Monday, April 4, 2011

Badai itu Menjadi Penyebab Mendapat Hidayah

Al-Baqarah 'jentik' Samuel
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SAYA dilahirkan sebagai Samuel Taliwongso dalam sebuah keluarga Kristian yang sangat fanatik dari Desa Teling, Manado Indonesia. Bapa saya merupakan pengasas penubuhan Gereja Seven Day Advent di desa kami," kata Samuel yang menerima pendidikan awalnya di Advent Zending School iaitu sebuah sekolah mubaligh.

"Setiap hari semasa kecil itu, saya harus menghafal dan mengingat sepenuhnya sekurang-kurangnya lima fasal atau surah daripada Kitab Injil sebagaimana yang diarahkan oleh mendiang bapa," katanya.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke MULO yang sama seperti SPM namun bermula dari saat itu juga menyaksikan Samuel terlibat dalam perjuangan bersama-sama rakyat Indonesia lain untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan Belanda.

"Bagi pemerintah Belanda kelompok-kelompok seperti kami dikenali sebagai The Hogder for Soekarno (Anjing-anjing Soekarno) dan dilabelkan sebagai pemberontak," katanya.

Akibatnya Samuel menjadi sasaran dan sering diburu oleh pihak penjajah yang menyebabkan anak muda ini terpaksa lari dan menyembunyikan diri dan sehinggalah pada tahun 1947, Samuel akhirnya berjaya sampai ke Belanda.

Di Belanda, Samuel berkerja di sebuah syarikat minyak kepunyaan Syarikat Hindia Belanda dan diberi kepercayaan untuk mengetuai Jabatan Bahagian Perkapalan.

Selain menjalankan tugas sebagai ketua jabatan, Samuel masih tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin gereja.

"Saya mengajarkan Kitab Injil kepada para jemaah gereja. Selain berusaha memurtadkan penganut Islam. Inilah kewajipan sebagai seorang pendeta atau pembaptis," katanya.

Perkara ini tidak menghairankan kerana sebelum ini pun, Samuel sudah mempunyai pengalaman membangunkan sebuah gereja dan membaptiskan beberapa orang gadis Islam yang berasal dari Gorontalo untuk dijodohkan dengan pemuda-pemuda Kristian

Pada tahun 1962 berlakulah satu peristiwa yang dikenali sebagai Dwikora@Trikora apabila penjajah Belanda menganggap seluruh penduduk Indonesia sebagai musuh.

"Saya termasuk salah seorang daripadanya. Lantas bagi mengelak daripada diberkas, saya terpaksa berkerja sebagai buruh binaan."

Apabila keadaan menjadi aman, beliau bersama-sama rakan yang senasib; Leo Tembeleng, Herard G. Nori dan W Oro, memberanikan diri menemui Gabenor Belanda pada masa itu, iaitu Gabenor Van Baal meminta kebenaran pulang ke Indonesia dengan jaminan keselamatan.

Van Baal setuju dengan syarat Samuel dan rakan-rakannya dikehendaki menaiki sebuah kapal laut yang menggunakan bendera negara Belanda. Bagaimanapun mereka tidak bersetuju.

Akhirnya, mereka berjaya menumpang sebuah kapal yang mengibarkan bendera negara Panama untuk pulang ke Jakarta. Kapal tersebut adalah milik seorang ahli perniagaan berbangsa Tionghua dari Singapura.

Untuk tujuan keselamatan mereka dibekalkan dengan sepucuk surat jaminan keselamatan yang ditulis sendiri oleh Bahagian Sekretaris Urusan Irian Barat (SUIB) dan Samuel sendiri diberi kepercayaan untuk menjadi ketua rombongan itu.

Sehinggalah pada suatu malam, pelayaran mereka dilanda ribut kencang. Dalam keadaan yang sangat mencemaskan itu, ada seorang penumpang kapal yang beragama Islam yang dikenali sebagai Latoke berasal dari Makassar yang menimbulkan kehairanan kepada para penumpang lain. Apa tidaknya, dalam keadaan gawat itu, Latoke dilihat sedang mendirikan sembahyang.

Tambah menghairankan, seusai solat, Latoke seperti tidak menghiraukan kapal yang boleh pecah dan tenggelam bila-bila masa. Malah dengan tenang beliau mengambil sebuah buku (al-Quran), terus membacanya dengan begitu khusyuk.

"Tentu sahaja saya berasa jengkel melihatkan Latoke itu walaupun kami benar-benar hairan bagaimana Muslim ini tidak muntah, tidak mabuk laut, malah begitu stabil tidak seperti kami yang lain," katanya.

Keesokan harinya, ribut kembali membadai, kali ini lebih dahsyat. Dalam keadaan kapal yang teroleng-oleng dipukul ombak dan hujan ribut petir yang sangat ganas, Samuel akhirnya berjaya menghampiri Latoke untuk mengetahui buku apa yang dipegang erat Latoke.

Barulah Samuel menyedari 'buku' tersebut adalah sebuah kitab suci yang sangat hampir kepada umat Islam, iaitu terjemahan al-Quran karangan Muhammad Yunus terbitan Toko Buku Gunung Agung, JI Kwitang, Jakarta.

"Secara curi-curi saya pun terus menyelak kitab tersebut kebetulan pada lembaran yang ditanda oleh Latoke. Iaitu surah al-Baqarah ayat 136," kata Samuel. Samuel sangat terkejut apabila membaca tafsiran ayat tersebut!

"Sungguh saya terkejut kerana barulah saya tahu ternyata umat Islam itu tidak sahaja percaya kepada Muhammad (Nabi) sahaja. Sebelum ini saya menyangka orang Islam tidak percaya adanya Tuhan (Allah) dengan mempercayai Muhammad semata-mata, tidak percaya kepada Nabi Isa, Nabi Daud dan lain-lain Nabi yang turut dipercayai oleh kalangan yang bukan Islam, Kristian," kata Samuel.



Seketika itu juga badai mula kembali hilang, laut kembali tenang namun meninggalkan Samuel yang merenung lautan lepas dan mahu mencari jawapan apabila ayat itu benar-benar membuatkan beliau dihujani pelbagai persoalan mengenai agama, mana satukah yang benar?

Nota :  



A136


Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata". (Al-Baqarah 2:136)

Utusan MalaysiaARKIB : 23/12/2010

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails