Sunday, April 10, 2011

Awas Telur Tiruan


Lanjutan daripada Telur Tiruanpun ada di bawah ini disalin artikel daripada Mingguan Malaysia 10 April 2011.

BERITA tentang telur tiruan bukan asing di negara China. Pelbagai laporan mengenainya tersebar sejak 2004, namun kegiatan menghasilkan telur tiruan menggunakan bahan kimia tertentu masih berleluasa di sana. 

Kebimbangan mengenai telur tiruan turut disuarakan penduduk Korea berikutan kemasukan bahan tersebut ke negara itu.

Di kalangan masyarakat Malaysia, pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini berhubung penjualan telur ayam tiruan di Pasar Pulau Tikus Pulau Pinang sememangnya mengejutkan. Tidak pernah kedengaran sebelum ini tentang telur tiruan biar pun mungkin bahan tersebut telah lama memasuki pasaran negara.

Pendedahan CAP itu semestinya mendorong orang ramai supaya lebih berhati-hati memilih telur ayam kerana kepintaran serta kreativiti manusia menghasilkan telur tiruan pastinya memudaratkan kesihatan.

Pelbagai laman web, blog malah akhbar dalam talian memperkatakan tentang telur tiruan termasuk bahan serta cara untuk menghasilkannya.

Zhengzhou Daily melaporkan pada 13 Ogos 2007 mengenai seorang penduduk di wilayah itu yang dikenali sebagai Wang. Dia yang menjual bahan pengawet mendapati telur ayam yang dibeli di pasar malam kelihatan pelik. Berpengalaman mengendalikan bahan pengawet Wang percaya telur tersebut adalah tiruan.

Dia kemudiannya bertanya kepada penjual tersebut yang akhirnya mendedahkan telur itu adalah tiruan selepas diugut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

Wang yang turut diberitahu tentang teknik menghasilkan telur tiruan telah membuat eksperimen di hadapan para pemberita.

Pencarian di Internettentang telur tiruan mendapati tujuh jenis bahan kimia digunakan iaitu kalsium karbonat, kanji, damar (resin), gelatin dan tawas (alum) dan beberapa bahan lain.

Kuning telur dibuat menggunakan kalsium klorida dan dimasukkan ke dalam acuan khas. Kuning telur mula terbentuk di dalam acuan khas berbentuk bulat. Tambahan pewarna kuning menghasilkan kuning telur.

Bahan yang sama digunakan untuk menghasilkan putih telur dan dituang di atas kuning telur. Untuk membuat kulit telur pula bahan seperti lilin paraffin dan kalsium karbonat digunakan. Kesemua bahan itu dibiarkan sejam sehingga kering.

Biar pun nampak seperti telur asli, ada beberapa perkara yang boleh membezakan kedua-duanya.
  • Kulit telur tiruan lembut dan mudah pecah.
  • Telur tiruan yang digoreng akan menghasilkan banyak buih kecil tetapi tidak ramai sedar perbezaan tersebut.
  • Telur tiruan tidak berbau seperti telur biasa.
  • Kuning dan putih telur akan segera bercampur apabila dipecahkan.
  • Kulit telur tiruan agak kasar dan berkilat.
  • Apabila diketuk bunyinya lebih rapuh.

Kegiatan menghasilkan telur tiruan secara berleluasa disebabkan kosnya yang sangat murah dan semestinya faktor keuntungan berlipat ganda. Selain itu telur tiruan mendapat sambutan kerana sumber protein yang murah di China iaitu 0.55 Yuan/kg sementara harga pasaran bagi telur asli adalah 5.6 Yuan/kg.

Kes keracunan makanan di China semakin meningkat dari tahun ke tahun disebabkan bahan makanan tiruan yang dijual secara berleluasa.

Kepada rakyat Malaysia jangan terlalu ghairah membeli bahan makanan yang murah, sebaliknya berhati-hati dan sering perhatikan jika terdapat sebarang perubahan pada barang yang dibeli.



Antara bahan kimia yang di gunakan untuk menghasilkan telur tiruan ialah karbonat,resin,alum dan pelbagai lagi.
Telur kuning yang menggunakan kalsium klorida di buat menggunakan acuan khas.
Dituang dan di biarkan kering sedikit sebelum melalui proses seterusnya.
Direndam dalam cecair parafin wax untuk membentuk selaput luar telur kuning.
Proses membuat kulit telur tiruan juga menggunakan bahan kimia tertentu.
Walau bagaimana pun telur tiruan agak mudah pecah berbanding yang telur asli.
Ermmm..nampak saling tak ubah seperti telur goreng asli.
Telur tiruan kelihatan agak cerah dan licin berbanding telur ayam yang asli.

Sumber Gambar:  http://www.zulkbo.com



No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails