dekat Mekah, sementara umat Islam di seluruh dunia pula
menyambut Aidiladha dan ibadah korban, semalam. – AP
MEKAH 27 Nov. – Jemaah haji melontar jamratul Aqabah dalam suasana tenang dan teratur hari ini, sementara umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha dengan melakukan ibadah korban.
Beratus-ratus ribu jemaah melewati tembok jamrah di Mina sambil melontar tujuh anak batu, setelah mereka selamat menunaikan wukuf di Arafah, semalam.
Ibadat melontar batu itu berjalan secara teratur sepanjang malam dan awal pagi ini, menepati harapan pihak berkuasa Arab Saudi.
Pihak berkuasa berharap tiang-tiang jamrah yang diperbesarkan menjadi tembok itu dan sebuah jambatan lima tingkat yang baru dibina akan dapat membantu mencegah kejadian rempuhan yang telah meragut nyawa pada musim haji sebelum ini, berpunca daripada jemaah berasak-asak untuk memasuki kawasan berkenaan bagi melakukan ibadat melontar.
“Saya mulanya takut akan menghadapi masalah di jambatan jamrat tetapi segala-galanya sangat mudah, dan selepas melontar jamrah, jemaah berasa suci seperti bayi yang baru dilahirkan,” kata seorang jemaah dari Gaza, Faeq Jarada, 60 tahun.
Penolong ketua badan keselamatan haji, Khader al Zaharani memberitahu televisyen Arab Saudi bahawa setakat ini tidak timbul masalah besar.
“Seluruh dunia ingin mengetahui bagaimana kita melindungi keselamatan beberapa juta jemaah haji secara serentak,” katanya.
Kejadian rempuhan akibat jemaah yang panik di kawasan jamrah kerap berlaku pada masa lalu. Pada 2006, sebanyak 346 jemaah maut akibat dihempap di kawasan tersebut.
Reka bentuk jambatan baru itu bertujuan mencegah insiden sedemikian daripada berulang, dengan memaksa jemaah bergerak mengikut satu arah sahaja dan menyediakan banyak laluan keluar.
Selepas melontar jamrah, ramai jemaah mengambil khidmat tukang gunting di sekitar Mina untuk mencukur kepala, pada harga 10 riyal (RM9.08) seorang.
Amalan melontar itu disusuli dengan penyembelihan beratus ribu ternakan sebagai menunaikan ibadah korban.
Kira-kira tiga juta umat Islam dari seluruh dunia berada di kota suci Mekah minggu ini untuk menunaikan haji, tanpa menghiraukan ancaman wabak selesema babi yang telah membunuh empat jemaah setakat ini, serta hujan lebat dan banjir yang menyebabkan sekurang-kurangnya 83 orang maut di Jeddah.
Cuaca baik di Mekah dan Mina awal hari ini membolehkan jemaah melakukan ibadat haji dengan lebih selesa dan mereka yang melontar jamrah kelihatan tersenyum dan melambaikan tangan ke arah kamera televisyen yang membuat liputan upacara itu. – AFP
No comments:
Post a Comment