Tuesday, November 16, 2010

Wuquf hari ini

Wukuf waktu terbaik jemaah muhasabah diri, mohon keampunan
Oleh Ibrahim Abdullah

2010/11/16


PUNCAK ibadat haji jatuh pada 9 Zulhijjah dan pada waktu itu semua jemaah haji berkumpul di Padang Arafah, yang berlangsung pertemuan besar jemaah dari seluruh pelosok dunia bagi menggapai keampunan dan keredaan Allah SWT dengan melaksanakan ibadat wukuf.

Jemaah haji berkumpul di bawah khemah berwarna putih dan sekali gus Padang Arafah memutih dengan puncak ibadat haji. Mereka bersimpuh di hadapan Allah sambil berdoa dengan penuh pengharapan.

Walaupun terdapat perbezaan warna kulit, ras, etnik, bahasa dan adat, namun di Padang Arafah mereka bersepadu dalam kebesaran Allah dengan melupakan kebanggaan duniawi yang bersifat sementara.

Ulama sepakat falsafah yang perlu dihayati daripada ibadat haji adalah kesamaan darjat jemaah dalam pakaian ihram tidak berjahit dan warna putih menggambarkan kesucian di hadapan Allah.

Wukuf di Arafah juga mengingatkan manusia sejarah awal kehadirannya di dunia termasuk peristiwa turunnya Adam dan Hawa sebagai manusia pertama ke bumi dan bertemu di Padang Arafah setelah 200 tahun berpisah.

Semasa wukuf di Arafah, jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang ada seterusnya memohon keampunan Allah. Inilah saat hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keredhaan.


Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayang-bayang syurga akan dapat digapai.
Wukuf adalah puncak ibadat haji, tanpa wukuf ibadat haji tidak berhasil. Bahkan yang sakit juga harus ikut ke Arafah untuk menunaikan rukun haji ini. Puncak wukuf di Arafah adalah khutbah wukuf.
Dalam setiap khutbah selalu diperdengarkan khutbah Rasulullah SAW yang disampaikan pada waktu mengerjakan haji terakhir (haji wada) kepada 100,000 jemaah yang turut serta dalam rombongan Baginda.

Ibnu Qaiyyim dalam Zaadul Ma'ad, menyebut, dalam khutbahnya Nabi Muhammad SAW mengingatkan kaedah Islam, menghancurkan sendi musyrik dan jahiliah. Baginda mewasiatkan perlakuan baik terhadap wanita, hak wanita harus dipenuhi dan kewajipannya.

Khutbah Baginda SAW: “Wahai manusia, Tuhanmu hanyalah satu dan asalmu juga satu.

Kamu semua berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah. keturunan, warna kulit, bangsa tidak menyebabkan seseorang lebih baik dari yang lain. Orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa. Orang Arab tidak lebih mulia dari yang bukan Arab, sebaliknya orang bukan Arab tidak lebih mulia dari orang Arab. Begitu pula orang kulit berwarna putih dengan orang kulit hitam dan sebaliknya orang kulit hitam dengan orang kulit berwarna putih, kecuali kerana takwanya.”

Mesej khutbah ini adalah persaudaraan sejagat yang menafikan perbezaan sesama manusia. Di mata Allah, hanya takwa yang membezakan kedudukan hamba-Nya.

Khusus kepada kaum wanita, Rasulullah SAW berpesan, supaya mempertahankan kaum wanita dengan sebaik-baiknya. Ini kerana di zaman jahiliah wanita diperlakukan dengan buruk dan bayi perempuan dibunuh dengan kejam.

Banyak perkara perlu diberi perhatian kini kerana ketika jemaah haji berkumpul di Arafah melaksanakan rukun haji, kita di sini yang bersiap sedia meraikan Aidiladha yang jatuh pada esok harinya jangan lupa muhasabah diri.

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails