Tuesday, January 10, 2012

Hospital veterinar pertama di Malaysia

Kemudahan bilik bedah yang dilengkapi peralatan canggih bersama tenaga pakar merupakan gabungan yang ideal dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa haiwan peliharaan yang disayangi.

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD

Seorang pemilik kucing membelek-belek kucing kesayangannya yang telah kaku di atas sebuah meja rawatan.

Diusap-usap kepala serta badan kucing tersebut beberapa ketika. setelah puas menatap, perlahan-lahan dia menutup badan kucing tersebut dengan sehelai selimut dan berlalu pergi.

Namun selang beberapa langkah dia berhenti, menanggalkan cermin mata lalu mengesat air mata yang mengalir.

Senario tersebut dilihat sendiri oleh penulis ketika berkunjung ke bahagian Klinik Haiwan Kesayangan, 

Hospital Veterinar Universiti (UVH), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM, Prof. Dr. Abd. Wahid Haron, itu merupakan senario biasa yang boleh dilihat apabila terdapat pelanggan kehilangan haiwan kesayangan mereka di hospital berkenaan.

“Kita telah mencuba yang terbaik bersama kemahiran serta peralatan canggih yang ada namun kematian tetap tidak dapat dielakkan.

“Di sini kami cuba memberikan rawatan serta perhatian terhadap haiwan sama seperti manusia, kerana bagi kami setiap nyawa adalah bernilai,” ujarnya.

Dinobatkan sebagai hospita veterinar yang terbesar di Malaysia serta memiliki peralatan tercanggih di Asia Tenggara menjadikan UVH UPM tumpuan kepada pemilik haiwan kesayangan.

Pertama kali melangkahkan ke UVH pasti membuatkan anda teruja dengan binaan bangunan, susunan bilik bedah serta segala kelengkapannya seakan-akan ia dibina untuk merawat manusia.

Jelas Prof Dr. Wahid, perkhidmatan veterinar bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat negara ini terutamanya bagi mereka yang memiliki haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing.

Namun, penubuhan sebuah hospital yang lengkap bersama peralatan canggih serta tenaga mahir yang ramai persis sebuah hospital untuk manusia adalah merupakan sesuatu yang baru.

Bertempat di UPM, hospital baru UVH ini digerakkan sepenuhnya oleh tenaga mahir yang terdiri daripada staf Fakulti Perubatan Veterinar UPM sendiri.

Tambah Dr. Wahid, perkhidmatan yang ditawarkan dihospital ini bukanlah merupakan sesuatu yang baru.
“Sebelum ini kami memberikan rawatan di UVH di Fakulti Perubatan Veterinar iaitu di bangunan lama.

“Setelah bangunan baru dibangunkan dan pihak kami telah berpindah ke sini,” ujarnya yang ditemui di UVH ketika sesi lawatan yang diadakan baru-baru ini.

UVH telah ditubuhkan sejak tahun 1975 oleh Fakulti Perubatan Veterinar, UPM bermula dengan sebuah klinik haiwan kesayangan dan klinik bergerak.

Perkhidmatan tersebut disokong oleh perkhidmatan makmal yang sederhana, namun UVH hari ini telah menjadi sebuah hospital yang dilengkapi kemudahan terkini.

Sebagai sebuah hospital pengajaran, UVH dilengkapi pelbagai peralatan diagnosis, rawatan penyakit haiwan, kemudahan makmal serta bilik bedah khas.

Selain menawarkan perkhidmatan pesakit luar, UVH turut memiliki kepakaran dalam bidang perubatan, pembedahan veterinar, pengimejan dan diagnosis makmal.

UVH turut mempunyai kepakaran dan peralatan canggih dalam mengendalikan kes yang rumit dan haiwan yang memerlukan penjagaan insentif.

Semenjak pembukaannya, hampir setiap hari UVH menerima lawatan daripada segenap lapisan masyarakat.
“Kita menerima hampir setiap hari kes yang melibatkan haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing.

“Malah, waktu paling kerap dikunjungi oleh pelanggan ialah tengahari," katanya.

Bagi haiwan yang memerlukan rawatan lanjut ia boleh ditempatkan di wad khas pada kadar bayaran yang minimum.

Antara perkhidmatan yang disediakan adalah Amalan Haiwan Kesayangan di mana UVH menawarkan khidmat diagnosis, rawatan serta nasihat kepada pemilik haiwan di hospital yang berada di kampus utama atau klinik satelit di Petaling Jaya, Selangor.

Perkhidmatan yang disediakan termasuk rawatan, diagnosis, pembedahan, pencegahan serta kepakaran dalam rawatan haiwan kesayangan bagi kes yang dirujuk oleh klinik veterinar lain.

Antara haiwan peliharaan yang biasa di bawa ke UVH ialah kucing, anjing, arnab, burung, reptilia dan haiwan eksotik.

Manakala bagi Klinik Satelit yang terletak di Petaling Jaya, ia diwujudkan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Tidak terhad kepada haiwan kesayangan sahaja, UVH turut menawarkan perkhidmatan Klinik Bergerak kepada pengusaha ladang ternakan, penternak dan pemilik haiwan rekreasi.

Tenaga mahir seperti doktor veterinar yang bertugas untuk Klinik Bergerak akan keluar menemui klien selepas temujanji.

Wad bagi haiwan besar juga turut disediakan di hospital ini, malah UVH turut memiliki Unit Rawatan Rapi yang dikenali sebagai ICU dan sebuah Unit Pharmaci.

UVH turut memiliki kepakaran dalam bidang perubatan ruminan, ekuin, khinzir dan juga bidang teriogenologi serta sitogenetik.

Perkhidmatan yang diberikan termasuk diagnosis, rawatan penyakit, kesihatan kelompok, kawalan penyakit, diagnosis kebuntingan dan khidmat nasihat.

Selain itu, UVH turut menawarkan perkhidmatan rawatan avian melalui Klinik Haiwan Kesayangan dan Klinik Bergerak.

Tidak terhad kepada haiwan darat, pemeriksaan kesihatan bagi spesies ikan dan udang melalui Unit Kesihatan Haiwan Akuatik turut disediakan.

Terdapat pelbagai lagi unit khas lain seperti Unit Surgeri, Anaestesiologi, Radiologi dan Ultrasonografi yang mampu menampung keperluan pembedahan dan diagnosis bagi haiwan kesayangan, haiwan besar dan hidupan liar.

Selain menawarkan pelbagai perkhidmatan di samping peralatan yang canggih, UVH turut di sokong oleh Unit Perkhidmatan Makmal Veterinar (VLSU).

VLSU menyediakan kemudahan makmal diagnosis seperti Bakteriologi, Biologik, Biologi Molekul, Fisiologi, Hematologi dan Biokimia Klinikal, Histopatologi, Kesihatan Umum, Nekropsi (bedah siasat), parasitologi, patologi dan virologi.

Kepakaran dalam setiap makmal ini dapat menghasilkan keputusan analisis, pentafsiran dan diagnosis berkualiti tinggi bagi membantu rawatan penyakit haiwan di UVH mahupun sampel yang dihantar oleh pihak luar.

Biarpun hospital ini dibuka kepada umum, kelaziman hospital yang ditubuhkan di dalam pusat pengajian tinggi adalah untuk tujuan proses pembelajaran.

Justeru, pelajar jurusan Kedoktoran Perubatan Veterinar turut disediakan kemudahan untuk tujuan praktikal dan amali di sini.

Di sini turut disediakan sebuah dewan bedah khas untuk tujuan pembelajaran dan ptaktikal bagi para pelajarnya.

Malah, setiap kes yang dirujuk ke UVH pada masa yang sama merupakan proses pembelajaran secara realiti atau ‘hands on’ kepada pelajar.

UVH beroperasi dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.00 untuk hari isnin hingga khamis dan pada hari jumaat ia dibuka pada pukul 8.30 pagi hingga 11.15 pagi dan bersambung pada 2.45 petang hingga 4.00 petang.

Untuk keterangan lanjut anda boleh mengubungi UVH di talian 03-86563528 bagi Klinik Haiwan Kesayangan, 03-89468319 bagi Klinik Bergerak dan 03-89468272 bagi Pejabat Am UVH manakala laman web hospital ini adalah www.vet.upm.edu.my.

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails