Saturday, October 9, 2010

Musim Haji Datang lagi





Padang Arafah

Mengerjakan haji merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Setiap orang Islam yang mempunyai kemampuan, diwajibkan mengerjakan haji sekali seumur hidup. Firman Allah Taala :

(ولله على الناس حج البيت من استطاع إليه سبيلا ومن كفر فإن الله غني عن العالمين)

Artinya: "Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) pergi mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barangsiapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam)." - (Wikipedia)

MUSIM haji tiba lagi dan jika mengikut jadual, penerbangan pertama membawa jemaah Malaysia ke Tanah Suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berlepas kira-kira jam 1.30 pagi tadi (Sabtu 09/10/10).

Bermula dengan keberangkatan pertama itu, kemeriahan musim haji 1431 Hijrah bukan saja dirasai jemaah yang bakal berkampung di tanah haram terletaknya Baitullah, perasaan teruja turut dirasai umat Islam baik yang sudah bergelar haji dan hajah atau masih menyimpan hasrat untuk ke sana.

Sejak disyariatkan haji pada tahun keenam hijrah (mengikut haul yang masyhur), Rasulullah SAW bersama kira-kira 1,500 umat Islam berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardu haji tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana dihalang kaum Quraisy. Apabila termeterai Perjanjian Hudaibiah, ia membuka jalan bagi perkembangan Islam serta peluang untuk menunaikan umrah dan haji. Pada tahun ketujuh Hijrah, Rasulullah mengerjakan umrah bersama 200 umat Islam dan hanya pada tahun kesembilan Hijrah, umat Islam dapat mengerjakan haji.

Setiap tahun, Kaabah yang tingginya 15 meter dan luas kira-kira 120 meter persegi, terletak di tengah-tengah Masjidil Haram dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail menjadi tempat berhimpun berjuta umat Islam menyahut seruan Allah mengunjungi rumah-Nya.

Imam Abul Hassan Mawardi meriwayatkan, pada zaman Rasulullah SAW hingga ketika Saidina Abu Bakar diangkat menjadi Khalifah, Masjidil Haram tidak mempunyai dinding. Perluasan Masjidil-Haram bermula pada 638 Masihi oleh Saidina Umar ibn Khattab.
Beliau membeli rumah di sekeliling Kaabah dan diruntuhkan semua bagi tujuan perluasan dan usaha itu diteruskan Saidina Usman ibn Affan pada 647 Masihi. Pada 696 Masihi, cucu Saidina Abu Bakar bernama Abdullah ibn Zubair memperluaskan kawasan masjid dengan membeli gedung di sebelah timur dan selatan masjid.

Sementara di bahagian utara dan barat diperluaskan oleh Zaid bin Abdullah al-Harisi di bawah perintah Khalifah Bani Abbas, Abu Ja'afar al-Mansur. Pada 986 masihi, Harun Ar-Rashid memasukkan gedung Dar An-Nadwah ke dalam masjid dan membina pintu Bab Ibrahim di sebelah barat.

Dari semasa ke semasa, pelbagai usaha dilakukan untuk mengindah serta memperbaiki keadaan di Masjidil Haram sebagai kemudahan kepada jemaah yang datang untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Reka bentuknya kekal dari zaman Umawi, Abbasiah hingga dilakukan perluasan oleh kerajaan Arab Saudi kerana melihat Masjidil Haram bakal menampung pertambahan jumlah jemaah yang kian meningkat setiap tahun.

Fasa pertama pembesaran Masjidil Haram pada era moden bermula pada 1955 atas arahan pengasas Arab Saudi, Raja Abdul Aziz. Pada 1988, Raja Fahd Abdulaziz Al-Saud mengarahkan pembesaran kawasan solat dari 152,000 kepada 356,000 meter persegi.

Projek pembesaran kali ketiga ini dilakukan di bawah kepemimpinan Raja Abdullah Abdul Aziz di bawah tanggungan penuh Kerajaan Arab Saudi membabitkan pertambahan masjid dan kompleks yang menempatkan kedai di barat Masjidil Haram.

Menariknya, projek pembesaran kali ini turut membabitkan Malaysia secara tidak langsung apabila Pensyarah Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen, dipilih sebagai ahli Panel Antarabangsa Pembesaran Masjidil Haram bersama lima yang lain dari Turki, Arab Saudi, Algeria dan dua dari Lubnan.

Menurut beliau, pelan pembangunan pembesaran Masjidil Haram direka bentuk dengan mengambil kira konsep mapan, pembangunan kerohanian, sejarah dan kapasiti selain mengambil kira kesesuaiannya supaya memenuhi keperluan pada waktu puncak dan musim umrah.

Laman web Kementerian Haji Kerajaan Arab Saudi memaklumkan, teknologi moden digunakan untuk kemudahan jemaah haji kerana keselamatan dan keselesaan jemaah memang menjadi keutamaan pihak berkuasa.

Antaranya, lantai dibuat khas daripada jubin tahan panas dan bagi memastikan jemaah lebih selesa, keseluruhan struktur yang ditambah disejukkan oleh unit penghawa dingin terbesar di dunia.

Pergerakan jemaah ke kawasan bumbung masjid juga dimudahkan dengan tambahan tangga elektrik bersebelahan sebagai tambahan kepada tangga sedia ada di bahagian utara dan selatan bangunan.

Bagi mengurangkan kesesakan trafik di sekeliling Masjidil Haram, projek pembangunan turut membina terowong baru untuk kenderaan di sekitar Alsouk Alsagir. Laluan pejalan kaki dan terowong dibina mengambil kira keselamatan jemaah.

Rujukan : BH

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails