Thursday, April 22, 2010

Ledakan gunung berapi Katla di Iceland dijangka lebih besar

PESAWAT berlepas dari lapangan terbang Frankfurt dengan ruang udara masih gelap akibat debu gunung berapi dari Iceland, semalam.

LONDON: Presiden Iceland, Olafur Grimsson dan saintis bimbang satu lagi gunung berapi diberi nama Katla, akan meletus sekali gus memburukkan semula keadaan.

Katla lebih besar dan hanya berlaku sekali setahun. Kali terakhir ia meletus ialah 1918, jadi kita perlu berwaspada. Sebab itu, kami ada pelan kecemasan. Kerajaan Eropah lain dan firma penerbangan juga perlu merancang lebih awal,” katanya. Katla terletak di sebelah timur gunung Eyjafjallajokull lebih kecil yang memuntahkan gumpalan debu ke ruang udara hingga melumpuhkan penerbangan antarabangsa.

Kadar debu hitam gunung berapi Iceland berkurangan dengan mendadak kelmarin, membenarkan pihak berkuasa mengurangkan sekatan ke atas penerbangan.

Bagaimanapun, gunung berapi terbabit mungkin meletup lagi dalam tempoh beberapa hari, minggu atau berbulan lamanya, kata pakar.

Jika berulang, debu itu mungkin kembali menyelimuti Britain dan bahagian utara Eropah, menyebabkan pesawat terkandas semula. Selepas beberapa hari aktiviti letupan, gunung berapi Eyjafjallajokull mula tenang, semalam.

Awan debu minggu lalu amat dramatik dan terlalu tinggi di atmosfera kerana bahagian atas gunung berapi terbabit dilitupi lapisan ais yang tebal.

Kombinasi air dan ais dalam lahar yang meletus menjana letupan kuat yang menyebabkan gumpalan debu beribu-ribu meter tinggi. Sumber Berita Harian

@@@@@@@@@@@

Berita dan gambar di bawah daripada : Kosmo

GAMBAR menunjukkan lahar yang keluar dari Gunung Eyjafjallajokull di Iceland semalam.

REYKJAVIK, Iceland - Sebuah gunung berapi meletus dengan mengeluarkan lahar berhampiran kawasan glasier di selatan Iceland menyebabkan 450 penduduk dipindahkan semalam.

Tiada kecederaan atau kemusnahan dilaporkan di sekitar gunung berapi Eyjafjallajokull yang meletus itu namun darurat diisytiharkan kerana para saintis gusar ia mungkin boleh mengakibatkan letusan lebih kuat di gunung berapi Katla.

"Ia merupakan letusan kecil dan tidak berbahaya. Namun, kami bimbang letusan itu akan mencetuskan satu lagi letusan dari gunung berapi berhampiran iaitu Katla yang boleh memberi kesan terhadap penduduk setempat dan global," kata seorang ahli geofizik di Institut Sains Bumi, Universiti Iceland, Pall Einarsson.

Pihak berkuasa bimbang letusan yang berlaku 160 kilometer persegi dari glasier Eyjafjallajokull boleh mengakibatkan banjir jika ais di kawasan sekitarnya cair.

Namun kajian yang dilakukan semalam menunjukkan letusan berlaku di kawasan yang tidak mempunyai ais.

Pihak Pengurusan Penerbangan Awam Iceland telah mengarahkan kapal terbang untuk berada 120 batu nautika dari kawasan gunung berapi ekoran masalah penglihatan.

Semua penerbangan domestik telah dibatalkan.

Tiada letusan dicatatkan di sekitar glasier Eyjafjallajokull sejak tahun 1821. - AP



Kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi di mana-mana sekarang ini bolehlah kita ambil iktibar kerana kisah asap tebal yang membawa bala bencana telah disebutkan di dalam Al-Quran dalam surah ke 44 yang dinamakan Ad-Dukhan yang membawa maksud asap tebal dan juga hadis yang dinyatakan di bawah.

(Mereka tidak meyakini kebenaran yang dijelaskan kepada mereka), bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara agama. Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata): Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan. (Ad-Dukhan [44] 9 hingga 11) .

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata: "Datang kepada kami Rasulullah SAW dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu baginda bersabda: "Apa yang kamu perbincangkan?". Kami menjawab: "Kami sedang berbincang tentang hari kiamat". Lalu Nabi SAW bersabda: "Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya". Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka".(H.R Muslim)

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails