Bismillahirahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Rasa syukur dan berterima kasih sama ada kepada Allah SWT mahupun sesama manusia boleh dinyatakan dalam pelbagai cara. Pada asasnya ada tiga cara yang boleh digunakan untuk menunjukkan rasa syukur, dan gabungan ketiga-ketiga cara di bawah adalah syukur yang paling sempurna.
Imam Ibnu Rajab berkata; “Syukur itu dengan hati, lisan dan anggota badan”.
Syukur dengan hati ialah mengakui bahawa nikmat tersebut datang daripada Allah, berasal daripadaNya dan atas keutamaannya. Apabila hatinya bersyukur maka akan lahirlah bentuk syukur yang kedua dan yang ketiga iaitu syukur dengan lisan dan perbuatan.
Syukur dengan lisan iaitu selalu memuji Yang Memberi nikmat (Allah), menyebut nikmat itu, mengulang-ulangnya serta menampakkan nikmat tersebut;
Allah SWT berfirman,
وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث
Maksudnya; “ Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya”. (ad-Dhuha[93] :11)
Syukur dengan anggota badan iaitu tidak menggunakan nikmat tersebut, kecuali dalam rangka ketaatan kepada Allah SWT, berwaspada daripada menggunakan nikmat untuk melakukan kemaksiatan kepadaNya.
Hakikat Syukur
Kesyukuran yang hakiki didirikan di atas
Pertama: Merendahkan diri terhadap yang disyukuri iaitu Allah swt, kerana orang yang bersyukur tidak akan sombong, tidak akan takabbur samada kepada Allah swt atau sesama manusia.
Kedua: Rasa cinta terhadap Pemberi Nikmat iaitu Allah SWT, kerana dengan rasa bersyukur itu tidak akan timbul pada diri seseorang,tidak suka, benci terhadap orang lain, lebih-lebih lagi kepada Allah SWT.
Ketiga : Mengakui seluruh nikmat yang Dia berikan. Tanpa pengiktirafan terhadap jasa, kebaikan nikmat yang diberikan; bagaimana rasa syukur akan timbul dalam diri seseorang apabila merasakan apa yang dimilki adalah daripada dirinya sendiri, tanpa bantuan orang lain.
Keempat: Sentiasa memujiNya atas nikmat yang diberikan kerana gembiranya, penghargaannya, pengiktirafannya terhadap nikmat yang diberikan.
Kelima: Tidak menggunakan nikmat untuk sesuatu yang dibenci oleh Allah kerana ia akan mengundang kemarahan, kebencian orang yang memberi nikmat, dan tindakan tersebut menunjukkan sikap biadap, tidak mengharmati serta tidak mengenang jasa.
No comments:
Post a Comment