ORANG ramai berkumpul di |
Gempa di pusat bandar dirasai sehingga ke Toronto
25 Ogos 2011
WASHINGTON: Gempa bumi luar biasa melanda bahagian pantai timur Amerika dan Kanada kelmarin, menggegarkan bangunan dan memaksa pengosongan bangunan pejabat di beberapa bandar dan menangguhkan penerbangan di New York.
Pada masa sama, pihak berkuasa memulakan langkah berjaga-jaga berikutan taufan Irene yang sedang bergerak dari Caribbean dan dijangka membadai wilayah itu hujung minggu ini.
Tiada sebarang laporan kemusnahan teruk atau kecederaan akibat gempa bumi dengan magnitud 5.9 yang dilaporkan Jabatan Geologi Amerika Amerika sebagai berpusat di Mineral, Virginia pada kedalaman satu kilometer.
Tiga menara di Gereja Nasional Washington, kawasan perkuburan negeri untuk beberapa Presiden Amerika Syarikat rosak dan patah, manakala tempat kongres bersidang, US Capitol mengalami kerosakan kecil kelmarin akibat gempa bumi.
Pengarah komunikasi gereja Episcopal, Richard Weinberg, berkata menara pusat setinggi 30 tingkat mengalami kerosakan ketara dengan tiga corak bunga lili pecah dan jatuh.
Gereja Nasional dengan berat 150,000 tan dan dibina menggunakan batu kapur dan mengambil masa 83 tahun untuk disiapkan adalah puncak yang tertinggi di Washington.
Kakitangan Pentagon dan US Capitol diarah mengosongkan bangunan. Pekerja pejabat yang panik keluar ke jalan di bandar itu selepas waktu makan tengah hari yang menyebabkan peralatan pejabat jatuh dari rak serta tempat penyimpanan.
“Kami dapat berasa gegarannya,” kata Larry Beach yang bekerja di Agensi Perkembangan Antarabangsa Amerika Syarikat di pinggir Washington, yang terletak kira-kira 133 kilometer dari pusat gempa.
Di NEW YORK, gegaran turut memaksa mahkamah dan majlis bandaran dikosongkan, manakala kerja pembinaan di tapak Pusat Dagangan Dunia ditangguhkan.
Menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di bandar raya New York dan Lapangan Terbang Newark Liberty di New Jersey turut dikosongkan dan penerbangan ditangguhkan sementara pihak berkuasa memeriksa menara kawalan dan landasan.
“Kami harap dalam menyambung operasi. Kami bercakap mengenainya berjam-jam,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey.
Tidak jelas sama ada sebarang kerosakan atau kecederaan di New York, tetapi jabatan bomba dan pegawai polis di Dutchess County, utara bandar raya New York melaporkan kerosakan struktur pada sesetengah bangunan.
“Kami menerima banyak panggilan mengenai bangunan bergegar, tetapi tiada laporan kerosakan struktur buat masa ini, hanya orang ramai yang panik menghubungi mengenai bangunan bergegar,” kata jurucakap jabatan Bomba bandar raya New York.
Bangunan di Boston turut dikosongkan, sementara saksi memberitahu yang gempa turut dirasai sejauh Toronto.
Lampu trafik juga tidak berfungsi di seluruh Washington dan unit di loji nuklear Virginia turut terputus berikutan gempa itu. – Bernama
Berita Harian
No comments:
Post a Comment