Saturday, April 17, 2010

Kisah Syahid Fares Audah

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam Semua.

Artikel ini saya copy daripadaKisah syahid si cilik Palestin jadikan iktibar Oleh Al Amin Mohamed Sultan - Berita Harian


2010/04/17


BUKAN setahun dua tetapi pencerobohan haram Yahudi ke atas tanah orang Islam Palestin berlaku sejak 1948 lagi. Kejadian itu mengubah keseluruhan landskap negara berdaulat yang disemai dengan kasih sayang serta menyimpan pelbagai nostalgia silam sehingga terdedah kezaliman dan penindasan berterusan. Sudah sekian lama tidak kelihatan ketenangan dan kedamaian tetapi dipenuhi tangisan dan darah.


Mari kita renungkan cerita yang membuka mata seluruh dunia dengan tindakan cekal seorang remaja dalam membuktikan semangat orang muda iaitu kisah syahidnya Fares Audah, 12, si cilik dari kem pelarian Jabalia di Palestin.


Kisah bagaimana keberanian seorang remaja menyahut panggilan intifada dengan hanya menggunakan batu sebagai senjata untuk mempertahankan bumi anbia dan tempat kiblat pertama umat Islam. Serangan ditujukan bukan kepada burung atau kucing tetapi kereta kebal Yahudi yang menyerang dan menghancurkan tanah lahirnya.


Itulah rutin harian Fares Audah selepas balik sekolah bersama rakan sebaya. Walaupun ibunya sering kali risau tindakannya, tetapi dia menjawab: “Kenapa kita tidak boleh menyerang mereka, sedangkan mereka menyerang kita.”


Malah tindakan itu menyebabkan Yahudi takut dan berundur akibat balingan batu ini. Selepas 40 hari bertempur dengan kereta kebal Yahudi menjadikan Fares Audah sebagai ancaman kepada Yahudi. Ketika tangan kanan kuat menggenggam batu berdepan muncung kereta kebal Yahudi Laknatullah, tentera Yahudi menggunakan ‘penembak curi’ yang menembaknya tepat di kepala.


Kematian Fares Audah disambut dengan parti memabukkan oleh tentera Yahudi bagi meraikan kemenangan ke atas si cilik bertuah yang bergelar as-Syahid. Itulah kisah pengorbanan agung seorang remaja hasil didikan dan pemahaman yang betul.


Itu kisah terpuji di negara perang yang sudah lama tidak kenal erti kedamaian, kesejahteraan serta kasih sayang keluarga yang kurang akibat kematian orang tersayang. Di sana tiada sistem persekolahan teratur dan seribu macam masalah lagi. Jadi, bagaimana pula remaja kita yang sepatutnya lebih hebat daripada yang diceritakan kerana kita sentiasa dalam keamanan, kesenangan dan kesejahteraan serta penuh teknologi dan seribu macam lagi keselesaan.


Bagaimana dengan isu remaja tonggak pelapis di Malaysia? Jika hanya satu kisah Fares Audah yang dipersembahkan, apakah ada yang setandingnya dalam mempertahankan Islam dan perjuangan di bumi Malaysia tercinta ini?


Semua pihak perlu jelas dengan realiti remaja kita ketika ini yang terlalu dimanjakan. Kita juga kurang fokus terhadap mereka berhubung sistem atau acuan yang benar-benar mantap untuk membentuk pemahaman, jati diri dan rasa tanggungjawab. Kita lihat pengaruh hedonisme atau menjadikan falsafah keseronokan dan hiburan sebagai matlamat hidup. Ini menjadikan hilangnya nilai ketimuran dalam tindak-tanduk remaja. Ini belum lagi kisah remaja semuda 12 tahun menubuhkan kumpulan black metal dianggotai rakan sebaya seperti pernah dilaporkan berlaku di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimana perbandingan antara semangat, wawasan dan ketaatan Fares Audah dengan remaja di Malaysia pada usia mereka yang sebaya? Satu persatu boleh dirungkai. Jika di Palestin, menuntut ilmu sangat dititikberatkan sehingga batu dijadikan pensil manakala tanah dijadikan kertas dalam kesungguhan anak kecil di sana menuntut ilmu walaupun dalam keadaan perang. Yang menjadi dinding bukan binaan indah tetapi khemah pelarian tidak beratap. Kawasannya penuh habuk dan kesan kimia daripada penggunaan senjata Yahudi, bukannya selesa dengan keadaan berhawa dingin. Mereka mendesak pengganas, ti dak dihiraukan perkara lain sehingga belajar di bawah muncung senapang yang sentiasa diacukan kepada mereka.

Lain kisahnya di negara kita. Walaupun disediakan sistem yang tersusun, guru yang ramai dan berkelayakan, sumber dan bahan rujukan lebih daripada mencukupi, kemudahan internet, kawasan pembelajaran yang efektif dan kondusif serta pelbagai kemudahan terus meletakkan remaja di zon selesa tetapi apa yang terjadi pada mereka?

Gejala lepak berterusan tanpa sebarang rasa tanggungjawab terhadap ilmu dan masa depan. Ini ditambah pembabitan dalam gangsterisme, berjudi, melawan guru, penyalahgunaan dadah, mencabul kehormatan dan pelbagai lagi. Jika ditunjukkan statistik, pasti semua pihak akan terus menuding jari dan menggeleng kepala melihat teruknya tahap pemikiran, pemahaman dan perlakuan sebahagian besar remaja kita.

Adakah kita tidak mengambil iktibar bagaimana dalam keadaan perang yang sangat dahsyat, Palestin bersungguh-sunguh menerapkan ilmu agama dan berjaya melahirkan 15,000 anak Palestin yang hafiz al-Quran.

“Pemimpin kami mendapat tarbiyah daripada Masjid Al-Aqsa dan kami pula mengajar anak-anak Palestin. Musim luruh lalu, kami berjaya lahirkan 15,000 anak-anak Palestin yang hafiz al-Quran.” Demikian antara petikan kata pemimpin Hamas, Sami Abu Zuhri, yang menceritakan antara kejayaan perjuangan pertubuhan Islam itu selain membebaskan bumi Anbia daripada rejim Zionis Israel.

Di mana kita dan di mana mereka? Banyak lagi perkara memalukan yang tidak mampu kita tempuh dan remaja terus dilalaikan dengan pelbagai perkara lagi.

Penulis (Al Amin Mohamed Sultan) ialah Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM), kini tutor di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, UTeM.

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails