Thursday, March 31, 2011

Jepun cadang tutup loji nuklear dengan kain khas


SENDAI 30 Mac - Jepun hari ini menimbangkan rancangan untuk menyelubungi bangunan-bangunan reaktor nuklear yang rosak di Fukushima dengan kain penutup khas bagi membendung radiasi, dan mengepam air radioaktif ke dalam sebuah kapal tangki yang berlabuh di luar pesisir.

Pihak berkuasa belum dapat menstabilkan keadaan di loji nuklear yang terlampau panas dan mengeluarkan radiasi itu.

Segala kemungkinan sedang dipertimbangkan dalam usaha Jepun untuk menyelesaikan krisis nuklear terburuk di dunia sejak malapetaka Chernobyl 25 tahun lalu, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano hari ini.
Langkah itu termasuk menyelubungi tiga bangunan reaktor yang rosak teruk dengan kain penutup khas dan memasang penapis udara untuk membataskan radiasi, lapor akhbar Asahi Shimbun.

Satu lagi rancangan ialah menempatkan sebuah kapal tangki kosong di perairan dekat reaktor No. 2, supaya pekerja boleh mengepam air radioaktif menyamai kapasiti beberapa kolam renang Olimpik ke dalam badan kapal.

"Kami berada dalam situasi luar biasa, kerana itu kami perlu memikirkan pelbagai strategi, selain yang biasa kami fikirkan," kata seorang pegawai agensi keselamatan nuklear.

Kerajaan turut mengarahkan langkah keselamatan ditingkatkan segera di kesemua 55 loji tenaga nuklear di negara ini.

Arahan itu menandakan pengakuan pertama kerajaan bahawa piawai keselamatan tidak memadai apabila gempa bumi dan tsunami merosakkan kompleks nuklear di Fukushima hampir tiga minggu lalu.

Sementara itu kebocoran radiasi terus dikesan di sekitar loji tersebut, dengan bacaan menunjukkan iodin radioaktif di laut berhampiran pada tahap 3,355 kali paras dibenarkan. - AFP/Reuters

Utusan

'Disedarkan' oleh kisah Nabi Ibrahim


Oleh ZUARIDA MOHYIN

KISAH kecerdikan dan keberanian Nabi Ibrahim menghancurkan satu persatu patung-patung berhala raja Namrud dan meninggalkan patung yang paling besar sambil memegang kapak memang luar biasa.

Muslihat yang direncanakan oleh Nabi Ibrahim itu menimbulkan kemarahan Namrud. Lalu dia bertanyakan kepada Nabi Ibrahim. Ibrahim dengan cerdiknya menjawab: "Tanyakan saja pada berhala yang paling besar itu, barangkali dia yang menghancurkan patung-patung yang kecil itu."

Mendengar jawapan Nabi Ibrahim, Namrud terdiam sambil memendam amarahnya. Bagaimana mungkin patung bisa berbicara. Jadi tidak mungkin dia akan menanyakan kepada patung itu.

Apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim itu adalah demi membuktikan kekuasaan Allah SWT berbanding patung-patung berhala yang tidak mampu melakukan apa-apa.

Bagi kalangan anak-anak Islam, kisah yang penuh pengajaran itu sering diceritakan dan diperdengarkan kepada mereka.

Tetapi, siapa sangka ia juga turut terpahat dalam kotak fikiran, sekali gus menyedar dan menyentuh hati kecil Muhammad Farhan Tee Abdullah yang ketika itu masih di sekolah rendah.

Malah, kisah tersebut yang diceritakan oleh seorang ustaz di sekolah, menguatkan keyakinannya bahawa patung-patung berhala tidak membawa manfaat kepada manusia.

Muhammad Farhan yang kini merupakan Pegawai Dakwah dan Penyelidikan di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata, minatnya kepada Islam bermula lebih awal. Ia semakin serius pada usia 10 tahun menerusi pergaulan dengan kawan-kawan sekampung.

Apatah lagi keluarga mereka adalah satu-satunya keluarga Cina yang tinggal di perkampungan Melayu yang majoritinya berketurunan Jawa.

"Pada masa itu, saya ada mengikuti kelas Bahasa Arab pada sebelah petang di sekolah bersama kawan-kawan beragama Islam yang lain. Sayangnya, ia hanya diikuti selama beberapa minggu sahaja, sebelum ayah melarang sebaik dia mengetahuinya.

"Walaupun begitu, saya masih mengikuti kelas pengajian agama secara sembunyi-sembunyi walaupun kelas tersebut tidak wajib diikuti bagi pelajar bukan Islam," kata anak kepada pemilik kedai runcit itu.

Boleh dikatakan keseluruhan hidup Muhammad Farhan, 26, dikelilingi oleh masyarakat Melayu, sehinggakan dia lebih petah dan selesa berbahasa Melayu, sama ada di sekolah mahupun di rumah. Dia pernah ditegur oleh ibu bapanya kerana enggan menggunakan bahasa ibunda mereka.

Kemesraan dan keakraban anak muda itu dengan Islam dan budaya masyarakat Melayu terbukti dengan kebolehan Muhammad Farhan menghafaz surah al-Fatihah.

Malah minat yang telah terpupuk semenjak di sekolah rendah itu semakin bersemarak ketika di sekolah menengah.

Lantas itu, semasa di tingkatan empat dan lima, Muhammad Farhan mengambil Tasauf Islam kerana diberitahu bahawa ia adalah mata pelajaran asas mengenai Islam dan tidak melibatkan wahyu Allah serta penulisan al-Quran.

Sehinggalah semakin menghampiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Farhan dipelawa menjadi anak angkat oleh seorang guru di sekolahnya.

Sejak sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, pergaulannya memang di kalangan pelajar Melayu dan kawan-kawan yang berlatarbelakang pendidikan agama yang baik.

"Alhamdulillah, mereka banyak membantu dan ini jugalah salah satu faktor yang membawa saya kepada Islam.

"Terlintas juga di hati bahawa ini mungkin satu bentuk hidayah Allah di mana saya tidak terjebak dengan kawan-kawan yang sentiasa lara atau leka dengan perkara-perkara negatif.

"Yang menjadikan saya seorang pemilih mungkin disebabkan selepas kematian ayah, kami adik-beradik yang seramai enam orang telah dijaga oleh bapa saudara.

"Memandangkan dia seorang yang agak berdisiplin, tegas dan dikenali ramai di kampung tersebut, secara tidak langsung membuatkan saya lebih berhati-hati dengan siapa saya bercampur dan berkawan," jelasnya.
Malah akui anak kelima itu, pelawaan untuk dia bergelar Muslim, memang terlalu banyak.

Namun, ketika itu dia merasakan belum bersedia atau belum sampai seru. Lagipun, dia masih di bawah penjagaan orang tua.

Jadi, Muhammad Farhan merasakan belum masanya untuk dia memeluk Islam. Sehinggalah selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Waktu itu saya kerja sementara di kilang. Daripada situ barulah saya melihat realiti kehidupan. Saya amat kecewa apabila melihat ramai orang Islam tidak solat, sedangkan menerusi pergaulan saya sebelum ini, saya dikelilingi mereka yang baik-baik.

"Melihat keadaan itu, wujud pemberontakan dalaman sehinggalah datang satu lintasan gambaran, wajah seorang imam yang pernah saya kenali cuma tidak pernah berbual dengannya.

"Daripada situ, saya macam tersedar dan berhasrat untuk mencari Imam Haji Ismaun. Apabila saya temui beliau, saya luahkan hasrat hati untuk belajar ilmu agama dengannya secara mendalam," tambah beliau.
Muhammad Farhan berkata, pada masa itu, beliau bertekad untuk memeluk Islam pada usia 21 tahun.
"Bagaimanapun, baru seminggu belajar, ustaz menyarankan telah sampai waktunya untuk saya memeluk Islam," katanya yang menjadi serba salah tatkala diminta membuat pengislaman.

Setelah tiga hari berfikir, pada 24 Mei 2005, Muhammad Farhan mengucap syahadah di Pejabat Agama Islam Kampung Gajah dengan Imam Ismaun sebagai saksi.

Kemudian mendaftar secara rasmi di Jabatan Agama Islam Perak di Ipoh. Umurnya ketika itu 20 tahun satu bulan sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.
Seperkara luar biasa yang dialami oleh Muhammad Farhan sebaik bergelar Muslim, dia seperti mendapat ketenangan dalaman dan keseronokan dalam kehidupan kerana ada arah tujuan dan hala tuju.

Kalau sebelum Islam, katanya, hidup terasa kosong walaupun pada ketika diri sudah mengetahui tentang Islam.

Di samping itu, konsep ketuhanan dalam Islam telah disedari dan diakui Muhammad Farhan menjadi tarikan kuat yang mengikatnya kepada agama Islam.

Hidayah itu ditemui sejak kecil. Lebih-lebih lagi dia tidak pernah teringin menyembah Tuhan nenek moyangnya.

"Selain konsep ketuhanan, Islam adalah agama yang cukup lengkap. Ia merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan berbanding dengan fahaman-fahaman atau ajaran agama yang lain.

"Islam ada sistem sosial, politik, ekonomi, perkahwinan, kekeluargaan, hal-hal selepas kematian, akhirat, syurga, neraka dan banyak lagi," katanya.

Muhammad Farhan berkata, sembahyang adalah tanda terima kasih manusia kepada Tuhan.

"Perbuatan sujud pula, menunjukkan kehebatan Islam sehingga umatnya boleh bersujud kepada Allah.
"Sehingga masuk ke tingkatan enam, gambaran dan pemerhatian saya tentang Islam bertambah luas, apatah lagi saya tinggal berjauhan daripada keluarga," jelasnya.

Wednesday, March 30, 2011

Rumpai ganti garam

Penyelidik UPM hasil KardioMate atasi masalah kesihatan

 PROF DR SUHAILA  menunjukkan estrak rumpai laut (cardio mate) dan kapsul rumpai laut.
PROF DR SUHAILA menunjukkan estrak rumpai laut (cardio mate) dan kapsul rumpai laut.


SERDANG: Selepas penyelidikan selama sembilan tahun dengan geran berjumlah RM500,000, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan produk alternatif kepada garam.

Dinamakan KardioMate yang dihasilkan daripada rumpai laut dan darat, ia didapati memberi manfaat kesihatan kepada pesakit kardiovaskular (CVD).

KardioMate juga sesuai untuk semua pengguna berusia empat tahun ke atas, ter-utama bagi penghidap tekanan darah tinggi serta masalah kesihatan lain seperti obesiti, diabetes, kanser, tiroid dan kolestrol tinggi.

Penyelidik Institut Biosains, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed, berkata KardioMate mempunyai ciri antioksida yang tinggi, kandungan natrium yang rendah serta kaya dengan serat dan mineral penting seperti magnesium, kalsium, kalium, iodin, zink, kuprum dan selium.

“Menerusi kajian terhadap haiwan di makmal, KardioMate didapati mengawal tekanan darah yang berlebihan, membantu mengurangkan berat badan serta melindungi mata, hati, jantung, ginjal, tulang, kulit, otak dan saluran darah.

“Selain itu, ujian makmal juga menunjukkan ia berjaya membunuh kanser sel manusia terutama kanser payudara,” katanya pada sidang media Putra Cipta di UPM, semalam. Hadir sama Pengarah Institut Biosains UPM, Prof Dr Fatimah Yusof.
Dr Suhaila berkata, KardioMate mempunyai aktiviti antimikrobial yang membantu melambatkan kerosakan makanan, pada masa sama merencatkan kenaikan gula dalam darah serta mengawal tekanan darah berlebihan.

“Berbanding garam biasa, KardioMate memiliki ciri antioksida yang baik untuk kesihatan dan kesegaran makanan. Selain garam alternatif, ia boleh dijadikan sebagai perasa masakan, sos, snek atau dicampur dalam aiskrim dan minuman.

“Serat rumpai laut ini juga boleh dijadikan bahan kosmetik dan krim topikal memandangkan antibodi yang dihasilkannya sama seperti gamat yang kini luas dikomersilkan.

“Saya berharap ada pihak industri akan bekerjasama dengan UPM Holdings mengkomersilkan rumpai laut ini. Saya mencadangkan ia dijual pada harga RM8 bagi setiap botol 80 gram. Walaupun agak mahal berbanding garam biasa, KardioMate sesuai untuk golongan berisiko,” katanya. 

Alain Robert guna tali tawan Burj Khalifa


 ROBERT memanjat bangunan tertinggi di dunia, di  Dubai, semalam.
ROBERT memanjat bangunan tertinggi di dunia, di Dubai, semalam.


DUBAI: Seorang lelaki Perancis yang terkenal kerana gemar memanjat bangunan tinggi berjaya memanjat struktur tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa di Dubai setinggi 828 meter, walaupun angin kencang menyebabkannya menangguhkan usaha itu selama beberapa jam. Alain Robert, 48, yang juga dikenali sebagai ‘Spiderman’ Perancis, mengambil masa enam jam untuk memanjat bangunan setinggi lebih 160 tingkat itu, menggunakan tali dan ‘harness’ seperti ditetapkan penganjur.


Robert mengakui, penggunaan peralatan keselamatan terbabit dan kehadiran ramai orang yang berhimpun untuk menyaksikan cubaannya menjadikannya berasa lebih gemuruh. 

“Sebenarnya saya rasa lebih banyak tekanan kerana saya tahu bahawa mereka menyiapkan semuanya untuk saya. Mereka juga memasang skrin gergasi setinggi 50 meter dan sepanjang 30 meter. 

“Saya tahu semua orang melihat ke arah saya, jadi saya berasa sedikit tertekan,” kata Robert sebelum memulakan aktiviti berbahaya terbabit. 

Sebuah ambulans dan pengusung ada di tepi bangunan bersama kenderaan bantuan lain sebagai persediaan kejadian tidak diingini berlaku. 

Robert pernah ditangkap beberapa kali di beberapa negara kerana pihak berkuasa tidak memberikan kebenaran untuk beliau memanjat bangunan yang disifatkan bahaya. 

Robert mula memanjat sebuah bangunan ketika berusia 12 tahun ketika terperangkap di apartmen dan kemudian memutuskan untuk memanjat bangunan setinggi lapan tingkat bagi membuka tingkap untuk keluar. 

Sejak itu beliau memanjat lebih 80 bangunan di seluruh dunia termasuk Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, Sears Tower di Chicago dan Taipei 101 di Taiwan. – AP/Agensi



Radiasi ada dalam tanah di Fukushima


Foto
PEKERJA TEPCO berusaha menyambung kuasa elektrik di reaktor Fukushima ketika ancaman radioaktif meningkat.
Foto

Plutonium di 5 tempat sekitar loji nuklear

TOKYO: Radiasi dari reaktor nuklear Jepun yang terjejas kini mencemarkan tanah dan laut sekitar kompleks Fukushima Daiichi ketika pihak berkuasa bimbang beberapa reaktor sudah sebahagiannya lebur. Pegawai syarikat kuasa terbabit mengakui bahawa plutonium ditemui dalam tanah di lima tempat pada loji terbabit walaupun mereka menekankan bahawa kadar bahan radioaktif adalah kecil dan tidak menjadi satu ancaman kepada umum, lapor Associated Press. Malah radiasi juga dikesan lebih satu kilometer ke utara loji terbabit.

Sementara itu, Filipina mengesan sedikit radiasi dipercayai dari reaktor Jepun, China pula terus mengesan kesan radiasi manakala Korea Utara memantau keadaan.

Kadar radiasi lebih tinggi dari biasa juga dikesan di Cyrstal River di Florida walaupun ia tidak menjadi satu ancaman kepada kesihatan. Florida berada kira-kira 11,000 kilometer dari loji Jepun.

Di dalam loji terbabit, rakaman video menunjukkan asap dari reaktor dua dan tiga, satu petanda adanya kesukaran di sana. Semua reaktor setakat ini berada pada tekanan walaupun berlakunya retakan pada komponen konkrit dan keluli.

Air radioaktif juga ditemui di semua empat reaktor di loji terbabit di mana pekerja terus berusaha mengepam keluar.
Pegawai berkata, air tercemar terbabit perlu dikeluarkan sebelum pekerja boleh memasang semula sistem penyejukan loji terbabit. Pekerja di loji tidur di koridor dan bilik mesyuarat, dengan melindungi diri daripada radiasi dengan memakai pakaian buatan plumbum.

“Ada satu retakan di dalamnya di mana radiasi terlepas keluar,” kata ahli fizik Amerika Syarikat, Michio Kaku. “Ini bermaksud jika terasnya mulai lebur, kita akan mendapati letupan wap, satu letupan gas hydrogen seperti Chernobyl.”

Sekumpulan jurutera berusaha untuk mengawal enam reaktor kompleks Fukushima sejak ia meletup akibat gempa bumi 11 Mac lalu dan tsunami yang menyebabkan lebih 27,000 penduduk maut atau hilang di seluruh timur laut Jepun.

Gempa bumi sekuat 6.5 melanda wilayah itu sekali lagi Isnin lalu. dan pihak berkuasa memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang tsunami setinggi 50 sentimeter. – Agensi 

Berita Harian 30/03/2011

batu karang


pix_gal0

Pakar gambarkan kesakitan lebih teruk daripada saat bersalin

SAKIT batu karang sudah terlalu kerap kita dengar. Jika bukan diri sendiri, pasti ada rakan atau saudara mara yang mengadu pernah berdepan masalah yang menjejaskan kehidupan seharian.

Apa tidaknya, ada yang sukar berjalan akibat kesakitan teramat sangat pada perut sehingga terpaksa cuti sakit. Apakah sebenarnya masalah ini? Batu karang merujuk keadaan yang mana wujud sisa mineral halus seakan batu kristal di sepanjang saluran kencing. Saluran ini mengandungi organ seperti buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang berfungsi menapis darah untuk membuang kekotoran yang kemudian disingkir dari tubuh. Pembentukan batu biasanya mula terbentuk di buah pinggang sebelum bergerak ke bahagian lain saluran kencing hingga tersumbat di tiub yang lebih kecil seperti batu pundi, batu uriterik dan batu buah pinggang menyebabkan pesakit merasa sakit yang teramat sangat.
Pakar Perunding Urologi Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Mohd Ridzwan Yusof berkata kelompok usia yang sering mengalami masalah ini adalah antara 20 hingga 40 tahun. Ada juga yang berlaku pada usia di bawah 20 dan melebihi 40 tahun, walau bagaimanapun kes begini adalah jarang.

Penyakit batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita iaitu pada nisbah tiga lelaki bagi setiap seorang wanita. Ini disebabkan lelaki memiliki hormon testosteron yang tinggi. Ini menjelaskan mengapa orang tua dan kanak-kanak jarang mendapat penyakit ini memandangkan hormon testosteron mereka rendah.

“Punca utama terbentuknya batu karang terbahagi kepada faktor luaran membabitkan diet yang tinggi kandungan bahan kimia atau purine. Bahan kimia ini ada di dalam organ dalaman haiwan, angsa, ekstrak daging, makanan laut, telur ikan dan arak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Faktor lain penyebab batuk karang adalah kurang minum air, keadaan kerja yang tidak banyak pergerakan (seperti di pejabat atau kerjaya pemandu lori, teksi) dan kerja di luar yang terdedah kepada matahari. Tidak ketinggalan, faktor geografi iaitu negara Asia termasuk Malaysia yang ramai pesakit batu karang serta bangsa yang mana mereka berkulit cerah lebih mudah menghidapnya berbanding kulit hitam.
Punca lain termasuk kadar mineral tidak seimbang, peningkatan hormon, pesakit yang menjalani pembedahan pintasan usus, kekurangan bahan-bahan pencegahan dalam air kencing (citrate, magnesium dan zink), jangkitan saluran kencing dan laluan kencing yang tidak normal.

“Kajian sebelum ini pula menunjukkan 25 peratus pesakit batu karang mempunyai sejarah keluarga dan ini bermakna ia ada kaitan dengan faktor genetik. Malah antara penyakit genetik yang dikaitkan dengan batu karang termasuk renal tubular, tubalar acidosis dan cystinuria,” katanya.

Dr Mohd Ridzwan berkata, tanda-tanda utama penyakit batu karang termasuk rasa senak secara mengejut dan berulang-ulang dan terlalu sakit hingga ada pakar yang menggambarkan kesakitannya lebih teruk daripada sakit bersalin, kencing berdarah, muntah-muntah dan kencing tak lawas.

Bagi tanda-tanda yang agak lewat pula, adalah kegagalan buah pinggang, loya, muntah dan sesak nafas.

Mengenai saiz batu karang, katanya, ia bergantung kepada di mana lokasi ia terbentuk sama ada di dalam buah pinggang yang mana ia boleh memenuhi semua rongganya dengan saiz maksimum sehingga 4 sentimeter.

Dalam pundi kencing pula ia boleh memenuhi rongga itu sehingga 10 sentimeter dan di saluran uriter (antara buah pinggang dan pundi kencing) selalunya kurang daripada satu sentimeter.

Mengikut kaedah konservatif, batu karang boleh dirawat dengan meningkatkan pengambilan air sebanyak 3 liter sehari, rawatan perubatan atau ubat-ubatan mengurangkan asid dalam air kencing; ubat penahan sakit, suntikan dan ubat-ubatan pemecah batu yang tidak spesifik bagi kes yang tidak serius.

Apakah jenis batu dialami mereka? Menurut Dr Ridzwan, bagi 100 pesakit misalnya, kira-kira 80 peratus mengalami jenis batu kalsium, batu asid urik, struvite dan lain-lain.

Bagi kaedah kurang invasif atau tidak membabitkan pembedahan, beberapa cara boleh digunakan mengikut tahap batu karang pesakit seperti gelombang Extracorporial shockwave lithotripsy (ESWL) khusus untuk batu bersaiz kurang dua sentimeter.

Sesetengah batu seperti systine dan calsium oxalat monohydrate adalah sangat keras dan susah untuk dipecahkan menggunakan kaedah ini. Teknik ini juga tidak sesuai bagi mereka yang menghidap darah tinggi, masalah saluran darah mengambil ubat pencair darah dan batu yang dijangkiti kuman.

PCNL atau Percutaneous Nephrolithotripsy merawat batu saiz lebih dua sentimeter; retrograde Intrarenal surgery (RIRS) merawat batu kurang satu sentimeter yang mana batu karang itu dipecahkan menggunakan laser.

Apakah peluang pesakit untuk pulih? Biarpun hakikatnya, batu karang boleh pulih sepenuhnya, tetap ada kebarangkalian tinggi untuk berulang. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan 10 peratus pesakit boleh mengalami semula masalah itu dalam masa setahun, 35 peratus kes dalam masa lima tahun dan 50 peratus kes dalam masa 10 tahun.

Namun masih ada kaedah untuk mengelak penyakit itu berulang iaitu menerusi pengambilan air yang mencukupi sekurang-kurangnya tiga liter sehari. Di samping itu, menjaga pemakanan dengan mengamalkan diet rendah purin seperti bijirin, roti dan bihun, telur, hasil tenusu dan minuman seperti teh, kopi dan coklat.

Bagaimana pula dengan masyarakat yang sebaliknya lebih cenderung berjumpa pengamal perubatan alternatif terlebih dulu sebelum mendapat nasihat pakar?

Persepsi ini, kata Dr Mohd Ridzwan, harus diperbetulkan.

“Ada pelbagai cara dilakukan tetapi ada risikonya. Jika batu di buah pinggang itu tersumbat, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan pakar dengan kadar segera kerana jika terlambat ia akan menyebabkan kerosakan buah pinggang atau kematian andai ada jangkitan kuman yang merebak dan menyebabkan keracunan dalam darah.

“Tidak salah menjalani rawatan sebegini kerana sebahagian besar pesakit saya melakukannya...cuma saya nasihatkan sekiranya anda melakukan rawatan alternatif ini sila pastikan anda diperiksa semula oleh pakar perubatan bertauliah di hospital untuk memastikan batu itu benar-benar sudah berjaya dikeluarkan.” 

Oleh Suzan Ahmad
Berita Harian
2011/01/16

Rh - faktor resus


Ujian darah awal kehamilan

Jika rhesus darah ibu tidak sama dengan janin, beberapa masalah akan berlaku antaranya komplikasi pada bayi

MEMAHAMI komplikasi dan alahan sepanjang kehamilan mungkin tidak terlalu sukar buat bakal ibu, suami, ahli keluarga dan rakan, tetapi apabila timbul isu perbezaan rhesus darah (Rh - faktor resus) antara si ibu dan anak, tidak ramai yang tahu jauh sekali memahaminya.

Mungkin sebahagian daripada puncanya kerana komplikasi perbezaan faktor Rh jarang berlaku. Ini kerana hampir 90 peratus perempuan Asia memiliki Rh positif, manakala hanya dua peratus perempuan Melayu dikesan memiliki Rh negatif.
Umumnya faktor Rh yang berbeza antara ibu dan anak dalam kandungan tidak menjadi persoalan untuk kehamilan yang pertama. Bagaimanapun apabila ibu hamil kali kedua atau ketiga dan seterusnya, perbezaan faktor Rh mula mendatangkan komplikasi kepada bayi, contohnya masalah kekurangan darah (anemia) yang teruk.

Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor, berkata faktor rhesus merujuk protein khusus yang ditemui pada permukaan sel darah merah.

Jika darah anda memiliki protein, anda dikategorikan sebagai Rh positif - iaitu faktor rhesus yang sangat biasa ditemui dan jika permukaan darah kurang protein, anda dikategorikan sebagai Rh negatif. Walaupun faktor Rh tidak mengganggu kesihatan, ia menjejaskan kehamilan.

“Bagi wanita yang memiliki Rh negatif, manakala suami pula Rh positif, kehamilan memerlukan penjagaan yang khusus,” katanya.
Jelas Dr Shah Reza, jika ibu memiliki faktor Rh yang berbeza dengan anak dalam kandungan, antibodinya akan mengenal pasti protein Rh pada si anak sebagai ‘bendasing’ dan masuk ke dalam sistem aliran darah anak serta menyerangnya. Ini akan menyebabkan bengkak dan kemusnahan pada sel darah merah.

“Bakal ibu sepatutnya tahu bukan saja jenis darahnya tetapi faktor Rh darah itu. Secara umum, apabila anda hamil buat pertama kali, doktor akan menyarankan ujian faktor Rh. Ujian faktor Rh ini adalah ujian asas darah untuk mengetahui sama ada anda Rh positif atau negatif,” katanya.

Katanya lagi, faktor Rh penting sekiranya ibu hamil tidak mempunyai faktor terbabit tetapi suami pula mempunyai faktor Rh, berkemungkinan anak dalam kandungan juga akan memiliki faktor Rh positif. Kehadiran rhesus positif pada janin akan mencetuskan pembentukan antibodi oleh badan ibu.

Ketika proses melahirkan, sesetengah sel darah merah bayi akan bercampur dengan darah ibu. Masalah berlaku jika ibu memiliki Rh negatif dan bayi Rh positif. Tubuh akan menghasilkan antibodi Rh selepas terdedah kepada sel darah merah bayi.

Antibodi ini selalunya tidak mendatangkan masalah pada kehamilan pertama, namun untuk kehamilan seterusnya, antibodi Rh ibu akan menjejaskan plasenta dan menyerang sel darah merah si anak. Anak akan berhadapan penyakit berkaitan Rh seperti masalah kurang darah atau masalah serius lain.

Jika anda Rh negatif, mungkin memerlukan imbasan antibodi bagi mengesan antibodi terhadap darah Rh positif. Andai tiada antibodi dihasilkan, anda memerlukan suntikan Rh imun globulin (suntikan yang mengandungi antibodi dalam darah) bagi mencegah tubuh menghasilkan antibodi ketika hamil.

“Jika bayi anda Rh negatif, semua ini tidak diperlukan. Namun jika dia Rh positif, anda memerlukan suntikan lain sebaik bayi dilahirkan,” katanya.

Jelas Dr Shah Reza, apa yang dibimbangkan ialah jika isteri mempunyai Rh negatif dan suami pula Rh positif. Oleh kerana bayi adalah gabungan baka ayah dan ibu, badan ibu akan menghasilkan antibodi untuk ‘menolak’ bayi yang dianggap sebagai bahan asing, membolehkan ibu mengalami pendarahan sama ada sebelum atau selepas melahirkan anak.

Sistem darah ibu hamil akan mengenali sistem darah anak sebagai sistem asing dan seterusnya mencetuskan pembentukan antibodi yang akan melawan sel darah janin dan juga anak sejurus kelahiran. Akibatnya darah anak rosak serta berlaku pendarahan semasa dalam kandungan atau selepas kelahiran. Janin dalam kandungan juga mungkin gagal diselamatkan.

Sebab itulah pemeriksaan ultrasound penting semasa mengandung. Selepas kelahiran, ujian darah dilakukan pada anak.

“Menjadi amalan di Malaysia kumpulan darah serta faktor Rh ibu akan dikenal pasti semasa mereka hadir untuk pemeriksaan pertama kandungan,” katanya.

Mujur di negara kita, masalah rhesus darah bukan masalah kesihatan yang lazim dalam kalangan wanita hamil, namun ia tetap disaring serta dipantau kerana memberi kesan kepada kandungan dan juga anak yang baru dilahirkan. Penyaringan pada peringkat awal juga dibuat kerana sebarang masalah boleh diatasi pada peringkat awal pengesanan.

Jika pada peringkat awal kehamilan, si ibu dikesan berhadapan faktor Rh negatif, dia akan dipanggil untuk penyiasatan, runding cara lanjutan dan diberikan suntikan.

“Sekiranya suami mempunyai rhesus positif dan isteri rhesus negatif, kandungan pula kandungan sulung, maka pada minggu ke-28 kehamilan, ibu akan disuntik dengan ubat RhoGAM (anti D immunoglobulin).

“Jika ibu hamil untuk kali kedua dan semasa kandungan sulungnya tidak diketahui status rhesus atau tidak mendapat suntikan anti D, darahnya akan diambil dan diuji untuk kehadiran antibodi D, Anti D immunoglobulin tidak lagi diberikan. Ibu hamil itu akan diklasifikasi sebagai pesakit berisiko tinggi dan dipantau lebih teliti,” katanya.

Sebaik-baiknya jenis darah serta rhesus suami isteri perlu diketahui sebelum kehamilan. Sekiranya si isteri mempunyai rhesus negatif, perlu segera memberitahu doktor yang merawat terutama jika pernah berhadapan dengan masalah seperti berikut:
  • Pernah menerima transfusi darah.
  • Kandungan sebelum ini gagal seperti keguguran atau di luar rahim.
  • Pernah disuntik rhoGAM. 
  • Rhesus darah suami positif.
  • Mendapat rawatan invasif perbidanan. 

Oleh Hafizah Iszahanid
Berita Harian 2011/02/13

Tuesday, March 29, 2011

Pusat Latihan Kemahiran Septronic (SSTC)


SEBAIK mendengar taklimat ringkas daripada guru kursus automotif berkaitan ujian yang bakal dijalankan, beberapa pelajar pantas mencapai peralatan masing-masing lalu menuju ke empat buah kereta yang telah disediakan.

BERI perhatian. Chef Mohd. Ghazni (dua dari kiri) menunjukkan cara yang betul untuk membuat kek kepada para pelajar.

Salah seorang daripadanya bernama Gogulakrishnan Balakrishnan yang berasal dari Ipoh, Perak. Remaja berusia 20 tahun itu kelihatan bersemangat untuk melaksanakan ujian berkaitan memperbaiki sistem penyerap hentakan (absorber) kereta.

Hari itu, Gogulakrishnan diberi peluang membaiki kerosakan absorber bahagian depan kereta Proton Waja 1.6 berwarna perak.

Meskipun tidak mempunyai keputusan akademik yang cemerlang, namun anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berjaya menunjukkan kemampuan dalam kerja-kerja berkaitan bidang automotif. Kini, dia merupakan pelajar Sijil Kemahiran Automotif Tahap II di Pusat Latihan Kemahiran Septronic (SSTC).

"Saya seronok mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan di sini. Walaupun saya pernah gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi, peluang belajar di SSTC boleh menjadikan saya individu yang berdikari.

"Tambahan pula, sejak di sekolah saya memang meminati bidang automotif. Justeru, apabila melihat terdapat kursus kemahiran automotif turut ditawarkan di pusat ini, saya tidak teragak-agak untuk mengikutinya," kata Gogulakrishnan kepada Kosmo! ketika ditemui di kampus utama SSTC yang terletak di Bukit Beruntung, Selangor.

Menurut Pengarah Urusan SSTC, Abdul Rashid Nopiah, antara objektif utama pusat tersebut diwujudkan adalah untuk membantu dan mendorong pelajar yang lemah dalam akademik agar dapat menguasai kemahiran tertentu sekali gus mampu bersaing di pasaran kerja.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 2003, SSTC telah melahirkan 1,200 pelatih yang berkualiti dan berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang kemahiran masing-masing sama ada dalam sektor awam mahu pun swasta," jelas beliau sambil memberitahu pusat tersebut mendapat akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia sejak 2 Januari 2003.

Apa yang pasti, SSTC mempunyai visi untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan latihan dalam kejuruteraan dan hospitaliti. Institusi itu juga berazam melahirkan pelatih yang berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

Terdapat enam kursus kemahiran yang ditawarkan SSTC iaitu automotif, pengetuk panel kenderaan rendah, penyembur cat, elektrikal, pastri dan penyelia makanan atau minuman (pramusaji).

Setiap kursus mempunyai tiga tahap dengan bagi Sijil Kemahiran Tahap I dan II, tempoh pembelajaran mengambil masa selama enam bulan manakala Sijil Kemahiran Tahap III dalam tempoh setahun.

Pengetua SSTC, Sugunadevi Arjunan, 48, berkata, pengambilan pelajar bagi mengikuti kursus yang ada dilakukan sebanyak empat kali setahun.

Uniknya, mereka bukan sekadar menyasarkan pelajar dalam kalangan remaja lepasan sekolah untuk mengikuti kursus tersebut, bahkan golongan ibu tunggal atau individu menganggur yang mahu mempelajari kemahiran yang diminati juga amat dialu-alukan.

"Dalam aspek ini kami bersikap terbuka kerana mahu memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu mengembangkan bakat dan potensi diri untuk masa depan yang gemilang.

"Malah, SSTC boleh dianggap sebagai alternatif utama bagi mereka yang lemah atau tidak berminat menyambung pelajaran dalam bidang akademik," ujar Sugunadevi yang memainkan peranan penting dalam mengasaskan penubuhan SSTC sebagai respons terhadap kekurangan profesional teknikal terlatih dalam industri vokasional.
PUSAT ini mengalu-alukan ibu tunggal atau individu menganggur untuk mempelajari kemahiran yang diminati di sini.

Sejarah penubuhan
Pada mulanya Septronic hanya menawarkan kursus Mekanik Kenderaan Motor pada tahun 2003 di Selayang, Selangor dengan 13 pelajar perintis.

Dua tahun kemudian, lokasi pusat tersebut berpindah ke Jalan Ipoh di Kuala Lumpur apabila satu lagi kursus tambahan iaitu elektrikal diwujudkan.

Di samping itu, apabila menyedari industri pelancongan Malaysia semakin berkembang dan permintaan terhadap kakitangan dalam penyediaan makanan dan minuman (F&B) dan kursus pastri meningkat, Sugunadevi terus mengambil langkah proaktif memulakan kursus-kursus berkaitan.

Keadaan itu mendorong beliau untuk mencari lokasi yang lebih sesuai di Sentul Raya bagi menyediakan pembelajaran yang kondusif buat pelajar yang mengikuti kursus kemahiran di bawah kelolaan SSTC.

"Tahun lalu, SSTC berpeluang menjalin kerjasama dengan syarikat dari Amerika Syarikat, ICAR International untuk menjalan kursus pengetuk panel dan penyembur cat yang secara tidak langsung meluaskan lagi skop pembelajaran kemahiran di sini," katanya yang berhasrat menjadikan SSTC sebagai pusat sehenti bagi kursus-kursus kemahiran.

Kampus utama SSTC di Bukit Beruntung ini baru sahaja beroperasi sejak dua bulan lalu. Ia mempunyai pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gelanggang badminton, futsal, sepak takraw, perpustakaan, surau dan kafe.

Mereka yang berminat mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan di SSTC turut diberi kemudahan penginapan di apartmen yang terdapat di kampus tersebut.

Tenaga pengajar pula terdiri daripada golongan profesional yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Antaranya seperti guru dari Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pusat Latihan Pengajar & Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan mereka yang terlibat dalam industri berkaitan.

Untuk maklumat lanjut mengenai SSTC layari laman web www.septronic.edu.my atau hubungi talian 03-4045 2468.

Peringkat-peringkat manusia yang berbicara

Di antara keistimewaan yang Allah Taala anugerahkan kepada manusia ialah manusia itu dapat berbicara.

Manusia berbicara melalui perantaraan lidahnya. Melalui lisanlah manusia menterjemah apa yang didapat oleh akalnya, apa yang dirasa oleh hatinya, apa yang dirasa oleh sentuhannya, baik sentuhan lidahnya, tangannya, kakinya dan lain-lain lagi, juga apa yang dirangsang oleh nafsunya.

Seterusnya menterjemahkan apa yang dilihat, apa yang ada di atas permukaan bumi maupun yang di bawah permukaan bumi, dari daratannya, lautannya, sungai-sungainya, bukit-bukitnya, gunung-gunungnya, manusia, hewan, jamadat (benda mati) dan tumbuhan.

Ia juga menterjemahkan keyakinan manusia bercorak agama yang bersifat maknawi dan rohani tentang segala persoalan alam ghaib dan lain-lain sebagainya.

Dari apa yang diterjemahkan oleh manusia melalui lidahnya yang keluar berbentuk percakapan, yang bersifat, lafaz, perkataan-perkataan, istilah-istilah, maka tersebarlah berbagai-bagai informasi yang menjadi ilmu dan pengalaman untuk manusia.

Gabungan informasi yang disampaikan oleh lidah, berbagai-bagai golongan dan peringkat manusia kemudian disambung pula melalui alat-alat, wasilah-wasilah penyebar yang canggih. Maka berkembang dan tersiarlah ilmu pengetahuan di berbagai bidang dengan merata hingga informasi yang berisi ilmu pengetahuan itu dapat dimiliki oleh manusia.

Dengan demikian, lidah?yang dapat bercakap menterjemahkan apa yang dilihat, didengar, disentuh, dirasa, dan dapat menterjemahkan seluruh kehidupan yang berbagai bentuk dan sifat itu?sangat memberi pengaruh kepada manusia baik positif ataupun negatif, baik itu memberi faedah atau merusakkan dan memudaratkan manusia, baik itu menguntungkan atau merugikan, bahkan dari lidah lahir sejuta satu kebaikan atau sejuta satu kejahatan.

Kalau seperti itu kedudukan lidah, tiap orang mesti berhati-hati menggunakan lidahnya. Tiap orang tidak boleh menggunakannya sesuka hati, dengan kata lain, orang yang hendak berbicara haruslah berpikir lebih dulu sebelum berbicara. Jangan sebarang bicara, jangan terlalu mudah hendak berbicara. Jangan main cakap saja karena ia dapat menjadi racun atau menjadi madu kepada masyarakat, dapat menjadi peluru atau dapat menjadi air, dapat benar, dapat palsu, dapat memperpadukan orang atau memecahbelahkan orang, mendamaikan orang atau memporak-porandakan orang, menyejukkan hati, memanaskan hati, menghiburkan hati atau menyakitkan hati, memuliakan orang atau menghinakan orang, memberi iman atau memberi kekufuran, membawa pahala atau dosa, membawa kabar gembira atau kabar dukacita, memberi ilmu atau membual dan lain-lain lagi.

Justru itu Islam mengingatkan barang siapa yang hendak bercakap harus berhati-hati. Berkata Hadis:

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Akhirat hendaklah ia berbicara baik atau diam saja."

Orang-orang yang berbicara itu karena watak, bakat, tabiat, IQ, kemampuan, kebolehan, bidang-bidang ilmu yang dimiliki, pengalaman, dan tujuan yang tidak sama maka manusia yang bercakap itu dapat kita kategorikan sebagai berikut:

1. Golongan bicara tak tentu arah
Orang yang jika berjumpa orang lain, asyik berbicara tak henti-henti, non-stop, tepat atau tidak, betul atau tidak, penting atau tidak penting, berfaedah atau tidak, sesuai atau tidak, orang suka atau tidak, melenceng atau tidak, patut atau tidak, mengandung ilmu atau tidak dia tidak peduli. Berdosakah atau berpahala tidak dia persoalkan, dia memborong cakap itu semua. Inilah golongan yang bicara tak tentu arah.

2. Golongan peramah
Orang yang jika bertemu siapa pun dia mudah bercakap-cakap, bertegur sapa, bertanya kabar, berkenalan, tanya nama, dari mana dan hendak ke mana, dia suka bercakap perkara-perkara yang perlu yang kira-kira sesuai dengan keadaan dan kedudukan orang itu,dan dia pun suka mendengar orang itu. Perbincangan atau percakapan itu dapat berlaku dua arah. Inilah golongan peramah atau pecakap.

3. Golongan tukang cakap
Orang yang apabila jumpa orang lain, kerjanya berbicara tak henti-henti. Ada saja yang dibicarakannya, ada saja modal untuk dia bercakap. Dapat berbicara berjam-jam, lepas satu perkara, satu perkara pula, lepas satu topik, satu topik pula tidak jemu-jemu bercakap dan dia tidak pikir orang jemu atau tidak. Bicara tanpa batas, tapi tidak pula sampai bicara perkara yang bukan-bukan, tidaklah melenceng. Inilah dia golongan tukang cakap.

4. Golongan yang ada cita-cita perjuangan
Orang yang apabila berjumpa orang, dia akan bicara yang perlu saja. Bercakap yang mengandung ilmu dan didikan. Percakapan yang menyadarkan dan menginsafkan, percakapannya mengandungi cerita-cerita suri tauladan, iman, hukum-hakam, pengajaran, isu-isu terkini yang diulas secara tepat agar mengandung pelajaran dan hikmah. Bicara yang mengandung nasihat yang berguna, cerita-cerita perjuangan. Inilah dia golongan ahli agama yang ada cita-cita.

5. Golongan pendiam
Orang yang apabila bertemu orang dia tidak suka bercakap, dia lebih suka mendengar. Dia bercakap sepatah-sepatah, dibatas-batasi, bukan karena benci, tapi sudah menjadi tabiat dan watak dari lahir. Biasanya orang begini adalah orang yang mempunyai sifat malu kuat atau orang tidak yakin pada diri sendiri, di sini dia banyak diam daripada bercakap. Ini dinamakan golongan pendiam.

6. Golongan sombong
Orang yang bila berjumpa orang memang tidak suka bercakap kalau bukan kawan, dia tidak suka bercakap karena benci saja dengan orang, biasanya orang begini karena ada kedudukan, mungkin ada pangkat, ilmu, harta kekayaan, atau ada nama. Kalau dia bercakap sekali-kali saja, kasar saja bunyinya, bertanya yang bukan-bukan, menyindir-nyindir, pantang diberikan pandangan, dia akan meninggikan suara, bercakap mengenai kelebihan dirinya. Inilah dia golongan yang bercakap sombong.

7. Golongan biasa
Orang yang berjumpa orang, bercakap yang perlu-perlu, bercakap perkara-perkara biasa, tidak terlalu berlebih-lebihan dan tidak pula kurang, bercakap yang mudah, hal-hal kehidupan biasa, secara natural. Inilah golongan percakapan orang biasa.

8. Golongan yang suka memperdaya
Orang yang bila bercakap dengan orang di manapun, lebih-lebih lagi kalau orang tidak kenal dia, maka dia akan bercakap. Dia membawa perkataan-perkataan yang manis-manis, bercakap tentang dirinya, usaha-usahanya, kelebihannya dan kemampuannya, kemajuan-kemajuan yang dibuat, mungkin mengajak kerja sama di dalam usaha-usahanya. Membawa cakap-cakap yang meyakinkan orang kepadanya dengan tujuan untuk kepentingan dirinya mungkin inginkan pengaruh, sokongan, duit dan hartanya. Cakap-cakapnya membuat orang terpesona. Inilah golongan yang bercakap memperdaya.

9. Golongan fasih bercakap
Orang yang berbicara fasih, bahasa tersusun dan begitu jelas, perkataan yang diucapkan begitu menarik, bahasanya menggunakan perkataan yang standar, dengan jalan bahasa yang tepat dan betul, dengan menggunakan istilah-istilah yang begitu menarik, di samping isinya padat dan bernas. Terpesona orang yang mendengarnya. Inilah golongan orang yang fasih bercakap.

10. Golongan tunjuk pandai
Orang yang jika bercakap dengan orang, apa saja orang hendak bicarakan dia mesti ikut campur memperkatakannya. Apa saja isu yang dibincangkan dia mesti ikut menyambar walaupun adakalanya dia tidak paham kedudukannya, dia mencoba bicara juga seolah-olah dia paham dari orang lain atau paling tidak supaya orang anggap dia juga paham seperti orang lain paham. Apa saja yang orang tanyakan, dia mesti menjawabnya walaupun tidak tepat. Namun tidak mau mengaku tidak tahu. Dia akan bicara apa saja agar orang menganggap dia tahu semua hal. Inilah golongan orang yang bercakap untuk pamer dirinya pandai.

11. Golongan bercakap kotor
Ada orang yang apabila dia bercakap, walau apa pun topiknya atau apa saja isu yang dibincangkan, pasti dia selipkan perkataan-perkataan porno. Atau, kata-kata dan ibarat-ibarat yang dibawa atau dijadikan penyedap dan bumbu percakapan ialah perkataan-perkataan yang dapat menaikkan nafsu; atau perkataan-perkataan itu menjadikan para pendengarnya teringat pada perempuan, terbayang hubungan cinta. Bahkan pada sebagian orang, hingga dalam ceramah-ceramah agama atau majelis dakwah pun mereka sengaja mencari-cari peluang untuk memasukkan dan menyelipkan perkataan-perkataan yang berunsur nafsu atau seks di dalam pendekatan dakwahnya atau ceramahnya. Orang banyak pun turut senang mendengarnya lebih-lebih lagi di dalam majelis itu banyak kaum ibu, lebih lumrah lagi perkataan itu diselip-selipkan. Inilah dia golongan bercakap kotor.

Selain di atas, di antara peringkat-peringkat manusia yang berbicara ialah:
Yang bicara seperlunya saja.
Berbicara karena terpaksa.
Berbicara karena kewajiban.
Tidak suka berbicara.
Berbicara yang sengaja dibatasi karena menjaga status.
Berbicara yang menggoda.

Air radioaktif tinggi bocor


TOKYO - Air beradioaktif tinggi didapati bocor dari sebuah reaktor di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi, timur laut Jepun.

Pengumuman itu dibuat Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) yang mengendalikan loji jana kuasa yang membekalkan tenaga elektrik itu semalam ketika pertubuhan alam sekitar, Greenpeace memberitahu, ia mengesan kadar radiasi tinggi di luar zon perpindahan dekat kawasan loji.

Menurut TEPCO, radiasi berbahaya kepada manusia melebihi bacaan 1,000 milisievert sejam ditemui di dalam air di dalam beberapa terowong bawah tanah yang digunakan untuk mengalirkan air keluar dari reaktor nuklear.

Jumlah radiasi itu, kata pakar-pakar boleh menyebabkan pendarahan dalam badan manusia.

Sebelum ini, pekerja-pekerja kecemasan menyembur reaktor-reaktor nuklear Fukushima Daiichi untuk menyejukkan ia dengan menggunakan beribu-ribu tan air laut yang dipam dari sejumlah jentera bomba dan trak.

Beberapa pegawai TEPCO berkata, terowong-terowong bawah tanah itu tidak bersambung ke laut tetapi terdapat kemungkinan air tercemar radiasi itu diserap ke dalam tanah.

Pencemaran itu berlaku akibat sebahagian batang-batang bahan api nuklear di salah sebuah reaktor nuklear itu mencair selepas sistem penyejukan loji berkenaan rosak.

Sistem penyejukan loji Fukushima Daiichi yang terletak 240 kilometer ke utara kota ini, rosak dalam kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.

Setakat ini, angka rasmi menunjukkan lebih 27,000 orang mati dan hilang di bahagian timur laut Jepun, kawasan paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami.

Sementara itu, Greenpeace menyatakan, pakar-pakarnya mengesahkan bawah kadar radiasi hingga 10 mikrosievert sejam dikesan di sebuah kampung yang terletak 40 kilometer ke barat daya loji Fukushima Daiichi, iaitu melangkaui zon perpindahan dalam lingkungan 20 kilometer.

"Adalah tidak selamat untuk orang ramai tinggal di Iitate (kampung tersebut) terutamanya wanita hamil dan kanak-kanak kerana kampung ini menerima radiasi menyamai setahun dalam masa beberapa hari sahaja," kata Greenpeace dalam satu kenyataannya.

Para pekerja kini berusaha untuk membasmi ratusan tan air yang tercemar dari beberapa buah bangunan di loji jana kuasa itu. - Agensi
GAMBAR yang dirakamkan pada 27 Mac lalu menunjukkan reaktor No.4 yang rosak teruk di loji jana kuasa Fukushima Daiichi di timur laut Jepun.



Monday, March 28, 2011

Radiasi semakin banyak dilepaskan

Lebih ramai penduduk Fukushima pindah

TOKYO: Paras radioaktif di perairan berhampiran loji nuklear Daiichi, Fukushima semakin meningkat semalam, dua minggu selepas ia mengalami kebocoran akibat gempa bumi 9 skala Richter disusuli ombak tsunami.
pix_gal0


Seramai 700 jurutera bertungkus-lumus mengepam air radioaktif dari loji yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo, bagi menstabilkannya selain menggerakkan semula pam air bagi menyejukkannya. Ada pihak mengesyaki reaktor itu bocor selepas tentera Amerika Syarikat turut membantu usaha menyejukkannya.

Agensi keselamatan nuklear berkata, ujian menunjukkan tahap iodin radioaktif melonjak ke paras 1,250 kali lebih tinggi berbanding kadar normal di sekitar kawasan perairan di loji berkenaan.

Perkembangan terbaru di loji dan radiasi itu menyebabkan pihak berkuasa kini menggerakkan operasi memindahkan penduduk dalam lingkungan 20 hingga 30 kilometer dari loji nuklear berkenaan.

Selain itu, di Tokyo, bandar 13 juta penduduk, mencatat tahap radiasi 0.22 mikrosievert sejam, enam kali ganda paras normal. 

Ia masih dalam kategori normal Persatuan Nuklear Dunia iaitu 0.17 hingga 0.39 mikrosievert sejam.

Tetapi, seorang pegawai di Kementerian Sains mengesahkan bahawa tahap radiasi harian di kawasan 30 kilometer ke barat laut loji berkenaan, paras melebihi had setahun.

Begitupun, pegawai kanan dari Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear Jepun, Hideko Nishiyama berkata, pencemaran yang berlaku memberi risiko kecil kepada kehidupan laut.

“Arus lautan akan memecahkan zarah radioaktif dan menjadi sangat cair ketika dimakan oleh ikan atau hidupan laut lain,” katanya.

Nishiyama berkata, pihaknya sedang berusaha mencari jalan untuk menulenkan air di kawasan laut di situ agar tidak menjejaskan alam sekitar.

Air mengandungi sisa radioaktif ditemui di dalam bangunan yang menempatkan tiga daripada enam reaktor yang terjejas di loji berkenaan.

Khamis lalu, tiga pekerja melecur di reaktor nombor 3 selepas terdedah kepada paras radiasi 10,000 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal di loji terbabit.

Reaktor ini adalah satu-satunya menggunakan campuran plutonium dan uranium. Plutonium adalah isotop radioaktif paling bahaya.

Tidak hairanlah, di sebalik jaminan pihak berkuasa, perkembangan terbaru meningkatkan kebimbangan ke atas eksport makanan laut Jepun.

Krisis nuklear di loji Daiichi Fukushima, kini membayangi usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami yang melanda Jepun 11 Mac lalu dan menyebabkan lebih 27,500 orang terbunuh atau hilang.

Ada negara sudah mengeluarkan larangan ke atas susu dan keluaran hasil pertanian dari wilayah di sekitar loji itu. –Reuters/Agensi

Jangan Jadi Si Tanggang


Balaslah jasa ibu bapa yang tiada tandingannya membesar, mendidik kita sehingga berjaya

TANGAN yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia. Itulah pepatah yang menggambarkan peranan ibu sehingga boleh mempengaruhi kehidupan di dunia. Didikan ibu mampu menghasilkan anak yang gah di mata masyarakat dan boleh mencorakkan dunia.

Walaupun mempunyai peranan besar, ibu sering dipinggirkan. Bukan saja peranannya dilupakan, malah ibu itu sendiri ada kalanya langsung tidak dihiraukan anak.

Segala jasa dan pengorbanan begitu mudah dinafikan sehingga ada ibu yang berendam air mata mengenangkan anak di perantauan. Benarlah kata orang tua, seorang ibu boleh melahir dan membesarkan 10 anak, tetapi 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.

Atas alasan sibuk bekerja ada anak tidak mampu menjaga ibu yang sudah tua. Pelbagai alasan diberi bagi mengelak tanggungjawab ini. Walau setinggi manapun jawatan, kita tetap anak seorang ibu. Lazimnya, kesibukan bekerja menggoyahkan institusi keluarga serta ikatan kasih sayang antara ibu dan anak. Mempertahankan institusi keluarga penting kerana ia mempunyai impak besar kepada pembangunan negara. Jika punah institusi keluarga, hancurlah masa depan negara.

Untuk itu, Islam menggariskan tanggungjawab anak secara menyeluruh. Sejak awal anak ditegah mengeluarkan kata kesat terhadap ibu bapa. Mengherdik apatah lagi mendera orang tua adalah dosa besar.

Firman Allah bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan jika seorang atau kedua-duanya sudah tua, maka janganlah kamu berkata kepada mereka ‘Oh!’ dan jangan kamu menengking, mengherdik mereka tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan mulia dan hendaklah kamu merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayang dan doakanlah: Wahai Tuhanku cucuri rahmat kepada mereka seperti mereka mencurahkan kasih sayangnya, memelihara dan mendidikku ketika kecil.” Surah al-Isra’, ayat 23-24 

Ibu bapa sebenarnya mempunyai hak terhadap anak apabila mereka tidak berupaya menyara kehidupan. Begitu juga ibu atau bapa yang sakit memerlukan perhatian anak. Inilah peluang diberi Allah kepada anak bagi membalas jasa orang tua iaitu melayan dan membantu mereka pada saat getir.

Budaya menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua bukan norma dalam masyarakat Melayu Islam. Biar apapun alasannya, tempat ibu bapa khususnya yang uzur adalah di sisi anak. Tiada apa yang dapat menandingi jasa ibu bapa membesar dan mendidik anak sehingga berjaya. Kejayaan di dunia harus dijadikan jambatan kepada kejayaan di akhirat kelak. Hakikatnya merekalah teras di sebalik setiap kejayaan anak. Ingatlah wahai anak, sementara ibu bapa masih lagi, berilah khidmat terbaik supaya kamu tidak menyesal kerana tidak berbuat demikian.

Sebelum terlambat, gunakanlah ruang dan peluang yang ada bagi menebus segala kesilapan. Tiada ibu bapa yang tidak memaafkan anak mereka. Kisah Si Tanggang yang disumpah ibunya menjadi batu kerana menderhaka cukup menjadi sempadan buat kita semua.

Namun sebenarnya, masih ramai si Tanggang moden pada masa ini. Hanya kerana mengejar kekayaan, ibu bapa langsung tidak di jenguk. Makan minum dan sakitnya tidak diambil perhatian. Setiap Muslim wajib berbakti kepada orang tuanya. Rasulullah bersabda: “Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.” (Riwayat Khatib dan Annas)

Dalam riwayat lain, Rasulullah bersabda: “Ketahuilah olehmu bahawa baik harta, badan, mahupun jiwa ragamu adalah hak atau milik orang tuamu.” Jelaslah Islam begitu menghargai peranan ibu. Marilah sedekahkan fatihah kepada ibu yang sudah mendahului kita.

Berita Harian

Kawal Selera Makan


Amalan makan buah-buahan sebelum hidangan bantu kurang berat badan, hindari penyakit

MAKAN buah-buahan sebelum makan makanan berat adalah tabiat yang baik, tetapi yang lazimnya berlaku, buah sering dijadikan sajian pencuci mulut atau hidangan terakhir selepas makanan utama.

Hakikatnya, mendahulukan buah-buahan adalah baik berdasarkan konsep mengalas perut kerana ia tidak menjejaskan kepadatan tenaga makanan dan pengambilan tenaga menyeluruh biarpun seseorang itu dalam fasa menyekat pengambilan kalori.

Malah, ada bukti klinikal yang menunjukkan bahawa penurunan berat badan yang ketara dapat dicapai bila individu dapat mengalas perut dengan tenaga yang rendah kepadatannya (misalnya buah) sebelum makan makanan utama.

Menurut Pakar Khidmat Diet dan Pemakanan Hospital Columbia Asia Cheras, Cindy Chua Shiu Sinn, buah-buahan dapat membantu individu mengisi perut selain mengurangkan jumlah suapan sepanjang waktu makan.

“Pada masa kini, kurang kajian yang dijalankan bagi menyelidik hubungan secara langsung antara pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan berat badan. Namun, dalam kajian pengurusan penyakit kronik, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dianggap sebagai bahagian penting dalam pengurusan penyakit secara keseluruhan (termasuk penurunan berat badan dan untuk tujuan penyelenggaraan berat badan),” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Individu tidak boleh menyekat apa yang mereka ambil berdasarkan kalori semata. Dan rasa kenyang adalah satu alasan untuk seseorang berhenti makan.
Kata Chua, pada tahap kalori yang sama, kepadatan makanan bertenaga rendah seperti buah-buahan, menyediakan jumlah makanan yang lebih besar. Ini dapat membantu seseorang merasa cepat kenyang semasa makan sambil mengambil jumlah kalori yang lebih rendah.

“Air dan serat boleh meningkatkan jumlah makanan dan mengurangkan kepadatan tenaga. Dalam keadaan semula jadi, buah-buahan mempunyai kandungan air dan serat yang tinggi. Oleh itu, buah adalah sumber baik yang rendah dalam kalori dan kepadatan tenaga,” katanya.

Jelas Cindy, penyelidikan menunjukkan bahawa buah-buahan boleh meningkatkan rasa kenyang terutama bila diambil secara menyeluruh. Jika dibandingkan secawan 250 mililiter jus oren yang menyediakan 88 kalori dengan buah oren dengan hanya 37 kalori, lebih baik dimakan buah oren yang juga mengandungi lebih banyak lagi serat dan mampu mengenyangkan.

“Semua jenis buah-buahan boleh diambil sebelum makanan berat tetapi sebaik-baiknya buah yang segar. Serat dapat mendorong bahan makanan tadi melalui sistem pencernaan dan memberikan jumlah yang konsisten setiap kali membuang air,” katanya.

Bagaimanapun, kata Chua, sebelum makan makanan berat, elakkan makanan yang ada kepadatan tenaga yang tinggi yang biasanya merujuk makanan tinggi lemak atau gula. seperti makanan manis, hidangan makanan segera dan gula-gula.

INFO: Khasiat buah-buahan

  Sumber baik untuk sistem pencernaan kerana kaya serat.

  Perlu diambil sekurang-kurangnya 30 gram serat sehari.

  Bantu kurangkan risiko penyakit termasuk jantung atau kanser usus. 

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails