Tuesday, April 19, 2011

New Zealand dilanda gempa


New Zealand dilanda gempa 6.6 Skala Richter
19/04/2011 2:50am

WELLINGTON 19 April – Gempa bumi kuat di bawah laut berukuran magnitud 6.6 melanda pantai timur laut New Zealand hari ini, lapor Pusat Pantauan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Dalam pada itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami namun tiada sebarang ancaman dilaporkan.

Menurut USGS, gempa tersebut berlaku pada pukul 11.03 malam waktu Malaysia di 550 kilometer timur Auckland dengan pusat gempa sedalam 90 kilometer. – AFP

Peserta luar negara sertai Imam Muda 2


PARA peserta Imam Muda musim kedua yang bakal bersaing merebut gelaran Imam Muda Unggul.
IMAM MUDA, program realiti terbitan Astro Oasis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang berjaya menarik perhatian dunia, sekali gus memecah tradisi program-program berkonsep keislaman yang selama ini dipandang sebelah mata atau dikategorikan sebagai program kelas kedua.

Namun siapa sangka gelombang baru yang dicetuskan menerusi Imam Muda tidak sahaja mengubah pandangan skeptikal khususnya, penonton di Malaysia terhadap program Islamik tempatan.

Bahkan, tempias kejayaannya turut membuka mata masyarakat Islam luar negara akan potensi dunia penyiaran dalam medium dakwah, apatah lagi yang menjurus kepada golongan muda.

Menamatkan program Imam Muda musim pertama secara bergaya pada Julai tahun lalu dengan menobatkan Imam Muda Muhammad Asyraf Mohamad Ridzuan sebagai juara pertama, secara tidak langsung menjadi testimoni dalam usaha penerbitan lebih banyak program ilmiah dan tidak tertumpu kepada elemen hiburan semata-mata tetapi dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial.

Malah, ia sekali gus akan memartabatkan status imam serta memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang perlu dipikul dan menjadi pemangkin kepada kelahiran imam muda yang versatil dan relevan kepada komuniti.


Lantaran itu, bermula awal tahun 2011 selama dua bulan krew produksi Imam Mudamenjelajah ke enam lokasi iaitu ke Johor Bahru, Kota Bharu, Alor Setar, Kuantan, Kota Kinabalu dan berakhir di Kuala Lumpur.
Ia dalam usaha mencari 10 lagi calon Imam Muda bagi musim keduanya. Uniknya, pencarian kali ini, terbuka kepada peserta luar negara.

Malam tadi, bertempat di Dewan Muktamar, Pusat Islam diumumkan 10 peserta yang berjaya menginjakkan kaki ke akademi yang penuh prestij ini.

Sabtu lalu kumpulan pemuda yang mempunyai latar belakang dan kerjaya berbeza ini diserahkan kepada Mudir Imam Muda musim kedua, iaitu bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Mahmud al-Hafiz dalam majlis penyerahan secara tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Biarpun ia serba ringkas namun sarat dengan pelbagai mainan perasaan terutamanya pada saat penyerahan ahli keluarga dan tidak ketinggalan isteri untuk melepaskan insan tersayang, waima dalam tempoh tiga bulan.
Namun, hanya iringan air mata kegembiraan dan restu serta keredaan mereka menjadi pemangkin semangat kepada 10 peserta Imam Muda ini, demi mengejar impian dan cita-cita bergelar Imam Muda unggul.
Bunyinya gah bukan! Imam Muda Unggul. Pun begitu, 10 peserta yang terpilih ini, dua adalah dari negara jiran iaitu Singapura dan Brunei. Mereka akan dihimpunkan di bawah satu bumbung, mengharungi segala suka duka bersama serta berjuang secara sihat, bukan atas tiket peribadi tetapi memartabatkan agama Islam yang syumul.

Mega, Utusan Malaysia berpeluang mewawancara tiga peserta yang akan berkongsi perasaan mereka dalam menjalani satu pengalaman baru sebagai persiapan melahirkan pelapis tokoh agama masa hadapan serta persediaan diri kelak dinobatkan Imam Muda unggul...

Sunday, April 17, 2011

Matlamat Sebenar Kehidupan


Adalah menjadi arahan Allah SWT kepada seluruh Muslimin untuk mengikuti syara'. Hanya mereka yang mematuhi syara' yang akan beruntung. Keuntungan tersebut bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Hal ini akan berlaku dalam semua suasana dan ketika sekiranya syara' dipatuhi.

Untuk mengikuti syara' perlulah kepada matlamat yang terang. Matlamat yang terang perlu berhubung dengan keimanan kepada Allah SWT. Hanya matlamat yang berhubung dengan Allah SWT yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sejati.

Seluruh tenaga, masa, fikiran dan wang ringgit yang kita gunakan  akan menjadi  sia-sia sekiranya kejelasan matlamat tidak tercapai. Matlamat hidup yang tidak jelas berlaku secara berleluasa dalam reliti masyarakat kita hari ini. Membiarkan hal ini berterusan bererti kita mendedahkan masyarakat kepada kerosakan demi kerosakan.

Apakah Matlamat Sebenar Kehidupan Ini?

Mengetahui matlamat sesuatu perkara, amat penting dalam melaksanakan tugas, kerja dan ibadah setiap hari. Seorang pelajar yang faham matlamat belajar akan belajar bersungguh-sungguh. Seorang pekerja yang faham matlamat kerja, akan berusaha dalam kerjayanya. Pendek kata, orang yang jelas matlamatnya akan berusaha untuk mencapainya, merasa mudah untuk mencapainya kerana sudah jelas matlamatnya.

Terfikirkah kita sebelum ini apakah matlamat kehidupan manusia itu dijadikan? Menjadi seorang lelaki mahu pun perempuan, kecil, besar, tua, muda, miskin, kaya, remaja, dewasa dan sebagainya. Apakah matlamat hidup mereka? 

Sebagai muslim Al-Quran secara jelas memberitahu. Manusia tidak dijadikan sia-sia, ada matlamatnya walau di mana sekali pun kedudukan, zaman dan masa. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' : ayat 16

"Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala dan yang ada di antaranya secara main-main."

Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT sudah jelas matlamatnya seperti yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud;

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat" Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi?" Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata) "Adakah Engkau ( Ya Tuhan kami) hendaklah menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dan memujiMu dan mensucikanMu. Tuhan berfirman "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."

Manusia wajib taat dan patuh kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dengan mengikut ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah. Mereka hendaklah berusaha untuk meneruskan kehidupan mengikut acuan al-Quran dan sunnah. Yang jelasnya muslim adalah orang yang jelas hala tujunya menjadi hamba Allah yang berjaya mengikut peraturan sebagai khalifah di muka bumi walaupun diuji dengan pelbagai ujian dan halangan yang kadang-kadang di luar dugaan. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah ali-Imran ayat 14 yang bermaksud;

"Dihiaskan (dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda dari emas dan perak, kuada peliharaan, dan binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan ingatlah pada sisi Allah SWT ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (Syurga)."

Memahami tuntutan Qada' dan Qadar serta lumrah kehidupan samaada susah dan senang, penyakit, adalah ujian dari Tuhan dalam mencapai kejayaan hidup sebagai seorang muslim.

Realitinya matlamat ini bermula dari rumah. Ibu bapa mahupun penjaga yang mendidik anak-anak sebenarnya orang yang menginginkan masa depan anak-anak menjadi orang yang berjaya di dunia ini dan di akhirat kelak. Oleh yang demikian, mereka sepatutnya mempunyai matlamat yanga jelas dalam mendidik generasi mereka.

Lukman al-Hakim telah berpesan kepada anaknya dengan pesanan yang disebutkan di dalam al-Quran dalam surah Lukman ayat 17-19 yang bermaksud;

"Wahai anakku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala' bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkar-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan jaganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong takbur lagi membangga diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."

Marilah sentiasa meningkatkan keimanan kita dengan memahami matlamat yang sebenar kehidupan. Agama bukan sekadar ikutan(taklid), atau hanya untuk digunakan bagi sesuatu perkara seperti semasa perkahwinan, kematian dan sebagainya, sedangkan Islam meliputi seluruh kehidupan manusia. Sebagai contohnya sambutan maulidur rasul yang disambut setiap tahun bukan sahaja sambutan yang perlu dibesarkan tetapi sunnah nabi itu yang diutamakan.

Munasabah diri dari semasa ke semasa, sejauh mana kita yang dibekalkan dengan al-Quran dan as-Sunnah ini benar-benar mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Usah jadikan watak-watak hiburan semata-mata dalam mengajar dunia yang sementara ini sedangkan ia tidak diajarkan oleh sunnah Rasulullah SAW. Telitikanlah ajaran Islam melalui al-Quran dan hadis segala keperluan kehidupan ada di dalamnya.

Matlamat Sebenar Kejadian Manusia

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"
 (Surah Az-Zariyat 51: Ayat ke 56)

Sumber : iluvislam

Empat negara dilanda gempa


Gegaran tahap sederhana direkodkan di Jepun, Taiwan, New Zealand, Australia

TOKYO: Empat negara termasuk Jepun, Taiwan, New Zealand dan Australia dilanda gempa bumi pada kekuatan 5.2 hingga 6 skala Richter awal semalam dan gegarannya turut dirasai di beberapa bandar besar.

Gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter dikesan di wilayah Kanto, kawasan mengelilingi ibu kota Tokyo pada jam 11.19 pagi waktu tempatan, kata Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Agensi berita Kyodo melaporkan, pusat gempa itu terletak 70 kilometer di kawasan selatan wilayah Tochigi, katanya. Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Loji nuklear Fukushima yang terletak di utara wilayah Ibaraki melaporkan tiada masalah besar setakat ini dan air terus dipam ke reaktornya, kata Tokyo Electric Power Co (TEPCO).

Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api laju Shinkansen dihentikan buat sementara di antara Tokyo dan Odawara, wilayah Kanagawa, selepas bekalan elektrik terputus, kata Central Japan Railway Co.

Satu lagi gempa berlaku lebih awal iaitu di Pulau Honshu pada kekuatan 6 skala Richter dan gegarannya turut dirasai di Tokyo.

Di Taipei, Biro Cuaca Tengah Taiwan berkata, gempa bumi berskala sederhana dengan bacaan 5.7 skala Richter melanda pantai timur laut pulau itu tetapi tiada sebarang kemusnahan dilaporkan.

Gempa bumi itu berlaku jam 9.11 pagi di tengah laut kira-kira 250 kilometer pantai timur laut ibu negara, Taipei dengan kedalaman 140 kilometer.

Di Australia, beberapa bandar di timur lautnya termasuk Townsville, Queensland turut merasai gegaran akibat gempa bumi yang dengan 5.2 skala Richter yang terjadi kira-kira 9.6 kilometer di bawah dasar laut, kira-kira 128 kilometer dari bandar pesisir pantai itu.

“Anak perempuan saya ketakutan hingga duduk di sebelah saya sambil melihat tingkap rumah bergegar,” kata ahli perbandaran Townsville, Natalie Marr.

Selain itu, gempa bumi dengan kekuatan 5.2 skala Richter turut melanda New Zealand bertempat di bandar Christchurch yang menyebabkan bekalan elektrik terpaksa dihentikan kepada beribu-ribu rumah.

Gegaran terbaru, bagaimanapun, jauh lebih lemah berbanding yang terjadi pada 22 Februari lalu yang menyebabkan 169 orang terbunuh. – Agensi/AP  

USM hasilkan ubat kumur bantu cegah kanser mulut

2011/04/15
GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan ubat kumur halal daripada akar pokok bonsai Kesinai yang boleh digunakan untuk mencuci dan mencegah penularan kanser mulut.

Penemuan dibuat Dr Md Azman PKM Seeni Mohamed dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) itu memberi pilihan kepada orang ramai berbanding ada ubat pencuci mulut yang turut mengandungi alkohol. 

Ubat kumur ciptaan Dr Md Azman yang diberi nama ‘SA-Cleanse’, yang dijangka berada di pasaran tidak lama lagi, dihasilkan daripada rebusan akar pokok Kesinai, sejenis tumbuhan herba. 

Berdasarkan ujian makmal yang dilakukan ke atas sel manusia, bahan itu boleh membunuh bakteria mulut seperti Streptococus Sobrinus, merencatkan pertumbuhan kanser tulang dan kanser lidah serta tiada kesan membunuh sel normal atau kesan mutasi.

Produk itu sudah dipatenkan dan mendapat kelulusan Biro Farmaseutikal Negara. Sebuah syarikat tempatan dijangka akan mengeluarkan produk itu secara komersial tidak lama lagi dan dijangka dijual pada harga antara RM12 hingga RM20 bagi setiap botol bersaiz 250ml.

Bercakap pada sidang media di USM di sini, semalam, Dr Md Azman berkata, hasil kajiannya sejak 2009 dengan kos RM45,000 dengan bantuan pelajar peringkat sarjana, Nur Ayunie Zulkepli dan Ridhwan A Wahab (PhD), adalah pertama seumpamanya di dunia.

“Selain mematikan bakteria mulut, ubat kumur ini menghilangkan bau mulut, mengurangkan dan mencegah bengkak gusi, serta membantu mencegah kanser mulut untuk golongan berisiko tinggi seperti perokok,” katanya.

Dr Md Azman berkata, produk yang dihasilkan itu juga membuka lembaran baru kepada pengguna kerana tidak perlu risau mengenai status halalnya, selain pilihan kepada mereka yang menghidap penyakit kanser mulut.

Mengikut statistik dikeluarkan pada 2005, wanita Malaysia menduduki tangga ketiga paling ramai penghidap penyakit kanser mulut di dunia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selain akar, daun dan ranting pokok Kesinai juga bermanfaat untuk perubatan pada masa depan.

Justeru, kajian akan dilakukan terhadap kegunaan daun dan ranting Kesinai bagi mencegah kanser mulut, kesihatan mulut, kanser pangkal rahim, penyakit prostat dan kesihatan wanita (kosmetik)

Bonsai Kesinai

Kelkatu petanda cendawan busut


Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN 

PAGI itu suasana dingin dan hening menyeliputi Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak. Tanah masih belum terang, embun pagi juga belum berhenti menitik.

Namun, di sebalik deretan pokok kelapa sawit yang disempadani parit-parit kecil, kelihatan susuk tubuh milik Mohd. Shaiful Isa, 28, sedang tekun mengutip cendawan busut.

Dengan bantuan cahaya dari motosikal miliknya, pantulan cahaya putih daripada cendawan memang jelas kelihatan.

“Dalam keadaan yang redup sebegini, kerja mengutip lebih mudah kerana pantulan warna cendawan senang dilihat berbanding pada waktu cerah.

“Kerja mengutip cendawan memang dilakukan pada awal pagi kerana ia perlu diasing-asingkan dan dibersihkan sebelum boleh dijual di pasar,” jelas Shaiful, anak peroka di Felda ini.

Selesai mengutip di tepi parit kecil, dia beralih pula ke satu kawasan busut yang hampir dilitupi dengan cendawan berkepala bulat tersebut.

Struktur tanah yang agak lembut di kawasan berkenaan memudahkan lagi kerja-kerja mencabut cendawan, sekali gus rentak tangannya semakin tangkas.

Kelkatu

“Kalau tumbuh di tanah lembut, cendawan boleh dicabut hingga ke akarnya. Begitu juga jika ia tumbuh di tanah berpasir.

“Jika tumbuh di tanah keras, batang cendawan yang panjang biasanya mudah patah semasa dicabut,” katanya yang mengutip cendawan liar hampir 10 busut sehari ketika musim cendawan tumbuh.

Cendawan busut merupakan cendawan boleh dimakan yang tumbuh meliar selalunya di ladang kelapa sawit dan kebun getah. Antara lokasi terkenal yang menjadi rumah kepada tumbuhan jenis kulat ini sekitar Perak dan Negeri Sembilan.

Musim yang cukup sinonim dengan cendawan busut di Felda Gunung Besout ialah pada setiap awal tahun bermula bulan Januari hingga awal Mac dan hujung tahun di antara bulan November hingga Disember.

KERJA pembersihan dilakukan segera bagi memastikan cendawan dapat dipasarkan pada hari yang sama ia dikutip.
 
Ia juga boleh tumbuh di luar musim namun hasilnya tidak sebanyak awal dan hujung tahun. Bagaimanapun, tarikh sebenar bila cendawan akan tumbuh, tiada siapa yang dapat mengetahui dengan tepat dan jelas.

“Kehadiran cendawan di sini memang bergantung pada hujan. Mungkin betul pepatah yang mengatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Namun, tidak semua hujan boleh menghasilkan cendawan. Kebiasaannya, cendawan muncul apabila hujan turun pada waktu malam dan keesokannya cuaca panas terik.

“Jika rutin cuaca seperti ini berulang selama tiga hari berturut-turut, kemungkinan besar cendawan akan tumbuh.

“Satu lagi petunjuk yang boleh dijadikan petanda ialah hujan yang mengundang kehadiran kelkatu.

“Jika banyak kelkatu, mungkin dalam masa tiga, empat hari lagi, cendawan akan tumbuh,” jelas Shaiful yang pernah mengutip dan menjual 120 kilogram (kg) cendawan busut sehari.

Jangka hayat cendawan yang hanya mampu bertahan selama empat hari sering memberikan keterujaan kepada para penduduk di Felda berkenaan untuk turun ke ladang dan mencari cendawan.

“Apabila sudah ada tanda-tanda cendawan tumbuh, saya akan meronda ke lokasi yang menjadi tempat kebiasaan cendawan busut tumbuh.

“Jika ada topi cendawan yang keluar dari tanah, kami akan tandakan kawasan tersebut dan datang semula esok pagi untuk mengutipnya,” ujar Shaiful.

Menurutnya lagi, hari tuaian terbaik ialah pada hari kedua. Jika cendawan dikutip pada hari pertama, ia masih terlalu kecil, jika hari ketiga pula, topi cendawan sudah besar dan hampir kembang.

Pada hari keempat pula, biasanya topi cendawan sudah mengembang.

“Jika dikutip pun, kami tidak menjualnya, cuma makan sendiri.

“Selalu juga kami terlepas musim cendawan kerana tidak ramai yang boleh menyedari kehadiran cendawan busut pada hari pertama, sedar-sedar ia sudah kembang,” kata Shaiful yang juga merupakan peraih cendawan di sekitar Felda tersebut.

Memiliki kepakaran mencari lokasi tumbuhnya cendawan busut, minatnya itu lahir selepas sering mengikut abang dan ayahnya mencari dan menjual cendawan sejak kecil lagi. Malah, bapanya, juga seorang peraih cendawan.

Abang Shaiful, Ahmad Razak Isa, turut menjadikan cendawan busut sebagai pendapatan sampingan yang lumayan.

“Jika musim lebat, saya mampu membeli lebih kurang satu tan cendawan busut daripada warga Felda. Hasilnya pula akan dijual di pasaran luar, biasanya di Ipoh dan Rawang.
 
Pantang dibasuh

SELEPAS dicabut, cendawan akan dibersihkan dan diasingkan mengikut gred sebelum dijual di pasar.
“Memandangkan ia tidak tahan lama, proses pembersihan dan pengasingan perlu dilakukan sejurus ia dicabut supaya ia dapat dijual pada hari yang sama,” katanya.

Tambahnya lagi, jika cendawan busut dijual hingga ke Rawang, maknanya musim cendawan di Besout benar-benar menjadi.

Menurut rakan Shaiful, Mohd. Roslan Salleh, 27, mereka mempunyai cara tersendiri untuk membersihkan cendawan busut.

“Jangan sekali-kali gunakan air untuk membersihkan cendawan melainkan jika sudah mahu dimasak. Cukup sekadar bersihkan tanah dan pasir yang melekat di cendawan. Membasuh dengan air akan menjadikannya cepat rosak dan buruk,” katanya.

Selepas proses pembersihan dijalankan, cendawan akan dikumpulkan mengikut gred berdasarkan hari ia dikutip.

“Biasanya kerja mengutip akan dilakukan pada awal pagi. Ia kemudiannya terus dibawa ke rumah untuk dibersihkan dan diasingkan mengikut gred.

“Kebanyakan cendawan tumbuh pada hari yang sama, tetapi ada juga cendawan yang lewat sehari dua.

“Cendawan yang dicabut pada hari kedua adalah cendawan terbaik kerana teksturnya yang masih sedikit keras dan kenyal.

“Harganya juga lebih tinggi dan dijual mengikut kg. Untuk gred bagus, ia akan dijual pada harga di bawah RM20 sekilogram.

“Untuk cendawan yang dikutip sudah memasuki hari ketiga atau keempat, biasanya ia akan dijual longgok, sekitar RM5 hingga RM8 selonggok,” katanya yang mengakui cukup seronok menjual cendawan jenis liar ini.

Menurut Roslan, memandangkan ia sukar ditemui dan tidak dapat diketahui bila ia akan tumbuh, jualan cendawan busut biasanya sangat laris.

“Mungkin sebab ia jarang ada, apabila kita buka gerai jualan, tidak sampai tiga jam, hasil jualan beratus kilogram pun dapat dihabiskan, apatah lagi jika cuma geng-geng kita yang menjual di situ.

“Kalau buka gerai di tepi jalan, memang orang akan berkerumun bila mengetahui kami menjual cendawan busut di situ,” katanya.

Cendawan yang menjadi kegemaran ramai ini sememangnya enak dijadikan juadah pembuka selera. Teksturnya yang tebal sudah tentu menghadirkan rasa puas tatkala mencicip batang ataupun topi cendawan liar ini.

Rasanya manis dan baunya juga harum. Bukan sekadar itu, keenakannya memang tidak dapat dinafikan malah sesuai dengan apa jua masakan sama ada goreng tepung, sup, tomyam, masak lemak kunyit mahupun dijadikan campuran dalam hidangan masakan panas seperti mi hailam.

Elak makan telur mentah






TELUR masih lagi merupakan makanan utama rakyat Malaysia.

Oleh ADLAN JAAFAR

MINGGU lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan Persatuan Pengguna Pulang Pinang (CAP) mengenai kewujudan telur tiruan di pasaran.

Menurut Presidennya, S.M. Mohamed Idris, telur tiruan tersebut mengandungi pelbagai bahan kimia seperti natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna lemon.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin kemudian mengesahkan ujian yang dilakukan terhadap sampel telur ayam tiruan yang dirampas dari sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang itu mendapati ia tulen.

Sihat

Telur itu memiliki saiz yang luar biasa di samping bentuknya tidak bulat dipercayai berlaku disebabkan penyakit.

Kekalutan yang timbul daripada isu telur tiruan itu membuktikan telur masih penting dalam diet harian rakyat Malaysia.

Sebelum ini, telur dianggap salah satu makanan paling mengelirukan dari segi kesihatan.

Mula-mula ia dikatakan sihat dan sumber protein. Kemudian, telur didapati mengandungi kolesterol dan semua orang beranggapan mengambil telur akan menyebabkan mereka diserang sakit jantung.

Tidak lama selepas itu, penemuan membuktikan kolesterol dalam telur adalah ‘neutral’ dan kita disarankan mengambil beberapa biji telur sehari.

Namun, penemuan pada tahun 2008 oleh penyelidik di Universiti Harvard, Amerika Syarikat mendapati pengambilan sebanyak tujuh biji atau lebih telur dalam seminggu meningkatkan risiko kematian.

Daripada 21,000 lelaki yang dikaji selama lebih 20 tahun mendapati 1,550 orang diserang sakit jantung, 1,342 mendapat strok dan 5,000 meninggal dunia.

Di Malaysia, sukar untuk menentukan secara tepat bilangan telur yang diambil oleh rakyat negara ini kerana mereka turut mengambilnya secara tidak langsung seperti dalam kuih-muih, roti dan makanan lain.

Bagaimanapun, perangkaan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan pada tahun lalu sebanyak 10 bilion biji telur ayam dan itik dihasilkan di negara ini.

PENGHIDAP penyakit kardiovaskular disarankan mengambil bahagian putih telur sahaja.

Tiga biji

Menurut pakar pemakanan dari Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Shariza Abd. Razak, apa sahaja makanan yang diambil secara tidak terkawal ditambah gaya hidup yang tidak sihat pasti mendatangkan risiko penyakit kepada individu terbabit.

Beliau menasihatkan pengguna supaya mengambil tidak lebih daripada tiga biji telur ayam seminggu.
“Bagi mereka yang tidak menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi dan hiperlipidemia atau penyakit kardiovaskular, mereka tidak perlu mengikut had yang disarankan, cukup dengan mengambil makanan seimbang.

“Malah kajian terbaru mengatakan pengambilan telur bagi individu normal membantu mengimbangkan kandungan kolesterol dalam badan,” ulasnya.

Telur juga mengandungi kesemua asid amino yang diperlukan oleh badan selain vitamin A, B12, D, asid folik, kolina dan kalsium.

Ia juga mengandungi asid lemak omega 3 yang membantu meningkatkan kandungan kolesterol baik dan mengurangkan risiko sakit jantung.

“Sungguhpun begitu, jika seseorang menghidap penyakit kardiovaskular tetapi sangat meminati telur, mereka disarankan mengambil bahagian putihnya sahaja.

“Pengambilan secara mentah pula tidak digalakkan kerana berkemungkinan mengandungi kuman Salmonella yang boleh menyebabkan keracunan makanan,” ujar Shariza lagi.

Shariza menambah, sebaik-baiknya telur direbus dan tidak digoreng kerana ia akan menambah kandungan lemak dan kalori.
DUA biji telur untuk sarapan pagi pasti mengenyangkan.
Sejak dahulu lagi, telur sering dikaitkan sebagai salah satu makanan afrodisiak dan mampu meningkatkan tenaga seksual kaum lelaki lebih-lebih lagi telur ayam kampung yang bebas kimia.

Bagaimanapun, Shariza berkata tiada bukti saintifik mengatakan telur dapat meningkat kesihatan seksual.
Tetapi secara logik, jika kita makan makanan yang berzat, tubuh akan berfungsi secara optimum.

Seksual

“Telur pula merupakan makanan lengkap yang diperlukan oleh badan, jadi pengambilannya boleh menyihatkan tubuh,” katanya.

Bagi atlet bina badan, telur merupakan makanan yang disyorkan kerana kandungan proteinnya.

Namun, ia juga perlu disertakan dengan corak pemakanan yang betul dan rutin senaman yang berkala bagi membina otot.

Shariza menambah, bagi mereka yang sentiasa mengalami kekangan waktu untuk mengambil sarapan, mereka disarankan mengambil sebiji telur sehari.
“Ia sudah cukup untuk membekalkan sebanyak 70 kalori dan mengenyangkan,” katanya.
Sebiji telur dianggarkan mengandungi lima gram protein serta merangkumi 12 peratus daripada keperluan protein harian.

Jika pengambilan protein terlalu tinggi, ia akan menyebabkan penghasilan keton.

“Keton merupakan bahan toksik kepada tubuh yang boleh mengakibatkan ginjal dan buah pinggang mengalami beban untuk mengeluarkannya daripada badan.

“Selain itu, ia akan memberi tekanan terhadap jantung dan berhadapan risiko penyahhidratan akibat proses tersebut,” kata Shariza lagi.

Namun, risiko pengambilan lebihan protein adalah rendah kecuali kepada atlet yang terlibat dengan sukan tertentu kerana mereka memerlukan protein dalam jumlah yang besar.

Di pasaran, banyak produk telur didakwa memiliki kandungan asid lemak omega 3 yang baik untuk kesihatan.

Menurut Shariza, telur tersebut biasanya mempunyai kandungan omega 3 tinggi sedikit daripada telur biasa.
Ulasnya, telur tersebut terhasil oleh cara penternakan ayam melalui pemberian makanan yang telah diformulasikan.

“Jika individu yang serius untuk meningkatkan pengambilan omega 3, lebih baik mereka mengambil hidangan ikan kerana ikan mengandungi asid lemak itu dalam kadar yang lebih tinggi,” ulasnya.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails