Sunday, November 1, 2009

Tamak Mengundang Mudarat

Assalamu'alaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Hadith :

Abu Said al-Khudri menerangkan bahawasanya Nabi SAW pada suatu hari duduk di atas mimbar dan kami duduk di sekitarnya.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara yang aku takut terhadap dirimu sesudah wafatku ialah kemewahan yang diberikan kepadamu. Iaitu kemewahan dunia dan hiasannya.

Maka seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kebaikan itu mendatangkan kejahatan?

Maka nabi berdiam diri. Kerana itu seseorang berkata kepada orang tersebut : “Mengapa kamu? Apa urusan mu? Engkau bertanya kepada nabi, baginda tidak mahu menjawab?".

Kemudian kami melihat bahawasanya nabi sedang diturunkan wahyu kepadanya.

Abu Said berkata; “ Maka nabi menyapu peluh pada dirinya dan nabi bertanya: “Mana si penanya?” seolah-olah nabi memuji orang tersebut.

Kemudian nabi bersabda: “Sesungguhnya kebaikan itu tidak mendatangkan kejahatan. Dan sesungguhnya di antara yang ditumbuhkan musim bunga, ada yang memusnahkan binatang lantaran kekenyangan atau hampir-hampir membinasakannya kecuali binatang yang memakan sayur-sayuran. Dia memakan umpan hingga apabila telah buncit lambungnya, maka dia pun menatang matahari lalu dia mengeluarkan kotoran dan kencing serta pergi ke padang penggembalaan. Dan sesungguhnya harta itu indah lagi sedap. Maka sebaik-baik harta orang Muslim ialah yang diberikan sebahagiannya kepada orang miskin, anak yatim dan ibnu sabil. Atau sebagaimana nabi pernah sabdakan. Dan bahawasanya orang yang mengambil harta dengan bukan haknya adalah sebagai orang yang memakan dan tidak merasa kenyang. Dan jadilah harta itu saksi atas dirinya di hari kiamat.” (al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:

Allah melarang kita daripada bersifat tamak dan suka mengumpulkan harta akan tetapi tidak suka bersedekah dan menafkahkan harta tersebut ke jalan Allah.

Sedangkan orang yang banyak bersedekah adalah orang yang melaburkan saham untuk kepentingan akhirat.

Hakikatnya harta itu adalah fitnah seumpama binatang yang hidup di padang ternakan.

Ada yang mati akibat terlalu banyak makan dan ada yang mengeluarkannya kembali sehingga tidak membuncitkan perutnya.

Perumpamaan ini adalah bagi orang yang membelanjakan hartanya di jalan-jalan kebajikan. Justeru dalam mencari harta kita perlu bersederhana jangan terlalu tamak hingga mengundang mudarat.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails