Rakyat Malaysia kini kian sedar dalam kehidupan seharian mereka terdedah kepada pelbagai ancaman sama ada bencana alam atau juga bencana buatan manusia.
Ketika bencana alam seperti banjir, tanah runtuh , hujan lebat dan juga tsunami datang tanpa diduga dan membawa petaka besar, kita membuat persiapan dengan membangunkan sistem amaran awal dan juga langkah-langkah paska bencana.
Pada masa sama, ledakan teknologi, penggunaan mesin dan jentera dibimbangi memberi kesan kepada kehidupan manusia. Manusia sukar mengelaknya kerana telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.
Ancaman laser, sinaran radiasi dan juga gelombang elektromagnet daripada peralatan ciptaan manusia kini menjadi isu sejagat yang hangat diperkatakan.
Satu lagi ancaman atau bahaya yang masih belum begitu diketahui umum ialah medan elektromagnet.
Adakah anda mengetahui apa itu medan elektromagnet dan sejauh manakah kesan buruk medan tersebut kepada manusia?
Sejauh manakah anda mengetahui tentang kewujudan medan elektromagnet (EMF) dalam kehidupan seharian kita.
Kita sering mendengar dan menyaksikan bantahan orang awam terhadap projek perluasan dan pengukuhan infrastruktur pembekalan elektrik akibat bimbang mengenai risiko kesihatan yang didakwa berpunca daripada pendedahan terhadap EMF.
Justeru, apakah EMF dan benarkah ia mampu meninggalkan kesan yang buruk terhadap kesihatan penerima pancaran medan tersebut.
Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Ng Kwan Hoong, EMF terhasil apabila terdapatnya arus elektrik.
"Contoh mudah, ia terhasil apabila arus elektrik yang mengalir dalam talian kepada barangan elektrik yang sedang digunakan.
"Manakala medan elektrik (EF) terhasil apabila terdapat arus elektrik di dalam satu talian tetapi ia tidak digunakan," ujarnya.
Justeru, di mana sahaja terdapat arus elektrik maka EMF juga turut terdapat, namun dalam kuantiti yang berbeza.
Jelas beliau, sesuatu perkara atau bahan kimia mahupun kesan pancaran hanya akan memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan manusia jika ia mampu berinteraksi dengan molekul biologi dalam badan.
Sekali gus mengubah struktur biologi tersebut kepada sesuatu yang berlainan.
"Antara kajian yang berkaitan kesan EMF kepada manusia adalah kajian epidemiologi.
"Ia merupakan kajian sama ada EMF mampu memberikan kesan yang buruk kepada manusia atau sebaliknya ," ujarnya.
Di negara ini, pancaran terbesar EMF dipercayai terhasil daripada jaringan kabel elektrik yang dibina merentasi bandar mahupun kawasan pendalaman bagi pengagihan bekalan kuasa berkenaan.
Jelas Ketua Kumpulan Sinaran Tidak Mengion (NIR), Bahagian Keselamatan Sinaran, Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Wan Saffiey Wan Abdullah pula, terdapat dua jenis talian kuasa yang memancarkan gelombang EMF terbesar di negara ini.
"Pertama, talian atas yang digunakan secara meluas di Malaysia dan talian bawah tanah, yang digunakan pada kawasan tertentu berikutan kos pembinaannya yang lebih mahal," katanya.
Kedua-dua talian kuasa tersebut memancarkan gelombang pada frekuensi 50Hz di mana ia bergerak dengan kadar had laju cahaya 300,000 kilometer sesaat (km/s).
Manakala gelombang frekuensi tersebut mampu pergi sejauh 6,000 km.
Namun, gelombang tersebut akan menyusut dan mudah dihalang oleh bangunan dan juga tubuh badan manusia.
Malah, gelombang tersebut akan terus diserap oleh tubuh dan mampu memberikan kesan terhadap kesihatan jika terdedah secara berlebihan.
Biarpun begitu, pancaran gelombang EMF yang dihasilkan oleh talian, kuasa bervoltan tinggi yang terdapat di negara ini adalah sangat rendah berbanding medan magnet bumi iaitu sekitar 300 hingga 500 miliGauss.
Hasil pengukuran Agensi Nuklear Malaysia mendapati, kekuatan gelombang EMF berhampiran talian penghantar kuasa adalah berubah-ubah dari 0.3 miliGauss (0.03 microTesla) hingga 19.2 miliGauss (1.92 microTesla).
Ukuran tersebut diambil pada kawasan tanah tinggi di bawah talian penghantar kuasa.
Manakala bagi kawasan perumahan pada jarak 30 meter (m) dari talian penghantaran kuasa menunjukkan medan elektrik berkurangan sehingga 3.29 miliGauss (0.329 microTesla).
Sehingga kini, kajian epidemiologi EMF pada masa kini telah dirangka dengan amat teliti dan sesetengahnya melibatkan bilangan responden yang ramai.
Hasilnya, kajian yang dihasilkan memberikan petunjuk bahawa kesan dari pendedahan medan talian bervoltan tinggi adalah tidak konklusif.
Sementelah itu, sehingga kini saintis masih belum menemui bukti yang kukuh bahawa pancaran medan tersebut mampu memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan manusia.
Malah ia turut diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Di dalam beberapa siri uji kaji terhadap tikus yang didedahkan dengan medan pada frekuensi 50Hz dan 60Hz dengan gelombang EMF setinggi 10,000 miliGauss masih mampu hidup sehingga beberapa keturunan tanpa ada sebarang kesan yang negatif.
Gelombang yang dipancarkan tersebut adalah beribu kali lebih tinggi dari EMF dari talian bervoltan tinggi yang terdapat di seluruh dunia.
Secara mudahnya, EMF boleh dihalang dan diserap oleh objek dan menurun dengan ketara di luar kawasan talian.
Malah, sehingga kini WHO mendapati tiada bukti konklusif kaitan gelombang EMF dan kesannya terhadap kesihatan.
Sehingga kini, pelbagai jenis kajian sedang dilaksanakan di serata dunia untuk mendapatkan bukti yang sahih bahawa EMF mampu memberikan kesan buruk terhadap kesihatan manusia.
ARKIB : 18/04/2011
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my
ashriq.ahmad@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment