Sunday, March 20, 2011

Kesan radiasi ditemui pada susu dan sayur

TOKYO - Sedang Jepun terus bergelut dengan krisis nuklear ekoran gempa bumi dan tsunami, pihak berkuasa negara itu telah menemui kesan radiasi pada susu dan sayur bayam yang melebihi paras biasa di kawasan dekat dengan loji nuklear Fukushima Daiichi.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Encik Yukio Edano, mendedahkan semalam bahawa pemeriksaan ke atas susu di kawasan Fukushima dan sayur bayam yang ditanam di Ibaraki yang berdekatan dengannya telah melebihi takat yang ditetapkan oleh pemerintah.

Ini merupakan laporan rasmi pertama mengenai makanan yang dicemari radiasi nuklear sejak negara itu dilanda bencana gempa dan stsunami 11 Mac lalu.

Contoh makanan tersebut diambil dari kebun-kebun yang terletak dalam lingkungan sejauh 100 kilometer hingga 120 kilometer dari loji nuklear yang menghadapi masalah kebocoran itu.

Ia menunjukkan betapa luasnya kesan pencemaran radiasi daripada loji tersebut.

Kawasan tersebut merupakan kawasan pertanian yang terkenal dengan pengeluaran tembikai, buah pic dan beras. Pencemaran yang berlaku di situ dikhuatiri akan menjejas bekalan makanan ke sebahagian besar kawasan di Jepun.

Encik Edano bagaimanapun memberitahu bahawa pencemaran radiasi itu setakat ini tidak menimbulkan ancaman bahaya kepada manusia dan menasihatkan orang ramai supaya tetap bertenang.

Beliau berkata, jika pun seseorang minum susu yang dicemari itu untuk setahun, paras radiasi dalam tubuhnya hanya sama seperti orang yang menjalani imbasan CT.

Pihak berkuasa negara itu sedang memikirkan kemungkinan mengawal pergerakan hasil pertanian daripada kawasan yang berdekatan dengan loji nuklear Fukushima itu, yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo.

Ia juga berusaha mengumpulkan lebih banyak data mengenai kesan radioaktif untuk dikaji di bawah penyeliaan Kementerian Kesihatan.

Menurut Encik Edano, lebih banyak ujian akan dijalankan ke atas lain-lain hasil makanan.

Jika ujian-ujian tersebut menunjukkan lebih banyak pencemaran radiasi, maka bekalan makanan dari kawasan itu akan dihentikan.

Selain pengumuman tentang kesan radiasi ke atas makanan itu semalam, tiada terdapat tanda-tanda peningkatan besar paras radiasi di udara negara itu, menurut kementerian pelajaran dan sains Jepun.
Kebanyakan bacaan tentang keadaan udara di situ, menurut mereka, masih di bawah paras yang boleh membahayakan kesihatan manusia.

Berita mengenai pencemaran makanan itu disiarkan sedang Jepun terus berjuang menghadapi kesan kemusnahan yang dialami akibat gempa bumi sekuat 9.0 skala Richter yang diikuti dengan gelombang tsunami yang yang dahsyat lapan hari lalu. - Agensi

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails