Wednesday, November 3, 2010

Merapi dijangka meletus beberapa bulan lagi

GUNUNG Merapi menghamburkan debu semalam

GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi dijangka meletus selama beberapa bulan, kata seorang ahli vulkanologi pemerintah, Subandrio semalam.

Amaran itu diberikan semasa 50,000 penduduk masih berlindung di pusat perlindungan manakala sejumlah penerbangan ke Yogyakarta dibatalkan.

Semalam, Gunung Merapi itu meletus lagi sebanyak enam kali selepas subuh termasuk mengeluarkan lahar.

Letusan itu menyebabkan orang ramai panik manakala pemerintah memaklumkan syarikat-syarikat penerbangan untuk mengelak melalui kawasan tengah Pulau Jawa.

Hampir 40 orang terbunuh sejak Gunung Merapi itu meletus pada minggu lalu.

Setakat ini, tiada laporan kematian dalam letusan terbaru yang berlaku ketika Indonesia masih bergelut untuk menghantar bekalan kepada mangsa-mangsa tsunami di pedalaman Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.

Kedua-dua bencana itu telah menyebabkan hampir 500 orang terbunuh.

Pegawai-pegawai turut meningkatkan tahap amaran melibatkan sejumlah daripada 129 gunung berapi aktif di Indonesia dengan dua daripadanya diramal meletus dalam tempoh dua minggu manakala 19 yang lain menunjukkan peningkatan aktiviti sebanyak dua kali ganda.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk kampung yang berpindah kini bimbang mengenai keselamatan ternakan mereka selepas mereka terserempak dengan tapak kaki harimau di sekitar cerun Gunung Merapi semalam.

GAMBAR yang dirakamkan dari Kampung Cangkringan di Sleman menunjukkan Gunung Merapi di Pulau Jawa mengeluarkan lahar awal pagi semalam. Kosmo


No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails