MADINAH Al-Munawwarah adalah kota suci kedua Islam selepas Mekah Al-Mukarramah. Terletak di sebelah utara kota Mekah. Ia berada di atas ketinggian 625 meter dari paras laut.
Batas Tanah suci Madinah adalah di antara Jabal 'Iyr di sebelah selatan dan Jabal Thawr di sebelah utara. Jaraknya lebih kurang 16 kilometer. Di sebelah timur dan barat disempadani dengan dua batuan hitam dipanggil Harrah Syarqiah dan Harrah Gharbiyah.
Sejarah Madinah
Kota Madinah pada asalnya dikenali dengan nama Yathrib sempena orang yang membuka kota ini, iaitu Yathrib ibnu Ubayl Ibnu 'Iwadh berketurunan dari Nabi Nuh a.s. melalui anaknya Sam ibnu Nuh.
Selepas itu 'Amalek Bani Imlak telah membuka penempatan dan ladang.
Dari sebuah penempatan kecil, Yathrib berkembang menjadi sebuah kota dan didiami oleh dua bangsa utama iaitu Yahudi dan Arab.
Bangsa Yahudi terdiri dari tiga puak utama Bani Qainuqa', Bani Nadhir dan Bani Qurayzah.
Mereka menguasai ekonomi kota Yathrib ini. Sementara itu bangsa Arab pula terdiri dari suku Aus dan Khazraj. Mereka selalu bertelagah sesama sendiri sehingga kedatangan hamba Allah yang Mulia ke kota mereka.
Hijrah Rasulullah SAW
Ketika Rasulullah sampai di Quba' sebuah tempat di selatan Madinah baginda berhenti di rumah Kalthum Ibnu Hidam dan baginda membangunkan Masjid di sana.
Masjid ini kemudiannya diberi nama Masjid Quba' dan ia merupakan masjid yang pertama didirikan oleh Rasulullah SAW.
Setelah Rasulullah SAW berkampung di sana selama tiga hari , baginda kemudiannya bertolak ke Madinah. Kebetulan hijrah Rasulullah SAW itu pada hari Jumaat, apabila masuk waktu zuhur Rasulullah solat di suatu tempat dan terbinanya masjid yang dikenali sebagai Masjid Jumuah.
Apabila Rasulullah tiba di Kota Madinah dengan menunggang untanya, orang ramai berebut-rebut memegang tali untanya. Namun baginda dengan penuh adab sopan dan diplomasi meminta mereka membiarkan unta tunggangannya bergerak bebas dan memilih tempat perhentiannya sendiri.
Baginda telah berhenti di atas sebidang tanah tempat mengeringkan buah tamar yang dimiliki oleh dua orang anak yatim peliharaan As'ad ibnu Zurarah. Anak yatim itu bernama Sahlun Ibnu Amru dan Suhaiyl ibnu Amru.
As'ad ibnu Zurarah telah memberikan tanah tersebut sebagai hadiah kepada Rasulullah SAW tetapi baginda menolaknya. Baginda membeli tanah tersebut dengan harga 10 dinar dan dibayar oleh Abu Bakar al-Siddiq.
Rasulullah kemudiannya menjadi tetamu Abu Ayyub Khalid ibnu Zayd al-Ansari. Rumahnya terletak betul-betul di hadapan tanah tersebut. Hampir setahun Rasulullah SAW menetap di sana.
No comments:
Post a Comment