Saturday, February 25, 2012

Rahsia cap jari

Artikel di bawah adalah copy n paste daripada Berita Harian2010/06/20
Oleh Suzan Ahmad
pix_gal0

Foto
Hanizah (kanan) dibantu pekerjanya menganalisis cap jari pelanggan.

Foto

Bentuk pola mampu dedahkan personaliti, potensi individu


CAP jari selama ini hanya digunakan sebagai asas pengenalan diri, sistem keselamatan sama ada untuk keperluan forensik ataupun mengenalpasti identiti penjenayah.


Namun tidak ramai yang ketahui cap jari itu mampu mendedahkan rahsia sebenar diri individu termasuk personaliti dan potensi dirinya. Ini hasil teknologi analisis imbasan cap jari yang boleh menyerlahkan bakat semula jadi insani hasil bawaan genetik. Malah cap jari itu disifatkan pakar umpama berlian yang hanya menanti masa untuk dicanai bagi merungkai rahsia diri seseorang.

Jika bakat adalah kemampuan diwarisi dalam diri seseorang yang dibawa sejak lahir dan berkaitan struktur otak, analisis cap jari adalah sistem mengenali potensi genetik seseorang berdasarkan sains dermatoglifik - ilmu yang mempelajari pola cap jari termasuk hujung luar derma kulit jari, telapak tangan dan tapak kaki yang sudah wujud selama lebih 200 tahun dalam sejarahnya.


Kebarangkalian memiliki cap jari sama pula disifatkan amat mustahil iaitu pada nisbah 1 setiap 64 juta atau hampir mustahil walaupun pada anak kembar. Ini kerana ia mula terbentuk sejak embrio berusia 13 minggu dalam kandungan ibu, lengkap pada usia 24 minggu dan terus berkembang seiring perkembangan sel otak.



Dermatoglifik pula adalah tiga pola dasar rupa bentuk cap jari iaitu arches atau lengkungan, simpulan (loops) dan lingkaran (whorls) atau gabungan ketiga-tiganya. Analisis cap jari ini menjadi antara khidmat yang disediakan syarikat perundingan, Airborne Discovery Sdn Bhd yang berpejabat di Shah Alam, Selangor.
Pengurusnya, Hanizah Ujang, berkata cap jari adalah bahagian tubuh yang bersifat kekal dan tidak pernah berubah.
“Cap jari adalah unik dan tersendiri bagi setiap individu dan mampu menggambarkan watak terperinci setiap orang. Memandangkan pertumbuhan cap jari bermula bagi embrio berusia 13 minggu dan perkembangannya pula seiring pertumbuhan otak. Pembentukan pola garis cap jari menggambarkan cara kerja dan fungsi bahagian otak,” katanya.



Namun, tegas Hanizah, tujuan dan manfaat analisis cap jari adalah untuk mengetahui potensi bakat, kecerdasan, watak dan motivasi individu dan tiada kena mengena dengan perbuatan meramal masa depan seperti menilik nasib berasaskan tapak tangan (Palmistry) dan sebagainya.



“Kaedah ini boleh dijadikan sumber rujukan berdasarkan potensi genetik untuk menentukan kejayaan masa depan, bukan untuk mengetahui masa depan. Memandangkan analisa dibuat melalui teori dan metodologi ilmiah dan proses perhitungan logik maka laporan adalah tepat berdasarkan data statistik dan biometrik.



“Masyarakat kini tidak lagi meletakkan kepentingan akademik sebagai kayu pengukur kejayaan dalam hidup secara seratus peratus, potensi bakat juga dilihat dan dinilai dalam diri seseorang kerana sebagai manusia kita dilahirkan unik. Ada kalanya kelebihan orang lain adalah kekurangan pada kita dan di situlah cabaran untuk kita memperbaiki diri,” katanya. 



Bagi anak ‘auditory’ (gemar belajar dengan iringan suara, muzik dan bahasa) misalnya perlukan pendekatan berbeza berbanding anak kinestetik (menyukai pembelajaran dengan gerakan, pancaindera dan praktikal) dan visual (menyukai pembelajaran dengan gambar, grafik, foto dan tampilan). Begitu juga kedudukan mereka dalam kelas dan cara untuk berkomunikasi dengannya atau kalangan majikan, pekerja, pelajar, ibu, bapa dan individu lain.



Menurut Hanizah, teknologi analisis cap jari mula dipelopori lebih 25 tahun lalu di Amerika Syarikat (AS) terutama bahagian forensik Agensi Perisikan Pusat (CIA). Hanya selepas dua tahun kaedah ini tersebar di Singapura dan Indonesia barulah ia sampai ke sini.



Katanya, sejak mula beroperasi lebih dua tahun lalu, syarikat Airborne Discovery sudah mempunyai 5,000 pangkalan data sampel cap jari. Kaedah ini bukan saja banyak memberi manfaat kepada ibu bapa dan anak-anak sebagai panduan memilih jurusan yang sesuai berdasarkan potensi diri, mengesan gaya pembelajaran yang sesuai dan efektif malah berupaya merancang masa depan dan kerjaya yang sesuai dengan bakat.



“Kaedah analisis ini besar manfaatnya kepada pembangunan sosio-ekonomi negara terutama kalangan perunding motivasi dalam membina sahsiah diri, majikan, ketua jabatan, guru-guru khidmat bimbingan dan kaunseling, penghuni pusat pemulihan akhlak serta pesalah juvana, golongan berkerjaya malah pasangan yang bakal melangkah ke alam perkahwinan.”



Bagi menjaga sensitiviti pelanggan yang majoriti beragama Islam, kaedah ini mempunyai panel syariah sendiri iaitu Penasihat dakwah untuk Kerajaan Negeri Selangor, Dr Azahar Yaakob yang juga Pensyarah Pengajian Islam UTM dan diiktiraf Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). 



“Kami juga menitikberatkan soal keselamatan data yang tersimpan dalam pangkalan datanya. Menjadi amalan penganalisis untuk memusnahkan imej sampel cap jari mengikut tempoh yang sudah ditetapkan iaitu satu hingga tiga bulan,” katanya 



8 perkara asas analisis cap jari



“Sejak kecil hingga berkahwin dan beranak pinak, satu soalan yang masih sukar untuk dijawab hingga kini ialah adakah salasilah dalam keluarga yang berkahwin dengan orang asing? Adakah saya berdarah campur?” kata Zenora Ibrahim, 35, salah seorang pelanggan Airborne Discovery Sdn Bhd.
Pelbagai soalan timbul kerana pertama mungkin rupa paras, nama selain perwatakannya yang ceria, mesra dan mudah untuk didekati.



“Hidup tanpa kepastian memang cukup menyeksakan, dan maklumat mengenai salasilah keluarga menjadi semakin sukar kerana perpisahan dan juga kematian, jadi saya hilang punca dan tiada sumber untuk merujuk hal berkaitan keturunan dan darah,” kata Eksekutif Perhubungan Awam di sebuah firma swasta di ibu negara.



Mengetahui mengenai kaedah yang diperkenalkan AD selepas terlihat pameran mereka di sebuah pusat membeli belah. Selepas membuat temujanji semua persoalan semakin jelas.



“Analisis itu ternyata satu kejutan buat saya, berdasarkan rupa bentuk atau pola cap jari jenis lengkungan (arches), saya memang sah berdarah kacukan. Apapun, salasilah keturunan dan bangsa masih lagi satu misteri namun apa yang pasti arwah moyang saya adalah seorang guru taranum begitu juga ibu yang berbakat mengaji dengan baik manakala ayah yang berkebolehan bermain muzik.” 



Hasil analisis itu juga menjelaskan ibu kepada tiga orang anak ini punya kecenderungan yang besar terhadap muzik. Laporan itu turut mendedahkan tabiat Zenora sewaktu menuntut yang tidak boleh belajar tanpa mendengar muzik. Ternyata Zenora jatuh dalam kategori pelajar auditory iaitu lebih menyukai pembelajaran dengan suara, muzik dan bahasa.



Laporan itu turut menggambarkan bahawa otak kanan Zenora yang mewakili kreativiti, warna, seni, visual, intuisi, idea, khayalan, muzik, bentuk dan ruang lebih dominan berbanding otak kiri, yang begitu cenderung terhadap sesuatu yang artistik.



Apa yang sebenarnya berlaku adalah, perisian khas analisis imbasan cap jari akan memproses dan menilai lapan subjek atau perkara menerusi data yang diperoleh iaitu Ujian otak kanan otak kiri; Ujian potensi kompetensi multiple intelligence; Ujian pengambilan/penempatan pekerja; Ujian gaya belajar; Ujian kepekaan belajar; ujian keperibadian; Alternatif kerjaya dan Cadangan gaya kerja.



Laporan analisis oleh penganalisis yang siap akan dicetak dan dibukukan dalam Buku Bakat. Menerusi laporan analisis ini penganalisis akan berbincang dengan pelanggan mengenai maksud, interpretasi dan cadangan-cadangan untuk dijadikan panduan dalam merancang kejayaan dan masa depan pelanggan di mana proses ini hanya mengambil masa kurang dari 30 minit.



Laporan analisis ini juga membolehkan penganalisa mengesan Kecerdasan secara majmuk (multiple intelligence) supaya pelanggan lebih fokus dan terarah pada bidang tugas yang paling sesuai dengan potensi dan bakatnya.



INFO: Proses cap jari


  • Sampel cap jari peserta diambil (sepuluh jari satu persatu)




  • Sistem komputer mengumpulkan dan menganalisa data cap jari




  • Perisian khas akan menganalisa data cap jari berdasarkan ilmu Neuroscience dan Dermatoglifik




  • Fungsi kerja otak dipetakan




  • Laporan Hasil Analisa Potensi Bakat dan proses rundingan.






  • @@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

    Artikel di bawah pula saya copy n paste daripada Kosmo!

    Cap jari penentu potensi diri

    Analisis cap jari membantu mengenal pasti kecenderungan seseorang menerusi fungsi otak.

    "SELAMA ini memang ada kawan-kawan yang memuji esei-esei yang saya tulis. Mereka kata penulisan saya kreatif. Tapi, saya tidak tahu pula yang ia memang bakat yang ada dalam diri saya," kata Nor Azliza Ahmad Zaini, 27, yang merupakan pentadbir perakaunan di sebuah firma guaman. Gadis berkaca mata itu merupakan graduan diploma Sains.
    "Kini, saya yakin dengan bakat itu dan berusaha untuk membangunkannya. Teruja sekali rasanya untuk menulis sebuah novel. Sudah lama saya berkeinginan melakukannya," ujar Nor Azliza ceria kepadaKosmo! saat ditemui di pejabat Airborne Discovery (AD), syarikat penganalisa bakat dan potensi diri menerusi cap jari di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
    Nor Azliza merupakan salah seorang pelanggan yang mendapatkan khidmat mengesan bakat diri di syarikat itu.
    Cerita Nor Azliza, melalui analisis cap jarinya, dia diberitahu dirinya lebih banyak menggunakan otak sebelah kanan yang membawa potensi kreatif berbanding otak sebelah kiri yang membawa kecenderungan logik, sains dan matematik.
    "Hasil ujian cap jari itu agak mengejutkan kerana selama ini saya fikir saya lebih ke arah sains, tetapi saya rasa tidak mustahil sebab saya juga sedar yang saya boleh menulis sebelum ini. Cuma ia tidak dikembangkan kerana saya rasa ia mungkin kebolehan yang biasa-biasa sahaja.
    "Memandangkan ia ada kaitan dengan unsur genetik mungkin saya peroleh sifat kreatif daripada ibu yang berbakat menggubah bunga," katanya.
    Ujian cap jari yang dilakukan AD ialah satu analisis saintifik mengungkap kecenderungan genetik seseorang dengan mengukur biometrik menerusi cap jari. Ia merupakan kaedah terkini dalam mengenal pasti bakat, potensi dan perwatakan seseorang individu.
    AIRBORNE DISCOVERY
    5A, Tingkat 1, Blok 2, Pusat Perniagaan Worldwide, Seksyen 13 Shah Alam, Selangor. 
    Telefon: 03-5511 7971.

    Menurut Pengarah Urusan AD, Hanizah Ujang, kaedah penentuan bakat itu telah digunakan di Amerika Syarikat (AS) sejak suku abad lalu.
    "Kaedah ini telah diguna pakai di AS sejak 25 tahun lalu. Ia merupakan teknologi yang diguna pakai bahagian forensik Agensi Perisikan Pusat (CIA)," kata Hanizah.
    "Kini, ia dibawa ke negara ini dan ia telah terlebih dahulu diperkenalkan di Singapura dan Indonesia," tambahnya lagi.
    Hanizah menjelaskan, pembentukan pola cap jari manusia menggambarkan cara kerja atau fungsi-fungsi bahagian otak. Dengan menganalisis cap jari, bakat atau kecenderungan semula jadi individu yang tersimpan dalam otak dapat diketahui.
    "Ini adalah satu kaedah untuk kita mengenal pasti bakat semula jadi yang ada pada diri kita. Dengan cara itu, kita boleh mengetahui 'permata' dalam diri kita dan menggilapnya," kata beliau.
    SEORANG pelanggan melihat keputusan analisis pada tapak tangannya.

    Analisis cap jari yang dibuat di AD meliputi penilaian dominan otak kiri atau kanan, sensitiviti pembelajaran, potensi kecerdasan majmuk (multiple intelligences), bidang keahlian yang berpotensi untuk dirangsang dan beberapa penilaian lain.
    Apabila individu mahu melakukan analisis cap jari, penganalisis akan mengambil cap setiap jari tangan dengan satu alat pengimbas. Apabila jari diletakkan pada pengimbas ia akan segera memaparkan rupa cap jari di monitor komputer.
    Bermula dengan mengambil cap ibu jari kiri sehingga ke kelingking kiri, ia diikuti dengan mengambil cap ibu jari kanan sehingga ke kelingking kanan.
    Selepas selesai data cap jari dimasukkan ke dalam komputer, pekerja terlatih atau penganalisis akan mengesan tiga titik pada telapak kedua-dua tangan dan mengukurnya menggunakan sejenis pembaris bulat yang dinamakan saintograf. Lampu suluh khusus turut digunakan untuk mengenal pasti titik berkenaan.
    Setelah semua data dimasukkan ke dalam komputer, segala proses pengiraan dijalankan oleh komputer yang telah dimuat turun dengan perisian khusus.
    "Selepas pengiraan dilakukan oleh komputer, ia akan mengeluarkan laporan analisis dan penganalisis akan berbincang dengan pelanggan tentang laporan tersebut serta menyarankan garis panduan yang boleh dilakukan untuk menggilap potensi dirinya," jelas Hanizah. Katanya, proses analisis dan rundingan dapat diselesaikan dalam tempoh 30 minit.
    Menurut Hanizah, sejak mula beroperasi Disember tahun lalu, pihaknya telah menganalisis kira-kira 1,000 sampel cap jari. Kaedah itu boleh dilakukan kepada individu berusia empat tahun ke atas.
    Kaedah itu juga dapat membantu ibu bapa mengesan potensi anak-anak dan mengelakkan mereka melakukan kesilapan dalam menetapkan matlamat buat anak-anak.
    "Salah seorang pelanggan saya merupakan seorang bapa. Dia telah menetapkan anak-anaknya untuk mencapai sasaran kerjaya tertentu. Anak pertama jadi doktor, anak kedua juruterbang dan anak ketiga pensyarah. Tapi selepas kami melakukan imbasan cap jari anak-anaknya, semuanya jadi tunggang terbalik. Anak pertama berpotensi jadi juruterbang, anak kedua jadi pensyarah dan anak ketiga jadi doktor.
    "Dengan cara ini ibu bapa dapat menetapkan sasaran yang tepat, sesuai dengan potensi semula jadi yang dimiliki anak itu," katanya.
    Namun, jika ibu bapa tetap mahukan anaknya berkerjaya tertentu walaupun tidak sesuai dengan kebolehannya, ia masih boleh diteruskan. Cuma, mereka perlu tahu bahawa usaha yang berlipat kali ganda perlu dilakukan.
    Adakah syarikatnya pernah melakukan ujian cap jari pada seseorang yang pakar dalam bidangnya? Hanizah berkata, pihaknya pernah melakukan penilaian ke atas pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud.
    "Daripada analisis cap jari, agihan potensi kecerdasan majmuknya menunjukkan bahawa beliau mempunyai potensi yang tinggi dalam verbal-linguistik yang memberikan kebolehan pengucapan bahasa. Beliau juga memiliki kebolehan interpersonal yang tinggi. Beliau sememangnya seseorang yang berbakat dalam bidang lakonan," katanya.
    Hanizah menjelaskan, agihan kecerdasan majmuk akan memberitahu tahap kebolehan seseorang dalam logik-matematik, verbal-linguistik, intrapersonal, interpersonal, kinestetik tubuh, visual-ruang, muzikal dan naturalis.
    "Jika seseorang itu mencatatkan kadar yang tinggi pada kinestetik tubuh, misalnya, ia bermakna mereka berpotensi dalam bidang pergerakan badan seperti ahli sukan dan penari," katanya.
    Apakah kelebihan ujian penilaian bakat cap jari berbanding ujian-ujian yang lain? "Kaedah ini tidak dipengaruhi oleh faktor luaran.
    "Ia mempunyai tahap ketepatan yang tinggi kerana berasaskan cap jari. Ia langsung tidak dipengaruhi oleh faktor luaran seperti tahap kesihatan atau mood pelanggan ketika penilaian dilakukan. Dalam kaedah menjawab senarai soalan oleh kaunselor, kadang-kadang dipengaruhi oleh perasaan individu ketika itu.
    "Bagaimanapun, perlu diingat kaedah ini bukan untuk mengetahui seseorang itu pandai atau tidak. Sebaliknya, ia ialah kaedah untuk mengesan bakat atau potensi semula jadi yang ada pada individu. Setiap manusia dijadikan Allah terbaik dan kita mahu mengesan bidang yang menjadi potensi individu itu," katanya.
    Sementara itu, seorang lagi penganalisis di AD, Ahmad Sirat berkata, kaedah itu amat bagus bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.
    "Masyarakat tidak lagi tertumpu kepada satu dua bidang. Mungkin cara inilah yang digunakan oleh AS untuk mewujudkan manusia yang hebat dalam bidang yang berbeza-beza," katanya.
    Kata beliau, kaedah itu seharusnya digunakan oleh ibu bapa untuk mengesan potensi diri anak-anak dan seterusnya membangunkan potensi mereka itu sejak awal lagi.
    "Sayang jika potensi sebenar yang boleh menjadikan mereka insan hebat dalam sesuatu bidang tidak dapat kita kenal pasti. Potensi tertentu boleh jadi tidak berkembang atau langsung tidak diperlihatkan kerana faktor persekitaran yang membentuk diri individu," katanya.
    HANIZAH UJANG
    KERJAYA pilihan Raja Mazian bersesuaian dengan personaliti beliau. 
    ANALISIS cap jari Fauziah Ahmad Daud menunjukkan dia memiliki kebolehan interpersonal yang tinggi. 
    KAEDAH analisis cap jari dapat membantu ibu bapa menetapkan sasaran yang tepat berhubung kebolehan anak mereka.




    Saya copy n paste di sini sebab kadang-kadang artikel ini akan hilang daripada sumber asal.



    PADA IBU JARI ADA TANDA KEKUASAAN ALLAH

    No comments:

    Anda Juga Mungkin Meminati

    Related Posts with Thumbnails