme badan menjadi perlahan,” ujarnya.Hormon tiroid dikeluarkan oleh kelenjar tiroid yang terletak di bahagian leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan.

    Hormon tiroid berkurangan boleh jadi disebabkan oleh kekurangan pengambilan makanan beriodin seperti ikan.Beban kerjaJelas Azrul, penyakit ini hanya boleh dikenal pasti doktor dengan membuat ujian darah.

    Rawatannya ialah dengan memberi ubat yang boleh meningkatkan kembali paras hormon tiroid dalam diri.

    Selain daripada itu, kesan sampingan daripada pengambilan ubat juga boleh membawa kepada rasa malas.Menurut Azrul, kurang daripada lima peratus pengambil sejenis ubat darah tinggi atau hipertensi boleh mengalami kesan sampingan seperti kelembapan mental dan fizikal.

    Depresi atau stres juga boleh mendorong kepada rasa malas.

    Berkenaan stres atau depresi jika disebabkan beban kerja yang terlalu banyak melepasi batasan kemampuan diri, Azrul menyarankan supaya wujudnya interaksi antara bos dan pekerja. “Dalam hal ini, pekerja itu dilihat seperti malas tapi sebenarnya bukan malas.“

    Dia mungkin tertekan ekoran beban kerja yang melampaui kemampuan dirinya atau beban kerja yang tidak seimbang antara pekerja-pekerja.

    Interaksi antara bos dan pekerja mungkin boleh memperbaiki keadaan,” ujarnya.Dari sudut psikologi, malas boleh jadi disebabkan oleh cara individu dibesarkan, pengaruh sekeliling dan kekurangan pengetahuan.

    Amalan bertangguh-tangguh atau melengah-lengahkan kerja juga menjadi penyakit masyarakat moden kerana tekanan hambatan masa.Menurut sebuah majalah kesihatan, kajian terbaru mendapati 20 hingga 25 peratus daripada manusia hari ini adalah seorang yang gemar bertangguh berbanding hanya lima peratus pada tahun 1978.“Seorang itu menjadi pemalas mungkin juga kerana cara dia dibesarkan yang mana semua yang dikehendaki tersedia untuknya.

    INTERAKSI yang wujud antara bos dan para pekerja mampu mendorong kepada peningkatan produktiviti.

    “Seseorang itu juga mungkin menjadi malas kerana ia dipengaruhi oleh orang sekelilingnya yang suka bermalas-malasan.

    “Persekitaran turut mempengaruhi seseorang itu menjadi malas,” ujarnya sambil menjelaskan terdapat dua kategori malas, iaitu malas pada perkara tertentu dan malas pada melakukan banyak perkara.

    “Ada sesetengah orang itu kita lihat dia rajin di rumah tapi di pejabat dia malas dan begitu juga sebaliknya. Mengapa ini berlaku?

    “Ia mungkin kerana minat terhadap aktiviti berkenaan kurang kerana kekurangan pendedahan atau pengetahuan,” katanya.

    Justeru, untuk mengatasi masalah malas ialah dengan mendapatkan pengetahuan secukupnya terhadap apa yang perlu dibuat.

    “Para bos misalnya perlu peka dengan kondisi pekerja. Mungkin mereka malas dan tidak produktif kerana mereka tidak tahu atau jelas tentang kerja yang perlu dilakukan,” katanya.

    Memberikan motivasi juga merupakan salah satu cara untuk menyingkirkan sifat malas. Sebab itulah pengkaji-pengkaji dari Australia pernah menyifatkan malas yang ekstrem sebagai motivational deficiency disorder.

    “Motivasi boleh datang daripada dalam diri individu itu sendiri dan boleh diperoleh daripada dorongan motivasi orang lain. Motivasi bagi diri sendiri boleh diperoleh dengan menetapkan matlamat yang khusus,” ujarnya.

    Selain daripada itu, bagi keadaan tertentu dan tujuan yang baik, Azrul berkata, untuk menambah minat seseorang melakukan perkara itu boleh juga menerusi paksaan.

    “Adakalanya penyakit malas perlu diubati dengan paksaan. Bukankah dalam hidup kita ada perkara yang kita pada awalnya tidak berminat tetapi berubah minat apabila didorong atau dipaksa untuk melakukannya?

    “Seperti juga yang diajarkan dalam agama tentang hal solat. Islam mendidik umatnya agar menyuruh anak sembahyang pada umur tujuh tahun.

    “Jika umur 10 tahun, mereka tidak sembahyang, mereka perlu dipukul. Apabila mereka sudah biasa melakukannya, ia boleh mendatangkan minat dan mereka membesar menjadi seorang yang tidak malas untuk menunaikan solat,” katanya.

    Oleh ADHAM SHADAN : Kosmo!

    Anda Juga Mungkin Meminati

    Related Posts with Thumbnails