Sunday, October 10, 2010

Haji mabrur jihad paling utama


SEMUA jemaah yang melakukan ibadat haji pasti mengidamkan haji mabrur. Persoalannya, bagaimanakah kita memperolehnya?

Bagi menjawab persoalan ini Ustaz Zahazan Mohamed menyatakan:

ISTILAH haji mabrur tidak ada dalam al-Quran. Tetapi ada dinyatakan dalam beberapa hadis dan yang paling masyhur adalah; “Tidak ada ganjaran bagi haji mabrur kecuali syurga.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi yang selengkapnya adalah; “Ikutkanlah antara haji dan umrah kerana kedua-duanya menghapuskan dosa, seperti kipas angin menerbangkan kotoran besi, emas dan perak. Tidak ada (ganjaran) bagi haji mabrur kecuali syurga. Tidak seorang mukmin pun sepanjang hari berada dalam keadaan berihram kecuali dosanya terbenam bersama matahari.” (Riwayat al-Tirmizi melalui Ibnu Mas’ud)

Maksud pelaksanaan ibadat haji menghapuskan dosa iaitu bebas dari dosa seperti saat dilahirkan sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Siapa yang mengerjakan haji dan ia tidak melakukan rafath (ucapan lucah) serta tidak berbuat fasiq (maksiat), maka ia akan kembali seperti saat dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Haji mabrur juga disebut dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ya Rasulullah, menurut kamu jihad itu adalah amalan paling utama. Kalau begitu tidaklah kami akan berjihad? Nabi SAW bersabda: Bagi kamu sekalian ada jihad yang lebih utama ialah haji yang mabrur.”

Manakala hadis daripada Abu Hurairah pula menyebut: “Rasulullah SAW ditanya mengenai amal yang paling utama. Maka Baginda bersabda: Iaitu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Orang itu bertanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab; “berjihad (berjuang) di jalan Allah.” Yang lain bertanya lagi, “Setelah itu apa lagi?” Rasulullah SAW menjawab; “Haji yang mabrur.”

Dari segi bahasa, kalimah mabrur (mabrur) diambil daripada kata akar barra, yang mempunyai banyak makna. Antara lain iaitu syurga, benar, diterima, pemberian, keluasan dalam kebajikan. Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai pengertiannya.

Dalam kitab Nayl al-Authar, al-Syawkani, mengemukakan pendapat Ibnu Khalawayh bahawa haji mabrur adalah yang diterima Allah SWT (maqbul). Ulama lain berpendapat haji mabrur adalah haji yang tidak dinodai dosa. Pendapat ini dipilih dan dikuatkan oleh Imam al-Nawawi.

Dalam Fiqh al-Sunnah, Sayid Sabiq menyatakan haji mabrur adalah haji yang tidak dinodai dosa. Dalam kitab Fathul Allam, Shiddiq Hasan Khan menyebut, sebahagian berpendapat haji mabrur adalah haji yang diterima di sisi Allah dan sebahagian lagi berpendapat iaitu haji yang buahnya kelihatan pada pelaku dengan perubahan keadaannya selepas haji jauh lebih baik sebelum berhaji.

Kesimpulannya, makna haji mabrur seperti yang disebut al-Allamah al-Munawi dalam Faidhul Qadir adalah haji yang diterima, iaitu haji yang tidak bercampur dengan dosa apapun antara perubahan diterimanya adalah kembali melakukan kebaikan dan tidak kembali melakukan kemaksiatan.

Antara syarat memperoleh haji mabrur adalah pertama, dilakukan dengan ikhlas seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baiyinah ayat-4 yang bermaksud:
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”

Jauhilah perasaan sum’ah, riak dan seumpamanya agar ibadat yang dilakukan diterima Allah SWT.

Kedua, pastikan harta yang digunakan untuk ibadat halal kerana Allah SWT tidak menerima ibadat dengan menggunakan sumber yang haram.

Ketiga, berusaha melakukan ibadat haji mengikut cara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Keempat, tidak melakukan rafath (bercakap lucah), perkara fasik (maksiat) dan berbantah-bantah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang sudah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji, maka tidak boleh melakukan rafath, dan tidak boleh melakukan fasik (maksiat) dan tidak boleh bertengkar.”

Justeru hendaklah dilaksanakan dengan sempurna mengikut -hukumnya sehingga sempurna seperti yang dituntut dalam Islam.” Wallahua’lam.

Sumber : BH

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails