Sunday, March 20, 2011

Muzium Tsunami Aceh




Sebenarnya jika boleh dikutip segala macam Kisah Seribu Satu Malam versi tsunami yang parah melanda Aceh pada 2004, pasti jumlahnya tidak terhitung banyaknya.

Tetapi semua itu mungkin lebih terjawab apabila anda berpeluang mengunjungi Muzium Tsunami Aceh di Jalan Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh yang pertama dibina seumpamanya di dunia.

Melihat pada reka bentuk dan struktur binaannya yang begitu besar dan agam (agam bermakna anak lelaki dalam Bahasa Aceh) cukup membuatkan kita teruja.

Dibina atas tanah seluas 10,000 meter persegi, Muzium Tsunami Aceh adalah untuk menjadi satu- satunya jambatan bagi merapatkan 'hubungan' antara manusia dan fenomena alam, tsunami.

Bukan sekadar tugu paling besar bagi memperingati mangsa-mangsa tsunami tetapi muzium itu juga merupakan sebuah institusi yang ingin mendidik supaya tsunami perlu dilihat dalam pelbagai perspektif positif supaya kehadirannya tidak mengundangkan trauma yang teruk di kemudian hari.

Di samping fungsi paling utama, iaitu sebagai pusat perlindungan kecemasan jika berlaku lagi sebarang bencana termasuk Aceh dirundung tsunami lagi.

Reka bentuknya yang sangat unik umpama sebuah kapal besar adalah rekaan arkitek terkenal Indonesia, Ridwan Kamel, yang rekaannya sebelum ini, iaitu Masjid Al Irsyad di Bandung Barat, Indonesia diiktiraf antara 10 Senibina Rumah Ibadat Terbaik Dunia 2010.

Keunikan jelas terpapar pada motif rekaan pada tembok dan dinding muzium yang sekali pandang, umpama satu jalinan anyaman dinding buluh yang boleh dianggap sebagai terbesar di dunia.

Namun difahamkan motif itu sebenarnya berasaskan kepada sejenis tarian tradisional Aceh yang dikenali sebagai Tarian Saman. Ia lazimnya merupakan gandingan para penari yang saling berpegang tangan dan merapatkan bahu sebagai tanda persaudaraan dan perpaduan yang tidak boleh dileraikan oleh sesiapa juga pun.

Anda tahu bahawa muzium empat tingkat dengan kos binaan kira-kira RM23.6 juta itu sangat istimewa apabila di sini sahajalah anda dapat merasai 'kiamat kecil', tsunami itu sendiri.

Muzium itu juga dilengkapi teknologi paparan animasi empat dimensi (4D) yang paling canggih bagi membolehkan para pengunjung mendengar, melihat, merasai dan akhirnya akan 'trauma' akibat gegaran gempa bumi, dentuman air laut, lemas dihempas gelombang besar dan lain-lain elemen kiamat kecil yang diciptakan khas.

Seolah-olah kembali semula kepada kejadian pada pagi yang indah 26 Disember 2004 itu.

Tanpa ada pilihan untuk mengelak, muzium ini benar-benar mengajak anda supaya merasai sendiri trauma tsunami sehinggalah terpaksa berlari menyelamatkan diri dan mendaki permukaan yang tinggi (memanjat pokok) bagi memastikan diri anda terselamat!

Namun nadi bagai terhenti berdenyut saat apabila penulis berpeluang melihat sebuah jam dinding yang berjaya membuktikan tsunami yang menelan hampir 150,000 nyawa di Aceh itu berlaku tepat pada pukul 8.15 pagi.
Ini apabila jarum saat dan minit pada jam itu terhenti berdetik dan mati pada lingkungan waktu tersebut! Ngeri bukan?

Menyentuh hati

Di bahagian galeri lain, para pengunjung pastinya akan lebih menginsafi kekuasaan Ilahi melihatkan pelbagai bahan pameran berkaitan tsunami yang sangat menyentuh hati.

Sekalipun sebuah rangka motosikal yang hancur, bagi mengajak kita berfikir bagaimana tsunami yang sekadar kumpulan air yang besar mampu mengalahkan struktur atau rangka besi motosikal tersebut.

Begitupun menatap beratus-ratus rakaman gambar yang sempat diambil semasa berlaku tsunami dan dipamerkan di muzium itu tentu sahaja memerlukan sekeping hati yang kuat dan tabah.

Pemandangannya tentu tidak enak namun apakan daya untuk mengelak takdir dan sekurang-kurangnya daripada paparan gambar-gambar tersebut menyebabkan para pengunjung tidak lagi mampu mengaku dirinya hebat kecuali Allah juga yang Maha Kuat!

Walaupun jangkaannya hanya pada tahun hadapan Aceh akan pulih sepenuhnya dari kehancuran yang diciptakan oleh Tsunami.

Namun ia bukan penghalang untuk mereka mengadakan Tahun Melawat Banda Aceh yang jatuhnya pada tahun ini!

Ibu kota kepada Wilayah Indonesia, Aceh Nanggroe Darus Salam ini memang amat menarik dilawati.

Selain Muzium Tsunami dan tidak sahaja terdapat banyak peninggalan ngeri tsunami namun bayangkan sahaja kota yang telah berusia 805 tahun ini pernah menempuh zaman kegemilangan Melayu Islam yang cukup gemilang.

Mampu mencapai pelbagai taraf peradaban dunia terutama dalam syariat Islam, ilmu dan kebudayaan, tentu sahaja banyak yang boleh dikenali dan diterokai apabila berada di kota yang sangat bersejarah ini.
GAMBARAN semasa berlakunya rempuhan ombak setinggi hampir 10 meter yang melanda aceh pada 24 Disember 2004 yang boleh dilihat di Muzium Tsunami aceh.



 
 
 

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails