Wednesday, November 10, 2010

Gempa bumi dekat Gunung Merapi


BEBERAPA anggota tentera mengangkat mayat mangsa Gunung Merapi di Kampung Ngepringan, Sleman semalam.


YOGYAKARTA - Gunung Merapi di Pulau Jawa menghamburkan asap semalam semasa angka kematian akibat letusannya meningkat kepada 151 orang.

Kira-kira 320,000 orang tinggal di dalam kawasan perlindungan sementara yang padat dengan mangsa selepas mereka diarahkan untuk meninggalkan zon bahaya di sekitar gunung tersebut.

Gunung Merapi itu meletus pada 26 Oktober lalu buat kali pertama.

Gas panas dan serpihan batu Gunung Merapi menyebabkan sejumlah orang terbunuh semasa mereka sedang tidur pada Jumaat lalu.

Sementara itu, gempa bumi sekuat 5.4 pada skala Richter yang berpusat 94 kilometer dari bandar ini pada tengah hari semalam mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai.

Gempa bumi itu mencetuskan memori kejadian gempa bumi besar yang melanda Yogyakarta pada 2006 yang menyebabkan 5,782 orang terbunuh namun setakat ini tidak ada laporan mengenai kecederaan dan kematian.

"Ibu bapa dan saya berlari keluar dari rumah. Saya berasa takut kerana saya masih trauma dengan gempa bumi besar yang berlaku di sini pada 2006," kata seorang penduduk, Deru Waskita, 33.

Agensi Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan pusat gempa bumi itu 94 kilometer ke barat daya bandar Yogyakarta.

Bandar Yogyakarta ketika ini diliputi debu Gunung Merapi yang meletus.

Seorang ahli vulkanologi pemerintah, Surono menyatakan, Gunung Merapi masih mengeluarkan awan panas semalam tetapi tidak sekuat seperti hari sebelumnya.

"Kekuatan letusan semakin berkurangan sejak kelmarin tetapi aktiviti gunung itu masih lagi tinggi. Status gunung itu masih berada dalam keadaan berjaga-jaga," katanya.

Seorang jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho menafikan khabar angin bahawa sejumlah orang sedang meninggalkan bandar Yogyakarta yang terletak 26 kilometer ke selatan Gunung Merapi.

"Kami belum melihat sejumlah orang meninggalkan bandar Yogyakarta setakat ini," katanya.

Setakat ini, negara itu turut menghadapi kesan akibat tsunami yang melanda kampung-kampung di Kepulauan Mentawai, di perairan Sumatera pada 25 Oktober lalu yang menyebabkan lebih 400 orang terbunuh.

Penerbangan ke Jakarta kembali seperti biasa kelmarin tetapi debu Gunung Merapi menyebabkan lapangan terbang di Yogyakarta masih ditutup termasuk candi Borobudur.

Penjaga candi Borobudur, Iskandar berkata, terdapat kebimbangan bahawa debu Gunung Merapi akan merosakkan candi yang dibina pada abad ke-9 itu.

Candi itu terletak 40 kilometer ke barat daya Gunung Merapi. - AFP

ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat dari Yogyakarta mengangkat mangsa letusan Merapi di Sleman, kelmarin.

ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat dari Yogyakarta mengangkat mangsa letusan Merapi di Sleman, kelmarin.

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails