Monday, November 7, 2011

7 bilion bukan sekadar angka

Oleh SYALMIZI HAMID dan KUMARA SABAPATTY
DI MANA-MANA bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi.
Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?
Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza daripada enam bilion.

Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.

DUNIA menyaksikan penduduk bumi sudah mencecah angka tujuh bilion pada minggu ini.

Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk diselesaikan. Ya, tiga dekad.

Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau memiliki tujuh bilion benda?

Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes.

“Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert.

“Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau.
Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu.
Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.

Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.
Makanan

KRISIS air di India, negara kedua penduduk paling ramai di dunia, boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan.

Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.

“Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion,” kata Volpert.

Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar angkasa.

“Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan,” ujarnya.

Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930.

Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion.

PERTAMBAHAN sisa pepejal seiring dengan peningkatan bilangan penduduk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.

Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.

Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi.

Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar.

Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.

PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050.

Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.

Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah.

Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.

Buih akibat aktiviti gunung berapi dasar laut

GAMBAR yang dikeluarkan kerajaan Kepulauan Canary kelmarin menunjukkan buih-buih yang terbentuk akibat aktiviti gunung berapi dasar laut di luar Pulau El Hierro, Sepanyol.



MADRID - Aktiviti gunung berapi dasar laut di luar Pulau El Hierro, Kepulauan Canary boleh dilihat di permukaan laut dengan kewujudan gelembung buih.


Gas, asap dan objek panas terapung dari gunung berapi dasar laut itu.

Aktiviti di gunung berapi dasar laut itu bermula sejak 17 Julai lalu dan lebih 10,000 gegaran telah direkodkan. - AP

Jemaah haji melontar jamrah

BENTUK struktur batu yang menjadi sasaran lontaran batu para jemaah haji di Mina, dekat Mekah semalam -  AFP

MINA, Arab Saudi - Berjuta-juta jemaah haji semalam melontar jamrah pada hari kedua ibadat haji di sini semalam.

Melontar jamrah akan dilakukan selama dua hari lagi dengan setiap jemaah perlu melontar batu di tiga buah jamrah.

Setiap jemaah perlu melontar 21 butir batu di tiga struktur batu setinggi 25 meter.

Melontar jamrah dilakukan bagi mengingati peristiwa Nabi Ibrahim melontar batu ke arah syaitan yang muncul tiga kali untuk mempengaruhinya.

SEJUMLAH besar jemaah melalui laluan untuk melontar jamrah di Mina, dekat Mekah semalam - AP
Pihak berkuasa Arab Saudi telah menyediakan laluan pejalan kaki bertingkat sebagai usaha untuk mengelak kejadian rempuhan yang menyebabkan 364 orang mati pada 2006, 251 jemaah pada 2004 dan 1,426 lagi pada 1990.

Sunday, November 6, 2011

Kaabah pasang kiswah sutera

Setiap tahun, kain penutup Kaabah disebut kiswah diganti . Itu menandakan permulaan haji dan pada tahun ini kain kiswah diperbuat daripada sutera hitam bercampur warna emas dan perak.

Selesai solat Subuh, berpuluh-puluh petugas menanggalkan kiswah yang selama setahun menutupi Kaabah. 

Para petugas kemudian menggantinya dengan kiswah baru hasil tangan 240 petugas khas.

Jumlah jemaah luar negara tahun ini di Tanah Suci memecah rekod dengan peningkatan 1.5 peratus berbanding tahun lalu menjadikan jumlah keseluruhan jemaah berdaftar seramai 1,828,195 orang. 

Timbalan Perdana Menteri yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Mahkota Naif Abdul Aziz berkata jumlah ini meningkat seramai 27,274 berbanding tahun lalu. 



“Ini adalah kali pertama dalam sejarah haji, jumlah jemaah luar negara mencecah rekod melebihi 1.8 juta orang,” katanya kepada agensi berita Arab Saudi. 



Daripada jumlah itu, jemaah lelaki mewakili 54 peratus iaitu seramai 989,776 orang sementara jemaah perempuan seramai 838,419. 

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, seramai 1,684,876 jemaah tiba menggunakan penerbangan, 128,350 menerusi darat dan 14,969 melalui laut, mewakili 183 negara. 

JEMAAH berada di Jabal Rahmah memulakan ibadah haji beramai-ramai di Padang Arafah.Putera itu melahirkan rasa terima kasih dan tahniah kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah berikutan kejayaan mengendalikan perhimpunan raksasa itu. 

Sementara itu, jemaah memulakan Hari Tarwiah (Hari Memberi Air) kelmarin, hari yang diberi nama seumpama itu berikutan secara tradisi jemaah memberi air kepada tunggangan dan ternakan serta menyimpan air untuk perjalanan ke Arafah. 
Ramai jemaah menggunakan Kereta Api Mashair untuk ke Arafah dan kawasan sekelilingnya yang kosong dipenuhi jemaah untuk menghadiri kemuncak ibadat haji, semalam. 

Kereta Api Mashair memulakan operasi kali pertama tahun ini dengan kapasiti penuh membawa 72,000 jemaah sejam untuk mengurangkan kesesakan dan mengelakkan tolak menolak. 

Landasan berkembar itu menghubungkan tiga kawasan suci di Mina, Muzdalifah dan Arafah. Kereta api itu akan menggantikan penggunaan 30,000 kereta sebelum ini, kata pengarah projek Fahd Abu Tarbush. – Agensi/AP 

Thursday, November 3, 2011

ikan kerapu gergasi

SEORANG lelaki memegang ikan kerapu seberat 200 kilogram yang ditangkap di perairan Miri, Sarawak semalam.


IKAN GERGASI. Seorang nelayan tidak menyangka memperoleh wang sebanyak RM16,000 selepas kejayaan menangkap seekor kerapu gergasi semalam.

Ikan seberat 200 kilogram (kg) itu dipercayai ditangkap menggunakan pukat kira-kira tujuh batu nautika dari pantai Miri, Sarawak.

Kejayaan menangkap ikan itu menarik perhatian ramai termasuk seorang pemilik restoran yang membelinya pada harga RM16,000.

Spesies kerapu gergasi yang turut dipanggil sebagai kertang itu mampu membesar sehingga dua meter panjang dengan berat 400 kilogram dan mempunyai nilai pasaran mencecah RM70 sekilogram.

Wednesday, November 2, 2011

Mesin 3D Mamogram Tomosintesis pertama di negara ini

Oleh ADLAN JAAFAR

TUGAS harian Siti Aishah Abdullah Suhaimi akan mengimbas setiap payudara individu yang datang ke Pusat Sehenti Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) yang terletak di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur.

Cara kerja gadis berumur 27 tahun yang bertugas sebagai jururadiograf itu masih lagi sama sebelum pusat tersebut menggunakan mesin Mamogram 3 Dimensi (3D) Tomosintesis pada bulan Oktober lalu.

“Cuma, bezanya hari ini dengan sekali imbasan, pakar radiologi dan doktor sudah boleh mengesahkan kehadiran kanser atau tidak. Jarang berlaku pemeriksaan susulan. Individu yang datang adalah mereka yang membuat pemeriksaan berkala.

“Seting pada mesin ini pula boleh saya katakan sebagai mesra pengguna dan tidak rumit untuk dikendalikan. Malah, apa yang lebih penting gambar yang terhasil lebih baik dan jelas berbanding dahulu,” ujar Aishah kepada Kosmo!.


Mesin 3D Mamogram Tomosintesis ialah yang pertama digunakan di Malaysia dan kelima di dunia. Ia mampu menghasilkan imej 3D payudara daripada pelbagai sudut dan yang paling penting mampu memberi imej tisu payudara dengan lebih jelas.

Pengerusi Hologic Inc., Jack Cumming berkata, mesin 3D Mamogram Tomosintesis menggunakan teknologi Digital Breast Tomosynthesis (DBT) yang membolehkan imej 2D dilihat daripada pelbagai sudut.

Dengan DBT, imej payudara dipotong dengan ketebalan senipis satu milimeter. Ia membolehkan pakar radiologi meneliti setiap lapisan imej yang diingini.

Imej juga boleh diimbas daripada pelbagai sudut berbanding dengan mesin 2D lama yang hanya boleh mengimbas secara atas ke bawah atau kiri ke kanan.

“Dengan sekali tekanan, sebanyak 15 imej boleh dihasilkan berbanding mesin konvensional mamogram iaitu terhad kepada dua imej untuk setiap dua tekanan yang diberikan,” ujarnya lagi.
Sukar

Kesukaran membuat diagnosis kehadiran ketulan kanser pada bahagian payudara disifatkan seperti mencari sebatang jarum dalam timbunan jerami padi.

Sering kali, pesakit memerlukan pemeriksaan susulan seperti melakukan mamogram pada arah yang lain atau pemeriksaan ultrabunyi bagi memastikan kehadiran kanser payudara adalah positif.

Kelambatan pengesahan itu bukan sahaja memberi tekanan kepada mereka bahkan, menyebabkan masa dan wang terbuang. Malah, yang paling ditakuti apabila pengesahan dilakukan ketika kanser sudah berada pada peringkat akhir.

HANYA dengan sekali imbasan pakar radiologi atau doktor boleh mengesan kehadiran kanser payudara ke atas seseorang wanita.

SULTAN PERAK, Sultan Azlan Shah berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran mesin 3D Mamogram Tomosintesis pertama di negara ini.Teknologi terkini
Menurut Pakar Perunding Radiologi NCSM, Dr. Sulaiman Tamanang, ia berlaku kerana imej imbasan yang diterima dengan menggunakan mesin mamogram 2D adalah leper, manakala imej terhasil sering menimbulkan kekeliruan dengan imej mimik kanser dan kelenjar susu.

Dengan sekali imbasan oleh mesin, 3D Mamogram Tomosintesis, tiada lagi pemeriksaan susulan bagi mengesahkan kehadiran sel kanser sekaligus meningkatkan pengesanan awal kanser.

Tambah Sulaiman, kajian menunjukkan penggunaan kombinasi imej 2D dan 3D pula boleh meningkatkan tahap ketepatan oleh pakar radiologi dan mengurangkan sebanyak 30 peratus pesakit dipanggil semula.

Bagaimanapun, Sulaiman menegaskan bahawa mesin yang hanya dikhaskan kepada kaum wanita itu tidak boleh menyembuhkan atau mencegah kanser tetapi ia membantu mengesan kehadirannya.

Bagi mereka yang sering timbul perasaan bahawa menjalani pemeriksaan mamogram adalah menyakitkan dan bahaya, Sulaiman memberi jaminan mesin terbaharu itu lebih selesa berbanding yang lama.

Kadar pendedahan radioaktif pula tidak merbahaya iaitu umpama pendedahan pada setengah batang asap rokok.


“Untuk mesin 3D Mamogram Tomosistesis, bayaran yang dikenakan amat murah iaitu antara RM250 hingga RM300 untuk membuat pemeriksaan kanser payudara,” katanya lagi.

Untuk maklumat selanjutnya baca di kosmo


Tuesday, November 1, 2011

Penduduk ketujuh bilion dirai

Reuters
MARINA NIKOLAEVA mendukung anaknya,
Pytor yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di sebuah pusat perubatan di Kaliningrad, Rusia semalam.


MANILA -Empat bayi yang dilahirkan di India, Filipina dan Rusia semalam dipilih sebagai simbolik penduduk dunia yang ketujuh bilion.

Pemilihan itu dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan jumlah penduduk dunia akan menjadi tujuh bilion semalam.

Di negeri Uttar Pradesh, seorang bayi, Nargis dipilih secara simbolik oleh Lembaga Perancangan India sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.

Pemilihan itu dibuat bagi mengetengahkan masalah pengguguran bayi perempuan di India.

AP
SETIAUSAHA Lembaga Perancangan India, Arti Kirloskar menyampaikan sijil kelahiran kepada ibu bayi Nargis yang dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion di Mall, India semalam.

Sebanyak tujuh juta janin perempuan dianggarkan telah digugurkan kerana dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding janin lelaki.

Di Filipina, bayi seberat 2.5 kilogram yang dinamakan Danica May Camacho dililih secara simbolik sebagai penduduk dunia ketujuh bilion.

Bayi itu dilahirkan dua minit selepas tengah malam kelmarin.

Kelahirannya di bilik bersalin Hospital Memorial Jose Fabella di sini mendapat liputan meluas pihak media.

"Bayi ini kelihatan sangat comel," kata ibunya, Camille Dalura sambil meriba bayi perempuannya.

"Saya tidak percaya bahawa dia ialah bayi ketujuh bilion di dunia," katanya.

Bayi berkenaan merupakan anak kedua Dalura bersama pasangannya, Florante Camacho.

AP
BAYI DANICA CAMACHO didukung oleh ibunya, Camille semasa bapa bayi itu, Florante Galura membawa kek selepas anaknya dipilih secara simbolik sebagai penduduk ketujuh bilion dunia di Hospital Fabella, Manila semalam.

Pasangan itu bersama bayi berkenaan turut diraikan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pasangan itu turut menerima hadiah daripada penderma tempatan termasuk biasiswa pendidikan bagi bayi tersebut dan satu pakej bagi membolehkan pasangan itu memulakan perniagaan runcit.

Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah budak perempuan berusia 12 tahun, Lorrize Mae Guevarra yang diisytiharkan bayi keenam bilion di dunia pada 1999.

Seorang bayi bernama Pyotr yang dilahirkan pada pukul 0002 semalam di pelabuhan Kaliningrad, Rusia turut dipilih secara simbolik sebagai penduduk yang ketujuh bilion.

Pemilihan itu turut disahkan oleh perwakilan PBB dalam satu majlis memberikan sijil kepada bayi berkenaan yang dilahirkan oleh ibunya, Marina Nikolaeva.

Namun, di bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, seorang bayi lelaki bernama Aleksandr didakwa sebagai penduduk ketujuh bilion kerana dia dilahirkan pada pukul 0019 pagi semalam, menurut agensi berita Interfax.
Semua majlis itu hanyalah simbolik sahaja kerana tiada kaedah statistik untuk mengesahkan bayi yang manakah di dunia yang sebenarnya penduduk ketujuh bilion dunia. - Agensi

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails