DENGAN menyarung persalinan putih dan
lengkap memakai topeng muka, seorang pakar hidupan liar meregangkan sayap pada
bangkai seekor burung helang emas yang dihantar dari New Mexico.
Walaupun bau yang terhasil daripada unggas
itu agak kurang menyenangkan, ironinya, lelaki tersebut tetap kelihatan gembira
dengan apa yang telah dilihatnya.
"Ini adalah burung yang sangat hebat.
Tidak banyak kerosakan yang berlaku pada fizikalnya. Ia sesuatu yang jarang
terjadi," kata Dennis Wiist dari Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan
Amerika Syarikat (AS).
Selepas memeriksa keadaan fizikalnya, Wiist
membungkus bangkai helang tersebut untuk dibekukan sebelum dihantar kepada
salah satu suku kaum peribumi India Amerika (Red Indian) yang telah memohon
untuk mendapatkan 'barang berharga' itu.
|
WIIST memeriksa bangkai seekor helang yang
baru diterima pihak NER dengan teliti sebelum dihantar kepada pemohon.
|
Haiwan suci
Hakikatnya, helang dianggap sebagai haiwan
suci bagi kebanyakan suku kaum peribumi di AS. Oleh itu, Wiist dan
rakan-rakannya di Repositori Helang Kebangsaan (NER) telah biasa menyediakan
kelengkapan seperti bulu, sayap dan kaki burung atau dalam kebanyakan kes,
keseluruhan bangkainya yang digunakan untuk tujuan ritual.
|
JABATAN Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS
meluluskan permit membunuh burung helang bagi tujuan spiritual.
|
Namun, permintaan yang diterima seringkali
melebihi kapasiti pusat tersebut.
Setiap tahun, NER akan menerima kira-kira
2,300 ekor bangkai helang botak dan emas yang dikumpul oleh ejen-ejen hidupan
liar mahupun individu perseorangan.
Tetapi, mereka menerima lebih daripada
3,000 permintaan setahun yang mahu mendapatkan keseluruhan bangkai burung atau
hanya bahagian-bahagian tertentu. Pernah pada suatu ketika, terdapat kira-kira
6,000 permohonan berada dalam senarai menunggu.
"Kami memang tidak mempunyai bekalan
yang mencukupi. Pusat kami sedaya upaya melakukan yang terbaik," jelas
Bernadette Atencio yang merupakan penyelia Program Perkhidmatan Hidupan Liar
dan Ikan.
|
HIASAN kepala yang diperbuat daripada bulu-bulu
helang menjadi kebanggaan kaum peribumi India Amerika.
|
"Saya sentiasa memeriksa bahagian
tulang kepak untuk memastikan jika ia pecah atau rosak. Ini kerana sesetengah
kaum India Amerika akan menggunakan tulang kepak untuk dijadikan wisel.
Ahli antropologi dari suku kaum Hopi, Micah
Loma'omvaya berkata, kaumnya melihat burung helang sebagai haiwan suci yang
membolehkan mereka berkomunikasi dengan tuhan-tuhan lain.
Selain itu, ia turut mewakili semangat
nenek moyang mereka."Secara keseluruhannya, helang adalah segala-galanya
bagi kami. Ia bukan sekadar dijadikan subjek untuk upacara kerohanian, bahkan
setiap helai bulunya mempunyai signifikan tersendiri.
"Malah, kami percaya ia sebagai
lambang kesuburan, menurunkan hujan dan digunakan untuk berburu atau dalam erti
kata lain semua perkara yang baik dalam kehidupan," ujar Loma'omvaya
sambil menegaskan bahawa suku kaumnya telah menggunakan bulu-bulu helang sejak
zaman dahulu kala.
Tambahnya meskipun kaum Hopi memiliki
permit untuk membunuh helang emas, tetapi ketiadaan item-item yang diperlukan
daripada NER akan membataskan kemampuan mereka untuk menyertai acara kebudayaan
tertentu.