Tuesday, October 27, 2009

Lambaian Kaabah: Jemaah dalam penerbangan tak boleh tunda solat

Ibadat tiang agama boleh dilaksana dalam apa jua keadaan ketika berada dalam pesawat

LABBAIKALLAHUMMA labbaik. Bermulalah musafir yang mulia bagi menyempurnakan rukun Islam kelima. Persiapan yang begitu rapi dibuat semestinya, termasuklah merapikan ilmu yang berkaitan agar tiada lagi timbul salah faham berhubung ibadat haji. Mereka memastikan keadaan kesihatan baik dari sudut kawalan penyakit kronik yang sedia ada seperti darah tinggi dan kencing manis, juga pencegahan penyakit H1N1, membekalkan dengan serba sedikit makanan bagi membangkitkan selera dan yang tidak kurang pentingnya ialah persiapan duit buat berbelanja.

Ibadat haji perlu dipandang sebagai suatu yang besar dan dilakukan dengan cermat agar pelaburan yang diletakkan padanya mendapat pulangan yang setimpal atau lebih besar daripada Tuhan.


Keadaan ini sering kali membuatkan sesetengah antara kita memandang ringan terhadap kepentingan menjaga rapi ibadat solat dalam keghairahan kita menuju suatu ibadat yang dianggap lebih besar. Sesuatu yang sering diabaikan ialah menunaikan solat dalam perjalanan suci ini ialah ketika berada dalam penerbangan. Kepentingan ibadat solat dalam agama tidak boleh dipertikaikan lagi justeru pelaksanaannya juga perlu dititikberatkan dalam keadaan apa sekalipun.

Rasulullah SAW bersabda, "Solat itu tiang agama, barang siapa yang mendirikan solat maka dia menegakkan agamanya. Barang siapa yang meninggalkan solat bererti dia telah meruntuhkan agamanya." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Antara kekangan yang sering ditimbulkan ialah sukar berwuduk, tiada tempat sesuai, pakaian tidak bersih, sukar menentukan kiblat dan waktu solat dan tidak kurang juga yang malu untuk menyempurnakannya dalam keadaan yang serba kekurangan. Faktor kurangnya ilmu dan maklumat prapenerbangan menjadikan jemaah sering mengambil jalan mudah, iaitu akan menqadanya apabila sampai nanti. Sedangkan Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman." (Surah an-Nisa' :103)

Amat malang bagi mereka yang berpendapat sedemikian iaitu solat adalah suatu yang boleh ditunda, ditangguh ke lain masa atau dibuat ketika ada kemudahan dan kelapangan. Perjalanan mulia menyempurnakan rukun Islam dicemari dengan meninggalkan rukun Islam kedua. Walaupun solat ialah ibadat rutin yang dilakukan seharian, namun alasan itu tidak seharusnya meletakkan ia sebagai keutamaan yang boleh dikompromi.

Dalam zaman yang segala ilmu ini, pastinya tiada alasan untuk menjadikan 'tidak tahu' untuk soalan berkaitan solat dalam penerbangan itu suatu yang boleh diterima. Pastinya juga dalam siri kursus haji yang diberikan secara intensif mengenai cara menyempurnakan solat mengikut keterbatasan yang ada. Sesungguhnya Islam itu adalah agama yang mudah bagi mereka yang melihatnya mengikut sudut yang sebenar.

Kelas pengajian di masjid dan surau juga sentiasa membicarakan isu fekah berhubung masalah solat ketika musafir baik yang berjarak pendek mahupun yang panjang. Mungkin bagi mereka yang kurang biasa pada mulanya berasa agak kekok untuk beramal dengan kemudahan ini, namun percayalah apa yang lebih penting ialah pelaksanaan kewajipan terhadap Allah itulah yang lebih utama daripada apa yang akan diperkatakan oleh manusia.

Dalam hal solat dalam penerbangan ini, mungkin ada yang cuba untuk mendapatkan wuduk yang lengkap dengan menggunakan air di tandas kapal terbang. Jika kita dinasihatkan tidak berbuat demikian atas sebab keselamatan, pastinya ada alternatif lain bagi kita menyempurnakan wuduk kita. Di sinilah persediaan ilmu selagi lagi memainkan peranan yang amat penting.

Isu seperti kiblat dan masa masuk waktu pasti dapat dirungkaikan dengan lebih mudah jika sekiranya kita mengetepikan rasa malu untuk bertanya baik kepada pramugara atau pramugari yang bertugas, atau mana-mana ustaz yang turut sama dalam penerbangan. Pastinya mereka yang berpengalaman akan ringan mulut untuk berkongsi maklumat kerana itu selaras dengan prinsip menyebarkan ilmu dan saling memperingati antara satu sama lain.

Kekangan ruang juga harus diambil perhatian. Sesetengah penerbangan mempunyai ruang untuk bersolat namun ada juga yang tiada disebabkan oleh kesempitan. Perlu diingat bahawa dalam kita menyempurnakan solat, faktor sebegini juga harus dipertimbangkan. Amatlah tidak wajar jika disebabkan solat kita itu, menyebabkan terhalangnya orang lain untuk lalu lalang. Jika keperluan ilmu diambil kira, bersolat di kawasan laluan orang itu suatu yang ditegah sejak awal lagi.

Oleh Dr Irfan Mohamad

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails