Berat telur dadar raksasa ini ialah 4.4 ton, memecahkan rekod lama 3.625 ton, perbezaannya hhampir satu ton. Setelah ditimbang, dadar ini dibahagikan kepada ribuan penonton yang tertarik dengan aromanya secara percuma.
Sunday, October 31, 2010
Telur Dadar Terbesar disediakan oleh chef Turki
Thursday, October 28, 2010
Tawaf
Oleh Tengku Aziz Raja Abdullah
Tawaf adalah amalan yang sangat penting dalam ibadat haji dan umrah. Ia merupakan rukun yang perlu dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
Jika tidak sempurna maka tidak sah tawaf sama ada tawaf haji atau umrah.
Jenis-Jenis Tawaf
Tawaf Rukun
Tawaf yang dilakukan untuk menyempurnakan rukun-rukun haji ataupun rukun umrah. Ada juga dikenali sebagai tawaf haji dan tawaf umrah.
Tawaf Qudum
Iaitu tawaf bagi jemaah yang masuk ke Mekah dan juga dikenali sebagai tawaf selamat datang. Ini adalah sebagai penghormatan kepada Tanah Haram iaitu dengan melakukan tawaf qudum. Tawaf qudum adalah sunat. Bagi jemaah yang masuk dengan melakukan umrah, tawaf umrah akan terjadi serentak dengan tawaf qudum.
Tawaf Sunat
Tawaf yang dilakukan bila-bila masa yang sesuai. Tawaf ini dikenali dengan tawaf sunat. Jika dilakukan dapat pahala, jika tidak dilakukan tidak mendapat pahala.
Tawaf ini dimulai dengan niat: "Sahaja aku melakukan tawaf sunat tujuh keliling di Baitullah Haram kerana Allah SWT". Tawaflah menurut syarat-syaratnya.
Tawaf nazar
Tawaf nazar ini dilakukan sekiranya jemaah atau seseorang itu bernazar untuk melakukan tawaf. Maka tidak dapat tidak mestilah sempurnakan nazar tersebut.
Contohnya: "Saya bernazar kalau dapat anak, saya ingin tawaf tujuh kali". Ia mesti laksana nazar tersebut dengan tujuh kali tawaf.
Tawaf tahiyatu al-bait
Tawaf ini bagi memberi penghormatan kepada Baitullah. Apabila jemaah masuk ke dalam Masjid Haram, disunatkan tawaf tahiyatu al-bait. Sekiranya tidak ada kesempatan masa boleh melakukan solat tahiyatul masjid.
Kesuntukan masa disebabkan waktu solat atau kesesakan semasa tawaf.
Tawaf tahallul
Tawaf yang dilakukan oleh seseorang jemaah yang melaksanakan haji.
Contohnya hajinya terbatal disebabkan oleh sesuatu (seperti jimak sebelum tahallul awal) mereka perlu juga tawaf. Tawaf inilah yang dikatakan tawaf tahallul.
Tawaf wada'
Tawaf yang dilakukan oleh jemaah sebelum mereka meninggalkan Mekah. Tawaf ini wajib dilakukan oleh setiap orang kecuali bagi mereka yang dikategorikan uzur/dikecualikan seperti di bawah :-
* Wanita yang datang haid/nifas atau istihadah.
* Kencing yang sentiasa keluar tak henti.
* Orang yang luka darah tidak terhenti keluar.
* Dipaksa meninggalkan tawaf.
* Takut kepada orang zalim.
* Takut ditinggal teman sepemergian.
* Takut kepada peminta hutang kerana tidak upaya.
Uruf (tempoh masa kebiasaan yang boleh menunggu kenderaan untuk meninggalkan Mekah selepas tawaf wada') adalah di antara tiga ke empat jam.
Perkara-perkara yang boleh dibuat selepas tawaf wada'
l Makan/minum sekadar keperluan.
* Qada' hajat dalam tandas bilik penginapan.
* Mengambil beg/barang yang diletak dalam bilik penginapan.
* Mencari keluarga yang hilang.
* Mencari harta yang hilang.
* Melawat atau membawa seorang yang sakit ke hospital.
* Membeli keperluan makanan/minuman sekadar keperluan perjalanan sahaja.
Mereka juga dikehendaki melakukan tawaf wada' apabila keluar Mekah melebihi dua marhalah (93 kilometer), atau meninggalkan kota Mekah untuk balik ke kampung dan menetap di sana walaupun kurang dua marhalah kena juga tawaf wada'.
Sumber : Bicara Agama
Jualbeli Semasa Haji
Tafsir Ayat: Jemaah boleh berurus niaga asalkan tidak jejas ibadah haji
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi - Berita Harian
2010/10/28
Matlamat utama disyariatkan ibadat haji supaya umat Islam menjana bekalan takwa menuju keredaan Ilahi, namun mereka tidak dilarang melakukan urusan perniagaan sepanjang berada di Makkah. Riwayat Abu Saleh Maula Umar (diriwayatkan oleh Ibnu Jabir) katanya: “Aku berkata (kepada Umar): Wahai Amirul Mukminin! Adakah anda sekalian berniaga pada musim haji? Jawab Umar: Bukankah mereka tidak mencari kehidupan mereka selain pada musim haji?”
Sesetengah ulama berpendapat, perniagaan ini jika dilakukan sehingga mengurangkan amalan ibadat hajinya, maka hukumnya adalah tidak dibenarkan. Tetapi jika tidak mengurangkan, hukumnya dibenarkan. Namun demikian, lebih utama hendaklah ibadat haji dipisahkan daripada kerja lain kerana ia afdal dan lebih sempurna.
Amalan wukuf di padang Arafah ialah perhimpunan besar manusia dari seluruh pelosok dunia ke padang yang satu di bawah terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi.
Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang dihadapi setiap manusia bagi dihisab segala amalan diri di padang Mahsyar kelak. Oleh itu, kita perlu menghisab diri dan bertaubat sebelum Allah pamerkan amalan di depan jutaan manusia di padang Mahsyar.
Ada pendapat mengatakan perkataan Arafah berasal daripada pertemuan kembali Nabi Adam dan isterinya, Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan mereka bertemu di lembah dikenali padang Arafah.
Ada juga ulama menyatakan ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Ibrahim dengan isterinya, Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail yang sudah lama berpisah sementara sebahagian ulama berpendapat Arafah hasil pemahaman Nabi Ibrahim menghayati perintah Allah yang tersirat dalam mimpinya menyembelih puteranya Nabi Ismail.
Arafah adalah tempat wukuf. Waktunya daripada tergelincir matahari 9 Zulhijjah hingga terbit fajar sadiq pada hari raya korban. Wukuf adalah salah satu rukun haji. Siapa yang luput daripada masanya, tidak sah hajinya.
Daripada Abdul Rahman Ya'mur, katanya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Haji itu ialah Arafah. Barang siapa datang pada malam tanggal 10, sebelum terbit fajar, bererti dia sudah mendapatkan Arafah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Al-Masy’aril Haram pula ialah Muzdalifah, di sini al-Quran menyuruh berzikir selepas bertolak dari Arafah. Kemudian ia mengingatkan kaum muslimin bahawa berzikir adalah hidayah Allah kepada mereka dan pernyataan bersyukur atas hidayah itu.
Seterusnya, umat Islam diwajibkan bermalam di Muzdalifah, tempat persinggahan Rasulullah dalam perjalanannya dari Arafah ke Mina. Menurut riwayat, Rasulullah bersolat sunat dua rakaat lewat tengah malam di Muzdalifah.
Wednesday, October 27, 2010
Sotong Paul mati
PAUL ketika hidup di akuarium Sea Life di Oberhausen, Jerman.
Kematian Paul pada usia 2 tahun
26/10/2010 9:17pm
“Pihak pengurusan dan kakitangan di Pusat Hidupan Laut Oberhausen sedih selepas mendapati haiwan yang terkenal dengan ramalan tepatnya semasa Piala Dunia lalu itu, mati malam tadi.
“Paul mengagumkan dunia apabila berjaya meramal tepat pemenang perlawanan melibatkan pasukan Jerman, begitu juga dengan keputusan perlawanan akhir. Kejayaannya merupakan cerita yang lebih besar daripada Piala Dunia itu sendiri,” kata pengurus pusat hidupan laut itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan. - AFP
Merapi Meletus
SEORANG sukarelawan melihat asap keluar dari Gunung Merapi di Kaliadem,
GUNUNG MERAPI – Gunung Merapi mula meletus semalam selepas para saintis memberi amaran tekanan di bahagian bawah kubah lahar gunung itu akan menghasilkan letusan paling kuat dalam tempoh beberapa tahun.
Menurut seorang jurugambar agensi berita AFP, setakat ini, seramai 20 orang yang cedera disebabkan abu panas yang keluar dari Gunung Merapi di Pulau Jawa telah menerima rawatan perubatan.
Ketua volkanologi di kawasan Gunung Merapi, Subandriyo berkata, letusan itu bermula menjelang senja.
Gunung itu mengeluarkan bunyi selama beberapa jam.
“Terdapat satu bunyi kuat berlaku, kemungkinan selama 15 minit,” kata seorang petani, Sukamto yang terpaksa meninggalkan rumahnya di kawasan cerun pergunungan itu yang subur.
“Kemudian, satu kepulan debu panas mula keluar ke udara,” tambahnya.
Menurut seorang ahli volkanologi pemerintah, Surono, pihaknya berharap letusan itu akan berlaku secara perlahan-lahan.
“Jika tidak, kita akan melihat satu letusan yang besar,” jelasnya.
Amaran berjaga-jaga gunung setinggi 9,737 itu telah dipertingkatkan ke tahap paling tinggi.
Sejak kelmarin, pihak berkuasa berusaha memindahkan lebih 11,000 penduduk yang tinggal dekat dengan gunung itu. Pada 1994, satu letusan berlaku selepas kubah lahar gunung itu runtuh menyebabkan 70 orang terbunuh.
Letusan gunung itu pada 1930 menyebabkan 1,300 orang terbunuh. – Agensi
Liputan6.com, Kyoto: Gunung Merapi yang yang meletus dan mengeluarkan awan panas, kemarin, adalah letusan terbesar sejak tahun 1990-an, demikian pendapat seorang pakar gunung berapi yang berasal dari Jepun, Rabu (27/10). Professor Masato Iguchi dari Univeristi Kyoto, Jepun, mengatakan letusan besar rupanya telah mendorong kubah lava gunung berapi dengan kekuatan yang luar biasa.
Ombak tsunami landa Mentawai
ORANG ramai menggunakan telefon bimbit bagi memaklumkan saudara mara pergi ke tempat lebih tinggi di Padang selepas merasai gegaran gempa bumi menyebabkan tsunami.
PENDUDUK yang merasai gegaran gempa bumi di Padang lari dari rumah untuk ke tempat lebih tinggi selepas gegaran di Sumatera Barat menyebabkan tsunami melanda Mentawai.
JAKARTA: Ombak tsunami meragut nyawa sekurang-kurangnya 113 orang, manakala 502 orang yang lain dilaporkan hilang selepas melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, semalam, berikutan gempa bumi yang kuat meratakan sejumlah kampung di tepi pantai.
Usaha mencari masih diteruskan di kawasan terjejas teruk iaitu di Pulau Pagai Selatan, Pulau Sipora dan mukim Sipora Selatan.
“Daripada 200 orang penduduk kampung hanya 40 saja ditemui. Seramai 160 yang lain dilaporkan hilang, termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.
“Kami menerima laporan daripada penduduk bahawa mereka gagal menyelamatkan anak masing-masing kerana pukulan ombak terlalu kuat. Kebanyakan penduduk yang ditemui dalam tangisan mengenang kehilangan sanak saudara mereka.”
Hardimansyah berkata, 80 peratus dari rumah di kampung itu musnah dan bekalan makanan hampir kehabisan.
Seorang pegawai badan bukan kerajaan Yayasan Citra Mandiri Mentawai, Rachmadi, berkata sejumlah kampung di di pantai barat Pulau Pagai Selatan rata dipukul ombak.
Polis di Mentawai berkata, pihaknya bersama sukarelawan sedang mencari mereka yang hilang. Pos bantuan bencana juga sudah didirikan bagi menyalurkan bantuan.
“Kami menjangka ramai penduduk akan memerlukan makanan dan tempat berlindung. Hujan sudah mula turun lebat dan angin sangat kencang di sini,” kata Ronald, pegawai polis di daerah Sikakap.
Ketua pusat menangani krisis di Kementerian Kesihatan Indonesia, Mujiharto berkata ombak tsunami yang melanda kepulauan Mentawai itu adalah setinggi tiga meter.
“Kebanyakan kawasan terbabit tidak mempunyai ramai penduduk. Namun pihak kami menyediakan 200 beg mayat.”
Gempa bumi lewat kelmarin yang mencetuskan tsunami berkenaan berukuran 7.7 skala Richter dan berpusat di dasar laut 78 kilometer di barat Pagai Selatan di kepulauan Mentawai.
Gempa bumi itu berlaku di garis gelincir sama dengan gempa bumi 9.1 skala Richter di Aceh yang mencetuskan tsunami besar di lautan Hindi pada 2004 hingga meragut 230,000 nyawa di berpuluh negara.
Kepulauan Mentawai yang dapat perhatian mendadak berikutan tsunami terbaru ini sudah lama menarik pelancong tetapi sudah mula dilupai.
“Pulaunya dengan pasir putih, sangat indah tetapi sepi. Pengunjung di sana seolah-olah memiliki pulau itu,” kata seorang pelancong yang baru kembali dari bercuti di kepulauan berkenaan.
Keindahan Kepulauan Mentawai memang dianggap luar biasa. Pasir putih menghampar, laut biru berhiaskan terumbu karang. Sementara kesenian penduduknya terutama suku Mentawai dikenali di seluruh dunia.
Pulau utama di kepulauan Mentawai ialah Pulau Siberut. Feri dari Padang boleh menghantar pengunjung ke sana dalam masa 10 jam. – Agensi/Reuters
Sumber:
Berita Harian
Selangor Kini
Detiknews
Kompas.com
GAMBAR dari udara yang dirakamkan semalam menunjukkan sebuah kampung musnah akibat tsunami di Pulau Pagai, Kepulauan Mentawai.
Angka kematian akibat tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dekat Pulau Sumatera meningkat kepada 282 orang manakala 411 lagi masih hilang, kata pihak berkuasa semalam.
Tsunami itu berlaku akibat gempa bumi bawah laut yang kuat pada Isnin lalu di Kepulauan Mentawai dengan kekuatan 7.7 pada skala Richter. - Kosmo
Tuesday, October 26, 2010
Adik Ipar Blair Masuk Islam
LONDON, 26 Okt: Adik ipar Tony Blair, Lauren Booth, memeluk Islam selepas menziarahi makam Fatimah al-Masumeh di bandar Qom, Iran sekembalinya ke Britain enam minggu lalu.
BOOTH berdiri di hadapan Big Ben di Medan Parlimen London ketika tunjuk perasaan membantah Akta Jenayah Terancang 2005 yang baru.
Merapi Tunggu Masa Muntah
AKTIVITI seismik dan peningkatan lahar gunung berapi Merapi, di Yogyakarta yang meningkat mendadak menandakan letusan akan berlaku pada bila-bila masa.
VIVAnews - Merapi, gunung teraktif di dunia, kini siap meletus. Tiap kali 'marah' Merapi selalu mengeluarkan awan panas mematikan.
Thursday, October 21, 2010
Persoalan wuduk di Tanah Suci
DALAM menuju ke Kota Suci Mekah dan melaksanakan ibadat haji, pelbagai permasalahan timbul daripada sekecil-sekecil perkara sehingga sebesar-besarnya.
Bermula daripada berniat untuk menuju ke Mekah, bertaubat dan bermusafir hingga kepada selesainya acara ibadat haji seperti tawaf wada', ziarah Rasulullah SAW dan berangkat pulang juga dibahaskan oleh para ulama' sama ada daripada segi adab, rukun, tertib, wajib dan lain-lain lagi.
Antara ulama' yang terkenal dalam membahaskan hal ini ialah Imam al-Nawawi melalui kitabnya, al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah.
Perbincangan pada kali ini akan dinyatakan secara ringkas memandangkan ruang yang terbatas dan terhad ini.
Wudhuk
Wudhuk berasal daripada perkataan wadha'ah. Menurut bahasa, ia bererti elok dan berseri, manakala dalam syarak pula adalah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat.
Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. Perkataan wadhu' pula ialah nama air yang digunakan untuk berwudhuk.
Berkenaan permasalahan wudhuk, isunya adalah bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi, adakah ia membatalkan wuduk atau sebaliknya?
Dalam hal ini, Imam al-Nawawi telah menyebut di dalam kitabnya yang masyhur.
Justeru, sayugia bagi lelaki jangan melalui tempat yang sesak ini. Begitu juga bagi wanita jangan bersesakan di tempat lelaki kerana dibimbangi batal wudhuk. Jika salah seorang bersentuh kulit seseorang yang lain, hukumnya batal wudhuk yang menyentuh, dan yang kena sentuh ada dua pendapat menurut Imam al-Syafie:
Pendapat pertama: Bahawa hukumnya batal wudhuknya. Inilah yang dinaskan dalam kebanyakan kitabnya.
Pendapat kedua: Tidak batal wudhuknya. Inilah yang dipilih oleh jemaah yang sedikit daripada ashabnya. Sedangkan pendapat yang terpilih batal iaitu pendapat pertama.
Isu batal wuduk adalah bersentuhan antara lelaki dan perempuan dibahaskan oleh ulama dengan panjang lebar sejak dahulu lagi.
Muzakarah Haji oleh Tabung Haji memutuskan bahawa sekiranya di Mekah pada musim haji ketika tawaf atau berada dalam Masjid al-Haram tidak batal wuduk bersentuh antara lelaki dan perempuan yang ajnabi kerana darurat dan sukar untuk memelihara wuduknya.
Tayamum
Tayamum daripada segi bahasa bererti tujuan, sementara menurut syarak pula adalah menyapu debu tanah yang suci kemuka dan dua tangan dengan niat dan cara yang tertentu.
Imam al-Nawawi berkata: Tidak sah tayamum untuk menunaikan fardhu solat kecuali selepas masuk waktu solat. Begitu juga solat sunat rawatib mengikut pendapat yang sah. Dan tidak boleh solat untuk satu tayamum lebih daripada satu fardhu solat sahaja. Tetapi dia boleh solat sunat seberapa banyak yang dia mahu sebelum solat fardhu atau selepasnya, sama ada dalam waktu atau luarnya.
Apabila seseorang solat dengan tayamum kerana ketiadaan air yang wajib digunakannya, maka tidaklah wajib baginya mengulang solat sama ada musafirnya itu lama atau sekejap.
Jika dia mendapati air selepas solat di mana waktu masih ada atau dalam solat, maka sah solatnya tanpa perlu mengulang.
Jika dia tidak mendapati air atau debu tanah, hendaklah dia solat mengikut keadaan fardhu yang satu sahaja. Kemudian dia wajib mengulang solat dengan air atau debu tanah.
Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut antara sebab yang membolehkan tayamum adalah:
Terhalang daripada menggunakan air sama ada halangan yang nyata, seperti ada air di tempat yang berhampiran tetapi tidak jauh dari situ pula ada musuh yang ditakuti. Ataupun ada halangan syarak, iaitu seperti takut menggunakan air kerana bimbang terkena penyakit dan melambatkan proses penyembuhan.
Dalam keadaan yang demikian, dia bolehlah bertayamum dan tidak wajib menggunakan air. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW tentang seorang yang mendapat luka di kepala dan meninggal dunia selepas dia mandi.
Solat menghormati waktu
Dalam musafir khususnya menuju ke Baitullah al-Haram, menaiki kapal terbang yang mengambil masa antara 7 hingga 8 jam. Kadang-kadang membabitkan waktu solat.
Saat yang sama mungkin merasa kesukaran untuk berwudhuk atau menentukan arah tanda kiblat justeru, ada atau tidak solat menghormati waktu?
Jawapan:
Solat adalah salah satu rukun Islam yang utama, disebut dalam banyak hadis gelaran atau nama yang baik kepada solat seperti tiang seri agama, cahaya, dan lain-lain.
Islam amat cakna dan prihatin terhadap solat supaya dipeliharakannya dalam apa jua keadaan. Saat yang sama ancaman amat keras bagi siapa yang meninggalkan solat dan mengabaikannya atau melakukan sambil lewa.
Justeru, atas dasar inilah melaksanakan ibadat solat perlu walau dalam apa keadaan sekalipun. Dalam Mazhab Syafie terdapatnya solat menghormati waktu antaranya kerana:
i. Orang yang luput dua alat taharah iaitu air dan tanah. Dalam al-Fiqha'la Mazahib al-Arba'ah (1/167) wajib ia'dah (mengulangi) solat bagi yang melakukannya dalam keadaan menghormati setelah mendapati air.
ii. Tersalah mengadap kiblat ketika mengijtihad menghadap kiblat tanpa arah yang betul, hendaklah ia'dah solat.
Begitu juga yakin tersilap kiblat secara pasti maka wajib ia'dah 1/201. Imam al-Nawawi dalam al-Idhah hal. 80 juga menyebut hal yang sama.
1/4 Thailand ditenggelami banjir
BANGKOK 20 Okt. - Banjir terburuk yang melanda Thailand dalam tempoh berpuluh-puluh tahun menyebabkan satu perempat daripada kawasan di negara ini ditenggelami air dan angka kematian meningkat kepada 12 orang.
Pasukan penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan mangsa yang terperangkap setelah banyak kawasan kediaman dan tanah pertanian ditenggelami air, sementara di Bangkok penduduk yang tinggal di tepi Sungai Chao Phraya bersiap sedia untuk berpindah jika air melimpahi tebing.
"Banjir di banyak wilayah masih kritikal dan telah merebak sehingga menyebabkan kira-kira satu perempat daripada Thailand ditenggelami air," kata Menteri Dalam Negeri, Chavarat Charnvirakul.
Empat mangsa terkorban di Buriram, timur Thailand apabila air deras membanjiri jalan, sementara angka kematian di wilayah Nakhon Ratchasima yang teruk dilanda bencana itu meningkat kepada empat orang, kata pegawai di Kementerian Dalam Negeri.
Wilayah-wilayah Rayong dan Trat masing-masing melaporkan satu kematian sementara dua lagi maut di Lopburi.
Lebih ramai penduduk di Nakhon Ratchasima, di mana 30 daripada 32 daerah sudah pun ditenggelami air, diarah berpindah selepas tebing sebuah takungan air pecah, kata seorang pegawai.
"Kami mengarahkan penduduk berpindah jika rumah mereka hanya setingkat tetapi di rumah dua tingkat, mereka boleh lari ke tingkat atas," katanya.
Chavarat berkata, kerajaan akan meningkatkan dana kecemasan yang disalurkan kepada wilayah yang dilanda banjir.
Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva berkata, Nakhon Ratchasima mengalami banjir terburuk dalam tempoh antara 40 hingga 50 tahun.
Beliau menganggarkan wilayah di kawasan pergunungan itu, kira-kira 250 kilometer ke timur laut Bangkok, mengalami hujan dua kali lebih lebat berbanding tahun lepas. - AFP
Wednesday, October 20, 2010
Projek-projek Mega di Makkah siap menjelang 2012
Datuk Bandar Mekah Dr Osama Al-Bar berkata beberapa projek mega yang dilaksana di kota suci ini dijamin siap menjelang 2012.
Dipetik berkata demikian oleh akhbar Saudi Gazette hari ini, Osama yang juga Pengerusi serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Mekah berkata jaminan itu bersandarkan kepada arahan Raja Abdullah.
Antara projek berkenaan ialah Lebuh Raya Raja Abdul Aziz yang menghubungkan Mekah dan Jeddah, katanya.
Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu sudah bermula dan ia akan menjadi prototaip untuk pembinaan jalan raya di wilayah tersebut pada masa depan.
Satu lagi projek yang hampir siap ialah lapan rumah penyembelihan yang dilengkapi peralatan moden dan akan diurus oleh Bank Pembangunan Islam.
Juga dalam pembinaan sekarang ialah empat terowong pejalan kaki yang menghubungkan daerah Al-Hujun dan Al-Jarwal dengan Masjidil Haram, dan dipercayai dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.
Osama juga dilapor berkata projek membina 5,000 unit rumah juga telah bermula dan apabila siap kelak akan diberi kepada penduduk terutama mereka yang rumahnya dirobohkan.
Selain itu, sembilan stesen monorel yang menghubungkan Padang Arafah, Mina dan Mudzalifah juga hampir siap, katanya.
Projek-projek lain yang diarahkan siap menjelang 2012 oleh Raja Abdullah ialah pembinaan ruang tambahan di timur Masjidil Haram, projek Jabal Omar dan sistem keretapi laju antara Mekah dan Madinah.
Malaysiakini/-
Monday, October 11, 2010
Rahsia Haji
Oleh Ibrahim Abdullah
Berita Harian
11/10/2010
FIRMAN Allah bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji nescaya mereka akan datang kepada (Rumah binaanmu) dengan berjalan kaki, dan berkenderaan jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (corak rantau) yang jauh, supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan berbagai faedah bagi mereka serta menyebut nama Allah pada hari tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan haiwan ternak untuk dijadikan korban. Dengan demikian makanlah kamu dari (daging) korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, dan yang fakir miskin.” Surah al-Hajj, ayat 27-29.
Ibadah haji mempunyai hikmah dan rahsia tertentu bagi memenuhi dua tuntutan iaitu dari segi rohani dan jasmani, dunia dan akhirat. Ia juga banyak mengandungi hikmah dan pengajaran yang tersirat di sebalik ibadah berkenaan.
Ibadah haji tidak diwajibkan hanya berzikir kepada Allah SWT, menziarahi tempat suci dan menjejaki kesan para nabi, tetapi tujuannya lebih besar iaitu menyatukan umat yang berpecah-belah, berunding dan berbincang, supaya masing-masing kembali ke tanah air membawa azam yang mulia agar menjadi umat yang baik dan bersepadu.
Allah memilih tempat berkat yang pernah menerima rahmat sejak nabi Adam dan Ibrahim AS serta anak cucu mereka yang juga penutup segala nabi untuk mengajar manusia betapa pentingnya kesatuan dan perpaduan di antara mereka. Jalan yang dilalui oleh mereka itu hanya satu jalan saja iaitu jalan nabi, siddiqin, syuhada, dan salihin.
Ibadah haji yang dilaksanakan dengan pakaian ihram tidak berjahit, tawaf mengelilingi Baitullah, saie di antara Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, melontar Jamrah, menyembelih haiwan dan dam semuanya mengandungi erti simbolik dan menjadi tujuan utama daripada penunaian ibadah haji.
Ihram yang menjadi nasak ibadah haji pertama dilakukan, membawa erti pembebasan diri daripada keinginan hawa nafsu dan daya tarikan daripada pengaruh luar selain Allah.
Ihram melambangkan penumpuan sepenuhnya kepada kebesaran dan keindahan zat dan sifat Allah. Membebaskan ikatan kedudukan dan pangkat, darah, keturunan, harta, miskin, kaya yang sering memisahkan seseorang daripada saudara seagama dan kemanusiaan.
Tawaf di Baitullah al-Haram diperlukan mengelilingi sebanyak tujuh keliling walaupun bersesak keadaannya dalam mencari ketaatan kepada Allah. Saie antara Safa dan Marwah dilakukan selepas tawaf, membayangkan erti mengejar rahmat dan pengampunan Allah.
Wukuf di Arafah pula, mengertikan pengorbanan perasaan takutkan Allah. Dengan doa restu yang dimohon dan harapan tinggi dipanjatkan kepada Allah. Di sinilah kemuncak ibadah haji, tempat pertemuan Adam dan Hawa selepas lama mereka berpisah sejak diturunkan dari syurga.
Melontar Jamrah adalah simbol kutukan kepada unsur kejahatan yang sering membinasakan manusia. Melontar juga membayangkan keazaman dan tekad untuk tidak lagi melakukan amalan yang mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan masyarakat.
Penyembelihan haiwan untuk membayar dam mengertikan kesucian kerana darah yang ditumpahkan itu seolah-olah darah kotor, dan membayangkan pengorbanan kerana menuntut keredaan Allah.
Antara implikasi yang sangat berfaedah diperoleh daripada pelaksanaan ibadah haji, menurut Dr Yusuf Qaradawi ialah:
Tanah suci dan tempat yang dilawatinya meninggalkan kesan mendalam pada hati seseorang Muslim, dan bila pulang ke tanah air dengan hati yang bersih, berakhlak mulia dan semangat menentang segala bentuk kemungkaran. Jika haji dikerjakan itu mabrur dan ikhlas, kesannya lebih positif berfungsi melahirkan manusia berwawasan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan kekotoran dosa dan kefasikan, nescaya bersih daripada dosanya seperti pada hari ia dilahirkan ibunya.”
Perlu diingat urusan perniagaan tidak menjejaskan ibadah haji seseorang.
Antara kandungan ucapan Baginda ialah: “Wahai manusia, Tuhan kamu satu, bapa kamu juga satu, ingatlah tiada keistimewaan orang Arab atas orang bukan Arab, tiada keistimewaan kulit putih atas kulit hitam, tiada keistimewaan kulit hitam atas kulit putih, kecuali kerana takwa.”
Kawasan aman dikenali sebagai Tanah Suci, bukan hanya menjamin kepada manusia, tetapi meliputi burung di udara dan di daratan, pokok dan rumput rampai semuanya wajib diberi perlindungan, tidak boleh dibunuh haiwan dan dipotong pokok. Inilah keamanan yang tidak pernah dirasai mana-mana kawasan dunia lainnya yang dianugerahkan Allah Taala.
Dalam muktamar tahunan ini, semua golongan masyarakat hadir menemui saudaranya seluruh dunia, pemimpin, tokoh politik, ulama dan sebagainya berbincang mencari persefahaman untuk mewujudkan suatu jalan yang lebih baik bagi mencapai cita dan wawasan umat Islam sejagat.
Rasulullah SAW mengingatkan umatnya betapa pentingnya muktamar ini, yang mana Baginda menaiki mimbar dan berucap yang menyentuh kepentingan seluruh umat Islam pada musim haji wadak, iaitu hubungan antarabangsa dibincang bersama dalam kesempatan berkenaan.
Rakam Gambar Bumi Guna Belon
NEWBURGH, New York - Seorang bapa, Luke Geissbuhler, 40, dan anak lelakinya, Max berusia tujuh tahun mencipta cara untuk merakamkan gambar Bumi yang kelihatan seperti dirakamkan dari angkasa lepas dengan hanya menggunakan telefon pintar iPhone dan kamera video, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Gajet iPhone dan kamera video itu diletakkan di dalam sebuah bekas makanan kecil dan diterbangkan dengan menggunakan belon cuaca di sini pada Ogos lalu.
Selepas berada 30.57 kilometer dari Bumi dan merakamkan gambar serta terbang selama 102 minit, belon itu pecah dan jatuh ke Bumi dengan menggunakan payung terjun.
Geissbuhler mengesan belon yang jatuh itu berpandukan sistem penentu kedudukan global (GPS) iPhone tersebut.
Belon itu didapati jatuh di atas dahan sebatang pokok 48.28 kilometer dari tempat ia diterbangkan.
Telefon dan kamera itu mengharungi angin selaju 160.93 kilometer sejam dan suhu -60 darjah Celsius.
Rakaman imej Bumi selama tujuh minit itu boleh dilihat di www.brooklynspaceprogram.org. - Agensi
Sunday, October 10, 2010
Suasana baru menunaikan haji
SEMALAM rombongan jemaah haji pertama dari Malaysia menjejakkan kaki bagi menunaikan rukun Islam kelima. Ketibaan 350 jemaah haji ini hanyalah bilangan kecil dari jumlah sebenar jemaah haji Malaysia yang seramai 26,000 orang tahun ini.
Bagi jemaah ini ketibaan mereka ke Tanah Suci pada pukul 5.30 pagi hari Sabtu waktu Malaysia merupakan satu impian yang hampir terlaksana.
Hanya amalan mereka nanti dapat menentukan apakah hajat dan niat mereka untuk menyucikan diri dari segala dosa dan noda dengan menunaikan haji mabrur akan tercapai.
Bagi umat Islam tidak kira dari negara mana sekalipun, impian untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pastinya satu keinginan yang semahu boleh akan cuba dilaksanakan.
Lambaian Kaabah sememangnya menggamit keinginan bagi kita menyucikan diri dari pelbagai dosa yang mungkin dilakukan secara sengaja atau sebaliknya.
Sebagai manusia kerdil yang senantiasa bergelumang pelbagai asam garam dunia adakalanya kita tidak mampu menghindar dari melakukan dosa.
Dari sekecil-kecil dosa hinggalah yang dilaknat tuhan adakalanya kita terlupa akan suruhan dan larangan yang maha Esa.
Oleh itu hati akan menjadi hiba, keinsafan menyelubungi jiwa mengenang akan kebesaran tuhan dan betapa kerdilnya diri tatkala berada di Tanah Suci.
Firman Allah: Allah wajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (engkarkan kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu daripada sekalian makhluk). (Ali-Imran; 97).
Lazimnya keselesaan hidup dikelilingi keluarga dan keasyikan kerja mengikat insan daripada menyegerakan panggilan Baitullah, walaupun syarat yang ditetapkan syarak lebih dari berkemampuan.
Hakikatnya, kemewahan dan nikmat yang melingkari hidup ketika di dunia pasti akan ditinggalkan apabila tiba masanya kelak.
Sebab itu Islam mewajibkan umatnya berhimpun di bumi Arafah, Mina dan Baitullah al-Haram di Tanah Suci Mekah dengan pakaian ihram yang sama bagi mengerjakan ibadah haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Sememangnya panggilan Kaabah itu bukan untuk calang-calang umat. Hanya mereka yang bersedia dari segi mental, fizikal dan yakin pada keimanan sahaja yang sanggup menyahut panggilan-Nya.
Jika tidak, masakan ramai yang hidup dilingkungi kemewahan melebihi keperluan asas harian, sihat tubuh badan dan sempurna akal serta terlebih baligh masih juga tidak melaksanakan ibadah yang fardu itu.
Berkunjung ke Tanah Suci Mekah tidak menjadi masalah bagi sesiapa sahaja yang mampu. Sama ada untuk melancong, berziarah atau melaksanakan ibadat umrah.
Malah, ramai yang menjadikan umrah sebagai ibadat tambahan tahunan sedangkan ibadah haji belum lagi ditunaikan.
Mengerjakan ibadat haji adalah satu fardu bagi mereka yang telah mencukupi syarat-syarat wajib menunaikan haji.
Jutaan manusia mengerjakan haji pada setiap tahun dengan harapan dan matlamat yang satu iaitu mendapat haji yang mabrur.
Mendapatkan haji mabrur bukannya satu perkara yang mudah. Inilah yang memerlukan persediaan ilmu yang bersungguh-sungguh, istiqamah serta beramal dengannya.
Ilmu berhubung ibadat haji yang maha luas ini tidak hanya terhenti pada perkara rukun sahaja,
malahan merangkumi perkara-perkara wajib, sunat dan sebagainya.
Syarat wajib haji ialah pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji. Jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya, haji tersebut tetap sah, tetapi dikenakan dam menurut syarat-syaratnya, serta akan menanggung dosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja.
Terdapat enam syarat wajib haji iaitu, berniat ihram di Miqat, meninggalkan larangan ihram, bermalam di Muzdalifah, melontar anak batu di Jamrah Kubra, bermalam di Mina dan akhir sekali melontar anak batu di tiga Jamarah, iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.
Menampung
Difahamkan sejumlah tiga hingga lima juta umat Islam membanjiri Tanah Suci hanya pada musim haji sahaja. Di bahagian dalam masjid pula ia menampung kira-kira 350,000 jemaah pada satu-satu masa.
Bagaimanapun jumlah ini dijangkakan bertambah kepada lapan hingga 10 juta, manakala bahagian dalam mencecah 1.5 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Oleh itu atas tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam itu sendiri bandar Mekah, Madinah dan bandar-bandar lain kini sedang diperluas dan diperindah oleh kerajaan Arab Saudi.
Di Mekah pelan komprehensif sentiasa dilakukan bagi menjaga kebajikan, keselesaan dan keselamatan para jemaah setiap kali tiba musim haji.
Tidak ketinggalan kemudahan pengangkutan awam, penginapan serta kemudahan asas lain termasuk bekalan air bersih.
Sejak awal tahun 2008 kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram dilakukan di samping menaik taraf kemudahan di Padang Arafah dan Mina.
Selain itu dalam usaha untuk memperindahkan lagi kota Mekah satu bangunan yang dikenali sebagai Menara Abraj al-Bayt kini dalam pembinaan dan bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.
Bangunan berkenaan yang juga menempatkan kompleks hotel gergasi akan turut dibina atasnya sebuah jam yang enam kali lebih besar daripada jam Big Ben di London.
Di kota Madinah, pihak kerajaan melancarkan pelbagai projek pembangunan termasuk pembesaran kawasan Masjid Nabawi, projek bekalan elektrik, air, kesihatan dan sebagainya yang dianggarkan menelan kos 12 bilion Riyal Saudi.
Dalam bidang kesihatan pula, jumlah katil di hospital juga akan ditambah. Begitu juga dengan pembesaran lapangan terbang di Madinah.
Langkah ini bukan sahaja untuk keperluan penduduk tempatan tetapi juga bagi menjaga kebajikan para jemaah yang semakin meningkat setiap tahun.
Selain itu Arab Saudi turut mempunyai pelan pembangunan perumahan komprehensif bernilai lebih AS$6 bilion (RM20.4 bilion). Projek ini merangkumi pelbagai kawasan perumahan untuk penduduknya.
Negara itu juga merancang untuk melaksanakan sebuah “projek super” yang menelan belanja sebanyak AS$87.8 bilion (RM298 bilion) bagi membina enam bandar ekonomi.
Bandar-bandar ini akan menempatkan 2.5 juta penduduknya yang dijangka mampu memberi pendapatan sebanyak AS$150 bilion (RM510 bilion) dan memberi peluang pekerjaan kepada 1.5 juta penduduknya menjelang tahun 2020.
Apa yang boleh digambarkan ialah Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya akan berubah menjadi lebih luas, mesra alam dan selamat. Bagaimanapun reka bentuk baru itu harus tidak menyumbang kepada pemanasan global dan pembaziran, selain mempunyai sentuhan kerohanian apabila berada di dalam masjid.
Walaupun projek-projek ini akan mengambil masa yang panjang tetapi matlamatnya adalah untuk kemudahan umat Islam dari seluruh dunia yang setiap tahun berebut-rebut mahu menunaikan haji di Mekah sambil melakukan ziarah di kota Madinah.
Oleh Hafizahril hamid
Bandar di Hungary jadi kota hantu
Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala lebih 120 yang lain cedera apabila dinding takungan sebuah loji aluminium pecah pada Isnin lepas.
Kejadian menyebabkan sejumlah 700,000 kubik meter lumpur toksik merah mengalir deras dan membanjiri beberapa buah bandar di barat Hungary.
Jurucakap perkhidmatan pengurusan bencana, Tibor Dobson berkata, pakar-pakar kini bimbang takungan berkenaan bocor sekali lagi.
Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya, lebih 800 penduduk Kolontar dipindahkan dengan menaiki beberapa buah bas menjelang subuh semalam.
Menurutnya, selain Kolontar, sejumlah 5,300 penduduk bandar Devecser yang terletak berdekatan, turut diarah bersiap sedia untuk berpindah. – AP
Haji mabrur jihad paling utama
Bagi menjawab persoalan ini Ustaz Zahazan Mohamed menyatakan:
ISTILAH haji mabrur tidak ada dalam al-Quran. Tetapi ada dinyatakan dalam beberapa hadis dan yang paling masyhur adalah; “Tidak ada ganjaran bagi haji mabrur kecuali syurga.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi yang selengkapnya adalah; “Ikutkanlah antara haji dan umrah kerana kedua-duanya menghapuskan dosa, seperti kipas angin menerbangkan kotoran besi, emas dan perak. Tidak ada (ganjaran) bagi haji mabrur kecuali syurga. Tidak seorang mukmin pun sepanjang hari berada dalam keadaan berihram kecuali dosanya terbenam bersama matahari.” (Riwayat al-Tirmizi melalui Ibnu Mas’ud)
Maksud pelaksanaan ibadat haji menghapuskan dosa iaitu bebas dari dosa seperti saat dilahirkan sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Siapa yang mengerjakan haji dan ia tidak melakukan rafath (ucapan lucah) serta tidak berbuat fasiq (maksiat), maka ia akan kembali seperti saat dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Haji mabrur juga disebut dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ya Rasulullah, menurut kamu jihad itu adalah amalan paling utama. Kalau begitu tidaklah kami akan berjihad? Nabi SAW bersabda: Bagi kamu sekalian ada jihad yang lebih utama ialah haji yang mabrur.”
Manakala hadis daripada Abu Hurairah pula menyebut: “Rasulullah SAW ditanya mengenai amal yang paling utama. Maka Baginda bersabda: Iaitu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Orang itu bertanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda menjawab; “berjihad (berjuang) di jalan Allah.” Yang lain bertanya lagi, “Setelah itu apa lagi?” Rasulullah SAW menjawab; “Haji yang mabrur.”
Dari segi bahasa, kalimah mabrur (mabrur) diambil daripada kata akar barra, yang mempunyai banyak makna. Antara lain iaitu syurga, benar, diterima, pemberian, keluasan dalam kebajikan. Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai pengertiannya.
Dalam kitab Nayl al-Authar, al-Syawkani, mengemukakan pendapat Ibnu Khalawayh bahawa haji mabrur adalah yang diterima Allah SWT (maqbul). Ulama lain berpendapat haji mabrur adalah haji yang tidak dinodai dosa. Pendapat ini dipilih dan dikuatkan oleh Imam al-Nawawi.
Dalam Fiqh al-Sunnah, Sayid Sabiq menyatakan haji mabrur adalah haji yang tidak dinodai dosa. Dalam kitab Fathul Allam, Shiddiq Hasan Khan menyebut, sebahagian berpendapat haji mabrur adalah haji yang diterima di sisi Allah dan sebahagian lagi berpendapat iaitu haji yang buahnya kelihatan pada pelaku dengan perubahan keadaannya selepas haji jauh lebih baik sebelum berhaji.
Kesimpulannya, makna haji mabrur seperti yang disebut al-Allamah al-Munawi dalam Faidhul Qadir adalah haji yang diterima, iaitu haji yang tidak bercampur dengan dosa apapun antara perubahan diterimanya adalah kembali melakukan kebaikan dan tidak kembali melakukan kemaksiatan.
Antara syarat memperoleh haji mabrur adalah pertama, dilakukan dengan ikhlas seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baiyinah ayat-4 yang bermaksud:
“Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”
Jauhilah perasaan sum’ah, riak dan seumpamanya agar ibadat yang dilakukan diterima Allah SWT.
Kedua, pastikan harta yang digunakan untuk ibadat halal kerana Allah SWT tidak menerima ibadat dengan menggunakan sumber yang haram.
Ketiga, berusaha melakukan ibadat haji mengikut cara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
Keempat, tidak melakukan rafath (bercakap lucah), perkara fasik (maksiat) dan berbantah-bantah seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang sudah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji, maka tidak boleh melakukan rafath, dan tidak boleh melakukan fasik (maksiat) dan tidak boleh bertengkar.”
Justeru hendaklah dilaksanakan dengan sempurna mengikut -hukumnya sehingga sempurna seperti yang dituntut dalam Islam.” Wallahua’lam.
Sumber : BH