Thursday, October 29, 2009

Diet Pesakit Gout

Assalamu'alaikum.


Bismillahirrahmanirrahim.


Gout adalah penyakit yang biasa kita dengar. Pada zaman feudal di Eropah, dahulu ramai golongan bangsawan yang menghidap penyakit ini sehingga penyakit ini dikenali sebagai “disease of the king” atau kata lainnya penyakit orang kaya. Penyakit ini terjadi disebabkan oleh makanan yang mengandungi protein yang tinggi serta banyak mengandungi purina.

Makanan seperti daging, hati, limpa dan bahagian-bahagian organ dalaman yang lain haiwan ternakan mengandungi protein yang tinggi amat digemari oleh golongan atasan dan orang kaya sehingga menyebabkan penyakit gout.

Jika kita kerap memakan makanan seperti ini, besar kemungkinan kita akan mendapat penyakit gout. Selain daripada itu, pengambilan alcohol seperti bir, minuman malt dan makanan yang dihasilkan daripada kekacang juga boleh meningkatkan risiko seseorang itu mendapat gout. Ini disebabkan makanan seperti ini boleh meningkatkan tahap asid urik di dalam tubuh badan.

Di Malaysia kini, ramai rakyat terutama golongan lelaki menghidap gout. Ini disebabkan oleh mereka kerap memakan makanan yang tinggi protein seperti makanan daripada sumber daging dan organ-organ dalaman haiwan. Selain itu makanan dari jenis kerangan dan lain-lain makanan laut juga boleh meningkatkan risiko penyakit gout.

Mengikut kajian penyakit gout menyerang lelaki sembilan kali lebih kerap berbanding dengan wanita, ini kerana tubuh kaum wanita pada usia sebelum menopaus menghasilkan hormon yang dapat mengekalkan pengeluaran serum asid urik yang tinggi. Gout adalah penyakit yang disebabkan oleh metabolisme yang songsang oleh kerana terlalu banyak memakan makanan yang berasaskan sumber protein. Selain dari itu, tubuh badan juga akan mengeluarkan asid urik yang banyak jika kita kurang bersenam.

Bila asid urik telah berkumpul dengan banyak di dalam badan. Badan kita tidak dapat menyahkan asid urik melalui sistem urin (air kencing). Lama kelamaan tahap asid urik yang tinggi ini akan membentuk kristal di bahagian sendi. Jika pemakanan tidak diubah dan senaman dilakukan, asid urik ini membentuk kristal di sendi tulang akan mula menonjol dan boleh dilihat sebagai satu gumpulan pada sendi. Gumpulan pada sendi tangan dan kaki ini boleh merebak ke lain-lain sendi di seluruh badan.
Gumpulan pada sendi jika dibiarkan akan lama kelamaan menyebabkan rheumatoid arthiris dan radang sendi. Mereka yang menghidap gout akan merasa sangat sakit bila serangan ini merebak.


Risiko buah pinggang tidak berfungsi

Jika mereka yang menghidap gout tidak mengubah cara hidup dan tetap mengambil makanan daripada jenis yang tinggi protein dan purina, akibatnya akan lebih teruk. Ramai pesakit gout akan menghidap sakit darah tinggi dan batu karang pada buah pinggang. Jika keadaan ini berterusan tanpa usaha untuk mengubati, pesakit juga akan menghadapi risiko buah pinggang yang tidak berfungsi dan terpaksa bergantung kepada mesin dialisis.

Penyakit gout amat mudah diatasi jika kita mempunyai disiplin daripada segi pemakanan. Amalan pemakanan sihat amat penting supaya kita dapat mengelakkan penyakit ini daripada merebak.

Kita perlu menukar cara pemakanan dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengelakkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan protein seperti daging dan organ-organ dalaman haiwan ternakan seperti limpa, hati dan jantung.

Dengan mengubah diet lebih kepada sayur-sayuran dan buah-buahan, lama kelamaan kristal gout dapat dilarutkan dan dengan ini secara tidak langsung penyakit gout itu dapat dikawal dan diubati. Mereka yang menghidap gout juga perlu minum air yang banyak iaitu 8 hingga 10 gelas (2-3 liter) sehari. Ini penting kerana dengan minum air yang banyak kita dapat mengurangkan lebihan asid urik yang terdapat di dalam badan menerusi pembuangan urin

Sumber : Sini

Wednesday, October 28, 2009

Tuesday, October 27, 2009

Lambaian Kaabah: Jemaah dalam penerbangan tak boleh tunda solat

Ibadat tiang agama boleh dilaksana dalam apa jua keadaan ketika berada dalam pesawat

LABBAIKALLAHUMMA labbaik. Bermulalah musafir yang mulia bagi menyempurnakan rukun Islam kelima. Persiapan yang begitu rapi dibuat semestinya, termasuklah merapikan ilmu yang berkaitan agar tiada lagi timbul salah faham berhubung ibadat haji. Mereka memastikan keadaan kesihatan baik dari sudut kawalan penyakit kronik yang sedia ada seperti darah tinggi dan kencing manis, juga pencegahan penyakit H1N1, membekalkan dengan serba sedikit makanan bagi membangkitkan selera dan yang tidak kurang pentingnya ialah persiapan duit buat berbelanja.

Ibadat haji perlu dipandang sebagai suatu yang besar dan dilakukan dengan cermat agar pelaburan yang diletakkan padanya mendapat pulangan yang setimpal atau lebih besar daripada Tuhan.


Keadaan ini sering kali membuatkan sesetengah antara kita memandang ringan terhadap kepentingan menjaga rapi ibadat solat dalam keghairahan kita menuju suatu ibadat yang dianggap lebih besar. Sesuatu yang sering diabaikan ialah menunaikan solat dalam perjalanan suci ini ialah ketika berada dalam penerbangan. Kepentingan ibadat solat dalam agama tidak boleh dipertikaikan lagi justeru pelaksanaannya juga perlu dititikberatkan dalam keadaan apa sekalipun.

Rasulullah SAW bersabda, "Solat itu tiang agama, barang siapa yang mendirikan solat maka dia menegakkan agamanya. Barang siapa yang meninggalkan solat bererti dia telah meruntuhkan agamanya." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Antara kekangan yang sering ditimbulkan ialah sukar berwuduk, tiada tempat sesuai, pakaian tidak bersih, sukar menentukan kiblat dan waktu solat dan tidak kurang juga yang malu untuk menyempurnakannya dalam keadaan yang serba kekurangan. Faktor kurangnya ilmu dan maklumat prapenerbangan menjadikan jemaah sering mengambil jalan mudah, iaitu akan menqadanya apabila sampai nanti. Sedangkan Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman." (Surah an-Nisa' :103)

Amat malang bagi mereka yang berpendapat sedemikian iaitu solat adalah suatu yang boleh ditunda, ditangguh ke lain masa atau dibuat ketika ada kemudahan dan kelapangan. Perjalanan mulia menyempurnakan rukun Islam dicemari dengan meninggalkan rukun Islam kedua. Walaupun solat ialah ibadat rutin yang dilakukan seharian, namun alasan itu tidak seharusnya meletakkan ia sebagai keutamaan yang boleh dikompromi.

Dalam zaman yang segala ilmu ini, pastinya tiada alasan untuk menjadikan 'tidak tahu' untuk soalan berkaitan solat dalam penerbangan itu suatu yang boleh diterima. Pastinya juga dalam siri kursus haji yang diberikan secara intensif mengenai cara menyempurnakan solat mengikut keterbatasan yang ada. Sesungguhnya Islam itu adalah agama yang mudah bagi mereka yang melihatnya mengikut sudut yang sebenar.

Kelas pengajian di masjid dan surau juga sentiasa membicarakan isu fekah berhubung masalah solat ketika musafir baik yang berjarak pendek mahupun yang panjang. Mungkin bagi mereka yang kurang biasa pada mulanya berasa agak kekok untuk beramal dengan kemudahan ini, namun percayalah apa yang lebih penting ialah pelaksanaan kewajipan terhadap Allah itulah yang lebih utama daripada apa yang akan diperkatakan oleh manusia.

Dalam hal solat dalam penerbangan ini, mungkin ada yang cuba untuk mendapatkan wuduk yang lengkap dengan menggunakan air di tandas kapal terbang. Jika kita dinasihatkan tidak berbuat demikian atas sebab keselamatan, pastinya ada alternatif lain bagi kita menyempurnakan wuduk kita. Di sinilah persediaan ilmu selagi lagi memainkan peranan yang amat penting.

Isu seperti kiblat dan masa masuk waktu pasti dapat dirungkaikan dengan lebih mudah jika sekiranya kita mengetepikan rasa malu untuk bertanya baik kepada pramugara atau pramugari yang bertugas, atau mana-mana ustaz yang turut sama dalam penerbangan. Pastinya mereka yang berpengalaman akan ringan mulut untuk berkongsi maklumat kerana itu selaras dengan prinsip menyebarkan ilmu dan saling memperingati antara satu sama lain.

Kekangan ruang juga harus diambil perhatian. Sesetengah penerbangan mempunyai ruang untuk bersolat namun ada juga yang tiada disebabkan oleh kesempitan. Perlu diingat bahawa dalam kita menyempurnakan solat, faktor sebegini juga harus dipertimbangkan. Amatlah tidak wajar jika disebabkan solat kita itu, menyebabkan terhalangnya orang lain untuk lalu lalang. Jika keperluan ilmu diambil kira, bersolat di kawasan laluan orang itu suatu yang ditegah sejak awal lagi.

Oleh Dr Irfan Mohamad

Perjalanan Hebat Tetamu Allah

Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia akan memulakan ‘pengembaraan’ mereka bersama jutaan umat Islam di seluruh dunia bagi mengerjakan rukun Islam kelima tahun ini.

Sebagai tetamu Allah, ia adalah satu perjalanan yang begitu hebat. Di sana umat Islam tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status akan bersama-sama memulakan ‘misi’ penting melakukan satu persatu ibadat tertentu bagi membuktikan mereka hamba yang kerdil kepada pencipta-Nya.

Firman Allah swt yang bermaksud, “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barangsiapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam).”

Keberangkatan ke Tanah Suci sudah pasti memberi keinsafan tersendiri apatah lagi bagi jemaah yang mungkin pengalaman pertama. Selama 44 hari di tanah suci pelbagai pengorbanan perlu dilalui tetamu Allah termasuk wang ringgit, meninggalkan keluarga, pekerjaan selain memastikan kesihatan di tahap terbaik. Dengan iringan doa, setiap tetamu 'jemputan' Allah ini berharap mereka dapat menunaikan ibadat wajib berkenaan dengan sempurna dan pulang dengan haji mabrur.

Mengikut sejarah awal, ibadat haji ini dibawa junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu usaha menyambung ajaran Nabi Ibrahim as. Mengerjakan haji ini mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan Allah swt mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk.”

Pada permulaan ibadat itu, Rasulullah saw bersama kira-kira 1,500 umat Islam berangkat ke Makkah tetapi gagal mengerjakannya kerana dihalang kaum Quraisy sehingga termeterai Perjanjian Hudaibiah yang membuka jalan bagi mengembangkan Islam. Selepas perjanjian itu, pada tahun berikutnya, tahun ke-7 Hijrah, 2,000 umat Islam mengerjakan umrah bersama-sama Nabi Muhamad s.a.w.

Namun, haji yang sempurna hanya dapat dilakukan pada tahun ke-9 Hijrah apabila Rasulullah saw mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengepalai 300 umat Islam mengerjakan haji. Sepanjang hayat Nabi Muhammad saw, baginda menunaikan fardhu haji sekali saja. Haji itu dinamakan ‘Hijjatul Wada’, Hijjatul Balagh dan Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji berkenaan baginda wafat.

Rasulullah berangkat ke Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat seramai lebih 90,000 orang. Baginda melakukan amalan seperti sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali iaitu 10km dari Madinah. Rasulullah sampai di Makkah pada 4 Zulhijjah selepas melakukan perjalanan selama 9 hari.

Kemudian baginda berangkat ke Mina pada 8 Zulhijjah dan bermalam di situ. Pada 9 Zulhijjah Rasulullah berwukuf di Arafah yang pada hari itu jatuh pada hari Jumaat dan merayakan Aidiladha di sana. Rasulullah saw menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Pada hari terakhir pada 14 Zulhijjah, baginda meninggalkan Makkah pulang ke Madinah.

Oleh : Mohd Fadly Samsudin
Sumber : Harian Metro

Sunday, October 25, 2009

Solat hormat waktu di Masy'air

Assalamualaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Jemaah haji diberi kelonggaran menunaikan solat jamak semasa menunggu waktu wukuf di Padang Arafah.

SOLAT merupakan ibadah paling berharga yang difardukan oleh Allah SWT dengan cara yang paling istimewa iaitu ketika baginda Rasulullah SAW berada di Sidratul Muntaha dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Solat berada pada kedudukan yang tinggi di dunia iaitu amalan pertama selepas keimanan serta merupakan amalan pertama yang dihitung oleh Allah di Padang Mahsyar kelak.

Seiring dengan kedudukan ini, ibadah solat wajib didirikan sebagaimana yang dipelajari daripada solat Rasulullah apabila tiba waktunya.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Maka dirikanlah (dengan sempurna) solat itu, sesungguhnya solat merupakan satu ketetapan yang diwajibkan kepada orang-orang yang beriman yang telah ditentukan waktu-waktunya. (al-Nisa':73).

Justeru, solat hendaklah didirikan oleh setiap individu muslim mengikut kaifiatnya sama ada dalam keadaan sihat atau sakit, aman atau darurat, bermukim atau bermusafir tanpa mengira tempat sama ada di daratan, lautan mahupun di angkasa kecuali bagi mereka yang uzur syarie.

Persoalannya kini, sebagai jemaah haji mereka akan berdepan dengan pelbagai situasi yang ada kalanya menyukarkan mereka untuk menunaikan tanggungjawab ini khususnya ketika berada di dalam kenderaan dan semasa berada di al-Masya'ir iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Nah! Di sinilah pentingnya bagi mereka memahami dua jenis solat ini iaitu hormat waktu dan jamak tamam berdasarkan pandangan mazhab Syafie, tanpa perlu pening kepala dengan pandangan-pandangan mazhab lain.

Apa yang penting, solat ditunaikan kerana mengabaikannya adalah satu kerugian besar. Sabda Rasulullah SAW: "Kerugian orang yang luput daripada mengerjakan solat fardu ibarat orang yang kehilangan seluruh ahli keluarga dan kekayaannya". (riwayat Imam Ahmad)

Solat hormat waktu

Solat hormat waktu merupakan satu keringanan (al-taysir) yang antara lain bertujuan memberi ketenangan rohani kepada individu yang tidak dapat menunaikan solat fardu dengan sempurna segala syarat sah ibadah tersebut.

Terdapat beberapa situasi yang memungkinkan solat hormat waktu dilakukan, antaranya:

lApabila berada dalam keadaan Faqid al-Tahurayn - iaitu apabila individu yang ingin menunaikan solat tidak dapat berwuduk kerana ketiadaan air atau tidak dapat bertayamum kerana ketiadaan debu tanah. Atau walaupun ada air atau debu tanah, tetapi penggunaan kedua-duanya sebagai alat bersuci adalah terhalang kerana faktor keselamatan seperti ketika jemaah haji berada dalam kapal terbang.

lApabila terdapat najis pada badan, pakaian atau tempat solat sedangkan tiada air mutlak untuk menyucikannya.

lPesakit yang terlentang di pembaringan, masih sedar dan berakal, tetapi tiada sesiapa yang dapat menyucikannya daripada hadas dan najis.

Apabila berdepan dengan situasi begini sedangkan waktu solat fardu sudah masuk dan tiada harapan pula untuk bertaharah (bersuci) hingga habis waktunya sekalipun untuk solat jamak takkhir, maka individu tersebut dituntut menunaikan solat fardu itu mengikut kesesuaiannya seperti berdiri, duduk atau berbaring, tanpa wuduk atau tayammum kerana menghormati waktu.

Solat hormat waktu hanya khusus untuk solat fardu di dalam waktunya sama ada dilakukan secara tamam atau qasar, mahupun secara berasingan atau jamak.

Apabila individu tersebut kemudiannya telah bersuci, dia hendaklah segera mengulangi solat tersebut jika masih dalam waktunya ('iadah), atau menggantikannya (qada) jika telah luput waktunya.

Jelasnya, dengan mendirikan solat hormat waktu maka terlepaslah individu tersebut daripada dosa dan kerugian meninggalkan solat fardu, wallahu a'lam.

Solat jamak tamam di Masya'ir

Solat jamak tamam bererti menunaikan solat yang harus dihimpunkan dalam salah satu waktunya iaitu Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak tanpa berlaku sebarang pengurangan pada rakaat-rakaatnya.

Sejarah Hajjatul Wada' menceritakan bahawa Rasulullah mengerjakan solat secara jamak dan qasar semasa berada di Arafah dan Muzdalifah. Manakala di Mina pula baginda mengerjakan solat secara qasar pada setiap waktunya. Imam Shafie r.a. berpendapat, pelaksanaan tersebut adalah kerana baginda di dalam musafir.

Bagi jemaah haji Malaysia yang pada umumnya telah bermukim di tanah suci Mekah, mereka tidak harus mengerjakan solat secara qasar ketika berada di Masya'ir kerana ia merupakan rukhsah yang khusus buat para musafir.

Adapun pelaksanaan solat secara jamak tamam pula, ulama Syafi'iyyah telah mengharuskannya sama ada semasa bermusafir atau ketika bermukim sekiranya terdapat darurat atau keperluan mendesak.

Justeru, atas sebab al-Masyaqqah yakni kesulitan yang sering ditempuhi oleh jemaah haji ketika berada di Masya'ir, AJK Penasihat Ibadat Haji (AJPIH) menerusi resolusi yang dicapai dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan telah bersetuju menerima pakai pandangan harus jamak tamam sama ada secara jamak taqdim atau jamak takkhir dalam pelaksanaan solat fardu semasa jemaah haji berada di Masya'ir atas sebab al-masyaqqah yang dilihat mencapai tahap keperluan mendesak.

Selaras dengan keputusan tersebut, jemaah haji Malaysia secara standardnya mengerjakan solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim dan tamam pada hari wuquf, manakala solat Maghrib dan Isyak dikerjakan secara taqdim di Arafah atau takkhir di Muzdalifah bergantung kepada jadual perjalanan bas jemaah haji.

Semasa berada di Mina pula, mereka digalakkan untuk mengerjakan solat secara jamak taqdim, namun ia juga bergantung pada jadual melontar yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Semoga ruangan ini dapat memberi panduan-panduan berguna buat semua pembaca khususnya bakal jemaah haji musim 1430H. Ingat… solat! Jangan abai solat.

Dengan solat hidup diberkati dan insya-Allah haji yang mabrur di anugerah ilahi. Wallahu a'lam bi al-Sawab.

Ketabahan Seorang Ibu

Assalamu'alaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

YUKABID adalah ibu kepada Nabi Musa. Yukabid mengandungkan Musa ketika Firaun memerintahkan anak lelaki kaum Bani Israel dibunuh kerana bimbang anak lelaki akan menentang dan mengambil kekuasaannya.

Suatu ketika, Yukabid mendengar perintah Firaun itu. Alangkah sedihnya hati Yukabid kerana dia sedang sarat mengandung waktu itu. Yukabid terpaksa bersembunyi sahaja di rumah agar kandungannya tidak diketahui orang.

Sehinggalah tiba masanya, Yukabid pun melahirkan anaknya. Alangkah terkejutnya dia apabila anak yang dilahirkannya itu adalah anak lelaki.

Walaupun berasa takut dengan perintah Firaun, seboleh-bolehnya dia mahu mempertahankan nyawa anaknya itu. Dia tidak mahu anaknya itu menjadi korban undang-undang yang diperintahkan oleh Firaun yang zalim dan kejam.

Yukabid berjaya merahsiakan kelahiran Musa selama tiga bulan daripada pengetahuan Firaun dan tentera-tenteranya.

Walau bagaimanapun, hatinya tidak pernah tenteram melihat anaknya yang semakin membesar. Dia risau akan keselamatan Musa. Dalam kerisauan itulah, Allah Yang Maha Berkuasa telah memberi ilham kepada Yukabid agar membuat sebuah peti. Lalu Allah SWT memerintahkan agar Musa dimasukkan ke dalam peti dan dihanyutkan ke Sungai Nil.

Dengan hati yang tenang dan sabar, maka Yukabid pun menghanyutkan Musa ke sungai Nil seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya. Peti itu dihanyutkan oleh arus sungai sehingga sampai ke istana Firaun.

Kebetulan pada hari itu, Asiyah permaisuri Firaun sedang bersiar-siar bersama dayang-dayangnya. Ketika sedang bersiar-siar itu, Asiyah menyuruh dayang-dayangnya mengambil sedikit air dari Sungai Nil. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ada sebuah peti di sisi kaki mereka. Lalu diambil peti itu dan dibawakan kepada Asiyah.

Maka Asiyah terus membuka peti itu dan dilihatnya ada seorang bayi di dalamnya. Apabila melihat akan wajah bayi itu, timbul rasa cinta dan kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Asiyah mengambil bayi itu dan dibawanya pulang istana.

Tiba sahaja di istana, Asiyah meminta keizinan Firaun untuk membela bayi itu. Pada mulanya Firaun tidak mengizinkan Asiyah mengambil bayi itu tetapi setelah dipujuk, akhirnya Firaun bersetuju.

Setelah mendengar tangisan kehausan bayi itu, Asiyah berasa kasihan lalu disuruhnya Firaun mencarikan seorang wanita yang dapat menyusukan bayi itu. Akan tetapi seorang demi seorang wanita yang datang untuk menyusukan bayi itu telah ditolak oleh bayi tersebut.

Bayi itu tidak mahu disusukan oleh mereka sehinggalah berita ini diketahui oleh saudara Musa, Mariam. Lalu Mariam datang ke istana dan memberitahu kepada dayang-dayang Asiyah bahawa dia boleh membawakan seorang ibu yang boleh menyusukan bayi itu.

Mendengar sahaja berita daripada dayang-dayang itu, Asiyah memerintahkan agar bayi itu dibawa ke rumah Yukabid.

Yukabid menyambut anaknya itu dengan penuh kasih sayang. Bayi itu terus minum susu ibunya sehingga kenyang. Alangkah seronoknya hati Yukabid. Allah SWT telah mengembalikan anaknya, Musa kepadanya kerana kesabaran dan ketabahan mengikut perintahNya.

Tujuh Golongan Insan Contoh

Assalamu'alaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya : "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; antaranya ialah : Pemerintah yang adil. Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Allah. Lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah; kedua-duanya bertemul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah. Lelaki yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersama dengannya lalu ia menolak dengan berkata : "Aku takut kepada Allah!". Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah". (Hadith : Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Pengajaran hadis:

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu :

a) Pemerintah yang adil- Ini kerana tanggungjawab yang dipikul oleh pemerintah dalam melaksanakan keadilan itu adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.

b) Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya;

"Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika di alam remaja kerana pada usia muda seseorang itu mendapat peluang yang banyak untuk menghadapi masa hadapannya, badannya sentiasa sihat, tenaganya kuat, pendengaran dan penglihatannya tajam dan sempurna. Bahkan pada masa muda juga berbagai-bagai ujian dan godaan terpaksa ditempuh. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan-rintangan ini bahkan usia mudanya itu diisi dengan amal ibadat serta memberikan khidmat cemerlang kepada agama, masyarakat dan negara.

c) Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid.

Sesungguhnya terdapat hadis yang menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah S.W.T dan diketegorikan sebagai suatu sedekah. Maka apatah lagi bagi orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid dan sentiasa mengunjunginya untuk beribadah, ganjarannya tentulah lebih besar lagi.

d) Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya bertemu dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah.

Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar hubungan yg didasarkan kasihsayang kerana Allah akan mendapat pahala, restu dan keberkatan daripadaNya. Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas-batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat.

e) Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu (berzina) dengannya lalu ia menolak dengan berkata:" Aku takut kepada Allah!"

Ini menunjukkan tentang keimanan dan ketaqwaan yang sebenar telah berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina tanpa takut tentang dosanya.

f) Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya.

Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan yang dilakukannya melainkan akan terdapat jua perasaan riya' dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapatkan pujian atau sanjungan dari orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang yang mengetahui kebaikan yang dilakuknnya itu. Orang yang beramal tidak ikhlas tidak akan mendapat pahala bahkan akan berdosa.

g) Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.

Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati tentang kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-sifatNya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.

Semoga kita dapat pengajaran dan beramal dgn hadis ini.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails