Wednesday, March 24, 2010

Gunung Berapi di Iceland mungkin meletus


LAHAR panas dari kawah gunung berapi Eyjafjallajokull, pada 21 Mach 2010. - AFP

REYKJAVIK 23 Mac - Letusan gunung berapi Eyjafjallajokull yang memaksa lebih 600 penduduk meninggalkan rumah mereka di Iceland awal kelmarin boleh menyebabkan sebuah gunung berapi lebih besar meletus.

Profesor geofizik yang juga penasihat perlindungan awam, Magnus Tumi Gudmundsson memberi amaran itu, semalam selepas letusan gunung berapi Eyjafjallajokull dekat glasier di selatan Iceland memaksa beratus-ratus penduduk melarikan diri, walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Mengikut sejarah, kita mengetahui tiga letusan dalam gunung berapi Katla yang lebih besar ada kaitan dengan letusan Eyjafjallajokull," kata Gudmundsson.

Beliau berkata, bagaimanapun sehingga kini belum ada tanda-tanda Katla menunjukkan aktiviti gunung berapi.

Letusan gunung berapi Eyjafjallajokull itu adalah yang pertama di Iceland sejak 2004 dan yang pertama berdekatan glasier Eyjafjallajokull sejak 1823.

Pihak berkuasa Iceland semalam memberi amaran mengenai peningkatan gangguan di kawasan berkenaan.

"Polis meningkatkan pemantauan di seluruh kawasan di sekitar glasier Eyjafjallajokull dan Myrdalsjokull disebabkan peningkatan gangguan pagi ini berikutan letusan gunung berapi itu," menurut satu kenyataan polis dan jabatan perlindungan awam.

Polis juga menutup beberapa jalan berhampiran selepas memberi amaran mengenai bahaya melakukan perjalanan atau memandu di sekitar kawasan gunung berapi.

Stesen penyiaran awam RUV melaporkan beberapa gempa bumi kecil di kawasan sekitar letusan gunung berapi tersebut diukur awal, semalam.

Katla yang dianggap antara gunung berapi paling berbahaya di Iceland kali terakhir meletus pada 1918.

Mengikut sejarah, Katla meletus dalam tempoh setahun selepas letusan di Eyjafjallajokull. - AFP

Sumber: Sini dan boleh juga lihat di sini

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails