Monday, March 28, 2011

Pembedahan MIS (pembedahan minima invasif )


Atasi sakit belakang 
Pembedahan MIS pulihkan tisu rosak, cepat sembuh
Oleh Hafizah Iszahanid

ANATOMI bahagian belakang tubuh adalah kombinasi tulang yang kuat, ligamen dan tendon yang fleksibel selain otot dan saraf yang sensitif.

Rekaannya bukan saja ‘kuat’ tetapi berfungsi melindungi akar saraf yang sensitif. Bagaimanapun, seperti juga bahagian badan yang lain, ada kalanya ia tidak dapat lari daripada kesakitan. Malah, sakit belakang adalah yang paling ‘digeruni’ kerana selain kesakitan, ia turut menjejaskan rutin harian kerana menyebabkan individu sukar bergerak.

Kesakitan bahagian tulang belakang mungkin disebabkan pelbagai faktor misalnya, akar saraf yang bengkak; otot besar (erector spinae) menegang; tulang, ligamen atau sendi cedera atau mungkin juga diska tergelincir.

Berbanding rawatan lain, bagi tulang belakang, pembedahan adalah pilihan terakhir melainkan dalam kes-kes kecemasan. Selalunya, doktor hanya akan mencadangkan pembedahan jika kesakitan berterusan meskipun anda sudah melakukan rawatan bukan pembedahan. Andai berdepan situasi sedemikian, anda mungkin boleh menimbangkan pembedahan minima invasif (MIS).

Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Harwant Singh, berkata berbanding dengan prosedur lama pembedahan tulang belakang, MIS dibantu dengan peralatan canggih berkomputer dan teknik pembedahan minima yang mengurangkan kesakitan.

Jelasnya, prosedur MIS mengurangkan rasa sakit, cepat sembuh, memendekkan masa pembedahan, kurang kerosakan pada tisu lembut selain saiz tusukan pembedahan yang lebih kecil sekali gus menyebabkan bekas tusukan kurang berparut. 

Bagi pembedahan cara terbuka, pakar bedah membuat potongan panjang melalui kulit, otot dan ada kalanya tulang. Tempoh pemulihan untuk pembedahan jenis ini selalunya sakit dan lambat. Ada juga pesakit yang belum pulih sepenuhnya selepas sebulan tempoh pembedahan.

“Terma minima invasif digunakan bagi merujuk pada prosedur yang hanya memerlukan tusukan pembedahan kurang daripada 1.5 sentimeter. Hari ini dunia perubatan moden bergerak ke arah rawatan jenis ini. Namun ada banyak pembedahan berbeza yang didefinisikan sebagai ‘minima invasif” dan menggunakan pendekatan berbeza. Justeru, penting untuk pesakit memahami setiap perbezaan itu dan membuat pilihan terbaik untuk mereka,” katanya.

Meskipun MIS tidak merujuk kepada satu jenis pembedahan saja, namun tujuan pembedahan jenis ini adalah untuk mencapai kesan yang sama dengan pembedahan terbuka. Bezanya ia dilakukan dengan tusukan yang lebih kecil. Ada kala pembedahan jenis ini dilakukan melalui tiub kecil. Perlu juga diketahui bukan semua pesakit boleh menjalani prosedur ini.

Satu daripada kelebihan prosedur MIS adalah dalam pembedahan ‘open lumbar’ (bahagian bawah tulang belakang) yang dulunya menyebabkan pembedahan sebesar lima ke enam inci. Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan pada tisu normal. Namun menerusi MIS, ia membantu mengurangkan ‘gangguan’ pada otot.

Dalam sesetengah pendekatan MIS yang juga disebut sebagai ‘keyhole surgeries’ pakar bedah menggunakan endoskopi kecil dengan kamera di hujung yang dimasukkan melalui bawah kulit. Kamera itu membolehkan pakar bedah melihat lokasi yang terjejas. Hari ini MIS sudah menjadi pilihan popular di kebanyakan hospital di seluruh dunia.

Bagaimanapun pesakit perlu menjalani rawatan konservatif seperti terapi fizikal, pengambilan ubat-ubatan sebelum memilih pembedahan sebagai alternatif rawatan. Selalunya doktor memberi tempoh p penilaian bergantung pada keadaan pesakit, umumnya antara enam minggu ke enam bulan. 


Tiada Lagi Ketakutan Kepada Pembedahan
OLEH SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

SEKIRANYA seseorang pesakit itu mengalami penyakit-penyakit kritikal yang memerlukan pembedahan seperti apendisitis akut, radang hempedu (kolesistitis) akut atau hernia, kebiasaannya situasi ini akan menimbulkan perasaan gerun dan takut di kalangan para pesakit.

Akibatnya, sesetengah pesakit membuat keputusan untuk tidak melalui pembedahan sebagaimana yang dinasihatkan oleh pakar.

Akan tetapi, pesakit kini perlu tahu bahawa teknik-teknik perubatan untuk penyakit-penyakit kritikal telah banyak mengalami kemajuan dan pesakit tidak perlu berasa takut dan gerun lagi untuk dibedah.

Pesakit pada dasarnya perlu tahu bahawa dalam pengamalan perubatan moden, pembedahan merupakan satu kaedah rawatan yang amat berkesan bagi sesetengah penyakit selain daripada ubat-ubatan.

Kaedah rawatan menggunakan pembedahan sebenarnya sudah lama diamalkan oleh manusia semenjak tamadun awal seperti tamadun Hindu di benua kecil India.

Pembedahan mula menjadi satu cabang perubatan moden sejak kurun ke-17 apabila sistem pembelajaran dan latihan perubatan mula memasukkan ilmu-ilmu dan kaedah pembedahan serta diajar di universiti.

Menurut Pakar Bedah Columbia Asia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain, pembedahan secara tradisinya melibatkan luka pada bahagian-bahagian badan yang dibuat menggunakan sejenis pisau tajam oleh pakar bedah yang dipanggil skalpel.

‘‘Saiz luka pada pesakit bergantung kepada jenis pembedahan yang perlu dilakukan. Pada umumnya, pembedahan di bahagian abdomen akan memerlukan luka yang lebih besar daripada bahagian-bahagian badan yang lain.

‘‘Walaupun pembedahan di bahagian abdomen ini dilakukan dengan diberi bius umum supaya pesakit tidak merasakan apa-apa kesakitan sewaktu menjalankan pembedahan, perspektif masyarakat umum selalu membayangkan betapa sakitnya pembedahan ini.

‘‘Sebenarnya perspektif ini tidaklah salah sama sekali kerana selepas pembedahan, pesakit akan mula berasa kesakitan pada luka pembedahan itu apabila kesan kepada bius umum yang diberikan sudah habis,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan pesakit tidak perlu gusar kerana terdapat ubat yang boleh mengurangkan rasa sakit tersebut.

Tambah beliau, selain rasa sakit pada luka yang dibuat ketika pembedahan, terdapat juga kemungkinan risiko dan komplikasi jangkitan kuman serta pendarahan pada luka-luka tersebut.
Oleh itu, penyelidikan perubatan moden telah banyak menjurus ke arah mencari kaedah-kaedah baru bagi mengurangkan segala komplikasi yang terjadi akibat daripada luka-luka yang besar di kulit sewaktu sesuatu pembedahan.
Pembedahan Invasif Minimum (Minimally Invasive Surgery) atau ringkasnya dirujuk sebagai MIS, merupakan satu kaedah termoden di dalam teknik pembedahan masa kini yang akan mengurangkan kesakitan akibat pembedahan, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan kuman.

Ini berjaya dilakukan kerana luka-luka di kulit menggunakan kaedah MIS ini adalah jauh lebih kecil (5-10 milimeter atau 0.5 hingg satu sentimeter pada setiap luka pembedahan) berbanding kaedah pembedahan terdahulu (10 hingga 20 sentimeter pada setiap luka).

Dengan MIS, pesakit akan sembuh dengan lebih pantas dan dapat kembali menjalankan aktiviti rutin sehariannya seperti biasa dan lebih cepat berbanding dahulu.

Apa itu MIS?
Kaedah pembedahan MIS dilakukan di dalam badan sama seperti kaedah pembedahan lama.

Cuma, kelebihannya ketara dari segi luka di kulit yang sangat kecil berbanding luka melalui pembedahan tradisional.

Luka-luka kecil di kulit ini, kata Dr. Abd. Hamid, hanya dilakukan oleh pakar untuk satu tujuan sahaja iaitu untuk memasukkan alat yang di namakan ‘port’ ke dalam badan yang mana melaluinya akan dimasukkan alat-alat pembedahan lain.

Umumnya, MIS melibatkan penggunaan kamera kecil dan panjang yang dimasukkan ke dalam rongga abdomen.

‘‘Pembedahan ini masih perlu dilakukan dengan pembiusan umum tetapi kebaikannya yang paling ketara ialah luka di kulit serta tisu dinding bahagian badan yang terlibat (seperti di bahagian abdomen) adalah amat kecil.

‘‘Ini juga bermakna, trauma dan inflamasi (bengkak) yang terjadi kepada tubuh badan pesakit itu amat sedikit sekali. Dengan itu badan pesakit tidak akan mengalami kejutan yang ketara akibat pembedahan yang dilakukan.

‘‘Oleh kerana pesakit akan berasa kesakitan yang paling minimum, maka ini akan membolehkannya bergerak dan bangun dari katil lebih cepat dari biasa,” terang beliau lagi.

Contohnya, pembedahan untuk mengeluarkan batu karang dalam hempedu (kolesistektomi), jika dilakukan secara pembedahan tradisi (kolesistektomi terbuka) akan mengambil masa di antara tiga hingga lima hari sebelum pesakit boleh bergerak dari katil.

Sebaliknya, jika pesakit memilih pembedahan menggunakan kaedah MIS untuk membuang batu karang hempedu (yang dinamakan Kolesistektomi Laparoskopik), pesakit dapat bergerak dari katil hospital seawal 12 jam selepas pembedahan!

Oleh kerana pesakit dapat kembali berfungsi seperti sediakala dengan lebih cepat, maka komplikasi serius yang sering terjadi ekoran pembedahan seperti jangkitan kuman di bahagian luka dan paru-paru atau darah beku di dalam saluran vena di kaki (Deep Vein Thrombosis/DVT) amat berkurangan sekali.

Penyakit-penyakit berbahaya yang boleh dirawat menggunakan MIS

Di dalam bidang pembedahan am atau gastrosus – Laparoskopik Kolesistektomi, Apendektomi, Hernioplasti dan Laparoskopi Diagnostik adalah pembedahan-pembedahan MIS yang sudah pun dilakukan secara rutin oleh pakar bedah di pusat-pusat perubatan yang termoden di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Kolesistektomi Laparoskopik

Dr. Abd. Hamid memberitahu, ia adalah pembedahan yang pertama di dalam bidang pembedahan gastrousus yang telah melalui revolusi teknik pembedahan ini.
Kolesistektomi laparoskopik dilakukan untuk membedah hempedu yang mengandungi batu karang (gallstones).

‘‘Pembedahan ini yang harus dilakukan dengan pembiusan umum kebiasaannya hanya melibatkan empat lubang kecil yang ditebuk di kulit abdomen pesakit (antara lima hingga 10 milimeter setiap satu) untuk di masukkan port dan seterusnya peralatan pembedahan lain.

‘‘Saiz peralatan pembedahan juga adalah sangat kecil sekali. Gas karbon dioksida akan dimasukkan ke dalam rongga abdomen pesakit untuk memberi ruang kepada pakar memanipulasi peralatan sewaktu pembedahan dijalankan.

‘‘Kadangkala selepas pembedahan, pakar bedah akan meninggalkan satu tiub kecil dari lubang di bahagian kanan untuk mengeluarkan lebihan air yang digunakan sewaktu pembedahan ataupun sisa-sisa air bisa dari inflamasi penyakit radang hempedu akut,” katanya.

Mengulas lanjut, walaupun pembedahan kaedah ini akan cepat sembuh, terdapat risiko yang khusus di dalam pembedahan hempedu dengan kaedah ini.

Secara purata di seluruh dunia di mana pembedahan ini dilakukan secara rutin, risiko untuk terjadinya komplikasi di mana struktur saluran hempedu boleh tercedera sewaktu pembedahan adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan pembedahan secara konvensional.

Risiko ini berkait rapat dengan pengalaman seseorang pakar bedah yang melakukan pembedahan ini.

‘‘Bukan semua pesakit layak untuk menjalani pembedahan ini. Pesakit yang mengandung atau mempunyai beberapa parut di bahagian abdomen adalah lebih baik dibedah secara konvensional memandangkan risiko untuk berlakunya kecederaan yang tidak diingini amat tinggi sewaktu pembedahan MIS di dalam situasi yang begini.

‘‘Bukan semua pembedahan laparoskopik kolesistektomi berjaya ditamatkan. Terdapat antara lima hingga 10 peratus pesakit yang bermula dengan kolesistektomi laparoskopik tetapi pembedahan terpaksa ditukar kepada pembedahan konvensional kerana beberapa masalah semasa pembedahan seperti pendarahan yang banyak dan cepat yang memerlukan tindakan segera atau gangguan struktur-struktur penting yang tidak dapat dikenal pasti.

‘‘Pesakit biasanya dibenarkan pulang selepas satu atau dua hari pembedahan berbanding dengan pembedahan konvensional di mana pesakit harus berada di hospital sekurang-kurangnya seminggu,” jelas Dr. Abd. Hamid.

Apendektomi Laparoskopik
Pembedahan membuang apendiks (apendektomi) adalah satu pembedahan yang paling kerap dijalankan di mana-mana hospital yang memberi perkhidmatan kecemasan kepada orang ramai.

Apendektomi dilakukan untuk merawat penyakit radang apendiks akut.

Kebiasaannya, apendektomi dilakukan dengan cara pembedahan konvensional.

Oleh kerana luka akibat pembedahan konvensional juga tidak begitu besar berbanding luka-luka pembedahan apendektomi laparoskopik, maka kelebihan pembedahan MIS dalam situasi apendisitis akut yang biasa tidaklah begitu ketara.

Dalam situasi yang lebih unik seperti pesakit yang begitu obes (gemuk) yang mana luka pada dinding abdomen harus dibuat dengan lebih besar untuk dapat sampai kepada apendiks, maka pembedahan apendektomi laparoskopik adalah lebih baik untuk memastikan risiko jangkitan kuman rendah dan pesakit tidak mengalami kesakitan yang banyak selepas pembedahan.

Bukan semua kes-kes apendisitis akut mudah dikesan melalui proses klinikal biasa ataupun ujian-ujian yang rutin.

Pemeriksaan laparoskopi perlu dibuat untuk kes-kes yang rumit dan apabila dapat dipastikan yang pesakit mengalami apendisitis akut melalui laparoskopi, maka apendektomi dapat terus dilakukan pada waktu yang sama.

Hernioplasti Laparoskopik

Kata Dr. Abd. Hamid, penyakit hernia terutama sekali hernia inguinal adalah satu penyakit yang amat kerap berlaku di dalam mana-mana golongan masyarakat termasuk kaum wanita.

Lazimnya pembedahan hernia dilakukan secara konvesional.

‘‘Telah dibuktikan bahawa pembedahan hernia dengan kaedah laparoskopi dapat memberi keputusan yang setimpal dengan pembedahan konvensional.

“Malah dalam beberapa situasi tertentu seperti hernia inguinal di kedua-dua belah dan juga hernia inguinal yang berulang, kaedah hernioplasti laparoskopik adalah yang terbaik.

‘‘Selain kos keseluruhan pembedahan laparoskopik biasanya lebih sedikit daripada kos pembedahan konvensional, kebaikannya jelas seperti yang disebutkan, ditambah pula risiko hernia berulang kembali adalah paling rendah dengan pembedahan laparoskopik untuk jangka panjang,” ujar beliau.

Laparoskopik Diagnostik
Sebelum ini, jika pesakit mengalami sakit di bahagian abdomen dan semua ujian-ujian darah dan pengimejan (sinar-X, ultrasound dan CT scan) telah dilakukan tanpa mendapat kepastian akan punca kepada gejala itu, maka pembedahan Laparotomi Diagnostik akan dilakukan untuk memberi jawapan yang tepat kepada permasalahan kesihatan tersebut.

Laparotomi adalah pembedahan ke atas abdomen secara konvensional melibatkan luka yang besar di dinding abdomen. Dengan pembedahan ini, pakar bedah secara langsung dapat menyiasat punca sakit di bahagian abdomen itu.

Pembedahan MIS bukan sahaja memberi alternatif luka yang kecil sahaja tetapi melalui kamera yang digunakan dapat juga melihat hampir keseluruhan rongga abdomen untuk menyiasat punca sakit abdomen.

Lanjutan pemeriksaan ini dan setelah dipastikan penyakit yang memberi gejala sakit abdomen, maka keputusan akan dibuat oleh pakar bedah sama ada untuk terus menjalankan pembedahan dengan kaedah laparoskopik ataupun perlu dilakukan pembedahan konvensional.

Seseorang pakar bedah itu harus terlatih di dalam bidang pembedahan laparoskopik untuk membolehkan ia menggunakan kaedah ini sebagai alat bagi menyiasat sakit di bahagian abdomen.

Lain-lain Pembedahan Laparoskopi
Pembedahan MIS juga telah terbukti berkesan sebagai satu kaedah pembedahan di dalam pembedahan ke atas organ-organ lain seperti kelenjar adrenal dan limpa di samping mendapat tempat sebagai teknik yang rutin di dalam bidang-bidang perubatan lain seperti sakit puan dan pembedahan kardiotorasik atau jantung.

Pembedahan Eksperimen

Bukan semua pembedahan dapat dilakukan secara laparoskopik.

Terdapat banyak pembedahan yang dilakukan oleh pakar bedah di seluruh dunia menggunakan kaedah laparoskopik tetapi belum dapat disahkan dari segi saintifik sama ada ia lebih berkesan daripada kaedah pembedahan konvensional.

Pembedahan MIS ke atas kelenjar tiroid dan usus besar (kolon) tergolong di dalam pembedahan eksperimental ini.

Dr. Abd. Hamid membuat kesimpulan bahawa pesakit dan orang ramai perlu mengetahui bahawa Pembedahan Invasif Minimum menggunakan kaedah laparoskopik merupakan satu kemajuan yang amat ketara di dalam bidang perubatan pembedahan.

‘‘Untuk menilai akan keberkesanan prosedur ini, anda perlu mampu membuat pilihan bijak dan adalah penting untuk pesakit mengetahui sedikit sebanyak perbezaan serta kebaikan pembedahan laparoskopik ini, dan juga kemampuan pakar yang mereka pilih,” tegasnya

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails