Tuesday, March 22, 2011

14 juta rakyat Mesir undi pinda Perlembagaan


KAHERAH 21 Mac - Sebanyak 77 peratus rakyat Mesir menyokong pindaan perlembagaan di bawah rancangan tentera negara ini untuk memulihkan segera pemerintahan awam berikutan protes besar-besaran yang menyingkirkan Presiden Hosni Mubarak bulan lepas.

Lebih 14 juta rakyat Mesir atau 77.2 peratus daripada mereka yang mengundi dalam pungutan suara, menyokong pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk dijadikan panduan oleh negara ini dalam menghadapi pilihan raya Presiden dan Parlimen dalam tempoh enam bulan, kata pengerusi suruhanjaya penganjur, Mohammed Attiya.

Seramai empat juta lagi atau 22.8 peratus menolak pindaan itu, katanya pada sidang media semalam.

Sejumlah 18.5 juta orang atau 41 peratus daripada kira-kira 45 juta pengundi berdaftar keluar kelmarin untuk kali pertama menunaikan hak mereka di bawah sistem demokrasi sebenar, selepas demonstrasi 18 hari menamatkan pemerintahan autoritarian Mubarak selama 30 tahun.

Pada zaman Mubarak, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya selalunya rendah kerana tidak wujud persaingan sebenar dan kebanyakan rakyat tidak yakin undi mereka akan diambil kira kerana penipuan dan pemalsuan undi berlaku secara meluas.

Pungutan suara mengenai pindaan terhad terhadap perlembagaan negara yang diwarisi daripada rejim Mubarak melibatkan persaingan sengit antara kem yang menyokong pindaan itu dengan mereka yang menentangnya.

Pindaan yang diluluskan itu dengan sendirinya tidak menimbulkan kontroversi walaupun pengkritik mendakwa perubahan tidak cukup besar dalam merombak piagam zaman Mubarak yang menurut mereka perlu ditulis semula sepenuhnya.

Mengikut pindaan itu, perkhidmatan Presiden akan dihadkan kepada dua penggal selama empat tahun setiap satu, dan beliau tidak lagi memiliki kuasa untuk menghadapkan orang awam ke mahkamah tentera.

Keadaan darurat yang mengawal kehidupan rakyat Mesir selama berdekad-dekad hanya boleh dikenakan selama enam bulan sahaja tanpa kelulusan dalam pungutan suara.

Kumpulan belia yang mengetuai gerakan protes menjatuhkan Mubarak menyertai pelbagai parti politik sekular dan tokoh pembangkang dalam menyeru pengundi supaya menolak pindaan itu, dengan alasan, jadual waktu yang ditetapkan oleh tentera terlalu suntuk untuk membolehkan gerakan baru menyusun anggota pada peringkat akar umbi.

Namun aktivis belia yang bernaung di bawah Perikatan Belia Revolusi akur dengan keputusan pungutan suara itu dan di laman Facebook, menyeru penyokong mereka supaya turut menerimanya. - AFP

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails