Thursday, December 22, 2011

Lokasi tempat ramalan kiamat jadi tumpuan

Reuters GAMBAR fail menunjukkan lokasi peninggalan tamadun Mayan di Chiapas, Mexico.


BANDAR RAYA MEXICO - Agensi Pelancongan Mexico menjangkakan dapat menarik kehadiran 52 juta pelawat menjelang tahun 2012 ke rantau yang dikaitkan dengan tamadun Mayan seperti Chiapas, Yucatan dan Tabasco.

Sebelum ini, Mexico dapat menarik kehadiran sekitar 22 juta pelancong luar pada setiap tahun.

Peningkatan mendadak dalam jumlah pelancong kali ini dikaitkan dengan ramalan penduduk Mayan bahawa kiamat bakal berlaku pada tahun depan.

Kiamat itu diramalkan berlaku pada 21 Disember 2012.

Pekan dan bandar raya di kawasan tamadun Mayan memulakan kiraan tamatnya kalendar Mayan tersebut semalam.

Namun, ramai ahli arkeologi berpendapat rujukan kepada tarikh tersebut yang diukir pada batu bersurat berusia 1,300 tahun cuma menandakan tamatnya satu kitaran dalam kalendar Mayan.

"Dunia belum kiamat. Ia hanya satu era," kata seorang jurucakap pelancongan negeri Quintana Roo yang menempatkan kota bersejarah Cancun, Yeanet Zaldo.

Kebijaksanaan tamadun Mayan menyebabkan sebahagian penduduk mengambil berat tentang ramalan kiamat tersebut.

Tamadun Mayan yang mencapai peringkat kegemilangan dari tahun 300 Tahun Masihi hingga 900 Tahun Masihi memiliki kemahiran luar biasa dalam bidang astronomi.

Kalendar kaum berkenaan bermula pada tahun 3,114 Sebelum Masehi (S.M.) dan mengambil masa selama 394 tahun untuk membentuk satu kitaran dikenali sebagai Baktun.

Baktun ke-13 berakhir pada 21 Disember 2012.

Teori bahawa kiamat berlaku pada tarikh tersebut berpunca daripada sebuah batu bersurat yang ditemui pada tahun 1960-an di tapak arkeologi Tortuguero di negeri Tabasco, dekat Teluk Mexico.

Batu bersurat berkenaan menceritakan tentang kembalinya Dewa Mayan pada penghujung Baktun ke-13.

Mereka yang percaya mengenai teori kiamat itu menyebarkan ramalan tersebut di ratusan ribu laman web dan blog di Internet. - Agensi


Catatan: Tulisan di bawah dipetik daripada KIAMAT 2012?

Dalam (surah An-Nazi’at [79] : 42 - 46) Allah swt berfirman:

Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat:Bilakah masa datangnya? (42) Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu? (43) Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya. (44) Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu. (45) (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja. (46)

Allah swt. menjelaskan bahwa hanya DiriNya sahajalah yang tahu [(ilaa rabbika muntahaahaa(44)]. Hinggakan Rasulullah saw pun tidak diberitahu oleh Allah tentang hari dan tahun datangnya Kiamat. Berdasarkan ayat ini, ramai para ulama berpendapat bahawa haram hukumnya meramal-ramal tentang datangnya hari Kiamat. Dan memang sejak dulu pelbagai ramalan ditulis tentang datangnya hari Kiamat, namun semua ramalan tersebut meleset.

Jangan buat ramalan.

Orang-orang beriman tidak perlu turut sibuk dengan ramalan bahawa Kiamat akan datang pada tahun 2012. Mengapa? Kerana beberapa alasan berikut:

Pertama: Tidak ada yang tahu hal yang ghaib, kecuali Allah. Dan masalah datangnya hari Kiamat adalah masalah ghaib. Seperti datangnya kematian, hanya Allah yang tahu. Maka, menyibukkan diri dengan meramal-ramal yang ghaib adalah perbuatan yang bukan hanya sia-sia, tetapi lebih daripada itu, telah menganggap dirinya sama dengan Allah. Ini suatu kesombongan yang sangat Allah benci.

Kedua: Banyak hadits sahih yang menjelaskan adanya tanda-tanda besar sebelum Kiamat terjadi. Dan tanda-tanda tersebut bukan tanda-tanda simbolik melainkan tanda yang sebenarnya. Seperti datangnya Dajjal, hadirnya Imam Mahdi, terbitnya matahari dari barat dan lain-lainnya. Maka sebelum tanda-tanda tersebut muncul, tidak mungkin Kiamat terjadi. Dan disebutkan bahawa jarak waktu antara tanda-tanda tersebut juga berlangsung cukup lama. Maka tidak cukup dengan hanya menganalisa fenomena alam lalu menyimpulkan bahwa Kiamat akan segera terjadi pada tahun 2012.

Ketiga: Orang-orang beriman mempunyai prinsip dan pegangan yang kuat berdasarkan wahyu. Maka tidak sepatutnya orang-orang beriman terikut-ikut seperti orang-orang kafir. Ingat, bahwa pegangan pokok dalam masalah ghaib bukan ramalan, melainkan keterangan wahyu. Maka sekiranya tidak ada keterangan jelas daripada wahyu, mengenai kepastian datangnya hari Kiamat, sungguh tidak perlu mengira-ngira. Sebab setiap yang berdasarkan kira-kira, tidak boleh dijadikan ketetapan dalam keimanan.

Keempat: Yang paling penting dalam menghadapi kedatangan hari Kiamat, bukan meramal-ramal bila (hari dan masa) hari Kiamat, sebab Kiamat pasti terjadi, cepat atau lambat. Dan Allah telah memastikan hal tersebut. Yang paling penting adalah apa yang kita persiapkan menuju alam akhirat. Dan tidak ada persiapan bekal menuju alam akhirat yang lebih baik daripada pada amal saleh yang ikhlas. Suatu hari Rasulullah saw. ditanya oleh salah seorang sahabat: “Bila hari Kiamat (mataas saa’ah)? Rasulullah saw menjawab: maa a’datta lahaa (yang penting, apa yang kau persiapkan).?”

Berdasarkan alasan-alasan di atas, maka sebaiknya orang-orang beriman dalam menangani pelbagai ramalan, tidak perlu ikut bingung, cukuplah dengan bersungguh-sungguh beramal saleh, kerana kita semua kelak pasti akan mati, dan alam ini kelak pasti akan Allah hancurkan sesuai dengan ketentuan yang telah ditetapkan. Wallahu a’lam bishshawab.

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails