Bandar lombong Australia dilanda gempa bumi kuat
PERTH 20 April - Gempa bumi dengan kekuatan 5.0 pada skala Richter berlaku di wilayah lombong emas utama Austalia di barat negara itu hari ini menyebabkan bumbung beberapa bangunan ranap dan langkah memindahkan mereka yang berada di lombong, sekolah dan hospital dilakukan serta-merta.
Bagaimanapun tiada laporan kecederaan diterima setakat ini.
Menurut Geosains Australia, gempa bumi itu berlaku pada pukul 8.17 pagi ini kira-kira enam kilometer di barat daya bandar Kalgoorlie-Boulder.
Bumbung-bumbung di hospital dan lain-lain bangunan ranap manakala balkoni beberapa hotel juga jatuh.
Pakar kaji gempa Geosains Australia, David Jepsen berkata, gempa itu berlaku di kawasan yang agak cetetk dan ia mampu dirasakan beberapa ratus kilometer.
“Ini adalah gempa paling kuat berlaku dalam tempoh 25 tahun di wilayah ini dan ia mungkin terbesar sejak kami membuat rakaman,” kata Jepsen.
Kesemua lombong telah dipindahkan dan semua pelombong telah diberikan penjelasan, kata Paul Howes dari Kesatuan Sekerja Australia kepada Sky News Australia.
“Kami akan pastikan tiada lombong dibuka sehinggalah kami selesai membuat pemeriksaan semua tahap keselamatan,” kata Howes.
Lebih 50 lombong beroperasi di Kalgoorlie, 595 KM di timur Perth, ibu negeri Australia Barat. “Super Pit” iaitu lombong emas terbuka terbesar di Australia mengeluarkan sehingga 24,097 kilogram emas setiap tahun.
Kawasan lombong itu ditemui pada 1893. - AP
Maklumat di bawah diambil di sini
Gempa Bumi Di Australia?
Sejarah membuktikan bahawa Australia yang terletak jauh dari kawasan Lingkaran Api Pasifik pun pernah mengalami gempa bumi. Antara yang terburuk pernah berlaku ialah di Meckering, Western Australia pada tahun 1968 dengan magnitud 6.8 skala Ritcher. Gempa bumi juga pernah berlaku di Newcastle pada tahun 1989 dengan magnitud 5.5. Pakar gempa bumi menganggarkan kejadian gempa bumi di Western Australia dan Newcastle akan sentiasa berlaku, masing -masing setiap lima dan dua tahun.
Namun begitu, Adelaide diperakui sebagai kawasan paling kerap merasai gempa dalam tempoh 50 tahun berbanding bandar-bandar utama lain di Australia. Antara yang paling teruk pernah dicatatkan dalam sejarah ialah kejadian gempa 1 Mac 1954 yang terjadi dalam tempoh 30 saat dengan magnitud 5.5. Kerosakan akibat gempa tersebut dianggarkan sebanyak $350 juta.
No comments:
Post a Comment