|
|
SOLAT merupakan ibadah paling berharga yang difardukan oleh Allah SWT dengan cara yang paling istimewa iaitu ketika baginda Rasulullah SAW berada di Sidratul Muntaha dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Solat berada pada kedudukan yang tinggi di dunia iaitu amalan pertama selepas keimanan serta merupakan amalan pertama yang dihitung oleh Allah di Padang Mahsyar kelak.
Seiring dengan kedudukan ini, ibadah solat wajib didirikan sebagaimana yang dipelajari daripada solat Rasulullah apabila tiba waktunya.
Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Maka dirikanlah (dengan sempurna) solat itu, sesungguhnya solat merupakan satu ketetapan yang diwajibkan kepada orang-orang yang beriman yang telah ditentukan waktu-waktunya. (al-Nisa':73).
Justeru, solat hendaklah didirikan oleh setiap individu muslim mengikut kaifiatnya sama ada dalam keadaan sihat atau sakit, aman atau darurat, bermukim atau bermusafir tanpa mengira tempat sama ada di daratan, lautan mahupun di angkasa kecuali bagi mereka yang uzur syarie.
Persoalannya kini, sebagai jemaah haji mereka akan berdepan dengan pelbagai situasi yang ada kalanya menyukarkan mereka untuk menunaikan tanggungjawab ini khususnya ketika berada di dalam kenderaan dan semasa berada di al-Masya'ir iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Nah! Di sinilah pentingnya bagi mereka memahami dua jenis solat ini iaitu hormat waktu dan jamak tamam berdasarkan pandangan mazhab Syafie, tanpa perlu pening kepala dengan pandangan-pandangan mazhab lain.
Apa yang penting, solat ditunaikan kerana mengabaikannya adalah satu kerugian besar. Sabda Rasulullah SAW: "Kerugian orang yang luput daripada mengerjakan solat fardu ibarat orang yang kehilangan seluruh ahli keluarga dan kekayaannya". (riwayat Imam Ahmad)
Solat hormat waktu
Solat hormat waktu merupakan satu keringanan (al-taysir) yang antara lain bertujuan memberi ketenangan rohani kepada individu yang tidak dapat menunaikan solat fardu dengan sempurna segala syarat sah ibadah tersebut.
Terdapat beberapa situasi yang memungkinkan solat hormat waktu dilakukan, antaranya:
lApabila berada dalam keadaan Faqid al-Tahurayn - iaitu apabila individu yang ingin menunaikan solat tidak dapat berwuduk kerana ketiadaan air atau tidak dapat bertayamum kerana ketiadaan debu tanah. Atau walaupun ada air atau debu tanah, tetapi penggunaan kedua-duanya sebagai alat bersuci adalah terhalang kerana faktor keselamatan seperti ketika jemaah haji berada dalam kapal terbang.
lApabila terdapat najis pada badan, pakaian atau tempat solat sedangkan tiada air mutlak untuk menyucikannya.
lPesakit yang terlentang di pembaringan, masih sedar dan berakal, tetapi tiada sesiapa yang dapat menyucikannya daripada hadas dan najis.
Apabila berdepan dengan situasi begini sedangkan waktu solat fardu sudah masuk dan tiada harapan pula untuk bertaharah (bersuci) hingga habis waktunya sekalipun untuk solat jamak takkhir, maka individu tersebut dituntut menunaikan solat fardu itu mengikut kesesuaiannya seperti berdiri, duduk atau berbaring, tanpa wuduk atau tayammum kerana menghormati waktu.
Solat hormat waktu hanya khusus untuk solat fardu di dalam waktunya sama ada dilakukan secara tamam atau qasar, mahupun secara berasingan atau jamak.
Apabila individu tersebut kemudiannya telah bersuci, dia hendaklah segera mengulangi solat tersebut jika masih dalam waktunya ('iadah), atau menggantikannya (qada) jika telah luput waktunya.
Jelasnya, dengan mendirikan solat hormat waktu maka terlepaslah individu tersebut daripada dosa dan kerugian meninggalkan solat fardu, wallahu a'lam.
Solat jamak tamam di Masya'ir
Solat jamak tamam bererti menunaikan solat yang harus dihimpunkan dalam salah satu waktunya iaitu Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak tanpa berlaku sebarang pengurangan pada rakaat-rakaatnya.
Sejarah Hajjatul Wada' menceritakan bahawa Rasulullah mengerjakan solat secara jamak dan qasar semasa berada di Arafah dan Muzdalifah. Manakala di Mina pula baginda mengerjakan solat secara qasar pada setiap waktunya. Imam Shafie r.a. berpendapat, pelaksanaan tersebut adalah kerana baginda di dalam musafir.
Bagi jemaah haji Malaysia yang pada umumnya telah bermukim di tanah suci Mekah, mereka tidak harus mengerjakan solat secara qasar ketika berada di Masya'ir kerana ia merupakan rukhsah yang khusus buat para musafir.
Adapun pelaksanaan solat secara jamak tamam pula, ulama Syafi'iyyah telah mengharuskannya sama ada semasa bermusafir atau ketika bermukim sekiranya terdapat darurat atau keperluan mendesak.
Justeru, atas sebab al-Masyaqqah yakni kesulitan yang sering ditempuhi oleh jemaah haji ketika berada di Masya'ir, AJK Penasihat Ibadat Haji (AJPIH) menerusi resolusi yang dicapai dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan telah bersetuju menerima pakai pandangan harus jamak tamam sama ada secara jamak taqdim atau jamak takkhir dalam pelaksanaan solat fardu semasa jemaah haji berada di Masya'ir atas sebab al-masyaqqah yang dilihat mencapai tahap keperluan mendesak.
Selaras dengan keputusan tersebut, jemaah haji Malaysia secara standardnya mengerjakan solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim dan tamam pada hari wuquf, manakala solat Maghrib dan Isyak dikerjakan secara taqdim di Arafah atau takkhir di Muzdalifah bergantung kepada jadual perjalanan bas jemaah haji.
Semasa berada di Mina pula, mereka digalakkan untuk mengerjakan solat secara jamak taqdim, namun ia juga bergantung pada jadual melontar yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Semoga ruangan ini dapat memberi panduan-panduan berguna buat semua pembaca khususnya bakal jemaah haji musim 1430H. Ingat… solat! Jangan abai solat.
Dengan solat hidup diberkati dan insya-Allah haji yang mabrur di anugerah ilahi. Wallahu a'lam bi al-Sawab.
1 comment:
post ini bermanfaat. terima kasih!
Post a Comment