Sunday, April 24, 2011

Ashraf Pilih Dayana

BAKAL MEMPELAI... Ashraf dan  Noor Dayana bercadang di satukan di Makkah.
BAKAL MEMPELAI... Ashraf dan Noor Dayana bercadang di satukan di Makkah.
GOMBAK: Siapa sangka hubungan sebagai adik angkat kepada keluarga Lokman Abdul Hamid yang membimbingnya dalam rawatan perubatan Islam sejak dua tahun lalu, membawa jodoh buat artis Ashraf Muslim.
Hubungan akrab dengan keluarga itu membuahkan bibit cinta antara pelakon berusia 30 tahun itu dengan anak kedua Lokman, Noor Dayana, 24, yang juga pelajar Jurusan Perubatan di Universiti Mannipal, India.

Pelakon utama drama Ustaz Amirul itu selamat mengikat tali pertunangan dengan gadis berkenaan di rumah keluarga Noor Dayana di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, di sini, jam 9.30 pagi semalam.

Pasangan itu kelihatan segak dan anggun apabila mengenakan busana tradisional moden berwarna putih rekaan pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail, manakala pelamin disediakan Azmi Othman. Cincin pertunangan disarungkan ke jari Noor Dayana oleh ibu saudara Ashraf, Fatimah Azim.

Pertukaran hantaran menyaksikan pengacara Gadis Melayu TV9 musim ketiga itu memberi lima bentuk hantaran iaitu buah-buahan, sirih junjung, bekas cincin, kek dan coklat, manakala pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang berisi alat perapian lelaki, sirih junjung, coklat, kek, pakaian, samping dan bekas cincin.

Majlis pertunangan yang dibuat secara tertutup untuk ahli keluarga, rakan terdekat dan pihak media, turut disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Ditanya lanjut mengenai bakal isterinya, Ashraf berkata, Dayana yang kini menjalani praktikal di sebuah hospital di Melaka memiliki ciri wanita idamannya, malah mereka juga berkongsi minat serupa iaitu dalam bidang perubatan.

“Ciri-ciri Dayana yang merendah diri, bertudung, solehah dan sedap mata memandang merebut hati saya. Keserasian yang ada membuatkan kami yakin untuk bersatu,’’ katanya.

Pasangan yang merahsiakan jumlah wang hantaran itu bercadang menaiki jinjang pelamin pada 1 Syawal (30 Ogos) di Masjidil Haram, Makkah.

“Kami ingin menurut sunnah nabi dan sahabat yang memilih tempat suci itu untuk berkahwin. Selepas diijab kabul saya akan buat tawaf, solat sunat dan selepas itu baru akan membatalkan air sembahyang,’’ katanya yang kurang mengambil tawaran berlakon kerana mahu menumpukan perhatian kepada pusat perubatannya.

Selepas pertunangan, Ashraf turut memperkenalkan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah yang dikongsi bersama bakal bapa mentuanya bersebelahan kediaman itu. Pusat Perubatan itu dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled berkata, mukjizat al-Quran seharusnya diterapkan pada rawatan moden kerana ia dapat mengembalikan zaman kegemilangan Ibnu Sina. Doktor dan cendikiawan Islam itu menggunakan ayat al-Quran dalam kaedah rawatan moden.

Pusat perubatan berkenaan yang ditubuhkan pada 2000 memberi perkhidmatan perubatan melalui rangkaian ayat al-Quran untuk merawat pelbagai penyakit fizikal, rohani dan akhlak.

Kini ia mempunyai cawangan di sembilan lokasi iaitu Kuala Terengganu, Melaka, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Langkawi dan Singapura.


myMetro

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails